Percutian 4 Hari 3 Malam
Pulau Impian, Sabtu, 23 November, 1.15 petang...
DESIRAN angin pulau, lembut menerbangkan
hujung skarfnya; skarf kain lembut berbunga kuning putih
jenama Jelitaku Hijab. Skarf itu yang membawanya, mencipta
realiti daripada sebuah impian dan angan-angan.
Lana mendongak ke hadapan. Kelihatan pasiran
pantai berwarna emas berkilauan. Pemandangan indah di
hadapannya itu memang memukau. Dari tadi bibirnya tidak
mampu melafazkan kata. Berdiam adalah sesuatu yang paling
wajar dilakukan. Inilah masa untuk menikmati keindahan
ciptaan Tuhan. Tidak dapat dinafikan lagi, Pulau Impian
memang layak dinobatkan sebagai pulau paling indah di
dunia.
Di atas bot tadi, berulang-ulang kali Lana membaca
brosur tentang keindahan pulau tersebut. Air laut yang
membiru terbentang luas di sekeliling pulau; pembentukan
lagun di pesisir pantai pulau. Di sepanjang lagun itu pula para
pengunjung boleh menghabiskan masa dengan berkelah dan
berenang.
Pulau itu juga tidak berdiri sendiri. Beberapa bukit
batu kapur besar menghijau terbentuk di sekeliling pulau. Di
sini para pengunjung boleh berkayak menikmati keindahan
bukit, tebing batu kapur serta kejernihan air laut biru
turquoise tersebut. Menyelam dan mensnorkel merupakan
aktiviti wajib di sini. Keindahan terumbu karang di dasar
lautan menakjubkan penyelam-penyelam yang sentiasa
mencari keunikan hidupan dasar laut. Indah, sungguh indah!
Di pulau itu tersedia berpuluh-puluh buaian yang
diperbuat daripada kain dan tali yang diikat kemas merentang
dari pohon ke pohon. Para pengunjung boleh berayun, tidur
dan berehat di atas buaian ini, sambil menikmati keindahan
pantai di bawah redup pepohon yang menghijau.
Pulau itu adalah pulau impian bagi semua
pencinta alam semula jadi. Melengkapkan keindahan pulau,
terbentuknya air terjun indah berdekatan dengan gua batu
kapur. Kedudukan air terjun ini agak tersembunyi. Itu adalah
sebuah keajaiban bentuk muka bumi ciptaan Tuhan.
“Selamat datang ke Pulau Impian. Pulau Impian
kita semua,” ucap mesra pekerja pusat peranginan tersebut.
“Hati-hati ya cik,” sambung pekerja pusat peranginan itu lagi,
menyambut ketibaan para pengunjung. Senyuman mesra
tidak lekang dari bibir pekerja-pekerja di situ.
Lana mengangguk. Dia menuruti
pengunjung-pengunjung lain, melangkah keluar dari bot.
Langkah diatur berhati-hati menyusur titi penghubung ke
tanah pulau.
Ya, Allah! Setiap perkataan yang tercetak pada brosur,
sebenarnya tidak menggambarkan realiti. Pemandangan
yang terpapar pada retina matanya adalah lebih daripada itu.
Terbentang di hadapannya, sebuah lukisan sempurna yang
tiada celanya.
Perasaan Lana bercampur baur. Antara gembira,
bersyukur, kagum dan terharu. Bagasi berodanya ditarik
perlahan. Topi biru di kepala dibetulkan kedudukannya.
Hujung skarf putih kuningnya sesekali ditiup sang bayu.
Nafas lega dihela, tenang, perlahan dan lembut.
Malam ini, dia akan beradu di tengah-tengah perut
pulau yang menakjubkan itu. Untuk 4 hari 3 malam, dia akan
menjadi tetamu di Impian Resort & Spa, pusat peranginan
mewah 6 bintang yang cukup tersohor.
Lobi, Impian Resort & Spa
Sabtu, 23 November, 2 petang...
HAMPIR SETENGAH jam Lana menunggu di pekarangan
lobi. Hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk masuk ke
unit penginapannya.
“Maaf, Cik Lana. Maaf sebab cik kena tunggu lama.
Sistem kami ada masalah,” jelas petugas kaunter bernama
Azizul. “Ini kad chalet, cik. Unit 521,” ujar Azizul seraya
menghulurkan sekeping kad akses bilik.
Senyuman manis Azizul menyejukkan hati Lana.
“Bilik ni di bangunan utama ke?” soal Lana.
“Bukan,” balas Azizul dengan gelengan. “Unit Cik
Lana jenis unit berkembar. Chalet Romantik.”
“Okey, terima kasih.”
“Sama-sama Cik Lana. Ikut sahaja laluan di sebelah
kiri lobi. Cik Lana akan nampak papan tanda Chalet Romantik.
