DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 4

CAHAYA putih menerobos masuk ke mata Zara.
Perlahan-lahan matanya dibuka. Dalam keadaan mamai, dia
bangun dari perbaringan. Memerhati sekeliling.
‘Ni bilik aku. Macam mana aku boleh ada di sini?’
ujar Zara dalam hati.
Dia cuba ingat kembali apa yang berlaku sebelum dia
pengsan.
“Maafkan aku.”
Kata-kata Ashraf terngiang-ngiang di telinganya. Ya,
Ashraf! Apa yang dah jadi pada dia? Zara cepat-cepat bangun
dari katil dan menuju ke pintu. Baru saja mahu pulas tombol,
pintu bilik sudah ditolak ke dalam terlebih dahulu dari luar.
Aiman muncul di depan Zara.
“Zara nak pergi mana ni?” soal Aiman serius.
“Tadi Ashraf ke yang hantar Zara balik?” Zara
membalas pertanyaan dengan pertanyaan.
Aiman mendengus kasar.
“Macam mana Zara boleh jumpa dengan budak tu?”
soal Aiman perlahan. Tetapi dari nada suaranya Zara sudah
tahu, abangnya itu sedang menahan marah.
“Zara baru jumpa dengan dia tadi. Kenapa? Abang
kenal ke dengan Ashraf?”
“Sudahlah Zara! Tak payah cakap lagi pasal budak
tu!” Nada Aiman meninggi.
“Mulai sekarang, abang dah tak nak Zara sebut lagi
nama dia. Lupakan pertemuan Zara dengan dia. Lupakan
segalanya!”
“Tapi...”
Belum sempat Zara menghabiskan kata-katanya,
Aiman sudah berjalan keluar dari bilik. Dia berpaling setelah
menapak beberapa langkah.
“Dan Zara jangan berani nak lari ikut tingkap lagi.
Kalau Zara buat lagi, abang letak jeriji dekat tingkap tu!”
Zara mengetap bibir. Pintu ditutup agak kuat
sebelum melangkah ke katil. Dia melihat jam di dinding.
Jarum jam menunjuk ke angka 9. Tengok keadaan di luar
yang cerah, sekarang mesti sudah pagi.
Zara menghempaskan diri ke atas katil. Dia
merenung siling dengan pandangan kosong.

“APA YANG Aiman nak buat sekarang?” soal Mak Cik Saniah
kepada Aiman. Dia tahu yang Aiman serabut apabila Ashraf
tiba-tiba muncul kembali dalam kehidupan mereka. Mak Cik
Saniah sendiri terkelu apabila Ashraf muncul di depan rumah
mereka semalam sambil mengendong Zara yang pengsan.
Air matanya menitis kala itu juga dan tubuh Ashraf
terus dipeluk. Walau apa yang dilakukan Ashraf dulu kejam,
tapi kasih sayangnya pada anak yang pernah diasuhnya itu
tidak pernah luntur.
Makin laju air mata Mak Cik Saniah melihat bibir
Ashraf yang pecah gara-gara ditumbuk Taufik. Disebabkan
itulah, dia menyuruh anak itu segera pergi dari situ sebelum
Taufik dan Aiman pulang daripada mencari Zara. Kerana
dia tidak sanggup melihat anak asuhannya itu terluka lagi.
Selepas Ashraf pergi, barulah Mak Cik Saniah menelefon
Aiman untuk memberitahu keberadaan Zara.
Aiman berdiri membelakangi Mak Cik Saniah.
Meraup rambut ke belakang. Pandangan kosong dilemparkan
ke luar tingkap. Pokok yang merimbun kehijauan di halaman
rumah, tampak begitu bersinar sekali tatkala terkena
pantulan cahaya matahari. Tetapi sayang, pemandangan yang
indah itu tidak mampu untuk menenangkan hati dia yang
walang. Keluhan panjang terkeluar dari mulutnya.
“Aiman pun tak tahu nak buat apa, mak cik. Aiman
pun tak tahu apa yang dia nak. Apa yang lebih menakutkan
Aiman, apa yang dia dah beritahu pada Zara. Aiman tak nak
Zara terluka lagi, mak cik.”
“Beritahu apa, bang?”
Suara Zara yang muncul secara tiba-tiba di ruang
tamu itu mengejutkan Aiman dan Mak Cik Saniah. Lidah
masing-masing terkelu, sementara otak terus memproses
ayat yang sesuai untuk dikatakan kepada Zara.
“Eh, Zara. Apa yang Zara buat kat sini? Zara nak
makan ke? Biar mak cik siapkan, ya.” Mak Cik Saniah cuba
mengalih topik perbualan seraya cuba menarik Zara ke dapur.
“Jangan nak berdolak-dalik lagi, abang, mak cik.
Zara dah dengar segala-galanya. Apa yang abang takut sangat
Ashraf beritahu Zara tu? Apa yang abang dan mak cik cuba
rahsiakan daripada Zara?” tanya Zara bertalu-talu. Matanya
berselang-seli memandang muka Aiman dan Mak Cik Saniah.
“Sudahlah Zara. Lupakan je segala-galanya! Lelaki tu
bukan sesiapa dalam hidup kita. Lupakan dia!” Aiman berkata
dengan nada suara yang tegas. Kala dia mahu memanjat
tangga ke tingkat atas, Zara tiba-tiba bersuara.
“Patutkah Zara yang pergi tanya pada Ashraf sendiri,
kenapa dia mengaku yang dia tu suami Zara?”
Kata-kata Zara membuatkan langkah Aiman terus
terhenti. Dia mengalih pandangannya ke arah Zara. Mak Cik
Saniah juga sampai terduduk di sofa.
“Ashraf tu... adalah salah satu ingatan yang Zara dah
lupa, kan abang? Zara pernah kenal dia sebelum ni, kan?”
Zara terus menyoal bertubi-tubi apabila pertanyaannya tidak
mendapat jawapan balas daripada Aiman dan Mak Cik Saniah.
Mak Cik Saniah dan Aiman saling berpandangan.
Mereka tahu, masanya sudah tiba untuk membongkar sejarah
silam Zara yang menyakitkan itu.

No comments:

Post a Comment