DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 11 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 21

TELEFON bimbit bermain-main di jari Aina Cempaka. Tubuhnya berbaring di atas katil. Selalunya pada waktu malam begini Mohsin pasti menghubunginya. Tapi mengapa akhir-akhir ini dia jarang mendapat panggilan daripada Mohsin? Mungkin Mohsin sibuk. Mungkin juga terlalu banyak projek atau lakaran yang perlu disiapkan. Entahlah. Sekarang, Aina Cempaka benar-benar bosan.
Mengenangkan Faiz Iqbal membuatkan fikiran Aina Cempaka tambah bercelaru. Semalam kata suka, hari ini pula nampak dingin. Buktinya, siang tadi Faiz Iqbal tidak bercakap langsung. Hendak pandang muka Aina Cempaka pun haram. Asyik leka menghadap kerja.
Ini aneh. Memang aneh. Faiz Iqbal jarang berperangai macam itu. Kalau dia marah sekalipun, pasti dia akan membulatkan mata kepada Aina Cempaka. Ditenungnya wajah gadis itu dalam-dalam. Paling tidak pun Aina Cempaka akan ditengkingnya.
Arghhh! Mungkin dia sibuk. Yalah! Memandangkan situasi Ibunda Corporation yang tidak menentu, pasti fikirannya jadi celaru. Tapi, setahu Aina Cempaka Ibunda Corporation sekarang sudah stabil. Faiz Iqbal juga berjaya mendapatkan kepercayaan pelabur baru. Kewangan syarikat pun semakin baik.
“Entahlah, malas aku nak fikir lagi.” Aina Cempaka menghempaskan kepalanya ke bantal. Buat sakit kepala dia saja memikirkan lelaki itu.
Beberapa saat kemudian, telefon bimbitnya berdering. Nama Mohsin tertera. Huh, panjang pun umur!
“Lama tak dengar cerita?” sapa Aina Cempaka.
“Kau yang menyepi, aku malulah nak kacau.”
“Sejak bila kau jadi pemalu ni?” Aina Cempaka tergelak.
“Aku memang pemalulah, mak nenek. Kau aje yang tak tahu.”
“Eleh! Ada apa kau telefon aku malam-malam ni?”
“Sebenarnya aku nak ajak kau balik kampung esok.”
“Aku kerjalah esok. Kau ni dah kenapa?”
“Aaa... aku... mmmm... susah betullah cakap dengan kau ni.”
“Apa yang susahnya ni Sin? Cakap ajelah kat aku.”
Mohsin diam sejenak.
“Lusa ada majlis perasmian maahad tahfiz. Jomlah kita pergi. Helmi ada jemput kau sekali.”
“Kenapa baru sekarang kau nak beritahu aku?”
“Aku pun baru tahu. Ingat nak buat surprise sikit kat mak.”
“Macam mana ni ya...” Aina Cempaka berfikir-fikir. Bagus juga. Bukan selalu buat kejutan macam ini.
“Ala... kau ambillah cuti tiga hari. Aku pun ambil cuti sebab... kau pun tahu sebab apa, kan? Baca paper tak hari ni?”
“Aku tahu. Datuk Mazlan, kan? Memang patut pun dia dapat balasan. Kalau diikutkan hati, nak aje aku korek biji mata orang tua tu! Biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah!”
“Bunyi kau cakap tu... macam dia ada buat salah kat kau aje.” Mohsin menduga.
Malas Aina Cempaka hendak mengadu. Biarlah. Mungkin ini hukuman yang Allah kenakan buat penjahat seperti Datuk Mazlan. Hukuman itu sudah setimpal. Nasib baik kesucian dirinya masih utuh. Itu sudah memadai.
“Tak adalah... aku cuma geram apa yang dia dah buat kat Ibunda Corporation. Mmmm... bila kita nak balik kampung?”
“Aku suka soalan kau tu. Mmmm... esok boleh?”
“Okey... tapi, aku kena jumpa Encik Iqbal esok dan hantar terus surat cuti kat dia. Nanti tak pasal-pasal aku kena marah. Maklumlah, aku kerja makan gaji.” Aina Cempaka ketawa.
