DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 6

TELEFON bimbit Neil berbunyi sebaik sahaja
dihidupkan semula. 2 hari dia mencarinya. Dia menyangka
telefon itu sudah hilang kerana kecuaian sendiri. Malah dia
bercadang hendak membeli yang baharu. Rupa-rupanya
telefon bimbit itu jatuh di bawah katil dan kehabisan bateri.
Silapnya juga kerana tidak berhati-hati.
Lain kali tak payah susah-susah bagi.
Anyway, thanks.
Pesanan WhatsApp itu membuatkan Neil tersenyum
sendiri. Kelmarin dia mengirimkan beberapa botol pil
Vitamin C, B Complex dan kapsul minyak ikan ke pejabat Alia
dengan harapan Alia akan berselera makan dan bersemangat
untuk bekerja.
Senyuman Neil mati apabila terkenang pertemuan
mereka beberapa hari yang lalu. Teh panas dan nasi goreng
yang berada di hadapannya dibiarkan sahaja sejuk. Hanya
sedikit sahaja dijamah bagi mengisi perutnya yang kosong.
‘Kenapa Alia tak boleh sukakan aku macam tu?
Sedangkan aku boleh buat apa aje untuk dia. Aku boleh bawa
dia ke mana pun dia nak pergi. Kalau nak bergambar, bukan
setakat dua keping, seribu keping sampai pengsan pun aku
tak kisah. Lepas tu buat album banyak-banyak, simpan untuk
anak cucu nanti,’ sempat lagi Neil berangan.
‘Zaidi tu satu lagi masalah aku. Bukan main lagi nak
mengendeng dengan Alia. Dahlah satu ofis. Apalah nasib aku,
banyak betul pesaing...’
Keluhan berat Neil telah menarik perhatian insan
yang berada di hadapannya. Renungan yang menikam ke
wajahnya ketika itu langsung tidak diendahkan. Fikirannya
hanya melayang tentang Alia.
Sesaat kemudian, Neil mengeluh panjang.
‘Macam mana kalau Alia tak suka aku walau sekecil
zarah pun? Apa yang aku patut buat? Takkan nak biarkan aje?”
“Sudah-sudahlah tu termenung. Bukannya dapat
sejuta pun.”
Teguran itu benar-benar menyedarkan Neil ke alam
realiti. Berderau jantungnya dek kerana terkejut. Dia hampir
terlupa bahawa dia bukan bersarapan seorang diri, tetapi
dengan Irfan pada pagi itu. Dipandang wajah Irfan yang
sedang menatap wajahnya.
“Takkan termenung pun salah?” balas Neil.
“Bila masa pula aku cakap salah? Aku cuma tak suka
kau termenung. Kalau kau termenung tu maksudnya kau
tengah ada masalah. Cuba cerita sikit.”
“Aku cuma tengah fikir tentang Alia,” balas Neil
sebelum menghirup minumannya. Memang Alia sahaja yang
mampu membuatkan dia jadi gila bayang.
“Kenapa dengan Alia?” Irfan terus menyoal apabila
melihat Neil kelihatan tidak ceria. Selalunya Neil kelihatan
bersemangat bercerita tentang Alia walaupun gadis itu masih
belum memberikan respons positif terhadap Neil.
Neil menggeleng perlahan, enggan berkongsi
apa yang bermain dalam fikirannya. Dia tidak mahu Irfan
mendakwa dia tidak rasional.
“Kau berdua bergaduh ke?” soal Irfan lagi.
“Taklah. Aku dengan dia okey. Walaupun hati dia tu
sejuk macam ais, aku tetap sayangkan dia. Cuma sekarang ni
hati aku jadi tertanya-tanya,” adu Neil.
Irfan menghela nafasnya.
“Apa yang kau nak tahu?”
“Kenapa susah sangat dia nak terima aku? Teruk
sangat ke aku ni?”
Keluhan itu membuatkan Irfan menggeleng.
“Bosanlah aku dengar soalan kau. Dah memang dia
tak sukakan kau, buat apa dia nak buang masa terima kau?”
Reaksi Irfan yang tidak ambil peduli itu memang
telah dijangka oleh Neil. Irfan suka mengenakannya tidak
kira masa. Walaupun apa yang diluahkan hanya perkara
remeh bagi Irfan, Neil perlukan seseorang untuk berbicara.
“Apa masalah sebenarnya ni?” Irfan menyoal lembut.
Dia tahu Neil tidak suka akan reaksinya yang ambil mudah
rungutan rakannya itu.
“Masih tak berjaya. Itu aje masalahnya.”
Jawapan itu membuatkan Irfan tidak dapat menahan
ketawa. Jelingan Neil membuatkan tawanya semakin rancak.
Dia sengaja ingin mengusik Neil.
