JAM yang tertera pada telefon bimbit menunjukkan
pukul sebelas pagi. Sengaja aku biarkan alarm tidak
berbunyi. Aku perlukan rehat yang cukup selepas melalui
hari yang memenatkan semalam. Mujur hari ini aku cuti
dua secara serentak. Cuti sakit dan cuti solat. Memang aku
sudah merancang untuk bangun sedikit lewat. Maklumlah
bukannya selalu dapat bermalasan macam ni.
Aku meregangkan otot-otot di tubuh badan sambil
mencapai kembali telefon bimbit. Ada sepuluh missed call.
Aku tidur ke mati ni? Langsung tidak sedar. WhatsApp
daripada Haneez aku buka.
Mesej pertama...
Arissya, lunch nanti kau nak makan
apa? Aku hantarkan. Aku call
banyak kali tak jawab.
Mesej kedua.
Aku tapau apa je, eh? Kau ni tak
bangun lagi ke? Hello, macam
berkomunikasi dengan dindinglah.
Aduhai...
Mesej ketiga.
Bangunlah, mak cik!!! Kunci aku
tertinggal kat ofis. Aku dari luar ni,
tak sempat nak singgah ofis ambil
kunci. Nanti kau buka pintu, eh?
Pintu pagar aku tak kunci. Dalam
pukul 12 aku sampai.
Alamak lagi empat puluh lima minit Haneez akan
sampai. Segera aku melompat turun dari katil dan menuju
ke bilik air.
SELUAR JEAN ketat paras lutut berwarna biru cair dan
baby-T berwarna putih kusarungkan ke tubuh. Rambut lurus
melepasi bahu diikat tinggi dengan gaya pony tail. Leherku
yang agak terdedah aku semburkan dengan haruman Gucci
Flora yang baru dibeli minggu lepas. Aku tersenyum sendiri.
Di luar rumah haram untuk mengenakan pakaian sebegini.
Kalau di dalam rumah bolehlah melaram habis-habisan.
Puas menilik penampilan sendiri di dalam cermin,
aku bergerak menuju ke dapur. Tekak terasa dahaga, perut
pun sudah bernyanyi-nyanyi riang minta diisi. Tanganku
pantas membuka peti ais. Beberapa biji buah pear menjadi
minat mataku. Sedap juga ni. Nasib baik luka di tangan
sudah beransur kering dan membolehkan aku menanggalkan
balutannya. Senang sikit nak makan dengan tangan yang
sudah tidak berbalut. Sebiji pear sudah berada di dalam
genggaman aku.
Aku duduk di sofa sambil menonton televisyen.
Bosannya rasa. Lebih elok pergi kerja daripada kebosanan di
rumah seperti ini. Selalu apabila hari cuti, Haneez ada sekali.
Kalau sudah duduk berdua dengan dia, tak sempat nak rasa
bosan langsung. Tanpa sedar aku mengukir senyum sendiri.
Macam manalah hidup aku bila Haneez sudah berkahwin
nanti?
Tiba-tiba terngiang cadangan Haneez semalam.
‘Apa kata kau pun kahwin?’
Apa aku merepek ni? Astaghfirullahalazim...
Ting tong...
Kedengaran loceng rumah berbunyi. Haneez takde
call pun beritahu dah sampai? Tapi kalau dia call pun,
bukannya aku dengar. Telefon bimbit aku charge dalam bilik.
Membebel panjanglah mak cik seorang tu nanti. Pekakkan
telinga jelah. Terus aku bergerak ke pintu. Mana pula kunci
rumah ni? Sebelah tanganku masih memegang buah pear
yang sudah dimakan separuh.
Pintu kayu kubuka dari dalam.
“Kau tolong pegangkan ni kejap. Aku nak ambil
kunci dalam laci.” Tanpa melihat ke hadapan, aku terus
menghulurkan buah pear di tanganku.
Aku sibuk mencari kunci di dalam laci bersebelahan
dengan pintu. Setelah berjaya menjumpai segugus kunci
rumah, aku mengangkat wajah dan memandang ke depan.
Tiba-tiba jantungku terasa mahu gugur! Mulut terkunci
rapat. Aku berdiri tegak dan tidak berganjak.
Azriel memandangku tidak berkelip. Aku juga
begitu. Diam, kaku dan kelu.
Lama kami berkeadaan seperti itu sebelum Azriel
cuba melenyapkan kesunyian yang melanda di waktu ini.
“Arissya, you masuk dulu. Bersiap. I tunggu dekat
kerusi luar ni.” Azriel melarikan pandangan matanya dan
melangkah meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.
