“ZAIRIEL!”
Spontan, mata Zara terbuka. Dia terduduk atas
katil. Peluh menitik di dahi. Dadanya turun naik. Pernafasan
menjadi tak stabil.
Pintu bilik Zara terkuak. Mak Cik Saniah menekan
suis lampu di tepi pintu dan menghampiri Zara.
“Sayang, kenapa ni?” Mak Cik Saniah duduk di
sebelah Zara. Mengusap-usap belakang Zara lembut.
“Zara... Zara...” Ayat Zara tersekat-sekat. Dia tak
mampu menghabiskan ayatnya.
Mak Cik Saniah merenung wajah Zara yang pucat
itu.
“Zara mimpikan lelaki tu lagi?” tebak Mak Cik
Saniah.
Zara mengalih pandang pada Mak Cik Saniah.
“Macam mana mak cik tahu?”
“Mak cik dengar tadi Zara menjerit nama lelaki tu,”
ujar Mak Cik Saniah.
Zara terdiam seketika. Lalu hempaskan keluhan.
“Siapa lelaki tu, mak cik? Kenapa Zara asyik mimpi
tentang dia sejak kebelakangan ni? Zara pernah kenal dengan
dia ke, mak cik?”
Raut wajah Mak Cik Saniah berubah. Tapi dia
cepat-cepat mengawal ekspresi wajah agar Zara tidak
mengesyaki apa-apa.
“Setahu mak cik, Zara tak pernah kenal sesiapa
dengan nama tu. Zara dah tanya Taufik, kan? Taufik pun tak
tahu. Mainan tidur agaknya tu, Zara. Tak payah nak difikirkan
sangat.” Mak Cik Saniah senyum sambil menepuk bahu Zara.
Bibirnya mengukir senyum paksa.
Zara mengangguk. Bibirnya turut ikut senyum.
“Betullah tu. Mimpi kan mainan syaitan. Maaf sebab
Zara kacau tidur mak cik malam-malam macam ni,” ujar Zara
dengan rasa bersalah.
“Tak apa. Dah, pergi tidur. Sebelum tidur, baca doa
dulu. Minta perlindungan agar tak mimpi lagi benda-benda
buruk macam tu.” Mak Cik Saniah mencium dahi Zara
dengan penuh kasih sayang. Dia menyelimutkan Zara setelah
anak itu merebahkan kembali tubuhnya.
Mak Cik Saniah berlalu dan menutup pintu perlahan.
Air mata yang sejak tadi ditahan berambu keluar dari kelopak
matanya.
“Ya Allah, kenapa setelah sekian lama dia muncul
kembali dalam ingatan dan mimpi Zara? Apa maksudnya
semua ini, ya Allah,” bisik Mak Cik Saniah perlahan. Bahu
terhinggut-hinggut menahan sebak.
Sementara di dalam bilik, Zara memerhati di bawah
pintu dari atas katil. Bayang-bayang Mak Cik Saniah agak
lama di situ sebelum pergi. Zara duduk bersandar pada besi
katil. Tangannya mencapai telefon bimbit di sebelah bantal.
Ibu jari kanan dilekapkan pada home button iPhone. Setelah
itu, dia menekan gallery. Jari menekan satu gambar yang
dibidiknya dua minggu yang lepas. Bertarikh 10 April 2014.
Ketika gambar itu dibidik, dia berada di Noah’s
Bakery bersama rakan kuliahnya. Dia sudah lama perasan
ada seorang lelaki yang mengekorinya sejak dia keluar dari
pekarangan universiti. Jadi dia berpura-pura berswafoto
dengan salah seorang temannya. Walhal, dia membidik
gambar lelaki itu yang duduk di meja belakangnya.
Zara memfokus pada wajah lelaki itu. Sah, lelaki itulah
yang sering muncul dalam mimpi ngerinya. Sebenarnya,
pertemuan dengan lelaki itu di kafe bukanlah pertemuan kali
pertama. Tapi tiga minggu yang lepas di Lapangan Terbang
Manchester, ketika dia menghantar Taufik yang mahu pergi
melancong ke Brazil bersama kawan-kawannya. Zara mula
perasan lelaki itu setelah Taufik masuk ke balai berlepas.
Lelaki itu mengekori dan memerhatikannya dari jauh.
Apabila dipandang lelaki itu, lelaki itu berpura-pura pandang
tempat lain.
Dan sejak hari itulah, tidurnya terganggu dan mimpi
ngerinya bermula. Hatinya sentiasa tak tenang. Jiwanya
bergelodak. Apatah lagi, lelaki itu tiap-tiap hari mengekorinya.
