DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 9

BAU asam pedas ikan tenggiri memenuhi ruang
dapur. Ikan yang masih segar dan manis itu menambahkan
kesedapan masakannya. Sudah lama dia tidak masak asam
pedas. Bukan hanya Rayyan menyukainya, malah kegemaran
Uncle Simon dan Auntie Susan. Alia memasukkan beberapa
potong ikan ke dalam bekas plastik lalu menuju ke rumah
Uncle Simon.
“Wah, sedapnya. Dah lama tak makan asam pedas,”
ujar Auntie Susan.
“Harap auntie dan uncle akan suka.”
“Mana pernah tak suka. Semua masakan Alia
sedap-sedap.”
Uncle Simon menjenguk di muka pintu apabila
mendengar perbualan mereka. Dia berasa gembira apabila
terbau asam pedas kegemarannya.
“You ni macam tau uncle dengan auntie teringin
makan asam pedas. Uncle baru aje nak pergi beli asam pedas,”
ujar Uncle Simon.
“Kebetulan aje, uncle. Lagipun dah lama tak masak.”
“Terima kasih. Kalau Alia yang masak, memang tak
cukup punya.”
Alia tersenyum cuma.
“Jangan risau. Alia masak banyak.”
“Tu... seorang lagi hantu asam pedas dah datang,”
usik Uncle Simon.
Lalu Alia terus berpaling. Ternyata benar Rayyan
sudah sampai. Senyuman Rayyan dibalas dengan senyuman
yang sama. Sempat Rayyan berbual dengan Uncle Simon dan
Auntie Susan sebelum mereka meminta diri.
Sebaik Alia masuk ke dalam rumah, dia hanya
membiarkan Rayyan memeluknya. Abangnya itu suka
menunjukkan kasih sayang dengan cara begitu. Apabila
Rayyan ingin mengucup pipinya, dia sedaya upaya cuba
mengelak. Namun Rayyan lebih pantas bertindak. Terasa
panas pipi Alia apabila ciuman kembarnya itu singgah di situ.
Hatinya geram melihatkan senyuman puas kelihatan di bibir
Rayyan ketika meleraikan pelukan.
“Kau ni cubalah berkelakuan senonoh sikit,” rungut
Alia. Dikesat pipinya untuk menghilangkan kesan ciuman
Rayyan.
“Cium pipi pun marah.”
“Kita kan dah besar. Tak selesalah kau buat macam
tu. Mujur orang tak nampak.”
Rayyan ketawa kecil.
“Aku peduli apa, kau tu adik akulah senget!”
“Kita kan lahir sama-sama. Bila masa aku jadi adik
kau?”
“Eh, buat-buat lupa pula. Kau lahir lambat, jadi kau
tu adik aku.”
Alia mencebik. Sekadar 2 minit lebih awal pun
dijadikan isu. Rayyan suka mengambil kesempatan atas
kelebihan yang dimilikinya. Jika dia yang dilahirkan 2 minit
lebih awal, tahulah Rayyan akan nasibnya. Setiap hari dia
akan membuli kembarnya itu.
“Sedapnya bau asam pedas,” ujar Rayyan tatkala
menangkap bau asam pedas.
“Aku tahu kau nak datang. Itu yang masak asam
pedas,” balas Alia.
Rayyan mengambil tempat di meja makan.
Diletakkan bekas yang dibawa di atas meja sementara Alia
menyenduk asam pedas ke dalam mangkuk.
“Hari ni kau ada nak pergi mana-mana ke?” soal
Rayyan.
“Tak ada. Hari ni hari untuk aku tidur.” Senyuman
terukir di bibir Alia tatkala menjawab pertanyaan itu. Jelingan
Rayyan memang telah dijangka.
“Bukannya hari-hari kerja kau tidur ke?”
“Hari-hari tu kerja part-time. Hari ni aku overtime.”
Rayyan tidak suka Alia menghabiskan masa dengan
tidur. Namun apa yang dia mampu lakukan kerana itu
sebahagian daripada tabiat Alia.
Sebaik sahaja membuka bekas yang dibawa oleh
Rayyan, mood Alia bertambah ceria apabila melihat pelbagai
jenis susyi yang tersusun cantik. Sudah lama dia tidak
menikmati susyi. Rayyan seperti tahu apa yang terlintas
dalam fikirannya.
Rayyan terus mencecap minuman sebelum
menikmati hidangan nasi yang disediakan oleh Alia. Manakala
Alia pula menikmati susyi yang dibawa oleh Rayyan.
“Susyi tu makanlah kemudian. Makan nasilah baru
kenyang. Sedap asam pedas yang kau masak ni.” Dalam
menegur, Rayyan masih tetap memuji kesedapan masakan
adiknya.
