DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 8

MALAM itu, sedang Zara enak dibuai mimpi,
tiba-tiba dia terjaga apabila cahaya lampu menyilaukan
matanya. Apabila Zara membuka mata, dia terkejut melihat
Puan Izzati sedang berdiri di tepi almarinya. Paling
mengejutkan apabila melihat bibir mamanya berdarah.
Pintu bilik Zara dihentak dengan keras. Zara geram
melihat ayahnya sedang berdiri di tepi pintu dengan wajah
selamba. Tangan kirinya memegang sepinggan nasi manakala
tangan kanannya sibuk menyuap nasi berkuahkan pindang
ke dalam mulut. Mata Encik Khairil merenung tajam ke
arah wajah Puan Izzati. Mama juga membalas pandangan
suaminya dengan bibir yang terketar-ketar. Dari posisi baring,
Zara terus duduk bersila di atas katilnya.
Tiba-tiba Encik Khairil menghempaskan pinggannya
ke lantai. Habis nasinya berterabur di atas karpet bilik Zara.
Kuah pindang yang berwarna kekuning-kuningan itu kini
melatari karpet yang berwarna biru tua itu.
“Ayah buat apa ni? Ayah ni orang gila ke nak
lempar-lempar rezeki macam tu???” Tanpa dapat ditahan lagi,
Zara terus menjerit.
Inilah kali pertama dalam seumur hidupnya, dia
meninggikan suara kepada Encik Khairil. Selama ini, dia
sudah cukup bersabar dengan perangai ayahnya. Sampai
ke tahap ayahnya naik tangan ke muka Puan Izzati pun,
dia masih bertahan kerana mama tidak membenarkan dia
melawan ayahnya. Tetapi malam ini, rasa geram dan amarah
yang terkumpul selama ini sudah tidak tertahan lagi. Lalu
terus meledak saat itu juga.
Encik Khairil terkelu mendengar nada Zara yang
tinggi terhadapnya. Tidak pernah-pernah anak angkatnya itu
bercakap kasar kepadanya sebelum ini.
Zara bangun lalu berdiri di hadapan Puan Izzati.
“Dahlah ayah. Tolong keluar. Zara tak nak tengok
dah muka ayah dekat sini,” balas Zara dengan nada yang
terketar-ketar.
Encik Khairil diam, lalu secara tiba-tiba dia
memuntahkan isi perutnya ke lantai. Bertambah-tambah lagi
kekotoran di situ. Dengan langkah yang terhuyung-hayang,
dia melangkah ke sofa dan terus terbaring dan tidak sedarkan
diri di situ.
Zara menarik nafas panjang.
“Zara...”
Zara dapat merasakan tangan Puan Izzati yang
terketar-ketar sewaktu menggenggam lengannya. Nampak
sangat yang mamanya begitu takut dengan apa yang berlaku.
“Dahlah mama, tak perlu nak takutkan apa-apa lagi.
Zara kan ada,” pujuk Zara.
“Tadi ayah kamu balik, mabuk-mabuk. Kemudian
dia kejutkan mama, nak mama hidangkan makanan untuk
dia. Tiba-tiba masa makan tadi, dia mula cakap benda-benda
merepek. Kemudian kami bertengkar, dan dia terus tampar
mama. Mama takut sangat sebab dia mabuk, dia tak sedar apa
yang dia buat. Sebab tu mama masuk bilik Zara. Kenapa Zara
lawan ayah tadi? Nasib baik ayah tak buat apa-apa kat Zara
tau.” Cerita Puan Izzati dengan air mata yang berlinangan.
Zara mengusap pipi mamanya yang sudah dibasahi air yang
meleleh-leleh dari kelopak mata. Puan Izzati lalu memeluk
tubuh Zara erat.
“Ma, kenapa mama tak berpisah je dengan ayah?”
Puan Izzati terkejut dengan pertanyaan Zara. Dia
melepaskan pelukan.
“Kenapa Zara cakap macam ni?”
“Betullah apa yang Zara cakap. Buat apa mama nak
terus tinggal bersama ayah kalau mama terus menderita
macam ni? Kena pukul hari-hari. Mama tak penat ke? Zara
dan Am yang tengok pun penat. Sakit hati.”
“Zara, kan mama dah cakap...”
“Kalau mama nak cakap mama bertahan dengan
ayah sebab mama sayangkan ayah, tak payah cakaplah ma.
Zara dah penat dengar!” dengus Zara.
Puan Izzati mengeluh.
“Ayah ada masalah, Zara. Kita kena faham.”
