DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 5

Lima tahun yang lalu...
2009, Kuala Lumpur.

ZARA duduk termangu di dalam kelas. Sesekali
bahunya tersengguk-sengguk menahan kantuk. Semalam,
dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Gara-gara
pertengkaran mama dan ayah yang bagaikan tidak
berkesudahan itu.
“Apa yang nak jadi dengan abang ni, hah? Dahlah
rumah ni abang buat macam hotel je. Kalau abang nak, abang
balik. Kalau tak nak, abang buat macam abang tu masih
hidup membujang. Tak ada anak bini! Sampai bila saya nak
kena bertahan dengan perangai abang ni? Sampai bila?”
Suara Puan Izzati yang marah bagai masih
terngiang-ngiang di telinga Zara. Dia yang ketika itu berada
dalam bilik bersama adiknya, Izham hanya membatukan diri.
“Kau diam, boleh tak! Aku balik rumah ni
bukannya nak dengar kau berleter! Aku dah ada cukup
masalah sekarang ni. Tak payahlah kau nak tambah lagi
masalah aku!” Tengkingan Encik Khairil seperti guruh yang
berdentum-dentum di langit. Kuat dan menakutkan. Sedikit
pun dia tidak berasa segan dengan jiran sebelah rumah yang
pastinya boleh mendengar pertengkaran mereka suami isteri.
“Masalah tu abang yang cari sendiri. Jadi tak payah
nak salahkan orang lain sangat! Dahlah abang suka buat
perangai; nafkah tak bagi, hal anak-anak pun abang dah tak
nak ambil peduli. Saya dah penatlah nak tanggung biawak
hidup dalam rumah ni!”
Pang!
Seperti biasa. Setiap kali mereka bertengkar, pasti
akan disusuli dengan tamparan yang hinggap di pipi Puan
Izzati. Setelah itu, Puan Izzati akan masuk ke biliknya
dan Encik Khairil pula dengan selamba boleh menonton
televisyen, bagaikan tiada apa-apa yang terjadi.
Zara dan Izham berpandangan sesama sendiri.
Adiknya menggenggam penumbuk sambil mengetap bibir.
Muka adik lelakinya memerah. Zara terus memegang bahu
Izham, cuba menyabarkan adiknya.
Setiap kali mama dan ayah bergaduh, Zara
cepat-cepat akan masuk ke bilik Izham. Kerana dia risau,
adiknya akan bertindak di luar kawalan. Adiknya yang berusia
14 tahun itu boleh tahan barannya. Begitulah pertengkaran
itu berakhir apabila jarum jam menginjak ke angka 4 pagi.
Setelah kuliah berakhir, Zara menuju ke tempat
letak motosikal. Helmet dipakai, lalu menunggang keluar
dari kawasan universiti. Dia tidak pulang terus ke rumah.
Malas mahu menghadap wajah ayahnya. Motosikal yang
ditunggang dilencongkan tanpa arah tuju. Sekadar mahu
mengambil angin. Dua jam kemudian, barulah Zara pulang.
Sampai di rumah, belum sempat dia membuka pintu
pagar, Zara terdengar suara ayah sedang mengarah-arah
mama. Dia mengintai dari celah-celahan tingkap.
Terpampang di sebalik tirai yang sedikit terselak itu, mama
sedang melayan ayah makan. Kelakuan mereka seperti tiada
apa-apa yang berlaku semalam. Padahal kesan bengkak akibat
tamparan semalam masih berbekas lagi di pipi Puan Izzati.
Zara benci. Benci dengan apa yang dilihatnya. Benci
melihat mama yang masih mahu melayan ayah setelah apa
yang berlaku. Begitu senang memberi kemaafan pada insan
bergelar suami walau dia tahu perkara itu akan berulang.
Lagi dan lagi.
Zara menekan punat lif ke tingkat 14, tingkat paling
atas sekali. Setelah sampai, dia mengayunkan langkah ke
tangga empat segi yang menghubungkan tingkat itu ke atas
bumbung.
Setelah sampai di atas bumbung, dia melangkah
ke besi pengadang yang dibina di tepi bumbung itu. Zara
merenung pemandangan yang terbentang di depan mata.
Lampu-lampu neon yang dipasang di sekitar bandar raya itu
kelihatan cantik sekali apabila dipandang dari atas. Seperti
kerlipan bintang-bintang yang bersinar dari atas langit.
Zara terkenang kembali tentang masa lalu. Dahulu,
Encik Khairil tidak seperti itu. Dia seorang ayah dan suami
yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.
Walaupun tidak mewah, tetapi Encik Khairil cuba memberikan
kehidupan yang terbaik buat keluarganya. Zara juga tidak
pernah berasa dibeza-bezakan dengan Izham. Walaupun dia
hanya anak angkat, tetapi dia mendapat kasih sayang yang
sama rata daripada Encik Khairil dan Puan Izzati.