“Sekejap lagi aku makanlah. Semua orang apa
khabar? Sihat ke?” Cepat-cepat Alia menukar topik kerana
tidak mahu mendengar bebelan Rayyan lagi.
“Ermm... sihat, kecuali Neil.”
Alia sempat mengunyah seketul susyi di hadapannya
sebelum membalas tenang.
“Kenapa dengan Abang Neil?”
“Dia kena demam panas,” jawab Rayyan dengan
suara perlahan.
“Oh...” balas Alia bersahaja. Diambil lagi seketul
susyi tuna dengan chopstick lalu dicecah ke dalam kicap
yang tersedia. Dengan sopan dimasukkan ke dalam mulut
lalu dikunyah perlahan. “Sedapnya! Rasa tuna ni masih segar
lagi,” ujar Alia dengan rasa teruja tanpa mempedulikan topik
yang dibualkan oleh mereka sebentar tadi.
Rayyan mengerut dahi.
“Sibuk makan aje. Kau tak risau langsung ke?”
“Demam aje pun.”
“Sekurang-kurangnya ambil beratlah sikit. Ini
macam tak ada perasaan.”
Alia menghela nafas panjang apabila mendengar
teguran itu. Dalam hal yang kecil pun Rayyan berpihak
kepada Neil berbanding dia.
“Teruk ke demam dia?”
“Teruk jugalah sebab demam panas,” jawab Rayyan
lembut. Hatinya yang panas mulai sejuk apabila mendengar
pertanyaan itu.
“Sejak bila?” Alia bertanya lagi.
“Semalam.”
Alia mencecap minuman yang tinggal separuh.
Kemudian menyambung suapan. Baru sahaja dua suap, dia
menerima pesanan WhatsApp daripada Puan Laila. Hatinya
berasa gembira kerana diberitahu bahawa Zaidi berpuas hati
dengan draf yang dihantar.
Seminit kemudian dia menerima pesanan WhatsApp
daripada Zaidi pula.
Saya puas hati dgn draf tu. Saya
percaya Laila dah beritahu.
Alia terus membalas.
Ya. Terima kasih, encik.
“Waktu makan jangan tengok handphone.”
Teguran Rayyan itu membuatkan Alia terus
menyimpan telefon bimbitnya. Dia risau Rayyan akan
merajuk kerana tidak dilayan sebagai tetamu.
“Bila kau nak pergi jenguk dia?”
“Buat apa?” Alia membalas selamba.
“Salah ke kalau kau pergi jenguk?”
“Malaslah. Dia tu demam biasa aje pun. Gedik!” balas
Alia tidak puas hati.
“Janganlah macam tu. Pergilah melawat dia. Sekejap
pun jadilah.”
Alia berpura-pura tidak mendengar teguran Rayyan.
Dia terus menikmati nasi yang mulai sejuk. Tiba-tiba sahaja
dia laparkan nasi. Mungkin kerana stres memikirkan Neil.
“Alia, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”
“Nanti aku telefonlah dia,” Alia pantas memberikan
jawapan. Dia rimas kerana Rayyan terus mendesak. “Kalau
teruk sangat, baru aku pergi melawat.”
Rayyan tersenyum. Dia yakin Alia akan mengotakan
janjinya kerana Alia lebih rela mengalah sahaja daripada
terpaksa mendengar bebelannya.
“Kan bagus kau hargai perasaan dia. Ini buat dia tu
macam tak wujud.”
“Apa benda yang kau membebel ni?” balas Alia.
Tiba-tiba sahaja dia dituduh tidak mengambil berat perasaan
Neil. Sejak bila pula lelaki itu menjadi kekasihnya?
“Membebel untuk perkara yang baik, apa salahnya?
Kalau tak dibebel, sampai bila-bila pun pura-pura tak faham,”
balas Rayyan sinis.
Alia menghela nafas panjang seraya mengalihkan
pandangan. Sejak Neil wujud dalam hidupnya, dia sering
tersepit dengan keadaan. Tambahan lagi apabila Rayyan lebih
suka melebihkan perasaan Neil daripada perasaan adiknya
sendiri!

SETELAH RAYYAN pulang, Alia berehat di ruang tamu
seraya menonton televisyen. Tumpuannya hilang apabila
teringat tentang janjinya untuk menelefon Neil. Dikerling
jam di dinding. Sudah sejam Rayyan pulang. Namun dia
masih belum menelefon lelaki itu.
“Jangan lupa call Neil,” pesan Rayyan sebelum
pulang.
