DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 9 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 19

HARI minggu macam inilah masa untuk Aina Cempaka berehat di rumah. Suzy? Awal pagi lagi sudah lesap. Hilang entah ke mana. Mungkin sudah keluar menghabiskan masa hujung minggunya. Kadang-kadang Aina Cempaka rasa pelik juga dengan kerenah Suzy.
Yalah! Sejak akhir-akhir ini Suzy asyik dengan telefon bimbitnya. Selalu juga dia bergayut lama-lama di dalam bilik tidur. Apabila Aina Cempaka datang, cepat-cepat dia putuskan talian telefon. Paling tidak pun, Suzy akan lari ke luar rumah. Berborak di telefon sampai lewat malam. Dengan siapa, Aina Cempaka pun tidak tahu. Mungkin Suzy sudah ada teman lelaki. Kalau ya, kenapa dia macam hendak mengelak.
Arghh, biarlah! Lagipun, Aina Cempaka sudah masak sangat dengan perangai Suzy. Mungkin dia malu hendak berkongsi cerita. Cepat atau lambat, pasti Suzy akan beritahu juga. Tahan sabar sajalah menunggu. Mungkin esok lusa keluar kad kahwin. Siapa tahu?
Aina Cempaka tersenyum sendiri. Baring berangan sambil bermalas-malasan di atas sofa. Menonton drama di kaca televisyen.
Seketika kemudian, telefon di atas meja berdering.
“Datin Mariam?”
Kalut Aina Cempaka menekan butang menjawab.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Datin... errr mak ngah.”
“Aina buat apa sekarang ni?”
“Aina sekarang kat rumah. Ada apa ya mak ngah?”
“Mmmm... mak ngah kat luar rumah Aina ni.”
Pantas saja Aina Cempaka bangun. Berdebar-debar jantungnya. Cepat-cepat dia menyelak langsir. Sebuah kereta mewah bercermin gelap kini berada di depan rumah. Aina Cempaka semakin kalut.
“Tak nak jemput mak ngah masuk ke?”
“Errr... tunggu kejap. Aina buka gate.” Talian telefon dimatikan. Pantas Aina Cempaka meluru keluar. Pintu pagar dibukanya. Senyuman Datin Mariam sudah nampak dari jauh.
“Masuklah,” pelawa Aina Cempaka.
“Maaflah. Mak ngah call Aina last minute. Bosan sangat duduk kat rumah, sebab tu mak ngah datang. Aina tak buat apa-apa ke hari ni?”
“Tak. Cuma melepak kat rumah aje.”
“Jom temankan mak ngah pergi shopping.”
“Shopping?”
“Yalah. Tunggu apa lagi? Cepatlah siap.”
“Tapi...” Aina Cempaka berdolak-dalik. Masakan hari minggunya diganggu dengan aktiviti remeh macam ini? Dia mahu berehat. Mahu membebaskan diri daripada urusan kerja. Lebih-lebih lagi kalau terpaksa menghadap lelaki yang bernama Faiz Iqbal. Oh, jangan haraplah!
“Tapi apa?” tekan Datin Mariam.
“Tak ada apa-apa. Mak ngah tunggu dulu ya. Kejap lagi Aina turun.” Aina Cempaka terpaksa akur. Mahu atau tidak, dia wajib pergi. Lagipun, wanita ini sudah beria-ia bertandang ke rumahnya. Tidak syok rasanya kalau dia terus menolak.
Aina Cempaka segera menuju ke tingkat atas. Bersiap-siap. Datin Mariam melangkah keluar ke halaman rumah. Duduk menunggu di atas kerusi rehat sambil tersenyum-senyum seorang diri. Mengatur agenda dalam kepala.
Beberapa minit menunggu, Aina Cempaka muncul.
“Aina memang selalu pakai macam ni ke?” soal Datin Mariam. Memandang Aina Cempaka dari atas ke bawah. Gadis yang hanya mengenakan baju t-shirt bersama jean itu kelihatan rugged dengan kasut sneakersnya. Selalunya Aina Cempaka hanya memakai baju kurung atau kemeja ke pejabat. Jarang sekali dia melihat fesyen santai gadis bernama Aina Cempaka itu.
