DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 23 October 2018

Jodohku Paling Superb - Bab 1


TERBUNTANG luas mata tatkala melihat wajah
Johan yang hanya berjarak beberapa inci sahaja dari wajahku.
Aku sendiri tak pasti sudah berapa lama kami berkeadaan
seperti ini. Memikirkan bahana yang bakal menimpa,
pantas wajahnya kutolak menjauhiku. Aku menoleh keluar
dan cuba untuk melihat keadaan sekeliling tetapi gagal
memastikan lokasi sebenar dek hujan yang turun terlalu
lebat menyukarkan penglihatanku.
“Kau nak apa, hah?” Aku cuba memberanikan diri
dan bertanya kepada Johan.
Sudah terang lagi bersuluh. Sedangkan jika tidak
bertanya sekalipun, aku sudah punya jawapan yang pasti
tentang situasi yang sedang berlaku ketika ini.
“Syhhh... Jangan bising sayang. Kita akan nikmati
suasana romantik ni bersama-sama. Jangan tolak aku lagi
macam tadi, okey? Lagi kau tolak, lagi aku nak!” Serentak
dengan itu ketawa kuat meletus dari bibir Johan.
Ya Allah, dugaan apakah ini? Badanku kembali
menggigil. Air mata mengalir laju. Selamatkanlah hamba-Mu
ini, ya Allah. Peliharalah kesucianku.
“Kau jangan nak macam-macam dengan aku. Tadi
kau janji nak tolong hantar aku balik rumah!” Separuh
menjerit aku bersuara.
Johan sedikit pun tidak menghiraukan amarahku
malah dia semakin menghampiri. Kedudukan tanganku
terkunci. Aku tergamam dan tidak mampu bersuara.
“Wangi rambut kau. Cantik. Dah lama aku rasa nak
buat macam ni. Akhirnya termakbul juga.” Johan menyentuh,
membelai dan mencium hujung rambutku.
Gila! Johan memang dah gila!
Aku meronta-ronta untuk menyelamatkan diri.
Namun apalah dayaku sebagai seorang perempuan jika
dibandingkan dengan tenaga seorang lelaki sepertinya.
Tolonglah, aku tidak rela diperlakukan sebegini.
Bunyi guruh yang berdentum kuat menyedarkan
aku daripada lamunan yang panjang. Kenangan lama itu
sering kembali menghantui fikiranku di kala cuaca seperti
ini. Kedua belah tangan naik menekup wajah, cuba untuk
menghilangkan kegusaran yang mula bertandang di hati.
Kepalaku tergeleng beberapa kali dengan sendirinya. Aku
tidak boleh tunduk dengan gangguan emosi sebegini. Aku
harus kuat untuk mengharungi dugaan ini!
Pantas jemariku menari-nari di atas papan kekunci
komputer. Sesekali kepala menoleh ke luar jendela bangunan
yang dibina setinggi 16 tingkat ini. Langit di luar kelihatan
gelap menunggu masa untuk titisan-titisan hujan turun.
Hatiku semakin gelisah, degup jantung bertambah laju. Aku
mengucap panjang di dalam hati apabila mata menangkap
kilauan cahaya di dada langit ciptaan Allah yang terbentang
luas.
“Hesy, kenapalah esok juga nak kena submit benda
alah ni? Dahlah baru dapat instruction pagi tadi, tup-tup kena
hantar esok pula. Awal lagi ni. Apasal dah gelap sangat kat
luar tu? Stresnya aku!” Tanpa sedar aku mengomel sendirian.
Rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi.
Sesekali terlepas juga keluhan dari bibirku. Mujurlah cuma
aku sahaja yang masih belum pulang pada waktu ini. Jika
tidak tentu sudah dilabel gila kerana bercakap dengan diri
sendiri. Biarlah, ada aku kisah?
Beberapa ketika masa berlalu, akhirnya selesai juga
tugasanku.
“Yahoo, done! Bravo Arissya. Ini Arissya Amyra,
jangan pandang sebelah mata! Tengok orang sikitlah kalau
nak buli. Tahulah aku baru je kat sini. Tak patut betul, kan?”
Aku membebel lagi macam mak nenek. Eh, kejap! Aku ada
terkutuk bos sendiri ke tadi? Minta maaf bos, saya tak sengaja.
