DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 22 October 2018

Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 10

Unit 521, Impian Resort & Spa
Sabtu, 23 November, 3.20 petang...

“ARRGGHHH...” Lana mengerang malas.
Tubuhnya berbaring pada tilam yang empuk itu. Spontan,
jari-jemarinya menggenggam cadar katil yang berbau harum.
Perasaan selesa dan teruja bermain di jiwa. Sesungguhnya dia
tidak pernah rasa tilam seempuk dan selembut itu. Dia sedar
yang dia harus ke lobi untuk menukar kad akses. Namun
tubuhnya perlu direhatkan terlebih dahulu. Saat yang begitu
ajaib ini perlu dinikmati tanpa gangguan.
‘Nanti-nantilah,’ bisik hatinya bertangguh lagi.
Nafasnya disedut dalam-dalam. Lana memejamkan
mata. Menghayati keselesaan yang begitu indah. Saat ini
adalah saat yang paling selesa buatnya. Bibir nipis Lana
tersenyum puas.
‘Hmm... nak tidur dululah,’ hatinya berbisik lagi.
Beep!
Membuntang mata Lana. Dahinya berkerut.
‘Hah? Bunyi apa tu?’
Kreekkk...
Oh, hampir sahaja Lana melompat dari katil.
Matanya membuntang besar. Dia bingkas duduk. Saspens.
Pandangannya terhalang oleh dinding pemisah ruang.
‘Bunyi pintu ke? Siapa yang buka pintu? Biar betul?
Ke aku yang salah dengar?’ bisik hati Lana cemas.
Sepantas kilat kedengaran bunyi pintu biliknya
ditutup kembali. Dikuti pula dengan bunyi tapak kaki.
Berdetak hati Lana. Panik tidak terkata.
Lana tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lehernya
dipanjangkan. Namun dinding pemisah bilik menghalangnya
daripada melihat lebih jauh. Dia ingin bersedia menghadapi
penceroboh yang memasuki biliknya. Matanya meliar melihat
ke sekeliling bilik.
Macam mana ni? Nak pukul guna apa? Sempat ke
kalau dia nak lari? Namun, belum sempat Lana berbuat
apa-apa, si penceroboh itu sudah tersembul di hadapan
matanya.
Lana semakin panik. Wajah penceroboh itu jelas
kelihatan. Mata mereka bertentang. Ekspresi terkejut
melatari kedua-dua wajah. Lana terpempan. Wajah lelaki di
hadapannya itu cukup garang dan menakutkan.
Oh, lelaki itu. Lana cuba mengingat sesuatu. Dia
pernah bertemu dengan lelaki itu. Di mana? Di mana ya?
Lana teringat sesuatu. Penceroboh itu adalah lelaki
kacak yang berselisih dengannya tadi!
“Apa awak buat kat sini?” ujar lelaki misteri itu
dengan garang, berang dan lantang.
‘Gila! Tanya aku buat apa pula? Woi! Psiko!’ bentak
Lana dalam hati. Melompat dia turun dari katil. Bertentang
dia berdiri menghadap lelaki itu pada jarak 3 meter.
Dipastikannya pada jarak tersebut, lelaki itu tidak mampu
menggapai tubuhnya.
“Apa pulak awak buat kat sini?” balas Lana, bengang.
Wajahnya sengaja dibuat sedikit garang. Dia pasti, wajah
comelnya akan kelihatan garang setidak-tidaknya garang
seperti singa lapar.
Namun, soalan Lana hanya membuatkan lelaki itu
kelihatan lebih marah. Lelaki itu pula yang benar-benar
kelihatan seperti singa lapar.
“Awak yang masuk bilik saya, awak boleh tanya saya
balik? Helo, suka hati sayalah nak buat apa pun! Penceroboh!”
bentak lelaki itu, lantang dan garang.
Lana panik. Penceroboh? Siapa penceroboh? Sah!
Lelaki ini mesti lelaki gila!
“Awak jangan nak apa-apakan saya. Keluar! Keluar!
Gila!” marah Lana, sedikit menggigil. Bagaimana kalau si
gila ini menerkam secara tiba-tiba? Lana berkira-kira untuk