“Kenapa? Tak elok ke? Kalau tak cantik, Aina boleh tukar sekarang,” soal Aina Cempaka.
“Errr... tak. Tak ada apa-apalah. Jom kita pergi cepat.” Datin Mariam segera mengheret lengan Aina Cempaka masuk ke dalam kereta mewahnya. Tidak mahu membuang masa. Biarlah Aina Cempaka hendak pakai apa pun. Asalkan dia rasa selesa. Itu sudah cukup.
Sebaik sahaja sampai di pusat membeli-belah, kereta yang dinaiki mereka menuju ke tempat parkir. Keluar daripada kereta, Datin Mariam membuat satu panggilan telefon.
“Helo. Iqbal kat mana ni?” soal Datin Mariam.
“Iqbal ada kat rumah ni. Kenapa?” Suara Faiz Iqbal kedengaran serak. Mengantuk. Baru bangun tidur.
“Ya Allah! Dah pukul berapa ni tak bangun lagi?” pekik Datin Mariam.
“Hari ni kan cuti. Biarlah Iqbal rehat kejap.”
“Iqbal! Malam semalam kan mak ngah ada text Iqbal. Iqbal tak baca ya?”
“Mmmm... Iqbal baca. Iqbal malaslah. Mak ngah shopping la sorang-sorang.” Faiz Iqbal memejamkan matanya. Melepaskan rasa pening mabuk malam semalam. Tubuhnya rasa berat semacam. Tak larat nak bergerak. Asyik minta bantal.
“Iqbal... mak ngah dengan Aina dah tunggu lama kat sini, tahu tak?” sengaja Datin Mariam menguatkan suaranya.
“Aaa... Aina pun ada?” Faiz Iqbal terus bangun dari katil. Bateri yang lemah dicas semula. Terasa bersemangat pula apabila nama Aina Cempaka dipetik.
“Yalah. Takkan mak ngah nak bohong pulak.”
“Tunggu 20 minit. Nanti Iqbal datang.” Pantas Faiz Iqbal menutup talian telefon. Bergegas dia ke kamar mandi. Membersihkan diri.
“Tahu pun kalut,” ucap Datin Mariam sambil tersengih memandang wajah Aina Cempaka.
“Encik Iqbal pun ikut sekali?” soal Aina Cempaka. Bergetar tali jantungnya apabila terdengar nama Faiz Iqbal tadi.
“Mmmm... kejap lagi dia datang. Jom kita pergi makan dulu. Mak ngah dah lapar ni.” Datin Mariam memaut lengan Aina Cempaka, melangkah masuk ke dalam pusat membeli-belah. Mereka mencari tempat untuk mengalas perut terlebih dahulu.
Selesai menjamu selera, mereka berdua berbual-bual kosong. Agak penat rasanya menunggu kedatangan Faiz Iqbal.
“Manalah si Iqbal ni? Dah dekat sejam. Bayang pun tak nampak-nampak.” Datin Mariam menghabiskan minumannya.
“Kejap lagi adalah. Jalan sesak kut.”
“Aina... mak ngah nak tanya sesuatu, boleh?”
“Apa dia? Tanyalah.”
“Apa pendapat Aina tentang Faiz Iqbal?” Datin Mariam tersenyum penuh makna.
“Soalan apa ni, mak ngah?”
“Ala... jawablah.”
“Mmmm... okey. Encik Iqbal tu baik walaupun dia tu cerewet sikit.” Aina Cempaka tersengih kambing.
“Itu aje?”
Aina Cempaka mengangguk. Apa lagi yang perlu dia jawab? Takkanlah nak cakap yang Faiz Iqbal kaki amuk tidak tentu pasal? Ada masa buang tabiatnya mampu sejuk macam ais. Ada masanya dia suka menyambar macam api. Eh, jangan buat gila!
“Takkan baik aje. Hurmm... Aina suka kat dia, kan?”
“Apa ni mak ngah. Tak adalah.” Muka Aina Cempaka automatik merona kemerahan.
Datin Mariam ketawa. Betullah tu. Konon-konon malu, tapi mahu!