“Tak kisahlah ayah ada masalah apa pun, itu tak
memberi justifikasi untuk ayah pukul mama macam ni. Asal
ada masalah, pukul. Lampias pada isteri. Macam tu? Sayang
pun ada had jugak, mama,” kata Zara tanpa bertapis lagi. Dia
sudah tak sanggup tengok mama menderita.
“Dahlah Zara. Sambunglah tidur balik. Biar mama
yang bersihkan sepah-sepah ni semua.” Puan Izzati bangun
dari katil Zara. Dia tak mahu berbalah dengan anaknya lagi.
Jauh di sudut hati, dia tahu kata-kata anak itu ada benarnya.
Zara hela nafas.
“Tak apalah, biar Zara tolong mama. Cepat sikit siap.”
Puan Izzati hanya mengangguk. Ketika mahu
ke dapur untuk mengambil kain pengelap, Zara sempat
mengerling ke wajah ayahnya yang sudah tertidur.
Serta-merta timbul rasa sebak dalam dirinya.
‘Maafkan Zara sebab tinggikan suara pada ayah tadi.
Alangkah bagusnya kalau ayah tak pernah berubah,’ desis
Zara dalam hati. Dia menarik nafas lalu menyapu kelopak
matanya yang sudah mula bergenang.

SEMALAMAN ZARA tak boleh tidur kerana memikirkan
apa yang dah terjadi. Keesokan harinya, sebaik kelas tutorial
tamat, dia tidak terus pulang ke rumah. Dia semakin tak
mahu melihat ayahnya setelah apa yang berlaku. Zara
mengambil keputusan untuk melepak di Sunway Pyramid
bersendirian sebelum pulang ke rumah. Dia perlukan masa
untuk tenangkan hati yang gundah-gulana.
“Eh, tu bukan Taufik ke?” bisik Zara apabila melihat
Taufik yang memakai apron berwarna coklat sedang melayan
pelanggan di dalam J.CO Donuts. Dia tak tahu pula yang
lelaki tu ada buat kerja sambilan. Timbul idea jahat dalam
fikirannya untuk membalas dendam pada Taufik. Dia pantas
melangkah ke dalam kafe itu dan beratur.
Taufik masih tak menyedari kewujudan Zara di situ
kerana dia sibuk melayan pelanggan.
“Welcome to J.CO! Cik nak berapa biji...” Kata-kata
Taufik terhenti apabila melihat muka Zara yang tersenyum
sinis di depannya. Dia terpaku seketika.
“Helo. Kau tak nak ambil order aku ke?” soal Zara
sambil petik jarinya di depan Taufik.
Taufik tersentak.
“Ahh... ya, ya. Cik nak apa?” soal Taufik ringkas.
Menggunakan bahasa formal.
“Apa yang best kat sini?”
“Pilih jelah mana-mana pun. Semua sedap.”
“Macam ni ke cara awak jawab bila pelanggan awak
tanya?”
Taufik menarik nafas panjang.
“Bestseller yang orang selalu beli ialah donat
perisa Oreology, Alcapone dan Tira Miss U. Oleh tu, saya
mencadangkan cik beli ketiga-tiga perisa donat ni.”
“Ermmm, saya sebenarnya lebih sukakan donat
yang ada perisa coklat. Jadi, saya nak tiga Coco Loco dan tiga
Choco Caviar Chocolate.” Zara senyum sinis.
Taufik mengetap bibir.
Zara tahu yang seniornya geram dengannya tetapi
lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Ah, kan bagus kalau
hari-hari macam ni!
“Ermmm... lepas ni saya nak awak buatkan saya air
pulak ya. Apa yang awak recommend dekat sini?” soal Zara
lagi setelah Taufik selesai meletakkan keenam-enam biji
donat ke dalam kotak.
“Ermmm... apa kata cik order Avocado Frappe. Sebab
avokado ni secara saintifiknya boleh buat kulit bertambah
cantik. Glowing. Manalah tahu boleh bagi effect dekat kulit
muka cik tu ke, termasuk perangai sekali.”
Zara mencebik.
“Apa kata kalau awak saja yang minum? Sebab kat
sini yang buruknya awak, bukan saya. Manalah tahu bila
luaran dah elok, otak awak pun makin cerdik. Tak adalah
repeat memanjang, kan? Junior-junior bawah awak pun dah
jemu asyik tengok muka awak je setiap sem.”
“Hei, aku repeat dua subjek je, okey! Apa masalah
kau?” Mata Taufik mencerlung. Nada suaranya perlahan tapi
keras.
