DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 4

SEBAIK sahaja melabuhkan punggung di kerusi,
Neil memusingkan kerusi menghala ke jendela kaca. Helaan
nafas panjang kedengaran. Dia cuba menenangkan fikirannya
yang berkecamuk saat ini.
‘Pergi suruh Abang Neil tu cari perempuan
lain asalkan dia tak kacau aku lagi!’
Neil terdengar kata-kata Alia sebelum gadis itu
berlalu pergi. Betapa Alia benar-benar membencinya dalam
diam.
Cuaca redup itu membuatkan pandangan Neil terus
ke taman yang bertentangan. Sejak bekerja dia hospital
swasta itu kira-kira 2 tahun yang lalu, taman yang indah
itulah tempat yang paling dia gemari. Gelagat pesakit dan
pelawat yang berada di taman itu benar-benar menghiburkan
hatinya. Dia pasti terlupa dengan masalah yang dihadapi.
“Assalamualaikum.”
Neil terus berpaling apabila mendengar suara Irfan.
Temannya itu sudah melangkah masuk ke dalam pejabatnya
tanpa disuruh.
“Busy ke?” soal Irfan.
“Tak adalah. Biasa aje,” jawab Neil.
Irfan terus duduk di hadapan Neil.
“Dr. Bakar beritahu, kau terlibat dalam operation
Datuk Omar. Betul ke?”
“Ya, aku ganti Dr. Hashimah,” balas Neil.
Wajah Irfan berubah ceria.
“Tak sangka kita berada dalam bilik pembedahan
yang sama.”
“Kau suka?”
Irfan mengerut dahi apabila mendengar pertanyaan
berbaur usikan itu.
“Tentulah suka. Dah lama kita tak bekerjasama.”
“Walaupun aku yang handsome ni akan lebih
menyerlah daripada kau?”
Neil tersengih apabila melihat Irfan mempamerkan
reaksi meluat.
“Barulah nampak ceria sikit. Dah beberapa hari aku
tengok muka sedih kau, macam orang ada banyak masalah.”
“Muka sedih sekali-sekala pun salah ke?”
“Tak adalah salah. Cuma buat orang risau sebab kau
jarang sedih.”
“Janganlah risau. Aku cuma penat,” jawab Neil
perlahan.
“Cuma penat aje? Bukan sebab lain?” duga Irfan lagi.
Neil menghela nafas panjang, kembali termenung
seketika. Jika diberi pilihan, dia lebih rela menyimpan
masalahnya sendirian. Lagipun dia bukannya budak-budak
lagi hendak berkongsi masalah cinta dengan orang lain.
“Apa yang korang berdua bincangkan?” celah Hairi
seraya melangkah masuk ke dalam bilik Neil. Tanpa dipelawa,
dia terus duduk bersebelahan dengan Irfan.
“Aku tengah tunggu Neil cerita masalah dia,” ujar
Irfan.
Hairi turut menunjukkan minat.
“Kenapa dengan kau, Neil? Ada masalah ke?”
“Memang aku tengah pening fikirkan hal ni,” balas
Neil perlahan. Dia tahu tiada gunanya dia berahsia kerana dia
sendiri juga yang akan menanggung sakit kepala.
“Ceritalah...” gesa Hairi. Dia tidak sabar hendak
mendengar butir bicara yang akan keluar daripada mulut
Neil. “Takkanlah dengan kawan sendiri pun nak berahsia?”
Pandangan Neil beralih ke arah Irfan dan Hairi.
Jika digabungkan nama mereka, bunyinya seperti Irfan
Khairi, seorang jutawan Internet yang terkenal. Irfan dan
Hairi di hadapannya pula merupakan kawan yang suka
sangat mengusik. Tak padan dengan doktor, perangai macam
budak-budak. Tapi baik atau buruk sekalipun, dia harus
berterus terang dengan mereka kerana mereka juga yang
lebih memahami dirinya.
“Pada pandangan korang berdua, aku ni teruk sangat
ke?” soal Neil.
“Kenapa kau tanya macam tu? Bagi aku kalau
bab kerja, kau memang terbaik,” jawab Irfan. Lahir dalam
keluarga doktor, Neil bukan sahaja mewarisi kehebatan Dr.
Zulkifli dan Datuk Dr. Hamid, malah Neil juga ada kelebihan
tersendiri.
“Bukan pasal kerja, tapi sebagai seorang lelaki,”
balas Neil.
“Kenapa? Kau patah hati asyik kena reject dengan
awek?” Irfan menduga.
“Takkanlah tak patah hati...” keluh Neil.
“Aku rasa awek tak suka lelaki macam kau ni. Tapi
lelaki macam aku, suka. Dahlah muka handsome, badan
sado. Hati cair kalau dapat peluk, dapat kiss...” usik Hairi.
Neil mengeluh panjang apabila mendengar usikan
Hairi. Lebih-lebih lagi apabila Hairi memuncungkan bibirnya
minta dicium.
“Apalah malang nasib aku... dahlah kena reject,
dapat pula kawan macam ni.”
Hairi ketawa terbahak-bahak sebelum disambut oleh
tawa Irfan. Macamlah Neil tidak tahu Hairi itu lelaki tulen,
bukannya golongan songsang.
“Siapa kali ni? Ceritalah sikit,” gesa Hairi.
“Jangan buat-buat tanya, aku ni bukannya playboy.”
Terbeliak mata Irfan apabila menyedari siapa yang
Neil maksudkan. Benarkah gadis tersebut? Dia berasa tidak
sabar inginkan kepastian.
“Alia?”
Lemah sahaja riak wajah Neil tatkala mengangguk.
