DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 5

SEKEPING sandwich dan sebotol air mineral
sudah cukup untuk mengisi perut Alia pagi ini. Walaupun
banyak bekal yang dibawa, tekaknya berasa kurang berselera.
Mungkin kerana dia hanya bersendirian. Dibiarkan sahaja
makanan itu sejuk dengan sendiri. Sebaik mengelap peluh
yang membasahi dahi, dia terus bersandar di kerusi. Matanya
dipejamkan rapat seraya merasai kesegaran udara pagi.
Sudah lama dia tidak berjoging dan beriadah. Sejak
akhir-akhir ini dia lebih suka menghabiskan masa di rumah
apabila tidak bekerja. Selepas selesai mengemas rumah dan
masak makanan tengah hari, tidur menjadi hobinya. Hari
ini dia memilih untuk menghabiskan masa dengan aktiviti
lebih berfaedah. Selepas berjoging dua pusingan mengelilingi
Taman Tasik Shah Alam, dia membuat senaman ringan pula.
Dia membuka mata lalu memandang ke depan.
Pandangannya kaku apabila melihat seorang lelaki datang
menghampirinya. Senyuman lelaki itu membuatkan dadanya
mula berdebar kencang. Kenapakah lelaki itu boleh berada di
sini? Banyak-banyak tempat yang boleh diterokai, kenapakah
mereka boleh berkongsi tempat yang sama?
“Kenapa terkejut nampak abang? Dah jatuh hati?”
Neil sengaja mengusik seraya mengambil tempat di sebelah
Alia.
Spontan Alia mencebik. Perasan betul!
“Sebenarnya dari tadi lagi abang nampak Alia.
Abang tengok Alia tengah gigih bersenam. Tu yang abang tak
nak kacau. Sekarang ni dah nampak relaks, barulah abang
datang jumpa Alia,” jelas Neil tanpa dipinta. Mana mungkin
dia hendak berterus terang bahawa dia sengaja mengekori
Alia sejak pagi tadi. Sempat dia mencecap minuman Alia
walaupun cuba ditegah oleh gadis itu.
“Tak payah jumpa pun tak apa. Macamlah tak boleh
jumpa kat tempat lain,” balas Alia kurang senang. Hari ini dia
hanya mahu merehatkan diri daripada bebanan fikiran. Jika
Neil di sisi, hasratnya untuk menenangkan diri hanya tinggal
angan-angan kosong.
“Memanglah boleh jumpa bila-bila masa, tapi jumpa
kebetulan macam ni barulah spesial sikit. Alia nampak lebih
manis bila tak pakai mekap.” Sempat Neil memuji penampilan
Alia yang kelihatan lebih segar tanpa solekan. Kulit putihnya
kelihatan kemerahan disinari mentari pagi.
“Nah, pakai jaket ni,” arah Neil.
Berkerut dahi Alia apabila mendengar arahan itu.
“Buat apa?”
“Alia nampak seksilah. Cepat pakai.”
Alia melihat penampilan sendiri. Ketika itu dia
memakai baju lengan panjang dan seluar panjang. Kenapa
pula dia dikatakan seksi?
“Pakai ajelah.” Kali ini suara Neil bertukar serius.
Tanpa banyak soal, Alia terus menyarung jaket
yang diberikan. Sudahlah saiznya besar hingga hujung jari
tangannya tertutup, bau pewangi yang dipakai oleh Neil
pula terlekat di jaket tersebut. Mujurlah bau wangi itu tidak
merimaskannya.
“Kan sopan sikit,” ujar Neil seraya membetulkan
bahagian lengan jaket. Dia sebenarnya kurang berkenan
dengan penampilan Alia hari ini. Baju sukan yang dipakai
agak sendat membuatkan mata-mata nakal tertumpu ke arah
gadis itu.
Seketika kemudian, Alia mengelap peluh di dahi.
Ada-ada sahaja lelaki ini! Tadi tiba-tiba sahaja muncul dan
berbual dengannya walaupun tidak dipelawa. Kini tangan
lelaki itu merayap pula pada bekal makanan yang dibawa.
“Kenapa Alia tak makan?” soal Neil apabila melihat
bekal makanan itu seperti belum berusik. Dua keping
sandwich masih tersusun di dalam bekas. Satu bekas lagi
mengandungi beberapa ketul donat yang sangat gebu,
manakala satu bekas lagi mengandungi buah anggur dan
strawberi.
“Tak ada selera,” balas Alia lemah.
“Sedaplah sandwich ni,” puji Neil setelah habis
kedua-dua sandwich yang dicuri daripada tuannya ditelan.
“Donat coklat tu nampak gebulah. Mesti sedap.”