“Tak kisahlah repeat 2 subjek ke, 10 subjek ke.
Kalau dah repeat tu, repeat jugaklah. Dasar Mr. Repeater!”
Zara terus menghamburkan segala benda yang dia nak cakap
dalam kelas. Puas hati dia!
“Sekarang ni kau nak air ke tak? Kalau tak, kau bayar
sekarang!” Kata panggilan Taufik pun sudah berubah kasar.
Zara menjongket kening.
“Mestilah! Ingat aku nak biar kau buat kerja senang?
Bagi aku Iced Chocolate satu. Cepat sikit. Panas betul kat
sini.” Zara berpura-pura mengipas tubuh dengan tangan.
Taufik terus pergi ke tempat bartender. Tak sampai
seminit, dia kembali semula dengan Iced Chocolate di tangan.
“RM25.90,” sebut Taufik ketika menekan skrin
komputer kuat. Cara dia tekan macam nak tembus jari dia ke
dalam skrin itu.
“Rugi J.CO ambil kau bekerja. Boleh lingkup segala
harta benda syarikat.” Idea Zara masih tak habis untuk
sakitkan hati seniornya.
Taufik menjeling mendengar kata-kata Zara.
Zara keluarkan dompet dari seluar dan tiga keping
not 10 ringgit diambil. Walaupun perbelanjaannya hari ini
melebihi had, tapi dia puas hati kerana berjaya buat Taufik
marah. Itu adalah satu kemenangan baginya kerana boleh
mengacau hidup lelaki itu. Boleh tidurnya lena malam ni.
Zara menuju ke satu meja yang agak tersembunyi.
Lalu dia bermain game di telefonnya. Tiba-tiba dia merasakan
ada seseorang di tepi. Zara mendongakkan kepala. Dia
mengerutkan dahi apabila melihat Taufik berdiri di mejanya.
Tanpa meminta kebenaran, Taufik terus duduk di depannya.
“Apa yang kau buat dekat sini?” soal Zara.
“Dah aku kerja dekat sini. Habis, aku nak ada dekat
mana lagi?”
Zara mendengus.
“Maksud aku, kenapa kau duduk depan aku? Semak,
tahu tak!”
Taufik renung Zara.
“Kau... memang bencikan aku, kan?”
“Sepatutnya, kau tanya soalan tu pada diri kau
sendiri. Siapa yang benci siapa dulu? Dia yang cari pasal.
Lepas tu tanya kenapa orang bencikan dia.” Zara mencebik.
Pandangan dihalakan ke skrin telefon. Membuka laman
Twitter. Beberapa minit berlalu, dia menjeling Taufik. Lelaki
tu masih memerhatikan dia. Seakan ada sesuatu yang
difikirkan oleh Taufik.
“Kau tak buat kerja ke?” soal Zara jengkel.
“Shift aku dah habis.”
“Dah tu? Baliklah. Yang duduk menempek dengan
aku, apahal? Kau ingat aku best friend kau?”
“Aku ada benda yang nak cakap dengan kau.”
Taufik tak mempedulikan sindiran sinis Zara. Dia harus
memanfaatkan masa itu sebaiknya kerana itu satu-satunya
masa dia dan Zara boleh bersendirian. Kalau di fakulti, terlalu
banyak mata yang memerhati. Dan di antara mereka, dia
risau salah satunya adalah lelaki itu.
“Kau nak minta maaf?”
Taufik mengerut dahi.
“Minta maaf?”
“Manalah tahu. Kau kan dah banyak buat dosa
dengan aku. Yang terbaru, semalam,” ujar Zara selamba.
Taufik hela nafas. Dia pun rasa bersalah sebenarnya
kerana hal itu. Selama ini walaupun dia selalu bercakap kasar
dengan Zara, tapi tak pernah lagi dia menyakiti gadis itu.
“Aku minta maaf.”
Mata Zara membulat. Mulutnya melopong.
“Taufik! Kau sihat tak ni? Ataupun kau hidap AIDS,
kanser? Ke kau dah nak mati sampai kau boleh terniat nak
minta maaf dengan aku?”
“Zara, aku serius ni!” ujar Taufik sebal. Main-main
pula perempuan ni!
“Aku seriuslah ni. Kau tu tak pernah-pernah buat
baik dengan aku. Tetiba nak minta maaf.”
Taufik tarik nafas.
“Kita lupakan kejap hal tu, boleh? Aku sebenarnya
ada benda nak tanya kat kau. Dan tolong, aku nak kau jawab
dengan jujur,” soal Taufik dengan nada tegas.