Ikut sahaja arah tu dan unit chalet Cik Lana berhadapan
dengan pantai,” jelas Azizul lagi.
Lana mengangguk faham.
Beg bagasi beroda yang agak berat itu ditarik menuju
ke laluan sebelah kiri lobi. Langkah diteruskan, semakin laju.
Keterujaannya semakin memuncak.
‘515, 516...’ Mata Lana memandang ke arah chalet
berkembar yang baru sahaja dilintasinya. Oh, nombor
chaletnya sudah semakin hampir!
‘517, 518, 519, 520...’
Lana memanjangkan leher. Chalet berkembar
miliknya kira-kira 30 meter sahaja lagi ke hadapan.
Langkahnya diayun semakin laju. Mahu sahaja dia berlari
untuk cepat sampai. Keterujaan itu menyebabkan dia hampir
terlanggar seseorang dari arah bertentangan.
“Maaf,” ucap Lana.
Berselisih dengannya seorang pemuda kacak. Lelaki
kacak itu mengangkat wajah. Mata mereka bertentang. Lana
tersenyum simpul. Namun tiada senyuman yang terukir pada
wajah si kacak itu. Ekspresi wajah si kacak itu kosong dan
hambar. Lana berasa sedikit hampa. Lelaki itu kemudiannya
berlalu begitu sahaja.
Tiada magis. Tiada apa-apa yang berlaku.
‘Sombong! Huh!’ gerutu hati Lana.
Namun perasaan-perasaan yang negatif itu begitu
cepat menghilang. Keterujaan dan keseronokan menjadi
topik utama. Langkah diteruskan. Beberapa saat kemudian,
dia sudah berada betul-betul di hadapan beranda chalet
berkembarnya.
Mata Lana mengerling ke arah unit bersebelahan.
Unit 522. Berkemungkinan lelaki kacak tadi ialah jirannya.
Entah kenapa, tanpa sengaja bibir Lana tersenyum nakal.
Entah apa yang mencuit hatinya.
Kad akses dimasukkan ke dalam lubang pintu.
Hati Lana sudah tidak sabar lagi. Harapannya begitu tinggi.
Namun sejurus itu lampu kecil pada lubang pintu chalet
tersebut masih berkelip merah. Dahi Lana berkerut. Kenapa
pula ni?
Beberapa kali kad akses tersebut dikeluarkan dan
dimasukkan kembali. Beberapa percubaan tersebut hanya
membuatkan hati Lana sungguh hampa. Lampu kecil
berwarna merah masih kelihatan. Keletihan makin terasa.
‘Kenapa tak hijau? Sistem hotel ni ada masalah lagi
ke!’
Saat penuh kekecewaan itu, telinganya menangkap
bunyi sorongan troli. Nafas lega dihela. Harapannya berputik
kembali. Kepalanya segera dipalingkan. Kelihatan seorang
pekerja pengemas sedang menolak troli besar yang dipenuhi
tuala dan cadar putih.
“Cik!” laung Lana dengan kuat dan
bersungguh-sungguh.
Pekerja pengemas berusia dalam lingkungan 30-an
itu menoleh.
“Ya? Chalet cik ada masalah ke?” soal perempuan
pengemas itu.
Lana mengangguk. Nafasnya sedikit
termengah-mengah.
“Entahlah. Kad chalet saya ni ada masalah. Tak boleh
nak buka pintu,” ujar Lana dengan sengihan.
Perempuan pengemas itu merapati Lana.
“Mari saya cuba,” ujar perempuan itu mesra.
Dihulurkan kad akses tersebut kepada perempuan
pengemas itu. Setelah beberapa kali percubaan, hanya kelipan
berwarna merah yang kelihatan.
“Nombor chalet ni betul ke cik?” soal perempuan
pengemas itu.
Lana mengangguk.
“Betul,” balas Lana, menunjukkan nombor 521 yang
tertera pada sampul kad.
Perempuan pengemas itu mengangguk-angguk.
Sekeping kad dikeluarkan dari poket seluar.
“Saya buka dulu chalet cik ni. Tapi cik kena ke
kaunter semula. Kena set semula kad cik ni.”
“Okey. Nanti saya pergi kaunter,” ujar Lana,
mengangguk.
Perempuan pengemas itu tersenyum. Kad akses
master dimasukkan ke dalam lubang pintu. Serentak dengan
itu kelipan lampu hijau menyala.
Lana menarik nafas lega. Alhamdulillah.
“Silakan, cik,” ujar perempuan pengemas itu dengan
senyuman manis.
“Terima kasih banyak-banyak ya,” balas Lana dengan
senyuman gembira dan lega.
Pintu chalet bernombor 521 itu ditolak riang.
No comments:
Post a Comment