‘Aku tak boleh terus macam ni. Next time aku jumpa
dengan dia, aku kena berdepan dengan lelaki tu. Aku kena
tahu apa yang dia nak daripada aku!’ tekad Zara dalam hati.
KEESOKAN HARI, Zara menaiki bas bernombor 49 dari
kawasan perumahannya di Cheetham Hill. Lalu, dia menukar
pula ke bas bernombor 42 untuk ke University of Manchester.
Dia melangkah ke tempat duduk sebelah kanan. Tali beg galas
ditarik dari bahu, lalu duduk bersebelahan seorang perempuan
British berusia dalam lingkungan 40-an. Sebelah tangan
memeluk beg galas yang diletakkan di atas paha, sebelah lagi
memegang telefon bimbit. Skrol laman Instagram sambil
mengetik ‘like’ pada gambar kawan-kawannya. Kewajipan
sosial.
Titisan air hujan memenuhi segenap tingkap bas.
Zara pandang ke luar tingkap. Hujan turun membasahi bumi.
‘Nasib baik aku bawa payung,’ desis Zara dalam hati.
Bau minyak wangi tiba-tiba menyinggah di
hidungnya. Menyengat!
‘Mesti mahal,’ telah Zara dalam hati.
Dari earphone lelaki itu, kedengaran sayup-sayup
muzik Bagaikan Bidadari, nyanyian Tomok. Zara
mendongakkan kepala. Seorang lelaki yang memakai hud,
berkening lebat, berhidung mancung dan bermata hazel.
Handsome!
Tapi, kejap...
Dia kan...
Yang stalk aku...
Damn!
Peluh mula menitik di dahi Zara.
‘Ya Allah, apa yang patut aku buat ni? Selama ni dia
ikut aku, tak pernah dia datang sedekat ni!’ desis hati Zara.
Terketar-ketar tangan Zara mendail nombor Taufik.
Telefon bimbit lalu dilekap ke telinga. Selang satu saat, dia
mencuri pandang lelaki itu. Risau lelaki itu bertindak di luar
jangkaan.
Tiba-tiba lelaki itu memandang Zara. Dia senyum.
Melihat senyuman lelaki itu, tubuh Zara terasa kaku.
Fikirannya seperti di awang-awangan. Senyuman itu seperti
magis, memberi ketenangan ke dalam jiwanya.
“Assalamualaikum, Zara.”
Usai mendengar suara Taufik di talian sebelah sana,
Zara tersentak. Pandangan dilarikan ke luar tingkap.
“Waalaikummussalam. Sorry, aku terdail nombor
kau. Aku nak call Mina sebenarnya. Nombor korang kan
nak dekat sama,” ujar Zara. Bercanggah dari apa yang mahu
dikatakannya tadi.
“Oh, ya ke?” Taufik ketawa di hujung talian.
“Ingatkan kau call sebab rindukan aku. Tapi, siapalah
aku ni kan,” ujar Taufik dengan nada pura-pura merajuk.
“Hei, siapa kata yang aku tak rindukan kau? Kalau
setiap kali aku rindukan kau, aku kena call kau, alamatnya
24 jamlah kau kena jawab panggilan aku,” kata Zara seraya
tertawa kecil. Sambil-sambil itu, mata dilirik pada si stalker.
Lelaki itu memalingkan wajah ke depan.
“Pandailah kau. Jangan lupa pulak date kita malam
ni. Sorry aku busy sangat sampai lama tak jumpa.”
“It’s okay, aku faham. See you tonight. I miss you.
Assalamualaikum.” Zara menekan butang merah pada skrin
telefonnya.
Sreettt!
Bas tiba-tiba berhenti mendadak. Tubuh lelaki itu
terdorong ke tepi, melanggar bahu Zara. Kepala Zara yang
dilitupi selendang terkena dada lelaki itu. Tangan lelaki itu
pantas memegang pemegang kerusi di hadapan tempat duduk
Zara. Jantung Zara bergerak pantas seakan baru lepas lari
maraton. Haruman minyak wangi lelaki itu mencucuk-cucuk
hidungnya.
“Sorry,” ujar lelaki itu sepatah sambil berdiri tegak
semula. Sebelah tangan mengusap belakang leher.
“It’s... it’s okay.” Zara tersenyum nipis. Berpura-pura
membetulkan selendang yang dipakai. Walhal dalam hati,
hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya.
Perempuan di sebelah Zara bangun dan turun
dari bas. Bas kembali bergerak. Lelaki itu masih berdiri di
sebelahnya. Merenung jauh ke depan dengan muka tak ada
perasaan. Zara mengetap bibir. Berperang dengan perasaan
sendiri.