Seketika kemudian, kelibat Faiz Iqbal muncul. Panjang betul umur lelaki itu. Tersenyum-senyum dari jauh. Menampakkan barisan giginya yang putih melepak.
“Sorry, lambat sampai. Jalan jammed.” Faiz Iqbal terus merebahkan pinggulnya. Duduk di sebelah Aina Cempaka.
“Dah agak dah. Itu aje alasan Iqbal. Jammed memanjang.” Datin Mariam bersuara.
“Dah jammed, nak buat macam mana. Bukannya Iqbal boleh alihkan semua kereta yang menyekat jalan tu.” Faiz Iqbal ketawa.
“Yalah tu. Macam-macam alasan Iqbal bila mak ngah ajak shopping. Bila dengar nama Aina, boleh pulak pergi.”
“Mak ngah nak shopping apa lagi ni? Tak cukup ke baju-baju yang berlambak kat dalam almari tu?” alih Faiz Iqbal.
“Siapa kata mak ngah nak shopping baju? Mak ngah nak beli groceries sikit, untuk dinner malam ni. Iqbal dengan Aina datanglah.”
“Kenapa tak cakap awal-awal tadi. Mohlah kita.” Laju Faiz Iqbal bangun. Semakin meronta-ronta semangatnya. Apabila ada Aina Cempaka, lagilah dia teruja.
“Kenapa tak beritahu Aina tadi?” potong Aina Cempaka.
“Mak ngah lupalah. Macam mana? Aina boleh datang tak malam ni?” soal Datin Mariam. Buat-buat rasa bersalah.
Mulanya Aina Cempaka rasa berat hati. Setuju atau tolak? Kalau ditolak nanti, apa kata Datin Mariam? Selama ini Datin Mariam melayaninya dengan baik. Tidak baik buat orang yang lebih tua kecewa. Hesy, pening kepala dibuatnya!
Setelah berfikir seketika baru Aina Cempaka mengukirkan senyuman. Mengangguk, tanda setuju. Tidak mengapalah. Ini kali terakhir. Lain kali dia akan cipta alasan yang kukuh untuk menolak. Tidaklah nampak macam terpaksa sangat!
Datin Mariam pun apa lagi, terus dirangkulnya lengan Aina Cempaka menuju ke bahagian barangan basah. Tidak sabar rasanya dia hendak memilih barang. Faiz Iqbal pula hanya mengekori mereka dari belakang sambil membawa troli.
Entah kenapa, tiba-tiba Datin Mariam mengurut-urut dahinya. Pening lalat P. Ramleenya sudah bertandang. Langkah mereka bertiga terhenti.
“Kenapa ni mak ngah?” Aina Cempaka jadi panik.
“Mak ngah rasa macam tak sedap badanlah,” ucap Datin Mariam sambil ekor matanya menjeling Faiz Iqbal.
“Mak ngah tak sihat ke? Kalau dah tak sihat, kenapa nak pergi jugak? Buat risaukan Iqbal aje. Dah tu, macam mana nak jalan ni?” Faiz Iqbal mula menyampuk. Berbunga-bunga hatinya apabila dapat signal daripada Datin Mariam.
“Mak ngah nak baliklah. Nak rehat kejap.” Datin Mariam semakin galak berlakon drama. Aina Cempaka yang naif cuba memapah Datin Mariam duduk ke atas kerusi yang berhampiran.
“Encik Iqbal, saya rasa kita patut hantar mak ngah balik dulu.” Aina Cempaka menatap wajah Faiz Iqbal. Minta jawapan.
“Eh! Tak payah. Mak ngah boleh naik teksi. Korang belilah dulu apa yang patut,” potong Datin Mariam.
“Barang-barang boleh beli kemudian. Kesihatan mak ngah yang paling penting,” pertahan Aina Cempaka.
“Tak apa. Mak ngah okey. Lagipun, mak ngah dah janji dengan  tok wan nak dinner dengan Aina malam ni. Tak sampai hati pulak nak batalkan.”
“Encik Iqbal,” renung Aina Cempaka lagi. Melihat Faiz Iqbal yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Buat muka sepuluh sen.
“Errr... kalau macam tu... Iqbal hantar mak ngah balik dululah,” ucap Faiz Iqbal agak kecewa. Habis gagal semua rencana yang baru dirancangnya.
