DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 6

SEMALAMAN Zara berfikir tentang Ashraf. Lelaki
tu Ashrafkah? Tapi kalau betul dia Ashraf, kenapa dia tak nak
mengaku? Itulah persoalan yang bermain dalam fikirannya
sehingga dia terlelap. Zara hanya terjaga apabila cahaya
matahari menerobos masuk ke celah-celah matanya. Dia
meraba-raba mencari selimut dan menutup seluruh muka.
Namun beberapa saat kemudian, mata Zara terbuka luas.
Selimut dicampak ke tepi.
“Sekarang pukul berapa dah ni?” Zara kelam-kabut
mencari telefon bimbitnya. Akhirnya dia menemui telefonnya
yang tersadai di bawah katil. Mata Zara terbeliak apabila
melihat waktu yang tertera di skrin telefon bimbit. 30 minit
lagi sebelum kelas pertamanya pada hari itu bermula. Kelas
Sir Haris. Pensyarah yang paling pantang kalau pelajar datang
lewat pula tu!
“I’m... totally dead!”
Sepantas kilat, Zara masuk ke dalam bilik air. Lepas
berus gigi dan basuh muka ala kadar, dia berlari-lari anak ke
bilik dan capai pakaian yang tersangkut di belakang pintu.
Singlet hitam, jaket lengan panjang, seluar jean lusuh
warna biru. Siap! Setelah mencapai beg dan buku Federal
Constitution yang tercampak di tepi katil, Zara turun ke
bawah dan pergi ke motor.
“Woi. Berhenti kejap!”
Zara secara spontan menoleh. Langkah terhenti.
Taufik! Zara mendengus.
‘Apalah malang sangat aku hari ni. Boleh pulak
terjumpa dengan Mr. Repeater ni!’
Taufik menghampiri Zara. Lelaki itu adalah kawan
baik Ashraf semasa kecil. Zara sendiri tak tahu apa masalah
Taufik sampaikan lelaki itu benci sangat dengan dia. Apatah
lagi sejak Ashraf pergi ke luar negara, hubungan mereka
menjadi semakin buruk. Pantang berjumpa, pasti ada saja
benda yang Taufik nak cari pasal dengannya. Dia pun sampai
dah lali dan boleh tahan lancang juga mulutnya setiap kali
membalas kata-kata Taufik. Apatah lagi sekarang mereka
belajar di universiti yang sama dan kos yang sama. Makin
keraplah mereka bertekak.
‘Wait, kejap! Agak-agaknya, kalau aku tanya pasal
Ashraf, dia tahu tak?’ Terdetik hal itu dalam hati Zara.
“Kau pandang aku macam tu apasal?” kata Taufik
kasar bila Zara renung dia macam harimau yang nak telan
mangsa.
“Bak sini FC kau. Pinjam!” Secara drastik, Taufik
terus merentap buku Federal Constitution dari tangan kanan
Zara.
Zara tersentak. Serta-merta darahnya mendidih.
“Hei, mangkuk ayun! Kalau kau nak, kau belilah
sendiri. Apasal nak ambil aku punya pulak?” marah Zara
sambil mencekak pinggangnya. Mukanya ketika itu sudah
bertukar warna seperti buah tomato. Terlupus terus niatnya
untuk bertanya.
“Nanti aku bagilah balik. Nak pakai untuk test
ni.” Nada Taufik yang seperti acuh tak acuh membuatkan
kemarahan Zara semakin berapi.
“Kau ingat aku peduli? Aku pun nak kena pakai
jugak. Kau ingat aku saja-saja suka nak usung FC ke sana ke
sini?” Zara tidak mahu mengalah lalu cuba mengambil buku
itu dari pegangan Taufik.
Tanpa diduga oleh Zara, lelaki itu menolak tubuh
dia sehingga badannya terdorong ke belakang dan hampir
terjatuh. Kesempatan itu digunakan oleh Taufik untuk
melarikan diri.
“Bye-bye, loser!” Sempat Taufik mengenyitkan mata
kepada Zara sebelum menghilang bersama motosikalnya.
Zara mengetap bibirnya geram. Sakit, tetapi sakit
lagi hati dia sekarang dengan nasib malangnya pada hari
ini. Dengan rasa kesal yang menggunung dalam hati, Zara
menggagahkan diri juga untuk hadir ke kuliah. Dia sempat
sampai sebelum jarum jam menginjak ke angka lapan. Tapi,
malang tak berbau. Dia masih kena halau kerana sebab lain.
Kerana dia tak bawa buku Federal Constitution yang telah
dicuri oleh Taufik tadi!
Zara menuju ke tandas. Paip air dibuka dan dia
membasuh muka dengan kasar. Kemudian paip ditutup
dengan kasar. Tapak tangan dihentak ke atas singki.
“Dasar senior bodoh! Repeater!” marah Zara lagi.
Tengoklah kalau dia jumpa sekali lagi dengan Taufik, memang
lelaki itu akan dia cencang-cencang sampai lumat!

