DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 22 October 2018

Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 2

HATI Salmah runsing dan bimbang. Ingatannya
tidak putus-putus asyik teringatkan anak dara sulungnya.
Sejak 2 jam yang lalu, dia tidak berjaya menghubungi anak
kesayangannya itu. Entah mengapa, nombor yang didail tidak
berjaya dihubungi.
‘Apa khabar along agaknya? Ada ke tempat tinggal?
Dah makan ke dia?’ Pelbagai soalan terdetik dalam hati
Salmah. Ya, naluri keibuan menjadikan Salmah tidak keruan.
Meskipun dia hanya orang kampung, namun Salmah tahu
Kuala Lumpur bukanlah kota yang selamat untuk semua
orang. Bandar raya itu penuh dengan pancaroba. Terlalu
banyak kisah-kisah buruk yang dipaparkan di media massa
tentang kota raya itu.
Hati Salmah bertambah bimbang.
‘Kenapa Lana tak telefon mak?’ bisik hati Salmah
lagi.
“Mak tak dapat telefon along?” soal Laika, anak
bongsunya.
Lemah, Salmah menggeleng kepala.
“Entahlah usu... tak tahu kenapa mak tak dapat nak
telefon along,” keluh Salmah.
“Memang tak dapat?” soal Laika lagi.
“Haah. Nada terus putus, tak bersambung,” balas
Salmah.
“Agaknya along ada di luar kawasan kut? Mungkin
juga bateri dia habis,” Laika membuat andaian.
“Entahlah.” Sekali lagi Salmah mengeluh. “Mak
risau,” ujarnya lagi.
“Rasanya okey along tu. Kan along kata dia tumpang
rumah kawan baik dia masa di USM dulu.”
Kata-kata Laika itu tidak dapat menenangkan
perasaan Salmah.
“Mak tahu. Tapi mak tetap risau. Along tak pernah
ke Kuala Lumpur. Ini dah 2 malam dia kat sana. Mak takut.”
“Isy, mak ni,” Laika memotong kata-kata Salmah.
“Jangan cakap yang bukan-bukan. Doa mak, makbul. Lagipun
bukan ke semalam along dah telefon beritahu yang dia dah
selamat sampai kat rumah kawan dia?” ujar Laika lagi. “Esok
mak cuba lagilah telefon along. Usu rasa along dah tidur. Dah
pukul 12 tengah malam dah ni,” sambung anak bongsunya
itu lagi.
Lemah, Salmah mengangguk.
“Usu tidur dulu ya. Mak nak habiskan lipat kain
dalam bakul tu.”
Laika mengangguk.
“Mak jangan tidur lewat sangat dan jangan susah
hati. Usu yakin, esok along mesti telefon kita,” kata-kata
penenang tersebut diluahkan dengan senyuman.
Namun, hati Salmah tetap bimbang. Jika
diikutkan perasaannya, sama sekali dia tidak akan izinkan
Lana meninggalkan rumah mereka. Tidak mungkin dia
membiarkan Lana menaiki bas ke ibu kota yang penuh noda
itu. Salmah mahu anak-anaknya terus berada di sampingnya.
Ya, jika tidak kerana pujukan bersungguh-sungguh
Lana, Salmah pasti tidak benarkan.
“Mak, kalau along tak keluar dari pekan ni, ijazah
along tak ada makna. Along tak ada masa depan cerah kat
sini,” ujar Lana dengan riak wajah muram. “Lagipun mak
dah makin sihat. Setahun along tinggal dengan mak, along
jaga mak. Cuma sekali ni along minta sangat-sangat, mak
izinkanlah along pergi temu duga di Kuala Lumpur tu,”
pujuk anak sulungnya itu bersungguh-sungguh.
“Along... mak takut nak lepaskan along kerja
di Kuala Lumpur tu,” sejujurnya Salmah menyatakan
kebimbangannya.
Lana menatap wajahnya dengan sayu.
“Cita-cita along nak jadi wartawan, mak. Along
bukan pergi nak suka-suka atau berfoya-foya. Along nak
cari rezeki yang halal. Lagipun angah baru sebulan di UiTM.
Angah perlukan duit yang banyak. Usu juga sama, tahun ni
nak SPM. Mana kita nak cari duit lebih mak?” ujar Lana,
memujuk. Tangan Salmah dipegang erat. “Mak benarkan
along pergi ya?” pujuk Lana lagi.
“Along betul-betul nak pergi ke ni?”
“Ya, mak. Along nak sangat!”
“Along tak takut ke? Di Kuala Lumpur tu ramai
orang jahat.”
“Mak... orang jahat ada di mana-mana. Kat kampung
kita ni juga ada mak. Yang pecah rumah, kacau anak dara
orang, hisap dadah dan macam-macam lagi. Tak payah nak
cari di KL. Di mana-mana sama aje mak.” Anak gadisnya itu
masih belum berputus asa. Keinginan Lana kelihatan amat
tinggi.
‘Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Kalau aku
bantah, along pasti akan kecewa,’ bisik hati Salmah.
Nafas berat dilepaskan.
“Along kena janji dengan mak, along jangan tinggal
solat, jangan buat benda-benda tak senonoh dan kena selalu
telefon mak.”
Bersinar-sinar mata anak gadisnya itu.
“Maksudnya mak... bagi along pergi?”
Perlahan Salmah mengangguk.
“Along janji!” ujar Lana gembira. “Along takkan
tinggal solat, takkan buat perkara-perkara yang buruk dan
along juga akan selalu telefon mak.”
“Janji tau, along,” Salmah ingin mendengar janji
tersebut diulang sekali lagi. Kepastian itu amat perlu baginya.
Lana segera mengangguk.
“Ya, mak. Along janji. Along sayang mak,” ujar Lana
seraya memeluk erat tubuh Salmah.
Bibir Salmah tersenyum pahit mengingati perbualan
dengan anak sulungnya itu. Ya, harapannya terhadap Lana
terlalu besar. Anak sulungnya itu amat-amat diharap untuk
mengubah nasib keluarga. Namun, kala ini terdetik rasa
hampa dalam hatinya.
‘Bukan ke along dah janji nak telefon mak selalu?
Kenapa along tak tepati janji?’ bisik hati Salmah kecewa.
Kring... Kring...
Nada bunyi yang berkumandang membuatkan
Salmah tersenyum. Nama ‘Along’ terpapar pada skrin telefon
bimbitnya. Hati Salmah menjerit gembira.
“Mak!”
“Along.”
“Along dapat kerja tu mak.”
“Alhamdulillah, along.”
“Ya, mak. Along gembira sangat ni.”
“Along ada di mana? Kenapa mak telefon tak dapat?”
“Telefon along habis bateri. Mak jangan risau, ya.
Along duduk rumah Zeti, kawan baik along masa universiti
dulu,” jelas Lana.
Salmah menarik nafas lega.
“Along jaga diri ya. Selalu telefon mak,” pesan
Salmah.
“Mesti. Along akan selalu telefon mak. Along dah
kata banyak kali, mak jangan risau. Along akan pandai jaga
diri,” ujar Lana.
Salmah terus tersenyum lega.

No comments:

Post a Comment