“Tak payah. Biar mak ngah naik teksi aje.” Datin Mariam mengenyitkan mata kepada Faiz Iqbal. Maksudnya rancangan mereka masih belum berakhir.
Faiz Iqbal simpan senyum dalam hati. Tahulah dia, agenda tersembunyi yang dirancang oleh Datin Mariam baru saja bermula. Sudah dapat lampu hijau, jangan sesekali disia-siakan. Rasa macam hendak melompat pun ada. Tapi, dia perlu bersabar. Jangan terlampau gelojoh. Buruk padahnya.
“Kalau macam tu, Iqbal dengan Aina pergi dululah. Mak ngah jaga diri tau. Dah sampai rumah nanti, jangan lupa call Iqbal,” pesan Faiz Iqbal. Lembut.
Datin Mariam hanya mengangguk dengan senyuman. Sekeping kertas senarai barang yang ingin dibeli dihulurkan kepada Faiz Iqbal. Sebaik sahaja kertas kecil bertukar tangan, Faiz Iqbal cepat-cepat menarik lengan Aina Cempaka. Segera beredar meninggalkan Datin Mariam sendirian di situ.
“Tak apa ke kita tinggalkan mak ngah macam tu?” soal Aina Cempaka. Berjalan seiring dengan Faiz Iqbal. Dalam hatinya cukup bimbang dengan keadaan kesihatan Datin Mariam.
“Mak ngah dah besar. Bukannya budak kecik. Buat apalah nak risau.”
“Saya cuma takut apa-apa terjadi kat dia. Manalah tahu kut-kut dia pengsan ke apa kat tengah jalan tu. Siapa yang nak bertanggungjawab?”
“Tak ada apa-apalah. Saya kenal mak ngah tu. Dia bukan jenis yang suka pengsan merata-rata. Kalau betul nak pengsan pun, dia akan pilih tempat paling bersih untuk landing.” Faiz Iqbal tergelak besar. Rasa lucu pula apabila terbayangkan muka mak ngahnya tadi.
“Main-main ya?” Aina Cempaka mencubit kecil pinggang Faiz Iqbal.
Mereka berdua ketawa mesra. Pedih pun pedihlah, asalkan Aina Cempaka yang cubit, itu tak jadi hal buat Faiz Iqbal. Janji hatinya bahagia.
Aina Cempaka mengisi troli berdasarkan senarai barang yang dibaca oleh Faiz Iqbal. Bukan senang rupanya membeli barang dapur. Semua perkara perlu diteliti termasuklah jenama barang yang ingin dibeli. Nasib baik Datin Mariam sudah senaraikan. Faiz Iqbal juga nampak tidak kekok memilih barang dapur. Itu membuatkan Aina Cempaka rasa lebih kagum.
“Encik Iqbal selalu memasak kat rumah ke?” soal Aina Cempaka.
“Memasak?” Faiz Iqbal ketawa.
“Memasak tu memang bidang aku. Ala-ala chef gitu. Kalau aku tak terlibat dengan Ibunda Corporation, mesti sekarang aku dah jadi chef terkemuka.” Faiz Iqbal membuat muka riak. Berlagak sungguh!
“Betul ke ni? Macam tak boleh percaya aje.”
“Eh! Betullah. Kalau kau tak percaya, kau boleh test.”
“Nak test macam mana? Saya pun kurang pandai bab masak-memasak ni.”
“Kau tak tahu masak?” Faiz Iqbal tergelak.
“Apa yang kelakarnya?” Aina Cempaka mula naik hantu.
“Kelakarlah. Pertama kali aku jumpa perempuan yang mengaku dia tak pandai masak.”
“Itu maksudnya... saya seorang yang jujur. Bukan penipu. Kenapa? Salah ke kalau saya tak pandai memasak?” duga Aina Cempaka lembut. Tidak jadi pula dia hendak marah apabila mendengarkan kata-kata ikhlas Faiz Iqbal.
“Tak salah. Tapi, aku suka isteri yang pandai masak. Boleh memasak hari-hari untuk aku. Taklah bila balik kerja asyik kebulur. Makan kat luar.” Faiz Iqbal menjuih bibir.