Namun, segalanya berubah beberapa tahun yang
lalu. Ketika itu, Zara masih berada di sekolah menengah,
manakala Izham masih bersekolah rendah. Kelemahan Encik
Khairil adalah terlalu mempercayai kawan-kawannya. Habis
wang simpanannya dilaburkan, konon-kononnya kawannya
itu mahu menjadikan dia sebagai rakan kongsi dalam
perniagaan. Akhirnya kawan hilang ke mana, dengan wang
simpanannya sekali lesap.
Kerana tidak mampu menahan tekanan, perangai
Encik Khairil terus berubah. Dia sudah pandai menyentuh
arak dan tidak pedulikan lagi urusan keluarga. Sehingga
mama yang dahulunya hanya suri rumah tangga, kini
terpaksa keluar bekerja untuk menanggung perbelanjaan
keluarga. Sudah puas dinasihati, tetapi sikap Encik Khairil
tetap sama. Bahkan makin hari, perangainya makin teruk.
Sampai ke satu tahap, ayah sudah berani mengangkat tangan
ke atas Puan Izzati. Walhal sebelum ini, dijentik sedikit pun
tidak pernah.
Zara menggenggam besi pengadang itu kuat.
Rasa geram yang bersarang dalam jiwanya ketika itu bagai
tidak dapat dibendung lagi. Dia tak tahu mahu meluahkan
perasaannya kepada siapa. Mama juga tak pernah mahu
melaporkan suaminya kepada pihak polis. Walaupun
kadangkala perlakuan ayah itu terlalu melampau sehingga
Zara merasakan Puan Izzati seperti punching bag saja kepada
ayahnya. Zara sendiri tidak faham kenapa mama masih
bertahan bersama Encik Khairil walau setelah apa yang
ayahnya telah lakukan. Alasan klise yang selalu diberikan
mama, kerana dia terlalu sayangkan ayah.
Sayang? Apa gunanya sayang kalau hidup setiap
hari seperti dalam neraka? Prinsip Zara, tak kisahlah betapa
menderitanya seseorang itu, ia bukan justifikasi untuknya
menyakiti orang lain.
“Arghhh!!!” Zara melampiaskan kemarahannya pada
dinding di bawah besi pengadang itu. Kakinya memang sakit,
tetapi hatinya lagi sakit. Berulang-ulang kali dia menendang
di tempat yang sama. Sehingga akhirnya dia lelah. Zara
tercungap-cungap kepenatan seraya menghalakan penumbuk
yang terakhir pada besi pengadang. Sakit tangan, sakit hati,
sakit kaki. Semuanya bercampur baur.
“Dah puas?”
Suara itu mengejutkan Zara. Dia menoleh-noleh
ke sekeliling, mahu mencari dari mana datangnya suara itu.
Kemudian dia menangkap kelibat seorang lelaki yang sedang
duduk di tepi tangki air tidak jauh daripadanya. Cahaya di situ
yang samar-samar menyukarkan Zara untuk melihat wajah
lelaki itu dengan jelas. Tetapi yang dia pasti, lelaki itu sedang
menghisap rokok gara-gara kepulan asap yang keluar dari
mulut dan puntung rokok yang diketip di celahan jarinya.
“Kau ni siapa?” soal Zara hairan. Selama dia tinggal
di rumah pangsa itu, rasanya dia tidak pernah pun mendengar
suara lelaki itu sebelum ini.
“Aku? Insan yang tak bernama.”
“Jangan nak main-mainlah,” selar Zara. Sudahlah
moodnya sedang tidak baik sekarang. Lelaki itu pula hendak
bermain-main dengannya.
“Cukuplah kalau kau tahu yang aku berada di sini
dengan tujuan yang sama seperti kau. Nak menenangkan
jiwa yang tak tenteram, menghadapi kerenah dunia yang
tak berpenghujung,” kata lelaki itu selamba. Langsung tidak
menjawab soalan Zara.
“Tak payah nak bersastera sangat dekat sini!” dengus
Zara.
“Sekarang aku nak beritahu, ni tempat aku. Aku
selalu lepak dekat sini, dan tak ada sesiapa pun yang pernah
kacau aku. Aku tak peduli siapa kau. Tapi kalau kau nak
tenangkan jiwa kau yang gundah-gulana tu, pergi ke tempat
lain. Kehadiran kau tak dialu-alukan dekat sini,” ujar Zara
berterus terang.
Lelaki itu membuang puntung rokoknya yang sudah
kontot ke tepi. Lalu dia melangkah ke arah Zara.
Zara sudah mengambil tindakan berjaga-jaga.
Manalah tahu kalau lelaki itu berniat jahat terhadapnya.
Berdiri beberapa inci daripada Zara, lelaki itu menghentikan
langkah. Zara masih sukar hendak melihat wajah lelaki itu
gara-gara wajahnya yang diselindungi topi.
“Tak boleh ke kita berkongsi tempat ni? Like, you
know, two is better than one.”