Seolah-olah baru tersedar daripada khayalan yang
panjang, kaki terus melangkah laju menuju ke dalam bilik.
Tangan naik melekap di jantung yang berdegup laju. Malunya
aku! Kenapa tak tengok dulu siapa yang datang tadi?
Segera aku mendapatkan telefon bimbit. Ada
empat missed call daripada Haneez. Mungkin dia cuba
menghubungiku untuk memaklumkan kedatangan Azriel.
Aku mengetuk kepala sendiri.
Malu! Malu! Malu!
Sekali lagi aku berdiri di hadapan cermin. Aduhai,
seksi kut! Kepala aku tergeleng beberapa kali menyesali
kecuaian sendiri. Nak salahkan siapa? Sila salahkan diri
sendiri ya Arissya, oi!
Relaks... Cool... Buat macam takde apa yang jadi.
Buat muka bodoh je. Jangan cakap apa-apa pun pasal tadi.
Tutup cerita.
Tarik nafas...
Lepas...
Tarik...
Lepas...
Apabila yakin diriku sudah berada di dalam keadaan
tenang, tanpa membuang masa aku berlalu ke almari pakaian
kerana tidak mahu membiarkan Azriel menunggu lama di
luar. Lalu aku terus menukar seluar panjang. Cardigan dan
tudung aku sarung dengan pantas sebelum berlari ke luar.
Tepat seperti sangkaanku, kedatangan Azriel ke sini
adalah untuk menghantar makanan. Ada bungkusan di atas
meja kecil itu.
“Sorry buat you tunggu lama,” tegurku sebaik sahaja
berdiri di hadapannya.
Azriel yang terlalu asyik menghadap telefon bimbit
di tangannya sedikit pun tidak memandang ke arahku.
Mulutnya pula sedang mengunyah baki pear kepunyaan aku
tadi. Biar betul dia ni! Makan lebihan aku? Kira sama macam
kami berkongsi makanan?
Sumpah berganda-ganda malu yang aku rasa. Saat
ini wajahku terasa kebas yang amat. Kenapa bila berdepan
dengan Azriel selalu terjadi perkara yang memalukan? Bukan
sekali, bukan dua kali tetapi sudah berkali-kali.
“Ehem...” Menyedari yang Azriel masih lagi leka
seperti tidak menyedari kehadiranku, aku cuba menarik
perhatiannya dengan berdeham.
“Eh, I tak perasan you dah ada kat sini. You ada cakap
apa-apa ke tadi?” soalnya.
“Mana nak perasan kalau mata macam nak terkeluar
tembus ke skrin telefon tu. I cakap sorry buat you tunggu
lama,” ulangku sekali lagi.
“Takde apalah, saja stalk kawan-kawan lama kat
Instagram ni. I yang patut minta maaf dengan you. I nak
datang sini tak inform you dulu. Sebenarnya tadi I called
Haneez beritahu nak hantar kereta you. Then Haneez
minta tolong bungkuskan makanan untuk lunch you. Dah
alang-alang I nak hantar kereta you, so I tolonglah Haneez
belikan makanan untuk you sekali. That’s why I yang ada
kat sini, bukan Haneez.” Azriel menjelaskan kepadaku
duduk perkara yang sebenar. Tidak mahu aku tertanya-tanya
barangkali.
Jaga kau Haneez! Balik nanti aku kenakan kau!
Seronok sangatlah tu jadi match maker.
“Oh I see... You dah makan?” Aku cuba menghilangkan
rasa janggal. Perasaan malu masih menebal di dalam diri.
“Belum lagi,” balas Azriel.
“Mesti you lapar, kan?” tanyaku lagi.
“Never mind. Lepas ni I boleh singgah makan dekat
mana-mana. You pergilah makan. Nanti masuk angin perut
tu. I tapaukan lauk je. Haneez cakap you dah masak nasi.”
“You nak teman I makan tak? I ada masak nasi lebih.
Sepatutnya I makan dengan Haneez, tu yang I masak nasi
banyak.” Apa salahnya pelawa Azriel makan. Lagipun dia telah
bersusah payah menolong aku.
“Tu pun kalau you tak kisahlah makan dekat luar
ni. Sorry I tak boleh nak ajak you dalam masuk rumah. You
faham, kan?” sambungku.
“Ya, I faham. Betul ke you ajak I makan sekali ni?
My mum selalu pesan rezeki jangan ditolak. Oh... by the way
Arissya, pear tadi I dah habiskan.” Ada tawa di hujung ayatnya
itu.