‘You have to do it, Zara! Kalau kau tak ambil peluang
ni, sampai bila pun kau takkan tahu apa yang dia nak,’ bisik
Zara dalam hati.
“Errr, excuse me...”
Lelaki itu masih terus pandang ke depan.
Spontan, Zara menarik hujung lengan baju lelaki
itu.
Lelaki itu memandang ke arah Zara.
“Sorry. I cuma nak cakap, you boleh duduk sebelah I
kalau you nak,” ujar Zara selamba.
“Oooh... errr, thank you,” kata lelaki itu dengan
tergagap-gagap. Dia senyum, tapi nampak gelisah.
Zara beranjak ke kerusi di sebelah tingkap.
Lelaki itu melabuhkan punggung di tempat Zara
duduk tadi. Tangan kanannya mengusap belakang leher.
Zara senyum.
‘Tahu pun gelabah. Takut kantoi stalk akulah tu.
Tahulah aku macam mana nak kenakan kau!’
“Nama I, Zara.” Zara memperkenalkan diri.
“Ashraf,” balas lelaki itu.
“You dari Malaysia?”
“Macam mana you tahu?”
“Muzik dari earphone you tadi. Lagu Bagaikan
Bidadari, kan? Since you dengar lagu dari Malaysia although
muka you macam orang Arab. So I assume you orang
Malaysialah.” Zara menceritakan hipotesisnya kepada lelaki
itu.
“Oh, ya ke?” Ashraf tergelak kecil.
“Sorry, I memang suka pasang volume kuat.”
“It’s okay. You student dekat sini ke?” Zara bertanya,
memulakan penyiasatan.
“Eh, taklah. I datang sini untuk melancong je.
Malam ni I balik Malaysia. Flight pukul 9.”
“You dah nak balik malam ni?” Riak Zara berubah.
Lelaki itu mengangguk.
Zara mula gelisah. Pandangannya kemudian jatuh
pada cincin perak yang berkilauan di jari manis Ashraf.
“You datang dengan tunang you?”
Ashraf mengerutkan dahi.
“Kenapa you assume yang I datang dengan tunang
I?”
Zara tidak menjawab. Hanya jari telunjuknya saja
yang dihalakan ke cincin perak di jari manis Ashraf.
“Oh, yang ni.” Ashraf mengusap cincinnya dengan
jari-jemari tangan kiri.
“First, I datang sorang-sorang je ke sini. Second, I’m
not engaged. I’m married.”
Mata Zara pandang Ashraf atas bawah.
“Seriously? But you look so... young.”
“Kahwin muda,” balas Ashraf pendek. Matanya
melirik pada cincin yang dipakai oleh Zara.
“Cincin tunang?” Ashraf memuncungkan mulut ke
arah tangan Zara.
“Oh, ni?” Zara mengangkat tangan kanannya.
Senyum.
“I harap sangat yang ni cincin tunang I, tapi
malangnya tidak. But, I hope that he will propose to me soon.”
Ashraf ikut senyum, tapi nampak kelat sekali.
“Kenapa dia tak propose you lagi? Dah berapa lama
bercinta?”
“Kami dah in a relationship dalam 2 tahun macam
tu. Sebelum ni, kami kawan baik je. I pun tak tahu kenapa dia
masih tak propose I. Bila I tanya, dia cakap nak tunggu kita
orang habis study dulu. Tunang pun tak nak. I dapat rasa ada
sesuatu yang lain yang dia sembunyikan daripada I.”
Ashraf hanya diam. Dia tak nampak terkejut pun bila
mendengar kata-kata Zara.
“You tak payah risaulah. Sooner or later, mesti
Taufik akan lamar you jugak. Kalau dah jodoh, tak ke mana.
Apatah lagi, dia memang betul-betul cintakan you.”
Zara pandang Ashraf pelik. Kedutan di dahinya
kelihatan.
Ashraf mengangkat keningnya.
“Kenapa you pandang I macam tu?”
“Macam mana you tahu nama dia Taufik? Dan macam
you tahu yang Taufik betul-betul cintakan I? You kenal dia
ke?” Zara bertanya soalan perangkap.
Wajah Ashraf berubah. Tapi cepat-cepat tayang muka
selamba kembali.
“Tadikan you ada call someone. You cakap I love you
bagai dan you ada sebut nama Taufik. Sebab tulah I tahu nama
dia Taufik. Dan I agak je yang dia betul-betul cintakan you.