“Baik. Esok pagi aku ambil kau. Lepas tu kita hantar surat cuti. Jangan lupa, packing barang-barang sekali tau.” Arah Mohsin.
“Ya, Encik Mohsin. Saya tahu...” Aina Cempaka sambung ketawa dan tersenyum panjang sebelum memutuskan talian telefonnya. Dalam otaknya masih berfikir-fikir.
“Nak ke Encik Iqbal bagi aku cuti tiga hari? Mengejut pulak tu.” Aina Cempaka bercakap sendiri. Teringat semula sikap dingin Faiz Iqbal siang tadi.
“Arghh... lantaklah! Aku yang nak cuti, kau yang panas?” Aina Cempaka tergelak besar. Dalam hati masih berharap Faiz Iqbal akan setuju. Biar panas dalam hati lelaki itu beransur reda. Baru dia boleh meluahkan rasa. Rasa apa? Biar Tuhan saja yang tentukan.



HARI ini Aina Cempaka mengenakan t-shirt singkat bersama kasut sneakers. Berjalan pantas menuju ke bilik Faiz Iqbal. Dia tidak mahu membuatkan Mohsin menunggu lama di bawah. Selepas menghantar surat permohonan cuti, dia perlu pulang ke kampung bersama Mohsin.
Aina Cempaka hanya tersenyum apabila disapa oleh staf lain. Biar satu syarikat tahu yang dia ingin mengambil cuti hari ini. Sebaik sahaja mengetuk pintu bilik Faiz Iqbal, Aina Cempaka melangkah masuk.
“Lewat datang. Dengan pakaian macam ni, nak pergi mana?” nada Faiz Iqbal kedengaran amat perlahan. Aneh. Lelaki itu nampak tenang walaupun Aina Cempaka masuk lewat ke pejabat.
“Encik Iqbal, saya nak minta cuti hari ni. Saya harap...”
“Aku approved!” katanya selamba. Tidak memandang sedikit pun wajah Aina Cempaka.
Perlahan-lahan Aina Cempaka meletakkan sepucuk sampul surat berwarna putih di atas meja.
“Kalau saya ada buat salah ke... apa ke... saya minta maaf, Encik Iqbal. Saya tak bermaksud macam tu.” Aina Cempaka memulakan kata. Rasa bersalah mula menebal. Manalah tahu kot-kot dia ada tersilap perbuatan, terkasar bahasa.
Faiz Iqbal masih diam. Tidak menyahut sepatah pun perkataan Aina Cempaka. Dari semalam dia bersikap begitu. Dingin. Sepatah perkataan ditanya, sepatah perkataan yang dijawabnya.
“Encik Iqbal... tentang hal kelmarin tu... saya dah ada jawapan. Sebenarnya... saya suka jugak dengan apa yang Encik Iqbal tanya saya masa kat restoran Jepun tu.” Bibir Aina Cempaka mengukir senyuman lalu terus keluar meninggalkan bilik itu. Malu. Tidak sanggup ditenung wajahnya begitu oleh Faiz Iqbal lama-lama. Terasa lega sedikit beban dalam hati. Perasaan yang terpendam berjaya juga diluahkan.
Jantung Faiz Iqbal terasa mahu meledak. Menyentuh dadanya. Membayangkan wajah Aina Cempaka sudah cukup membuatkan jiwa lelakinya menangis. Pedih. Tidak mampu digambarkan. Habis semua barang di atas meja ditepisnya. Bertaburan di atas lantai. Biar lepas segala amarah dan pelbagai rasa yang menghimpit. Mengapa? Mengapa di saat Aina Cempaka… Arghhh!!! Ini semua salah kau Faiz Iqbal!



“KAU dah beritahu Suzy ke yang kita nak balik Kedah hari ni?” soal Mohsin. Matanya masih fokus memandang jalan raya.
“Dah. Tapi, dia macam tak suka aje bila dengar kita nak balik kampung.”
“Ermmm... dia ada cakap atau beritahu kau apa-apa tak?”