“Isteri? Mmmm... tinggi cita-cita tu,” usik Aina Cempaka.
“Kenapa? Kau tak berminat ke nak jadi isteri aku?”
Giliran Aina Cempaka pula ketawa.
“Beratur perempuan lain tunggu Encik Iqbal kat luar sana tu. Saya bukanlah penunggu yang setia. Banyak kerja lain yang boleh saya buat.”
“Okay. I got it.” Faiz Iqbal mengangguk-anggukkan kepala. Dalam otaknya berfikir-fikir. Jika Aina Cempaka tidak sanggup menunggu, perlukah dia mengharap? Tapi, gadis di hadapannya ini terlalu istimewa. Sukar dilepaskan. Biarpun terpaksa menjadi penanti yang setia, tak apalah. Janji Aina Cempaka ada di sisi.
“Encik Iqbal. Saya nak solat zohor dulu. Tunggu saya kejap ya?” ucap Aina Cempaka sebaik sahaja mereka selesai membuat bayaran di kaunter.
“Errr.. yalah. Nanti aku tunggu kau kat kereta.” Faiz Iqbal mengangguk, hormat dengan permintaan gadis itu lalu terus melangkah membawa troli yang penuh dengan beg plastik menuju ke tempat parking.
Tiba di tempat parkir, Faiz Iqbal membuka bonet kereta. Memasukkan satu per satu beg plastik ke dalam bonet dengan cermat.
“Bos!” kejut satu suara dari belakang. Menepuk bahu Faiz Iqbal.
“Black! Nasib baik tak meletup jantung aku. Apa kau buat kat sini, hah?” Faiz Iqbal ketawa suka. Kecil betul dunia.
“Biasalah bos. Aku pun nak bersantai dengan awek-awek kat sini jugak. Lawa awek bos? Mana bos jumpa?”
“Awek? Siapa?” Faiz Iqbal tersengih. Buat-buat tidak tahu.
“Perempuan dengan bos tadi... aku nampaklah.”
“Itu secretary akulah. Kenapa?”
“Takkanlah bos tak ingat dia kut? Ke... banyak sangat sampai tak ingat? Tak sangka betul aku...” Black ketawa.
“Kau cakap apa ni?” Wajah Faiz Iqbal bertukar serius.
“Tak ada apa-apalah bos. Aku gurau aje kut. Relakslah.” Black mengurut dada Faiz Iqbal.
“Mmmm... macam mana benda yang aku suruh tu?”
“Jangan risau. Orang aku dah mula gerak. Lambat-laun mesti dapat jugak orang tua tu.” Black tersenyum.
“Bagus.” Faiz Iqbal senyum puas hati.
“Bos betul tak ingat apa-apa ni?” duga Black lagi.
“Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Sebelum aku mengamuk, baik kau terus terang.”
“Ta... tak ada apalah bos. Mungkin aku silap orang kut. Apa pun, good luck. Aku pergi dulu,” ucap Black. Segera dia meninggalkan Faiz Iqbal setelah kelibat Aina Cempaka kelihatan semakin hampir.
“Siapa tu, Encik Iqbal?” tegur Aina Cempaka. Matanya mencuri pandang kelibat lelaki itu.
“Tu kawan lama aku.” Faiz Iqbal sedikit cuak.
“Ingatkan siapa tadi.” Risau juga Aina Cempaka. Manalah tahu kot-kot perompak yang hendak menyamun Faiz Iqbal. Tengok gaya macam ada! Gengster Kampung Dusun!
“Macam mana malam ni? Confirm datang?” soal Faiz Iqbal. Menukar topik perbincangan.
“Insya-Allah, saya datang.”
“Nanti aku ambil. Lepas maghrib.” Faiz Iqbal tersenyum.
Mereka masuk ke dalam kereta. Faiz Iqbal menghantar Aina Cempaka pulang ke rumahnya. Malam nanti dia perlu menjemput Aina Cempaka untuk makan malam bersama di rumah tok wannya pula. Jadi, dia perlu ambil tahu dan menghormati jadual solat Aina Cempaka.

No comments:

Post a Comment