“Makan ajelah. Habiskan pun tak apa,” balas
Alia. Telinganya sudah disumbat earphone seraya sebelah
tangannya menekan skrin telefon bimbit.
“Jadi abang boleh habiskan?”
Alia hanya mengangguk. Biarlah Neil leka
menghabiskan empat ketul donat yang dibawanya.
Sekurang-kurangnya lelaki itu tidak akan mengganggunya
kerana kekenyangan nanti.
Alunan lagu yang didengari oleh Alia benar-benar
menarik perhatian Neil. Alia kelihatan benar-benar tertarik
dengan lagu tersebut hingga bibirnya kelihatan tersenyum
senang. Lantas dia menarik salah satu earphone lalu disumbat
ke telinganya. Jelingan Alia tidak diendahkan kerana perasaan
ingin tahu menguasai diri.
Neil terpaku seketika kerana dia tidak pernah
mendengar lagu itu. Malah suara penyanyi itu benar-benar
asing baginya. Dia cuba mendengar dengan teliti kerana
ingin memahami apa yang disampaikan.
Sekelip mata kemudian, dia menghela nafasnya.
Sebelah earphone itu diserahkan kembali kepada Alia.
Barulah dia tahu mengapa dia langsung tidak faham apa
yang dinyanyikan. Rupa-rupanya lagu K-Pop. Nampak sahaja
dingin, tak disangka boleh melayan lagu K-Pop.
“Lagu apa tu?” Neil sekadar ingin tahu.
“Missing You,” jawab Alia.
Missing you? Neil berasa teruja mendengar ayat yang
baru keluar daripada bibir Alia. Seakan ayat itu ditujukan
khas untuknya.
“Apa Alia cakap tadi?” Neil tidak sabar hendak
mendengar Alia mengulangi ayat tersebut. Kedua-dua
matanya kelihatan bersinar tatkala merenung Alia.
Alia menoleh ke arah Neil yang sedang menunggu
jawapan.
“Missing You.”
“Missing you too,” balas Neil. Dia sudah mabuk
kepayang terhadap Alia.
Terbeliak mata Alia apabila mendengar ayat
yang keluar daripada bibir Neil. Tiba-tiba sahaja lelaki itu
meluahkan rasa merinduinya. Pelik. Namun, sekelip mata
kemudian, barulah dia tersedar bahawa dia telah terlepas
kata.
“Maksud Alia, tajuk lagu tu Missing You.” Alia segera
membetulkan ayatnya. Barulah dia faham mengapa Neil
kelihatan ceria semacam.
Senyuman di bibir Neil semakin lebar.
“Tak kisahlah apa pun. Abang tetap rindukan Alia
walaupun Alia ada depan mata abang.”
Walaupun sudah menjangka reaksi Neil, ayat itu
tetap membuatkan Alia terdiam. Wajahnya terasa panas.
Dia segera melarikan pandangan apabila renungan Neil
menikam ke matanya. Lelaki itu memang sengaja hendak
menghuru-harakan perasaannya.
“Siapa yang nyanyi lagu tu?” Neil segera menukar
topik perbualan apabila menyedari wajah Alia yang sudah
merona merah.
“G-Dragon.” Alia menjawab perlahan. Rasa malu
masih lagi tersisa.
“Alia sukakan dia?”
Pertanyaan itu menerbitkan senyuman di bibir Alia.
“Mestilah suka.”
Jawapan itu membuatkan dada Neil terasa sakit.
Perasaannya tercalar kerana Alia langsung tidak berselindung
tentang itu. Apa salahnya kalau tipu sunat?
“Apa yang hebatnya tentang dia?” Neil menyoal
dengan nada kecewa.
Senyuman semakin lebar di bibir Alia apabila
mendengar pertanyaan itu.
“Dia unik. Alia suka penyanyi yang unik.”
“Itu aje?” soal Neil inginkan kepastian.
Alia mengangguk perlahan.
“Tapi tak adalah minat sampai tahap fanatik. Alia
suka dengar lagu artis lain juga.”
“Pernah ke jumpa mamat G-Dragon tu?” Neil
menyoal lagi seraya mengemas bekas makanan sebelum
dimasukkan ke dalam beg kertas.
Senyuman kelihatan di bibir Alia sebelum dia
mengangguk sekali lagi. Dia terus menayangkan dua keping
gambarnya bersama artis tersebut yang ditemui secara tidak
sengaja ketika mengikuti Wani menghadiri satu majlis
pelancaran fesyen jenama Saint Laurent di Singapura setahun
yang lalu.
Reaksi wajah Neil mula berubah apabila melihat
gambar itu. Bukan main lebar senyuman Alia tatkala
bergambar dengan artis tersebut yang turut sama tersenyum
memandang kamera. Walaupun tidak bersentuhan, namun
sudah cukup membuatkan hati Neil cemburu. Selama ini Alia
tidak pernah memberikan senyuman seperti itu kepadanya.