menggigit tangan si gila itu sekiranya dia diserang.
Gigit tangan ke? Atau gigit kepala? Fikiran Lana
bercelaru. Cemas.
Lelaki itu membulatkan mata.
“Awak tu yang gila! Ini bilik saya. Keluar atau saya
panggil pengawal!”
‘Adoi! Berani dia halau aku!’ bisik hati Lana, bengang.
“Eh, gila! Suka-suka masuk bilik orang. Lepas tu,
halau orang pulak. Awak tu, berambus! Tolong, tolong!” Lana
mula menjerit.
Jeritan ‘tolong’ itu membuatkan lelaki itu bertambah
marah.
“Tolong jerit kuat sikit! Tak payah susah-susah aku
nak panggil pengawal,” ujar lelaki itu.
Lana terdiam. Oh, lelaki itu memang tinggi tahap
gilanya!
“Tolong! Tolong!” jerit Lana lagi, panik.
“Kau ni pun satu. Kau tahu tak, kau jerit macam
mana pun, kau dengan aku aje yang dengar. Apa kata kau
keluar. Lepas tu kau jerit kuat-kuat,” ujar lelaki itu dengan
cukup sarkastik.
Memang sah lelaki itu gila! Lana menggigit bibir.
Ketakutannya semakin memuncak. Fikirannya bingung
memikirkan tindakan yang perlu dibuat. Tanpa diduga,
lelaki itu tiba-tiba meluru ke arah katil. Seolah-olah ingin
menyerang Lana. Panik dan cemas menguasai perasaan Lana.
Ditarik sebiji bantal dan didepangkan ke arah lelaki itu.
“Jangan dekat! Kalau awak sentuh saya, saya gigit
awak!” ujar Lana cemas.
Lelaki itu terhenti.
“Hoi gila! Kau nampak tak telefon tu,” balas lelaki
itu menunjukkan isyarat ke arah katil.
Lana menoleh. Tersembul sebuah telefon bimbit
di situ. Mungkin tadinya berada di bawah bantal yang baru
ditariknya.
‘Eh, macam mana boleh ada telefon kat situ?’
Keraguan timbul dalam hati Lana. Terjongket keningnya.
“Perempuan gila, ini bilik aku. Telefon aku ada
kat situ. Sekarang ni, kau jangan nak macam-macam. Baik
kau berambus sebelum aku heret kau keluar,” kata-kata
menakutkan itu keluar dari mulut lelaki yang berwajah garang
itu. Oh, lelaki itu memang kacak, tapi sangat menakutkan!
“Ini bilik aku,” balas Lana, perlahan dan lemah. Kali
ini kata-kata itu dilafazkan dengan penuh keraguan.
“Woi, perempuan gila! Macam manalah kau boleh
cakap ni bilik kau? Kau buta ke? Nampak tak beg aku ada kat
situ?” sambung lelaki itu lagi, bertambah pedas. Mata lelaki
itu melirik ke arah tepi dinding. Di situ dengan jelas mata
Lana menangkap kelibat sebuah bagasi petak bersaiz 26 inci.
Lana terdiam dan terkedu.
Oh, macam mana dia boleh tak perasan! Hati Lana
tak keruan. Matilah dia. Matilah! Kerlipan lampu merah pada
pintu chalet kini bermain-main dalam fikiran. Oh, matilah!
“Oh... kau dah siap bawa beg kau masuk bilik aku,”
tempelak lelaki itu lagi. Nampaknya lelaki itu baru sahaja
ternampak bagasi Lana yang tersandar di tepi katil. “Memang
sah perempuan gila!” sambung lelaki itu lagi dengan angkuh.
Lana semakin cemas. Jari-jemarinya mula memicit
dahi. Buntu fikirannya. Kakinya terus terpaku. Terasa sejuk
seluruh rongga romanya.
Lelaki itu mencapai gagang telefon bilik. Mata lelaki
itu tidak berkelip memandang Lana. Seolah-olah memastikan
Lana tidak berlari keluar dari bilik itu. Seolah-olah Lana
seorang penjenayah berbahaya.
“Helo. Saya nak laporkan situasi kecemasan. Ada
penceroboh dalam bilik saya. Ya, sekarang! Bilik 521. Tolong
datang cepat!”


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN OKT 2018**   

No comments:

Post a Comment