“Tak pulak. Kenapa?” Aina Cempaka merenung wajah Mohsin.
Mohsin tersenyum. Terasa semakin aneh pula. Sejak bila Mohsin begitu prihatin mengenai Suzy? Mungkin ini hanya mainan perasaan Aina Cempaka sahaja.
“Tak ada apalah. Aku saja tanya. Tak boleh?”
“Boleh. Tak salah pun. Kau cuti berapa hari?”
“Seminggu.”
“Lamanya. Buat apa cuti sampai seminggu?”
“Sebab tak ada buat apalah aku cuti. Aku ingat nak cari company lainlah. Macam tak ada harapan lama nak hidup kat syarikat tu.”
“Kerjalah kat tempat aku.”
“Dengan Faiz Iqbal tu? Tak inginlah aku...” Mohsin menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aina Cempaka tersenyum. Teringat pula dia akan wajah Faiz Iqbal. Moga lelaki itu faham dengan kata-kata terakhir yang disampaikannya tadi.
“Kau ingat tak masa kita kecik-kecik dulu?” soal Aina Cempaka tiba-tiba.
“Ingat. Manalah aku boleh lupa semua tu,” jawab Mohsin.
“Tapi... kenapa aku tak ingat apa-apa. Bila aku tengok balik gambar-gambar lama kita masa kat kampung dulu... aku lupa. Tak ingat pun bila kita ambil gambar tu.”
Mohsin diam sejenak.
“Sin. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”
“Aaa... ya aku dengarlah. Mmmm... biasalah, bukan semua benda kita ingat. Kadang-kadang kita kena lupakan sesuatu yang pahit... untuk mulakan hidup yang baru.”
“Maksud kau?”
“Ermm... maksud aku... tak semua benda kita boleh ingat. Samalah macam aku, tak semua kenangan masa kita kecik-kecik dulu aku ingat. Kenapalah kau suka fikir jauh sangat.” Mohsin ketawa.
“Betul jugak tu. Aku rasa mengantuklah. Nak tidur kejap, boleh tak? Nanti dah sampai, tolong kejutkan ya?” manja nada suara Aina Cempaka.
Mohsin tersenyum. Menganggukkan kepala. Biarlah Aina Cempaka tidur sekejap. Dia tidak mahu mengganggu.
Melihat Aina Cempaka yang sudah lena, kenangan lama kembali bermain dalam minda. Tidak mungkin dia lupa peristiwa lima tahun yang lepas. Jasad Aina Cempaka dijumpai hanyut oleh orang kampung dibawa arus sungai yang deras. Risaunya dia hanya Tuhan yang tahu. Walaupun bayi dalam kandungan Aina Cempaka tidak dapat diselamatkan, dia tetap bersyukur. Aina Cempaka masih hidup.
“Kenapalah kau ni bodoh sangat?” Mohsin memandang wajah Aina Cempaka. Mengusap lembut ubun-ubun gadis itu. Parut di dahinya jelas kelihatan. Mohsin tersenyum. Biarlah Aina Cempaka tidak ingat apa-apa. Itu lebih baik. Sekurang-kurangnya mereka punya harapan untuk hidup bersama.
Menjelang petang, kereta yang dinaiki mereka menyusuri masuk ke halaman sebuah rumah kampung. Aina Cempaka sudah tidak sabar. Segera dia membuka tali pinggang keledarnya.
“Kau tunggu dalam kereta dulu Sin. Bila line clear, baru kau masuk rumah.” Aina Cempaka tersengih.
“Kenapa aku yang kena tunggu dalam kereta pulak?”
“Mestilah. Cakap semalam nak buat surprise. Ini surpriselah.” Aina Cempaka menjegilkan biji matanya.
“Suka hati kaulah.” Malas Mohsin melayan. Hanya menunggu di dalam kereta dan menanti isyarat daripada Aina Cempaka.