“Kau takkan berjaya sebab tu memang nasib kau,
Neil.”
“Sedap mulut kau cakap macam tu. Bukannya nak
tenangkan aku,” rungut Neil.
Irfan membalas dengan senyuman mengusik. Neil
memang kebudak-budakan. Sekali-sekala seronok juga dia
apabila dapat mengenakan Neil.
“Apa yang aku patut buat sekarang?” keluh Neil. Dia
enggan mempedulikan usikan Irfan. Apa yang penting hanya
hati dan perasaan gadis kesayangannya itu.
“Neil, kenapa kau perlu emosional sangat? Benda
macam tu hal kecil aje.”
Neil tidak membalas. Mana mungkin dia tidak
emosional. Hingga saat ini, Alia masih enggan memberi dia
peluang.
“Kalau kau nak pikat hati dia, kau tak boleh
mengongkong atau mendesak dia. Kau kena banyak bertolak
ansur barulah nanti dia akan terima kau,” Irfan menambah.
“Selama ni aku dah banyak bertolak ansur dengan
dia. Tapi dia tu susah sangat nak bagi aku peluang. Setiap kali
ajak keluar, ada aje alasan,” balas Neil.
“Hati perempuan ni macam berlian. Masa kau jumpa,
warna berlian ni kusam aje, tak nampak bernilai pun. Tapi
bila kau gilap, lama-lama akan bersinar. Kau juga bahagia.”
“Itu pendapat kau. Alia ada pendapat dia sendiri;
pilihan dia sendiri. Akhir-akhir ni aku rasa tak sedap hati. Aku
dapat rasa ada lelaki lain yang cintakan Alia selain daripada
aku.”
Berkerut dahi Irfan.
“Maksud kau, Alia ada lelaki lain?”
“Mungkin juga. Aku rasa lelaki tu lebih hebat
daripada aku.”
“Kau tu terlalu banyak fikir. Padahal tak ada apa-apa
pun.”
“Aku tak rasa macam tu. Firasat aku mungkin betul.”
Sebaik sahaja berkata demikian, wajah Zaidi terus
terlintas dalam fikiran Neil. Lelaki itu seorang yang kacak,
kaya dan berkedudukan. Sikapnya peramah dan bersopan
santun. Dia teringat kemesraan Zaidi terhadap Alia. Sebagai
lelaki, dia rasa tergugat. Jika lelaki seperti Zaidi ingin
bersaing dengannya dalam memikat hati Alia, tentu bukan
mudah untuk dia menang pertarungan itu.
“Aku takut akan tewas lagi,” tambah Neil seraya
mengeluh berat. Cukuplah dia dikecewakan suatu masa
lalu kerana perempuan yang dicintai memilih lelaki yang
lebih hebat daripadanya. Tapi dia tidak salahkan Melissa.
Perempuan mana yang tidak mahukan Samsul yang ada
segala-galanya?
“Kau masih terkenangkan kisah kau dengan
Melissa?” soal Irfan.
Neil tidak mampu menjawab pertanyaan itu.
Mana mungkin dia akan melupakan Melissa kerana Melissa
merupakan cinta pertamanya. Cuma perasaan cinta terhadap
Melissa sudah tiada lagi. Apa yang berlaku hanya sekadar
kenangan zaman remaja.
“Kalau dah tahu takut terlepas, pergilah ikat dia,”
ujar Irfan penuh makna.
Neil memandang Irfan dengan wajah bingung.
Apakah maksud Irfan yang sebenarnya?
“Jadi lelaki ni kita kena berani dan licik sikit,”
tambah Irfan.
“Maksud kau?”
Irfan menggeleng perlahan.
“Kenapalah aku ada kawan lurus bendul macam ni?
Hesy!” Dia mengeluh dan nafas dihela geram. “Kalau susah
sangat, kahwin ajelah dengan dia. Bila dia dah jadi isteri
kau, tak adalah kau risau dia akan terlepas ke tangan lelaki
lain. Lagipun kau baik dengan Rayyan, takkanlah dia tak nak
tolong kau?”
Cadangan itu membuatkan senyuman mula terukir
di bibir Neil. Kata-kata Irfan ada benarnya. Kenapalah dia
tidak pernah terfikir sebelum ini? Kenapa dia hanya sibuk
mengejar cinta Alia?
“Memang betullah kau ni lurus bendul. Apalah
dosa aku dapat kawan macam ni. Sedih betul!” rungut Irfan
apabila melihat Neil tiba-tiba sahaja kelihatan gembira. “Kau
ni nama aje doktor. Muda-muda lagi dah jadi pakar tulang.
Tapi otak lembab. Patutlah asyik kena reject dengan awek.
Hal macam ni pun nak tanya aku.”
Neil berpura-pura tidak mendengar bebelan itu.
Biarlah Irfan hendak berkata apa sahaja. Sekurang-kurangnya
rakannya itu telah menyedarkan kesilapannya.

No comments:

Post a Comment