Sebab you senyum je masa cakap dengan dia tadi. Lelaki, bila
betul-betul cintakan seorang perempuan, dia akan sentiasa
buat perempuan tu tersenyum. So, yeah.”
Zara senyum. Dia yakin sangat yang dia tak ada
menyebut nama Taufik semasa berbual tadi. Dasar penipu!
“You nampak macam berpengalaman. Bertuah isteri
you. Mesti you sentiasa buat dia bahagia dan senyum, kan?”
“Well, not really.” Pendek jawapan Ashraf. Air muka
bertukar sedikit keruh.
“Kenapa pulak? You tak sayangkan isteri you ke?”
Zara terus mengasak.
Ashraf hela nafas. Lalu senyum. Pahit.
“I tak boleh beritahu you tentang perasaan sebenar
I pada dia.”
“Kenapa pulak?”
Mata Ashraf menentang pandangan Zara.
“Sebab perasaan I dah tak penting. I dah banyak
sakitkan dia. And I shall not be forgiven for that,” ujar Ashraf
mendatar.
Zara tergamam. Renung muka Ashraf yang
muram. Nampak kedukaan di sebalik sinar mata lelaki itu.
Zara mengalih pandangan ke luar tingkap seketika. Cuba
tenangkan hati sendiri. Tak lama sebelum dia melihat Ashraf
semula.
“I’m sorry. I shouldn’t be asking you that. So,
dah berapa lama you dekat Manchester? Dah jalan-jalan ke
mana?” Zara menukar topik perbualan.
“Empat hari. I tak pergi banyak tempat sangat pun.
Tapi stadium semua tu, I pergilah.”
‘Hmm, dasar penipu! 4 hari kau cakap? Dah 3
minggu kau kantoi stalk aku, berani kau cakap baru 4 hari!’
kutuk Zara dalam hati.
Bas berhenti di hentian berdekatan dengan University
of Manchester. Zara resah. Aduh, dah sampailah pula. Jam
di tangan dilihat. Pukul 1.30 petang. Kalau betullah Ashraf
pulang malam ni, maksudnya tak mungkin dia akan bertemu
dengan lelaki itu lagi. Tak! Dia tak boleh membiarkan lelaki
itu pergi sebelum tahu segalanya.
“Okeylah, I turun dulu ya. Bye, Ashraf.” Zara
sandang beg pada bahu. Kemudian dia melangkah turun dari
bas. Sempat mereka berbalas senyum sewaktu Zara berdiri di
tangga.
Turun saja dari bas, titis-titis hujan membasahi
baju yang dipakai oleh Zara. Dia memeluk tubuh,
berjalan lambat-lambat ke arah universiti. Sengaja dia tak
mengeluarkan payung dari dalam beg. Sebab Zara yakin
yang...
Sekaki payung tiba-tiba memayungi kepalanya. Zara
toleh ke sebelah. Ashraf senyum nipis.
“I tolong hantar you sampai ke kelas. Nanti kalau
you basah, susah pulak nak belajar.”
“I tak menyusahkan you ke?”
Ashraf menggeleng.
“This is the least I can do for you. Anggap sajalah
pertolongan dari seorang kawan yang entah bila you akan
jumpa lagi lepas ni.”
Zara senyum. Setakat ini, rancangannya berjalan
lancar.
Ashraf memayungi Zara sepenuhnya. Tapi sebelah
tubuhnya pula yang basah dek terkena hujan. Nampak sangat
yang dia cuba mencipta jarak agar tak berdiri terlalu dekat
dengan gadis itu.
Zara menarik lengan baju Ashraf ke arahnya. Bahu
mereka sampai berlaga.
Ashraf terkelu.
“Nanti kalau I tak basah, you pulak yang basah,” ujar
Zara.
Ashraf hanya diam. Matanya dan Zara saling
bertentangan. Seakan ada sesuatu yang dia mahu ucapkan
tetapi tak terluah.
“Kenapa you pandang I macam tu?”
“Tak adalah, cuma keadaan kita sekarang. Berkongsi
payung yang sama masa tengah hujan, ingatkan I tentang
seseorang.”
“Siapa?”
Ashraf hanya senyum. Pahit.
“You nak ikut I pergi somewhere tak, Ashraf? Tempat
favorite I yang I selalu lepak?” Tiba-tiba Zara bertanya.
“Sekarang?” soal Ashraf tak percaya.
Zara mengangguk.
“Habis, kelas you?”
“Bila dah hujan macam ni, I pun dah tak rasa nak ke
kelas. Malas. So, shall we?”
Ashraf diam seketika sebelum mengangguk sambil
tersenyum lebar.
No comments:
Post a Comment