“Thanks but no thanks. Aku lebih selesa
bersendirian!” Zara terus menolak tawaran lelaki itu
mentah-mentah.
Lelaki itu seakan-akan tak peduli dengan kata-kata
Zara. Dia berjalan melintasi Zara, menuju ke pagar.
“Banyak yang dah berubah dekat sini, kan?” ujar
lelaki itu lagi. Jari telunjuknya diarahkan ke depan.
“Dulu, apartmen dekat depan tu masih dalam
pembinaan. Sekarang, dah siap dah pun. Tapi sayang, taman
permainan dekat bawah ni dah tak ada. Dah diubah menjadi
tempat letak motosikal.” Lelaki itu terkumat-kamit sendirian.
“Ya Tuhan. Nak mengimbau nostalgialah pulak
dekat sini. Streslah aku!” Zara sudah malas nak bertegang
urat dengan lelaki itu. Dia melangkah ke tangga.
“Tunggu!”
Langkah Zara terhenti. Ditarik nafas panjang dan
berpaling ke arah lelaki itu.
“Apa lagi?” soal Zara dengan nada tinggi. Sumpah,
tahap tekanan dia sudah hampir mencecah tahap maksimum.
Lelaki itu menyeluk tangan ke dalam kocek
seluarnya. Melihat itu, Zara sudah berundur setapak ke
belakang dan bersedia mahu menghempuk beg sandang yang
digalas ke kepala lelaki itu. Manalah tahu kalau-kalau lelaki
tu nak keluarkan pisau. Tetapi sangkaannya meleset apabila
benda yang dikeluarkan lelaki itu hanyalah sehelai sapu
tangan.
“Nah.” Lelaki itu menyerahkan sehelai sapu tangan
berwarna biru emerald itu kepada Zara.
“Untuk?” soal Zara pelik.
“Tengok tangan kau. Dah kotor dan hitam. Besi
pengadang tu pun bukannya bersih sangat. Sampai ada yang
berkarat. So be careful.”
“Macam mana kau begitu yakin yang aku tak ada
sapu tangan sendiri untuk lap tangan aku?”
Lelaki itu memandang Zara dari atas ke bawah.
Kemudian, sebuah senyuman menguntum di bibirnya.
“Seluar jean, t-shirt, baju yang ada hud, rambut
pendek, bertopi. Aku rasa perempuan macam kau ni memang
tak ada simpan tisu pun dalam beg kau. Apatah lagi sapu
tangan. Am I right?”
Zara mengetap bibir. Kurang ajar!
Senyuman lelaki itu makin melebar apabila melihat
wajah Zara yang merah. Dia mencapai tangan Zara, lalu
meletakkan sapu tangan di atas tangan gadis itu.
Zara tersentak.
“Till we meet again, Nurzara Anasuha.”
Mata Zara membulat. Pantas dia menarik tangannya
semula.
“Kau... macam mana kau tahu nama aku?”
Lelaki itu hanya diam. Dia berjalan menuruni tangga
dan menghilang.
Zara mendengus.
“Dasar lelaki gila! Psiko!” Dia mencampakkan sapu
tangan itu ke atas lantai. Lalu dipijak-pijak sapu tangan itu
beberapa kali. Sudahlah dia sudah sedia bengang, ada pula
lelaki entah mana hala yang menabur minyak atas api!
Tiba-tiba Zara ternampak seperti ada sulaman di
salah satu bucu sapu tangan itu. Dicapai sapu tangan itu
kembali.
Ekran? Mata Zara terbuka luas. Itu... itu nama abah
kandungnya! Zara pantas membelek-belek sapu tangan itu.
Air matanya terus mengalir laju. Sah, itu adalah sapu tangan
abah. Satu-satunya tanda kenangan abah yang dia ada setelah
abah meninggal dunia ketika dia berusia 10 tahun. Tapi, dia
tak pernah tengok sapu tangan itu lagi sejak dia berikan sapu
tangan itu kepada kawan baiknya untuk mengelap darah
kerana tangan siku kawannya tercedera ketika itu.
“Awak, ni sapu tangan ayah saya. Awak jaga baik-baik
tau.”
“Saya janji yang saya akan jaga baik-baik. Lepas mak
saya basuh sapu tangan ni, saya pulangkan kat awak, ya?”
Kenangan masa kecil itu berputar semula dalam
ingatan Zara.
“Ashraf,” sebut Zara sepatah.
Dia segera masukkan sapu tangan semula dalam
kocek, lalu berlari hingga ke lif. Butang G ditekan. Setiap
saat di dalam lif terasa bagai bertahun lamanya. Sebaik pintu
lif terbuka, Zara keluar dan berlari-lari anak di sekitar flat.
Matanya memerhati sekeliling, mencari lelaki yang berhud
tadi. Tapi, dia dah terlambat. Lelaki itu sudah tiada.

No comments:

Post a Comment