DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 22 October 2018

Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 9

Impian Resort & Spa
Sabtu, 23 November, 2 petang...

MATANYA mengerling ke arah beg bagasi
yang diletakkan di tepi meja. Malas menyelubungi seluruh
perasaannya. Nanti-nantilah, bukan sekarang. Saat itu
tubuhnya terasa penat. Dia tidak larat untuk mengemas. Dia
hanya mahu duduk tersandar di atas katil sambil menonton
televisyen.
Meskipun matanya tertumpu pada skrin TV bersaiz 40
inci itu, namun fikiran Amar melayang jauh. Banyak perkara
yang menyesakkan fikirannya. Perasaannya memang agak
terganggu. Sebab itulah dia datang ke sini. Dia benar-benar
inginkan ketenangan. Penuh berharap agar matanya bisa
dipejamkan sebentar meskipun hanya untuk sebentar cuma.
‘Ya Allah, tenangkanlah hatiku...’
Tiba-tiba nada bunyi daripada telefon bimbitnya
mengganggu tumpuan. Nama yang tertera pada skrin
mengocak jiwanya. Keluhan yang berat dihela. Seberat itu
juga butang menjawab ditekan. Sungguh, tanpa kerelaan
hatinya.
“Assalamualaikum,” ucap Amar.
“Waalaikumussalam. Boy kat mana tu?”
Nafas berat terus dihela.
“Kenapa mama?” soalnya, enggan menjawab soalan
itu.
“Kenapa Boy tak jawab panggilan mama?” soal Datin
Bibi dengan nada kesal dan marah.
Amar mengeluh lagi.
“Kan Boy dah jawab ni.”
“Ya, selepas 3 hari mama cari Boy!” nada tidak puas
hati itu masih kedengaran. “Mana Boy pergi? Mama cari Boy
di pejabat. Tapi, Boy tak ke pejabat!”
“Mama, Boy perlu masa.”
“Untuk apa?”
“Mama tahu untuk apa.”
“Sampai bila, Boy?”
“Tolonglah mama. Bagi Boy masa. Boy betul-betul
tak nak diganggu.”
Datin Bibi mendengus.
“Okey. Jadi, kat mana Boy sekarang?”
Amar menggeleng berat.
“Maaf, mama. Boy nak bersendirian. Bila hati Boy
dah tenang, Boy akan balik.”
“Jangan merajuk panjang sangat, Boy.”
Amar mengeluh hampa. Tiada siapa yang memahami
perasaannya.
“Tidak, mama. Tolong bagi Boy masa. Jangan ganggu
Boy dalam seminggu ni.”
“Baiklah. Kalau itu yang Boy mahu. Nanti Boy balik,
kan?”
“Ya, mama.”
“Janji?”
“Ya.”
“Okey. Mama sayang Boy.”
“Boy juga sayang mama,” kata-kata itu diucapkan
dengan hatinya yang tergores sakit. Mengapa wanita yang
paling dicintainya itu sanggup melukakan hatinya? Mengapa!
Amar memejam rapat kedua-dua belah kelopak
matanya. Kepedihan hatinya makin terasa. Pedih sungguh
pedih. Sudah penat dia memujuk hatinya. Namun seluruh
jiwanya terlalu tersinggung. Maruahnya sebagai lelaki seperti
dipijak-pijak.
‘Mengapa mama buat macam ni? Bukannya mama
tidak tahu yang Boy tak suka!’ Hatinya terus memberontak,
marah dan kecewa.
Dengan longlai dan lemah, akhirnya Amar duduk
tegak di atas katil itu. Terasa sakit seluruh sendi-sendi
tubuhnya. Jari-jemari tangan kanannya memicit-micit
tangan kirinya. Lenguh dan sengal masih terasa. Minda
dan tubuhnya penat dan lemah. Sengaja dia biarkan dirinya
berkeadaan seperti itu. Tidak peduli makan dan tidur.
Segala-galanya tidak menentu. Sudah seminggu dia begitu.
Pulau Impian...
Harapannya terlalu tinggi. Amar sudah tidak
tahu hendak lari ke mana. Dia tidak mahu diganggu.
Ketenangan perlu dicari untuk mengubat jiwa. Keresahan
dan kepedihan perlu diredakan. Justeru, di pulau inilah Amar
menyembunyikan diri. Tempahan 4 hari 3 malam diuruskan
sendiri. Setiausaha pejabatnya, Rohayu tidak perlu tahu ke
mana dia menghilang.
Stres! Kepalanya dipicit-picit sakit.
Tekaknya mula terasa dahaga. Mungkin hembusan
bayu pantai akan memberikan kesejahteraan untuk seluruh
perasaannya. Kemeja kain kapas yang tersarung pada
tubuhnya diperbetulkan sedikit. Disapu-sapu debu-debu