Aina Cempaka melangkah keluar. Menutup perlahan pintu kereta. Tubuhnya terbongkok-bongkok menghampiri anak tangga rumah. Sepasang kasut lelaki terletak betul-betul  di atas tangga. Mimik muka Aina Cempaka serta-merta berubah. Aneh. Lelaki mana pula yang ibunya bawa naik rumah? Tidak mungkin Pak Malik. Tidak mungkinlah! Aina Cempaka kenal dengan ibunya. Mak Safiah tidak akan benarkan lelaki asing masuk ke dalam rumah.
Semakin dekat langkahnya menghampiri muka pintu rumah, semakin jelas kedengaran suara orang merayu-rayu. Macam suara orang mahu bergaduh pun ada.
“Mak, ampunkan along. Along dah berubah... along dah terima balasan along.”
“Mak dah lama maafkan along. Tapi, mak susah nak lupakan apa yang along dah buat. Dahlah along, jangan datang sini lagi. Mak tak nak tengok along kat sini lagi.” Jelas kedengaran suara Mak Safiah.
“Along takkan pergi mak. Mak, along nak kita hidup macam dulu. Along tahu... banyak dosa along dengan Cempaka. Tapi, tak boleh ke kita berterus terang dengan dia. Beritahu semua benda yang berlaku.”
“Dahlah along, pergi balik! Jangan sampai orang tahu kamu ada kat sini.” Mak Safiah mengheret lengan anak lelakinya ke muka pintu. Terpanar Mak Safiah sekejap sebaik sahaja bertembung dengan Aina Cempaka yang berdiri tercegat di hadapan pintu.
Aina Cempaka tidak terucap sepatah kata. Hanya bibirnya yang bergerak-gerak sedikit.
“Si... siapa ni mak?” Jari Aina Cempaka menggeletar.
Mak Safiah tidak keruan. Lengan baju Rasyid dilepaskannya.
“Rasyid. Kamu pergi balik dulu,” arah Mak Safiah, tidak memandang sekilas pun pada lelaki di sebelahnya.
“Tapi mak...”
“Pergi balik!” tengking Mak Safiah. Air matanya tidak dapat ditahan lagi.
Rasyid segera beredar. Meninggalkan dua beranak itu. Mohsin yang melihat dari jauh terus keluar dari keretanya menghampiri Mak Safiah dan Aina Cempaka di muka pintu.
“Kenapa ni?” tanya Mohsin. Agak kalut.
“Mak, siapa tu?” soal Aina Cempaka.
Mak Safiah masih diam. Air matanya saja yang laju keluar.
“Cempaka tanya sekali lagi... siapa lelaki tu, mak?” suara Aina Cempaka naik seoktaf. Dia sudah tidak tahan lagi. Bukan niat dia hendak jadi anak kurang ajar. Dia punya hak. Hak untuk dapatkan jawapan dari mulut Mak Safiah sendiri.
“Dia tu abang kau.”
“Aaa... abang? Mak cakap apa ni?” Aina Cempaka terasa seperti orang bodoh. Permainan apa pula kali ini?
“Maafkan mak, Aina. Mak...”
“Selama ni... Cempaka ingat, Cempaka anak tunggal. Kenapa mak nak rahsiakan semua ni. Apa yang dia dah buat kat Cempaka sampai mak halau dia macam tu sekali?” jerit Aina Cempaka seperti sudah kerasukan hantu. Kepalanya terasa sakit. Entah kenapa, apabila Mak Safiah mengakui bahawa lelaki itu ialah abang kandungnya, hati Aina Cempaka terasa bagai dicarik-carik. Ngilu dari dalam.
“Aina... apa ni? Cuba bertenang.” Mohsin memegang bahu Aina Cempaka.
“Mak, tolonglah... jangan buat Cempaka macam ni lagi.” Aina Cempaka memeluk kedua-dua belah kaki Mak Safiah. Mak Safiah tidak mampu berdiri lagi lalu memeluk erat tubuh Aina Cempaka.
“Maafkan mak...” Itu saja ayat yang mampu Mak Safiah berikan. Biarlah Aina Cempaka tenang sekejap. Mak Safiah tidak mahu merosakkan lagi keadaan. Bila tiba masa yang sesuai, dia perlu berterus terang juga. Aina Cempaka perlu didedahkan dengan kenyataan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment