DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 7

ZARA dan Amira berjalan-jalan di dalam Dewan
Naib Canselor Universiti Petra. Di kiri kanan mereka
kedengaran hiruk-piruk suara wakil dari pelbagai kelab
mempromosikan kelab masing-masing.
“Kau ada apa-apa kelab yang kau nak masuk tak,
Zara?” Amira berkata dengan nada yang kuat. Cuba melawan
kebisingan di dalam dewan itu.
“Entahlah. Aku pun tak fikir lagi sebenarnya,” jawab
Zara malas. Dia ke situ pun setelah didesak oleh Amira. Kalau
diikutkan dia memang malas nak berkelab-kelab bagai ni.
Malas nak beri komitmen sebab dia pun bukannya spesies
yang rajin.
Akhirnya, Amira mengambil keputusan untuk
masuk kelab ekspedisi. Sementara Zara terus melilau mencari
sesuatu yang kena dengan jiwanya. Ketika matanya meliar
ke sekeliling, pandangan Zara terhenti pada satu sudut yang
agak terpencil. Matanya terpaku pada beberapa buah lukisan
yang ditampal pada sekeping kad manila berwarna putih.
Perlahan-lahan sudut itu dihampiri.
Sebuah lukisan seorang perempuan yang wajahnya
terselindung di sebalik selendang itu direnungnya dalam.
Hanya bibirnya saja yang kelihatan tersenyum. Walaupun
bibir itu mengukir senyuman, tetapi senyuman itu bagai
dipaksa-paksa, seperti menyimpan seribu duka di sebaliknya.
Zara bagaikan dipukau untuk terus melihat karya seni yang
sangat indah itu.
“Cantikkan, adik?” Tiba-tiba ada seorang pelajar
lelaki menegur Zara.
“Haah. Siapa yang lukis ni?” soal Zara tanpa beralih
pandang dari lukisan itu.
“Pengerusi kelab kami. By the way, abang dari Kelab
Seni dan Kebudayaan Universiti Petra. Nama abang Hakimi.
Panggil je Abang Kimi.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Oooh... macam tu. Cantik lukisan ni. Aku suka.
Pandai pengerusi kelab kau lukis.” Zara terus menukar kata
ganti nama kepada aku dan kau. Tak pernah-pernah dia
panggil sesiapa pun abang. Geli rasanya!
“Kau pun boleh lukis macam ni kalau kau nak
belajar. Berminat tak nak join kelab ni?” Hakimi juga terus
menukar kata panggilannya sambil mengambil sekeping
kertas dan sebatang pen.
“Tapi aku layak ke masuk ni? Aku ni buta kayu sikit
kalau bab-bab seni ni.” Zara menyatakan keraguannya.
Hakimi tergelak mendengar kata-kata Zara.
“Tak payah risaulah. Dalam seni ni banyak cabangnya.
Mesti ada salah satu yang sesuai dengan kau nanti. Yang tu
nanti kita settle kemudian. Sekarang yang penting, daftar
dulu. By the way, kau dari fakulti mana?”
“Law.”
“Hah, bagus sangatlah tu. Cuba buat sesuatu yang
lari dari bidang yang kau belajar sekarang. Orang kata, kalau
kita nak mematangkan diri sendiri, kita kena selalu berani
mencuba sesuatu yang di luar lingkungan benda yang kita
selalu buat. Aku ni pun dari fakulti engineering, tapi aku
enjoy je ada dalam kelab seni ni. Kita kalau asyik buat benda
sama saja tiap-tiap hari pun mesti bosan, kan? Sesekali tu
naklah jugak cari kelainan.”
Zara mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata lelaki
itu.
Akhirnya, Zara mendaftar masuk ke Kelab Seni
dan Kebudayaan. Secara rasminya, Nurzara Anasuha
telah menjadi orang seni! Eh, boleh ke macam tu? Pegang
berus pun macam kayu! Zara tergelak sendiri. Brosur yang
diberikan Hakimi tadi dibaca sambil berjalan. Perjumpaan
pertama kelab akan diadakan dua minggu lagi.
“Hoi, tomboi!”
Zara angkat wajah. Mata dijulingkan ke atas bila
melihat Taufik and the gang, Amar dan Faris. Zara cuba
berjalan melintasi mereka, tapi Amar menghalang jalannya
dengan tangan.
“Ni ke perempuan yang kedekut FC tu, Fik?” soal
Amar.
Taufik hanya diam. Mata hanya merenung Zara.
“Laaa, perempuan ke? Aku ingatkan jantan tadi.
Dengan rambut pendek, baju kemejanya. Dia ni spesies dua
alam kut,” sambung Faris.
Amar dan Faris ketawa berdekah-dekah di hadapan
Zara.
Zara mengetap bibir seraya menarik nafas panjang.
‘Sabar Zara, ada cara nak uruskan tiga mangkuk
ayun ni.’
“Apa yang kau nak, Taufik? Nak curi FC aku lagi ke?”
soal Zara selamba sambil menghadiahkan senyuman plastik
yang dibuat-buat.
“Aku pinjam, okey! Bukan curi. Ada beza antara dua
perkataan tu. Jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan!”
Taufik renung Zara dengan tajam.
“Apa-apa jelah. Yang aku tahu, bila orang ambil
barang kita tanpa kebenaran, mencurilah namanya tu.”
“Wooahhhh, lancangnya mulut perempuan ni. Tak
padan dengan junior. Berani dia nak lawan dengan kita, Fik,”
kata Amar.
“Bukannya lancang. Sekadar menyatakan apa
yang terbuku di hati. Lagipun dalam artikel 10 FC pun ada
menyatakan yang setiap orang di Malaysia ada kebebasan
bersuara. Jadinya aku cuma mempraktikkan hak aku seperti
yang terkandung dalam artikel itu dengan sebaik-baiknya.
Kalau tak percaya, balik nanti cubalah belek balik FC ya!”
bidas Zara tenang, tetapi sudah cukup untuk menyakitkan
hati orang yang termakan cili.
“Kau ni memang tak sayang mulut, kan! Kau ingat
kau dah cukup pandailah nak cakap pasal artikel-artikel tu
semua? Hei, aku dah lama tahulah pasal benda tu. Tak perlu
nak tunjuk pandai macam kau sorang je yang tahu.” Muka
Taufik berubah merah. Tercabar dengan perangai Zara yang
dari tadi tidak henti-henti menyindirnya.
“Aku cakap je. Maaflah kalau terasa, senior.” Zara
berjalan melintasi Taufik. Sudah malas mahu melayan
lelaki-lelaki itu. Tak guna berdebat dengan orang yang tak
faham bahasa.
Tiba-tiba Taufik merentap brosur di pegangan Zara.
Zara tersentak.
Taufik baca isi kandungannya, lalu tersenyum sinis.
“Kelab Seni dan Kebudayaan.” Taufik
menayang-nayang brosur itu di hadapan Zara.
“Hei, bagi baliklah!” Zara cuba merampas semula
brosur itu. Tapi Taufik main pas-pas dengan kawannya
sehingga penat Zara nak mengejar.
“Memang sesuai sangatlah kau masuk kelab tu.
Kelab tu sendiri tak membawa apa-apa faedah. Sama jelah
kau dengan seni yang langsung tak ada masa depan tu.”
Menyirap darah Zara mendengarnya.
“Hei, baik-baik sikit kalau nak cakap ya. Apa hak kau
nak menghina seni? Mana kau tahu yang seni tu tak ada masa
depan? Habis tu, Picasso, Leonardo da Vinci, diaorang tu tak
berjaya dengan seni? Kau jangan ingat kita yang ambil law ni
lebih bagus daripada orang yang ambil bidang seni. Jadi, tak
payah nak berlagak bagus dan hina minat orang lain.”
Tanpa mempedulikan Taufik, Zara berpaling. Panas
pula mahu berlama-lama di situ. Tetapi lelaki itu tiba-tiba
merentap lengannya ketika dia cuba menapak, membuatkan
langkah Zara terkunci.