halus yang terlekat. Tangannya mencapai dompet di atas
meja.
Cermin di dinding direnung tajam. Imbasan
wajahnya kelihatan jelas. Matanya kelihatan agak merah.
Mungkin kerana penat dan tidak cukup tidur. Gaya rambutnya
yang lurus dan tanpa belahan dibetulkan menggunakan jari.
Wajahnya agak kusam dan tanpa senyuman.
Amar melangkah keluar dari unit chalet
berkembarnya itu. Baru beberapa langkah diayun, hampir
sahaja dia terlanggar seorang perempuan yang datang dari
arah berlawanan. Langkahnya terhenti mendadak. Kepalanya
didongakkan. Perempuan bertopi biru itu tersenyum simpul
memandangnya. Namun, senyuman itu tidak dibalas.
Perasaannya terlalu kusut. Amar sudah lupa akan
erti sekuntum senyuman. Rahang dan otot pipinya terlalu
penat untuk digerakkan. Biarlah. Tidak ada sebab untuk dia
tersenyum. Sama sekali tiada sebab!
Langkahnya diteruskan ke Bar Kasih, tanpa sedikit
pun rasa peduli.
Sewaktu dia melangkah menghampiri pintu masuk
Bar Kasih, kelihatan tidak ramai tetamu pusat peranginan
yang berada di dalam ruang tempat minum tersebut.
Mata Amar terpegun seketika. Ruang tempat minum
itu secantik foto yang dilihat sebelum ini. Latar kolam renang
infiniti serta pantai yang indah membiru, menghidupkan
suasana indah dan menakjubkan. Dalam kekusutan fikiran
yang tidak berkesudahan itu, mulut Amar ternganga sedikit
tanpa disedari.
Gabungan alam semula jadi ciptaan Tuhan dan reka
binaan ilham manusia, menghasilkan pemandangan yang
terlalu mengujakan. Langkah Amar terhenti di hadapan
ruang tempat minum itu. Matanya tertumpu pada kebiruan
yang terbentang luas di hadapannya. Lautan itu seperti
sebuah lukisan dengan tiga rona warna biru.
“Seorang sahaja encik?” suara penuh mesra menyapa.
Amar berpaling. Seorang pelayan lelaki sedang
tersenyum memandang wajahnya. Segera Amar mengangguk.
“Ya, seorang.”
“Silakan, encik. Boleh duduk di mana-mana sahaja,”
ujar pelayan lelaki itu dengan senyuman yang tidak putus.
Amar mengangguk lagi.
“Terima kasih,” ucap Amar sambil melangkah
ke salah sebuah meja. Tentunya meja yang berdekatan
dengan kolam renang menjadi pilihannya. Dompet di dalam
saku seluar diseluk keluar dan diletakkan di atas meja.
Punggungnya dilabuhkan pada kerusi besi berwarna putih.
“Encik nak minum apa?” soal pelayan lelaki tadi
sebaik sahaja Amar duduk.
“Kopi panas ada?”
“Ada. Encik nak oder makanan? Kek, mufin, roti?”
Kepalanya digeleng.
“Saya nak minum sahaja.”
Pelayan lelaki itu tersenyum lagi.
“Okey, encik,” balas pelayan lelaki tersebut,
meninggalkan Amar.
Pandangan Amar kembali ke arah kolam renang
infiniti di hadapannya. Tiada seorang pun pengunjung pusat
peranginan yang berada di dalam perut kolam. Mungkin
masih terlalu awal untuk mandi dan berenang. Tambahan pula
matahari masih lagi terik di atas kepala. Jam di pergelangan
tangan menunjukkan pukul 3.03 minit petang.
Tangan Amar meraba ke poket seluar. Terasa poket
seluarnya kosong.
‘Isy, mana pulak telefon ni?’ gerutu hatinya. Fikiran
Amar kusut kembali. Ligat otaknya cuba mengingat tempat
terakhir dia meletakkan telefon bimbitnya. ‘Tadi, mama
telefon. Lepas tu aku keluar bilik. Lepas tu aku datang sini.
Tertinggal kat bilik kut?’ bisik Amar dalam hati.
Pantas Amar bangun. Langkahnya menuju ke
pintu keluar. Namun pergerakannya terhenti seketika. Dia
bertembung dengan pelayan lelaki tadi.
“Kopi, encik?” sapa pelayan lelaki tadi yang sedang
menatang secawan kopi.
Amar tersenyum pahit.
“Nanti saya datang balik. Saya tertinggal telefon,”
balas Amar dengan wajah kelat.
Pelayan lelaki itu mengangguk faham.

No comments:

Post a Comment