ZARA MENUNGGU Taufik di tepi motor lelaki itu di fakulti.
Sekejap-sekejap dia merenung skrin telefon. Melihat waktu
yang tertera pada skrin. Makin lama masa berjalan, makin
darah Zara naik sampai ke kepala.
“Mana lelaki ni? Masa aku tunggu, tak muncul. Masa
aku tak tunggu, bertenggek depan mata!” omel Zara tak puas
hati. Dia menyepak batu-batu kecil yang berselerakan di atas
tar. Setengah jam kemudian, akhirnya yang dinanti tiba juga.
Taufik mengerut dahi melihat Zara yang
mundar-mandir di sebelah motornya.
“Apa hal kau berdiri dekat-dekat dengan motor aku?
Tak pasal-pasal kena samak pulak nanti bila balik.” Taufik
langgar bahu Zara.
Zara tertolak ke tepi. Bibirnya diketap kuat. Kurang
ajar!
“Hei, aku pun tak hinginlah nak dekat-dekat dengan
motor kau. Aku ni yang patut samak FC aku yang kau dah
curi tu. Dasar pencuri!” tempik Zara kasar.
Merah muka Taufik dibuatnya mendengar tuduhan
Zara.
“Woi! Ingat aku sengkek sangat ke? Tak kuasa aku
nak curi barang kau yang entah apa-apa tu!”
Darah Zara semakin menggelegak dengan nada
Taufik yang angkuh.
“Tengok, dah mencuri harta benda orang tak ingat.
Lepas tu ada hati nak berlagak lagi. Ni pak cik nyanyuk!
Sekarang jugak aku nak kau pulangkan FC aku. Now!”
“Hesy... serabutlah aku layan perempuan tak serupa
perempuan ni!” Taufik pakai helmet atas kepala.
Zara mengetap bibir. Kesabarannya sudah sampai ke
kemuncak. Tanpa berfikir panjang, dia terus menendang kaki
Taufik yang baru melangkah naik ke atas motor.
Taufik menjerit sambil memegang betis yang disepak
Zara tadi.
Zara tergelak sinis, sengaja mahu menyakitkan lagi
hati Taufik. Wajah lelaki itu sudah seperti udang terbakar.
“Hei, kau ni!” Taufik angkat tangan.
“Tamparlah! Tampar! Ingat aku takut dengan kau!”
Zara menyuakan muka ke Taufik. Sedikit pun dia tak gentar.
Dia tak akan tunduk pada mana-mana lelaki yang suka naik
tangan pada perempuan seperti ayahnya.
Taufik hela nafas panjang. Tangan diturunkan ke
bawah. Dia pejamkan mata seketika. Cuba tenangkan diri.
Dibuka beg galasnya, lalu mengeluarkan buku Federal
Constitution yang diambil daripada Zara tadi.
“Nah, ambil balik FC kau ni. Berkira sangat!” Taufik
menghulurkan buku itu kepada Zara.
Zara rentap bukunya kembali dengan kasar.
“Jangan kau berani nak ambil barang aku lagi! Aku
harap, kau gagal test kau hari ni. Biar kau kena repeat lagi
sampai kena buang fakulti, Mr. Repeater!” Zara terus berlalu
dari situ dengan hati yang puas.
Taufik menanggalkan helmet yang baru dipakai
tadi. Rambutnya diraup ke belakang dengan kasar. Lalu
dia mencapai satu beg plastik berisi coklat dan minuman
coklat Hershey dari dalam beg galasnya. Direnung plastik itu
seketika. Peristiwa tadi melayang dalam fikiran.
“Hei, Zara mana?” Taufik menegur Amira, rakan
sekuliah Zara sewaktu gadis itu baru keluar dari kelas Sir
Haris. Dia kenal Amira kerana gadis itu selalu berjalan
sama-sama dengan Zara.
Pagi tadi sebelum ke kampus, kelam-kabut dia
mencari buku Federal Constitutionnya dan akhirnya tetap
tak jumpa juga. Sudahlah pagi itu dia ada ujian untuk subjek
Constitutional Law II. Itulah sebabnya tanpa berfikir panjang,
dia mengambil buku Zara sebab memang dia dah terdesak
sangat. Boleh gagal dia kalau tak ada buku itu. Lepas habis
saja ujian, cepat-cepat dia keluar dari kelas untuk pulangkan
buku itu semula kepada Zara.
“Zara tak masuk kelas pagi ni. Dia kena halau dengan
sir sebab lupa bawa FC,” ujar Amira.
Taufik terus diam. Terdetik rasa bersalah dalam
hati. Sudahlah pagi tadi dia mengambil buku tu secara paksa
daripada Zara. Sekarang gadis itu kena halau dari kelas pula
gara-gara hal itu. Usai bercakap dengan Amira, Taufik terus
ke kafe dan membeli coklat dan air kotak Hershey berperisa
coklat kegemaran Zara. Dia tahu kerana Ashraf, kawan
baiknya pernah beritahu yang Zara sangat menggemari
coklat. Bahkan, dia pernah nampak Zara minum air coklat
Hershey ketika makan bersama rakannya di kafe.
Tapi setelah apa yang berlaku tadi, Taufik rasa
tiada gunanya lagi dia memberi Zara coklat dan air kotak
Hershey itu. Silap-silap, gadis itu akan menuduhnya yang
bukan-bukan lagi. Berkata benda-benda yang menyakitkan
hatinya. Zara memang tak akan pernah suka dengan dia.
Dia bukannya seperti Ashraf yang baik dan sentiasa bercakap
lembut dengan Zara. Dia hanyalah lelaki bodoh yang selalu
bercakap kasar dengan perempuan yang dia suka sebab Taufik
tak tahu macam mana nak meluahkan perasaannya. Berbelas
tahun berlalu, tapi dia masih kekal bodoh!
Akhirnya, Taufik membuang plastik berisi coklat dan
air kotak Hershey itu ke dalam tong sampah.

No comments:

Post a Comment