“Hei, lepaslah! Apa masalah kau ni? Gila ke?” Zara
cuba menarik tangannya semula. Tapi pegangan seniornya
terlalu kejap.
Taufik hampirkan diri dengan Zara.
“Kenapa kau benci sangat dengan aku hah, Zara? Ada
je idea kau nak melawan cakap aku, kan?”
“Sebab aku memang bencikan kau. Untuk
pengetahuan kau, kaulah manusia yang aku paling benci
sekali dalam dunia ni. Mulut celopar, kasar, suka cari pasal
dengan aku. Lagipun, kau dah lupa apa yang kau pernah
cakap dengan aku masa kita kecik-kecik dulu? Kau kata, kau
sangat bencikan aku sebab aku rapat dengan Ashraf. Kau tak
suka aku rapat-rapat dengan kawan baik kau. Lepas Ashraf
pergi pun, perangai kau terhadap aku tak pernah berubah.
Jadi, aku rasa aku pun berhak untuk bencikan kau. Just the
way you hate me.”
Taufik ketap bibir. Pegangan di lengan Zara makin
dieratkan. Makin lama makin kuat sehingga gadis itu terjerit
kesakitan.
Tiba-tiba tangan Taufik direntap oleh seseorang dan
dipulas ke belakang. Kemudian, tubuh dia ditolak sehingga
terjatuh. Taufik mengaduh kesakitan. Sementara mata
Zara tidak berkelip memandang wajah lelaki yang sudah
menolongnya itu.
“Fik, kau okey ke?” Amar membantu Taufik bangun.
Pada mulanya, marah Taufik berapi. Tapi, sebaik
matanya menjamah wajah lelaki yang menolong Zara, ada
tarikan magnet di situ sehingga pandangannya tidak lepas.
Dahinya berkerut, seakan-akan ada satu tanda tanya besar
yang bermain dalam fikirannya.
“Kau!” Mata Taufik terbuka luas bila dia sudah ingat
di mana dia pernah nampak lelaki itu. Lelaki itu hanya tayang
wajah tak ada perasaan.
“Kau kenal ke dengan lelaki ni, Taufik?” soal Amar.
Taufik tidak pedulikan pertanyaan Amar. Dia
memandang wajah Zara dan Zairiel silih berganti. Dia cuba
menghampiri Zara, tapi gadis itu pantas berundur beberapa
tapak ke belakang. Tak mahu mendekat dengannya.
“Zara, jom kita pergi dari sini.” Raut Taufik tampak
gelisah.
“Kau ingat aku gila nak pergi dengan kau? Silap-silap
kau patahkan tangan aku pulak nanti.” Zara mencebik.
“Zara!” Taufik berang dengan kedegilan Zara.
“Kau blah boleh tak? Aku bencilah tengok muka
kau!” Zara berkata dengan nada yang lebih tegas.
Terhiris hati Taufik mendengar kata-kata gadis itu
yang kasar.
“Fine! Lepas ni kau nak mati ke, nak apa ke, lantak
kaulah!” Taufik berpaling dan beredar dari situ dengan wajah
bengang. Kawan-kawannya ikut dari belakang.
Zara hela nafas panjang. Lalu menoleh pada lelaki
yang sudah menolongnya tadi.
“Thanks sebab tolong aku tadi,” kata Zara sambil
mengurut-urut lengannya perlahan.
‘Tak guna punya Taufik!’ rungut Zara dalam hati.
“Zero-zero,” kata lelaki itu tiba-tiba.
Zara mengerutkan dahi. Bukankah dalam situasi
ini dia sepatutnya mengatakan ‘sama-sama’? Apa maksudnya
‘zero-zero’ tu? Term baru yang dia tak tahu ke?
“And...” Lelaki itu berbisik di telinga Zara. “You owe
me one more thank you.”
Zara terpinga-pinga.
Lelaki itu senyum, lantas pergi meninggalkan dia
tanpa berkata apa-apa lagi.
“Apa masalah semua lelaki yang aku jumpa hari
ni? Seorang menyakitkan hati, seorang lagi memeningkan
kepala!” Zara menggaru kepala yang tidak gatal.

No comments:

Post a Comment