“Yalah. Nanti aku call.” Alia malas bergaduh dengan
Rayyan.
“Kalau kau tak call, esok aku datang lagi. Siap
sedialah dengar bebelan aku.”
Teringatkan kata-kata berbaur amaran itu, Alia
menghela nafas berat. Akhirnya dia terpaksa mengalah dan
terus mendail nombor telefon bimbit Neil.
“Helo...”
“Alia risaukan abang?” Suara Neil kedengaran ceria
apabila mendengar suara Alia di hujung talian.
“Tak adalah. Buat apa Alia risaukan abang?” balas
Alia selamba.
“Abang tahu Alia risau. Abang kan demam sekarang
ni.”
Alia ketawa.
“Demam aje pun,” sindirnya.
“Demam pun sakit juga. Dahlah tak nak melawat.”
Rungutan Neil membuatkan Alia mengeluh
perlahan.
“Abang kan doktor. Abang boleh sembuhkan diri
sendiri. Lagipun ubat kan banyak.”
“Abang pun manusia biasa, perlukan insan yang
abang sayang. Datanglah sini melawat abang. Abang akan
cepat sembuh kalau Alia datang.”
Alia terkelu seketika. Terasa kekok hendak bereaksi.
“Abang, Alia ada hal. Nanti kita sambung.”
“Jangan nak mengelak. Datang sini dulu melawat
abang,” tegas Neil.
“Abang masuk hospital ke?”
Neil ketawa.
“Hari-hari abang masuk hospital.”
Alia mengetap bibirnya. Terlupa. Neil kan seorang
doktor. Tentulah setiap hari dunianya di hospital tempat dia
bekerja. Tak pasal-pasal dia ditertawakan Neil.
“Bila Alia nak datang melawat abang?” Neil
mengutarakan soalan setelah agak lama mereka berdiam diri.
“Abang kat mana sekarang ni?” Dalam terpaksa dia
bertanyakan soalan itu.
“Rumah mama. Datanglah sini sekarang.”
“Takkanlah Alia nak datang sana pula. Kalau datang
hospital tu tak apalah.”
“Alia nak abang terlantar atas katil baru nak lawat
abang? Sampai hati Alia.” Sayu sahaja suara Neil ketika itu.
Hatinya mula rasa merajuk dengan sikap dingin Alia.
Alia langsung tidak membalas. Dia tidak tahu apa
yang harus dibicarakan.
“Kalau tak nak, tak apalah. Maklumlah orang tak
sudi. Takkanlah nak paksa.”
“Tak sangka abang akan fikir macam tu,” balas Alia
selamba.
Dengusan keras kedengaran daripada bibir Neil.
“Sudahlah, tak payahlah susah-susah datang ke sini
kalau tak ikhlas. Abang pun tak nak susahkan Alia!”
Sebaik sahaja berkata demikian, Neil terus
mematikan talian. Langsung tiada pamitan buat Alia.
“Eh, dah letak pula?” Alia benar-benar terkejut
dengan reaksi Neil.
“Apa yang patut aku buat sekarang ni? Perlu ke
aku melawat dia?” Alia mula bermonolog sendiri. Hatinya
dihantui rasa serba salah untuk menuruti permintaan Neil.
“Kalau melawat kat hospital tak apalah juga. Ini
pergi rumah keluarga dia. Seganlah aku! Macamlah aku ni
girlfriend dia,” tambah Alia.
‘Tak payahlah susah-susah datang sini
kalau tak ikhlas. Abang pun tak nak
susahkan Alia!’
Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya.
“Apa reaksi dia kalau aku pergi?”
Alia mula membayangkan reaksi Neil.
“Kenapa datang sini? Kan abang dah cakap tak payah
datang.”
Seakan terbayang wajah Neil yang sedang marah.
Disebabkan Neil memiliki tubuh yang tinggi dan tegap, dia
kelihatan benar-benar menggerunkan apabila marah. Dia
sendiri pun berasa takut setiap kali melihat lelaki itu serius.
“Kalau dia dah cakap macam tu, takkanlah aku nak
datang, kan? Tak pasal-pasal cari masalah,” keluh Alia. Dia
percaya Neil tidak mahu bertemu dengannya. Lelaki itu pasti
akan lebih marah jika dia datang melawat.
“Lebih baik aku tidur daripada fikirkan tentang dia,”
tambah Alia seraya berbaring di sofa dengan kedua belah
matanya tertutup rapat. Dia enggan memikirkan lagi tentang
Neil yang tiada sebarang hubungan dengannya. Biarlah Neil
melayani amarahnya sendirian. Sekejap lagi sejuklah hati
lelaki itu.

No comments:

Post a Comment