DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 4 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Prolog






ZARA duduk bersandar di kerusi. Termenung
memerhati titis-titis hujan yang jatuh renyai-renyai
membasahi bumi. Ekspresi wajahnya kosong, tiada perasaan.
Sukar diteka apa yang sedang bermain dalam fikirannya
ketika itu. Jari tangan diketuk-ketuk pada kerusi.
Tak! Tak! Tak!
“Kenapa Zara nak kembali lagi ke rumah tu? Abang
tak nak Zara jumpa dengan lelaki tak guna tu lagi!”
Tak! Tak! Tak!
Bunyi berdetak-detak itu kedengaran berulang kali.
“Zara tetap nak balik ke rumah tu, abang.”
Pada mulanya hanya perlahan, tetapi lama-kelamaan
makin laju dan laju.
“Tak cukup ke Zara terluka dengan apa yang mereka
dah buat? Zara nak mereka sakitkan Zara sampai ke tahap
macam mana lagi?”
Tubuh Zara bergetar mengikut ketukan jari, tetapi
riak wajahnya tetap tidak berubah.
“Zara takkan mengelak. Sebab kalau Zara lari,
bermakna Zara lemah. Dan Zara tak nak jadi lemah lagi!”
Secara drastik, gerakan jari Zara terhenti. Tangannya
mencapai telefon bimbit yang tersadai di atas katil. Dia
menekan punat telefon bimbitnya. Mendail nombor lelaki itu.
Tutt... tutt...
Seketika kemudian panggilan Zara dijawab.
“Helo,” kata lelaki itu sepatah.
“Kau dekat mana?” Zara bertanya dengan nada
mendatar.
“Kenapa kau nak tahu?”
“Aku nak kau balik sekarang.”
“Apa hak kau nak menyuruh-nyuruh aku?” Perlahan
tapi tegang nada lelaki itu.
“Kalau kau tak nak aku terbalikkan semua barang
dalam rumah ni, lebih baik kau balik.”
Talian di sebelah sana senyap seketika.
“15 minit lagi aku sampai.”
Klik! Talian dimatikan.
Zara mencapai kunci kereta Aiman yang diambilnya
secara senyap tadi dan terus berjalan keluar. Hujan yang turun
renyai-renyai itu tidak dipedulikan. Menggunakan gerak hati,
dia menghidupkan enjin kereta dan cuba memandu kereta
tersebut. Nasibnya baik. Kereta itu bergerak seperti yang
dimahukannya, walaupun dia tidak pernah memandu kereta
sebelum ini.
“Zara nak ke mana ni?” soal Pak Samad, pengawal
keselamatan di rumah itu apabila kereta yang dipandu Zara
berhenti di pintu pagar depan.
“Saya nak keluar kejap. Tolong buka pintu pagar ni,”
arah Zara.
“Tapi Zara kan masih tak sihat.”
“Tak payahlah risau. Lagipun saya dah beritahu
Aiman yang saya nak keluar. Dia pun dah bagi saya pinjam
kereta dia.” Mata Zara menikam wajah Pak Samad. Tajam.
Pak Samad rasa serba salah. Mahu tak mahu,
dibukakan juga pintu pagar itu untuk Zara walaupun dia rasa
tak sedap hati.
Zara terus memandu keluar dari rumah itu dan
setelah berada beberapa ratus meter dari kawasan rumah,
dia memberhentikan kereta di bahu jalan dan menarik brek
tangan. Kemudian dia mendail semula nombor lelaki itu.
“Kau kat mana?”
“Dah nak sampai dah.”
“Specifically?”
“Aku dah masuk simpang nak ke rumah.”
Masanya telah tiba, desis hati Zara. Tanpa mematikan
talian, dia menurunkan brek tangan, masuk ke arah
bertentangan. Mata Zara silau apabila terlihat sinaran lampu
dari bahagian hadapan kereta lelaki itu. Bibirnya mencemik,
menekan lagi pedal minyak.
Lelaki itu yang masih melekapkan telefon bimbitnya
kemas di telinga perasan akan kereta Aiman yang sedang
menuju laju ke arah keretanya dari arah depan. Dari bunyi
desiran hujan dan deruman enjin yang datang dari telefon
bimbitnya, dia tahu bahawa Zaralah yang sedang memandu
kereta itu sekarang.
Pandangannya bertukar redup. Telefon bimbit masih
dilekap ke telinga. Tangannya menukar gear. Kaki berhenti
menekan minyak. Keretanya bergerak semakin perlahan.
Ketika kereta yang dipandu Zara hanya beberapa
saat lagi mahu merempuh keretanya, Zairiel berkata melalui
corong telefon bimbitnya...
“Maafkan aku...”

No comments:

Post a Comment