Reaksi Neil membuatkan Irfan dan Hairi saling
berpandangan sebelum ketawa berdekah-dekah. Neil memang
pandai membuat lawak.
“Betul ke kau ni serius dengan Alia?” soal Hairi.
Neil membalas dengan jelingan tajam. Dia berasa
geram kerana mereka mentertawakannya di saat hatinya
penuh dengan rasa bimbang.
“Kau betul-betul dah fikir panjang?” soal Irfan
dengan sisa tawanya. “Kau dah check ke otak kau normal ke
tak? Mana tahu kalau ada mana-mana suis tercabut?”
“Aku setuju sangat. Baik kau pergi check betul-betul.
Suis yang tercabut kena cepat-cepat dibetulkan. Manalah
tahu jadi penyebab kau gila.” Hairi pantas menyokong.
“Korang berdua ni memang tak boleh diharap. Aku
ni masih waras lagilah!”
Tawa Irfan kembali rancak melihatkan Neil yang
benar-benar marah.
“Manalah aku tak gelakkan kau... Alia tu dah jadi
keluarga kau sendiri. Aku tak fahamlah macam mana kau
boleh terpikat dengan Alia? Dalam ramai-ramai perempuan,
dia yang jadi pilihan kau.”
“Apa salahnya kalau aku dengan dia? Bukannya
muhrim pun.”
“Memanglah kau dengan Alia bukan muhrim,
sah kalau nak kahwin. Tapi dah jadi tunggang terbalik aku
tengok.” Irfan segera membalas.
“Betul tu,” sokong Hairi.
“Mana ada tunggang terbalik? Normal aje aku
tengok,” sangkal Neil.
“Normal apa macam tu? Alia tu adik kembar
Rayyan. Dahlah abang ipar kau tu lebih muda daripada kakak
kau. Malah lebih muda daripada kau. Kalau Alia kahwin
dengan kau, dia dan Rayyan akan berkongsi mentua. Bila
masing-masing ada anak nanti, hal ni akan jadi lebih pening
kepala,” ujar Irfan.
Keluhan panjang kedengaran daripada mulut Neil.
Selama ini dia tidak pernah terfikir akan hal itu.
“Dah hati aku suka kat dia, nak buat macam mana?”
“Dia reject terus atau masih ada talian hayat?” Irfan
enggan berkeras lagi.
“Entahlah... dia tu complicated sikit.”
“Kau sendiri beritahu yang kau sukakan cabaran,”
Hairi segera mencelah.
Neil mengeluh perlahan.
“Tapi tak adalah yang complicated macam ni.”
“Sabarlah. Mungkin dia perlukan masa,” pujuk Hairi
pula.
Neil hanya mampu tersenyum nipis. Sudah lama
dia menunggu agar diberi peluang, namun reaksi Alia tetap
negatif. Entah apa kurangnya dia di mata Alia sehingga
ditolak mentah-mentah. Mungkin dia perlu lebih berusaha
untuk menambat hati Alia.
“Janganlah putus asa. Alia tu dahlah cantik, kulit
putih bersih dan leher jenjang. Bentuk badan pun seksi gila.
Untung tau siapa yang dapat dia,” ujar Hairi.
Irfan tersenyum mendengar pujian itu. Dia
turut bersetuju dengan pendapat Hairi tentang Alia. Jika
bergandingan dengan Neil, mereka nampak sama cantik dan
sama padan.
Neil membalas dengan renungan tajam. Dia berasa
kurang senang mendengar pujian Hairi yang berlainan
cabang. Tadi bukan main mengutuk dia gila.
“Janganlah salah faham. Aku cuma bagi pendapat
sebagai lelaki.” Hairi tersengih apabila renungan Neil
menikam ke wajahnya. Siapa yang tidak cemburu mendengar
pujian seperti itu? Sekali-sekala seronok juga mengenakan
Neil.
“Buat apalah kau nak pening kepala? Kau cuma kena
tahu apa kesukaan dia, minat dia... barulah kau boleh tawan
hati dia,” ujar Irfan.
“Tapi dia tak ada apa-apa minat. Maksud aku tak ada
benda yang betul-betul dia suka selain kerja, buku dan duduk
kat rumah.”
“Kau dah tanya Rayyan?” soal Hairi.
“Rayyan suruh aku tanya Alia sendiri,” balas Neil.
Hatinya berasa geram apabila Rayyan enggan bekerjasama.
Kononnya dia harus belajar mengenali Alia dengan sendiri.
“Dah selidik FB, IG dia?” Hairi bertanya lagi.
“Dah berbulan tak update. Dah bersawang pun.”
“Kenapa kau tak tanya aje dengan dia?” soal Hairi.
“Dia bukan senang nak kongsi apa-apa dengan aku,”
keluh Neil. Dia tahu Alia tidak mudah berkongsi hal peribadi
dengan sesiapa termasuklah dia.
Hairi teruja mendengarnya.
“Menarik kisah kau ni. Bercinta dengan gadis
misteri.”
“Eloklah misteri supaya kau gigih sikit. Perempuan
baik macam dia tu bukan senang nak cari zaman sekarang ni.
Kalau yang gedik tu, kau petik jari aje dia dah datang. Esok
lusa dia gedik dengan lelaki lain, baru padan dengan muka
kau. Aku nasihatkan, dah alang-alang cinta, jangan putus asa
dengan dia,” Irfan memberi kata-kata semangat.
“Takkanlah aku nak putus asa. Aku percaya suatu
masa nanti dia akan terima kehadiran aku,” balas Neil penuh
yakin.

No comments:

Post a Comment