“Kenapa tiba-tiba aje abang tanya?” soal Alia.
Neil menggeleng perlahan, enggan memberikan
sebarang komen.
Selepas puas bersantai, mereka bangun daripada
kerusi lalu beriringan menuju ke tempat parkir kereta. Neil
terus membuka pintu keretanya lalu meletakkan beg.
“Eh, Alia!”
Teguran seorang lelaki mengejutkan Neil yang baru
sahaja hendak masuk ke dalam kereta. Dia terus berpaling
ke arah suara itu. Berderau darah Neil apabila melihat Alia
mendekati Zaidi. Mereka kelihatan saling tersenyum mesra.
“Memang betul pun awak, ingatkan salah pandang.
Tak sangka akan jumpa kat sini. Datang seorang aje ke?” soal
Zaidi dengan nada ceria.
“Ya. Saya datang seorang.”
“Taklah, datang berdua.” Neil pantas mencelah. Dia
perasan sudah lama Zaidi memerhati Alia dari jauh. Lelaki itu
tidak berani datang dekat apabila dia memandangnya dengan
renungan membunuh.
“Eh, tak sangka jumpa dengan Dr. Neil kat sini.”
Zaidi kelihatan terkejut apabila bertentang muka dengan Neil
yang kelihatan serius. Dia menyangka Neil sudah pulang.
Neil membalas dengan senyuman nipis seraya
menyambut salam yang dihulurkan.
“Dah lama kita tak jumpa. Awak apa khabar? Datuk
Hasnan sihat?” Neil cuba meleraikan rasa janggal yang
menjengah. Sedaya upaya dikawal api cemburunya.
“Saya macam inilah, biasa aje. Ayah sihat. Dr. Neil
pula?” balas Zaidi.
“Macam biasa. Semuanya okey,” jawab Neil perlahan.
“La... tak sangka jumpa korang berdua kat sini.”
Datin Maslina pula menegur.
Alia dan Neil terus bersalaman dengan Datin Maslina.
“Alang-alang dah jumpa, apa kata Dr. Neil dan Alia
singgah ke rumah saya? Rumah saya pun tak jauh dari sini.
Boleh kita breakfast sama,” pelawa Datin Maslina.
Breakfast? Alia teruja mendengarnya. Perutnya
tiba-tiba terasa lapar. Dia teringat cerita rakan-rakan sekerja
yang pernah bersarapan di vila milik Datin Maslina. Menu
yang dihidangkan sangat istimewa kerana dimasak oleh chef
peribadi wanita itu.
“Betul cakap auntie tu. Seronok dapat breakfast
ramai-ramai,” ujar Zaidi.
Neil tidak dapat menahan cemburu apabila melihat
Zaidi terlebih gembira.
“Tak apalah Datin, kami berdua pun baru aje
breakfast.”
Terbeliak mata Alia apabila mendengar jawapan Neil.
Belum apa-apa, Neil sudah membuat keputusan sendiri.
Datin Maslina hanya tersenyum. Langsung tidak
mendesak kerana masing-masing kelihatan letih.
“Datin Maslina kan dah pelawa elok-elok, apa
salahnya kalau kita singgah rumah dia?” soal Alia sebaik
sahaja kereta Datin Maslina berlalu.
“Abang tak rasa pun nak singgah rumah dia,” Neil
membalas selamba.
Alia hanya mampu mengeluh apabila mendengar
jawapan itu. Perutnya terasa lapar. Bekalnya sudah dihabiskan
oleh Neil termasuklah air dan buah-buahan sekali.
“Perut Alia betul-betul kosong tu. Jomlah kita pergi
breakfast,” pelawa Neil apabila terdengar perut Alia berbunyi.
“Tak payah. Alia nak balik rumah.”
“Jomlah breakfast dulu. Abang temankan Alia
makan.”
“Tak payah. Tak selera makan dengan abang.”
Kemudian Alia terus membuka jaket yang dipakai lalu
dipulangkan kepada Neil. “Nah, ambil balik jaket abang ni.
Dahlah jaket gergasi. Lain kali kalau tak suka apa yang Alia
pakai, jangan tengok!”
“Salah ke abang ambil berat?”
Alia mendengus keras sebelum masuk ke dalam
kereta. Dia enggan membalas kerana berasa letih hendak
melayan kerenah Neil.
Neil menggaru-garu kepalanya. Dia tidak faham
mengapa Alia tiba-tiba sahaja marah. Apakah kesalahannya
kali ini? Dia benar-benar tidak tahu.

No comments:

Post a Comment