“Errr, takpe. Kejap ya. I masuk hidangkan lauk dan
nasi.” Cadangnya nak buat-buat lupa pasal pear tu tapi Azriel
dah sebut pula. Bukan apa, aku segan.
“Take your time. I tak rushing pun.” Azriel membalas
SELEPAS MAKAN, Azriel meminta diri untuk beredar. Kunci
keretaku dipulangkan semula. Dalam sepuluh minit lagi
rakannya akan datang menjemput di sini.
“Arissya, I nak cakap dengan you sikit ni.”
“Errr, apa dia?” Aku memberi perhatian kepada
perkara yang bakal diperkatakan oleh Azriel. Nampak seperti
serius.
“Pasal tadi.”
Tiba-tiba wajahku kembali berbahang. Kelu lidah
untuk berkata. Kalau boleh aku tidak mahu berbincang
mengenai auratku yang secara tidak sengaja dipertontonkan
kepadanya sebentar tadi. Sungguh aku rasa tidak selesa.
Sejujurnya aku mahu melupakan hal itu. Cuba untuk
menganggapnya seperti tidak pernah terjadi.
Melihatkan aku yang cuma diam, Azriel menyambung
bicara.
“I know you are not comfortable to talk about this. I
already seen something that I shouldn’t have. You have to be
more careful. Please...” Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
Perlahan-lahan aku memandang ke arah Azriel.
Redup matanya menikam pandanganku.
“Arissya... I ni bukanlah baik sangat nak menasihati
orang lain. Tapi I rasa bertanggungjawab untuk tegur you.
Jujur I cakap, you memang cantik. Memang bergetar naluri I
masa ternampak you tadi. I ni lelaki normal, nasib baik iman
masih kuat dalam diri. So please, kalau I pun boleh tergugat
tengok you tadi, I tak dapat bayangkan kalau datang orang
yang memang ada niat tak baik pada you, apa akan jadi?”
Rasa sebak mula bertandang di dalam hati.
Azriel memang seorang yang prihatin. Sedikit pun dia
tidak mengambil kesempatan di atas kejadian tadi. Aku
mengangguk dan tersenyum kepadanya. Dah kenapa dengan
aku ni? Macam orang dah takde suara pula.
“Tapi kan, seriously you memang cantik. Comel
sangat tau!” Sengaja dia nak mengusik aku bersama kenyitan
di matanya.
“Tulah you, I minta nombor telefon tak nak bagi.
Kalau tadi I dapat call you sendiri mesti I tak akan tengok
apa yang tak sepatutnya, kan?” Azriel masih lagi berseloroh.
“You jangan eh nak perli-perli I. Please jangan cakap
pasal tu lagi. I malulah, you...” Aku memalingkan wajah ke
tepi.
“I nampak muka blushing you tu. Comel!”
“Azriel, you ni pun satu. Kalau sekali minta I tak bagi
tu, usahalah sikit. Put more effort, man. Cepat putus asalah
you ni.” Aku ketawakan dia.
“Amboi sedapnya mengata I, eh? I bukan apa, tak
naklah nanti you cakap I ni suka mendesak.”
Jawapannya sangat memuaskan hati aku. Bagus,
jenis lelaki yang tidak suka mendesak. Satu bintang untuk
itu. Bingo!
Sebuah kereta berhenti di hadapan pagar. Tentunya
rakan Azriel sudah sampai untuk menjemputnya pulang ke
pejabat.
Sebelum melangkah dia bersuara lagi.
“Arissya...”
“Hmmm?” Aku pandang wajahnya.
“Pinjam telefon sekejap.”
Bagaikan dipukau, tanpa memikirkan apa-apa aku
hanya menurut dengan menghulurkan telefon bimbit di
tangan kepada Azriel. Aku nampak dia menaip sesuatu.
Kemudian telefon bimbit bertukar tangan semula.
“I dah save nombor telefon I. Bila-bila you rasa nak
contact I, sangat dialukan-alukan.”
Wah, tindakan yang terlebih advance. Baru kena
cabar sedikit sebentar tadi, dah mulakan langkah. Ego lelaki!
“Assalamualaikum, bye.”
“Assalamualaikum, bye.” Azriel terus masuk ke
dalam kereta. Tingkap kereta diturunkan.
“Waalaikumussalam. Bye and thanks again,”
sahutku.
Laju jariku aku menaip mesej.
Thanks again, Mr. Azriel.
Hariku pun mula berbunga-bunga indah dan berlagu
ceria...
No comments:
Post a Comment