Zara pandang Taufik seketika. Lalu telefon yang
dipegang diletakkan ke atas meja. Bersandar di kerusi sambil
memeluk tubuh.
“Haa, aku serius sekarang. Cakap apa yang kau nak
cakap?”
“Dalam sebulan dua ni, ada tak kau terjumpa dengan
seseorang yang pelik? Atau ada benda-benda yang di luar
kebiasaan berlaku? Macam accident ke, ada orang datang
kacau kau dekat rumah ke, keluarga kau kena ganggu ke?
Ada?”
Zara mengecilkan mata.
“Kau ingat rumah aku ada hantu ke?”
“Isy, bukan macam tulah! Haih, macam mana aku
nak cakap ni?” Taufik bersandar pada kerusi. Mengusap
rambutnya kasar.
“Kau ni cuba cakap terus terang. Tak payah nak
berbelit sangat.” Zara kian hilang sabar. Terasa macam Taufik
cuba mempermainkan dirinya.
“Tapi, memang tak ada apa-apa yang luar biasa yang
berlakulah kan, setakat ni?”
“Kalau ada pun, apa kaitan dengan kau?”
“Tolonglah Zara, be serious!”
“Aku seriuslah. Kita ni kawan pun tak. Kau tu selama
ni tak pernah nak ambil tahu hal aku. Tiba-tiba hari ni tanya
soalan pelik-pelik. Aku rasa kau ni kena buat CT scan dekat
otak kau. Sebab kau tu yang something wrong dan di luar
kebiasaan.”
Taufik bangkit dari kerusi. Kalau terus berlama-lama
di situ, pertengkaran itu akan terus berlanjutan. Lebih baik
dia pergi. Lagipun, dia sudah dapat jawapan yang dia nak.
Daripada reaksi Zara, dia tahu yang lelaki itu tak melakukan
apa-apa lagi. Itu sudah cukup buat masa sekarang. Memberinya
waktu untuk dia berfikir, apa yang harus dilakukan agar lelaki
itu tak akan mengapa-apakan Zara.
“Taufik!”
Taufik berpaling.
“Tadi aku dah jawab soalan kau. Sekarang, aku nak
kau jawab pulak soalan aku.”
“Apa dia?”
“Ashraf ada dekat Malaysia kan sekarang ni?”
Jantung Taufik bagai nak gugur mendengar soalan
itu. Raut muka bertukar keruh.
“Manalah aku tahu. Kau tanya aku buat apa? Aku
bukannya mak bapak dia nak tahu semua tu.”
Taufik cuba berlagak selamba. Tetapi dari riak
wajahnya pun Zara dah tahu yang Taufik sedang menipu
sekarang.
“Kau tipu! Aku tahu kau sebenarnya tahu, kan?” Zara
terus menyerkap jarang.
“Macam mana kau boleh yakin sangat dia ada dekat
Malaysia?” Taufik bertanya soalan perangkap. Kalau Zara
sudah bertemu dengan Ashraf, mesti Zara dah cam Ashraf
tempoh hari.
“Sebab dia ada jumpa aku dekat rooftop flat kita,
beberapa minggu lepas.”
Wajah Taufik berubah. Secara drastik, dia terus
menggenggam bahu Zara erat.
“Dia cakap apa dengan kau? Dia ada buat apa-apa
tak? Cakap sekarang!” Nada suara Taufik meninggi.
Zara terpanar. Dia terus menepis tangan Taufik kasar
daripada terus hinggap di bahunya.
“Dia tak kenalkan pun diri dia dekat aku. Aku tak
tengok pun muka dia. Tapi aku tahu yang lelaki tu adalah
Ashraf sebab dia bagi aku sapu tangan yang aku pernah bagi
dia masa kecik dulu. Yang kau ni, nak emo sangat apa hal?
Dia kan kawan baik kau. Bukan kau patut gembira ke kalau
dia betul-betul dah balik ke sini?” Zara hairan apabila melihat
Taufik tiba-tiba marah.
“Memanglah dia kawan baik aku, tapi...” Taufik
hentikan kata-katanya. Dia pandang wajah Zara yang keliru.
“Dahlah! Serabut aku kalau terus dekat sini.” Taufik
terus berjalan meninggalkan Zara yang terpinga-pinga
sendirian. Mukanya tampak kusut, sekusut hatinya.
“Nampaknya kau dah mula tunaikan janji kau,
Ashraf,” bisik Taufik sendirian. Hatinya dipalit kerisauan yang
bukan sedikit.

No comments:

Post a Comment