Hehe.
Senyuman menghiasi bibir setelah berpuas hati
dengan draf bajet tahunan yang akan diberikan kepada bos
untuk dibentangkan esok. Aku perlu cepat untuk sampai ke
rumah. Kaki melangkah laju menuju ke arah lif selepas fail
diletakkan di dalam bilik Puan Salina.
Sebaik sahaja lif berhenti di tingkat bawah, ayunan
langkah kakiku bertambah laju menyebabkan aku terasa
seolah-olah sudah tidak berpijak ke bumi lagi kerana sedar
hujan yang turun di luar sudah semakin lebat. Kalut mataku
mencari kunci kereta di dalam beg tangan, tiba-tiba...
Dush!
Bahuku merempuh sesuatu dengan kuat. Mata terus
terpejam menanti pengakhiran hidupku.
Cewah, macamlah kena langgar dengan kereta.
Takut dengan habuan yang menanti, perlahan-lahan aku
cuba membuka mata. Sedar-sedar sahaja terasa bagai ada
sesuatu yang memaut pinggangku. What? Aku tidak jelas lagi
sebenarnya ni. Apakah yang sedang berlaku? Slowlah aku ni.
Masih sukar untuk percaya bahawa aku telah diselamatkan
oleh seorang jejaka yang sedang leka merenung jauh ke
dalam mataku. Klise sangat cerita aku ni, kan?
Fuh, amik kau Arissya! Sikap kelam-kabut memakan
diri sendiri. Nasib baik tak jatuh tersungkur. Kalau jatuh tadi,
mana nak sorok muka ni? Sempat aku mengutuk diri sendiri
di dalam hati. Tak terasa nak bagi anugerah kat hero Malaya
yang sudah berjasa ni ke? Langsung tak ada, okey! Yang ada
hanyalah rasa berbahang di wajah apabila berada sedekat ini
dengan seorang lelaki. Lelaki asing pula tu. Tapi handsome!
Hesy, apa aku merepek ni?
“You are so beautiful. Who are you, my dear? I tak
pernah nampak you pun sebelum ni?” Luahan si lelaki di
antara dengar dengan tidak sahaja pada pendengaranku. Aku
salah dengar ke ni?
Sempat dia mencuri pandang ke dalam mataku
sebelum anak matanya beralih pada bibirku yang teroles
dengan lipstik berwarna pink cair.
Terkebil-kebil aku memandang perlakuan lelaki
di hadapanku ini. Entah kenapa suaraku ketika ini seakan
tersekat di kerongkong.
“Ehem.” Hanya itu yang mampu terluah setelah
aku berjaya mengurangkan rasa gugup di hati. Terasa terlalu
sukar untuk berbicara.
Sepasang mata itu masih menatap wajahku tanpa
berkelip. Ya, harus diakui bahawa dia berjaya membuatkan
aku berasa tidak selesa.
“Pardon?” Aku bertanya meminta kepastian tentang
patah-patah perkataan yang dilontarkan sebentar tadi. Tidak
mahu berserkap jarang. Jadi seeloknya aku bertanya semula.
Karang tak pasal-pasal dia cakap aku perasan pula. Tapi kan,
aku belum pekak lagi. Aku dengar apa yang dia cakap tadi,
cuma aku perlukan lebih kepastian.
“No, nothing. I mean are you okay?” Tanya si
lelaki sambil secara perlahan melepaskan pautannya pada
pinggangku. Mungkin dia agak yakin yang aku sudah boleh
berdiri dan mengimbangi diri sendiri.
Tahu pun nak lepaskan pinggang aku rupanya...
Ingatkan dia nak buat drama Hindustan dekat sini sampai pagi
esok. Isy, aku pun salah juga sebab biarkan saja. Pembetulan,
aku bukan sengaja nak biarkan, tapi masih terkejut lagi
sebenarnya.
“O... kay, okay. I’m okay. Thanks and sorry sebab
terlanggar you. I tak nampak. I nak cepat tadi,” tuturku
sambil tangan sibuk membetulkan tudung di kepala. Pastinya
tudungku sudah senget-benget dan tidak terurus. Cis, rosak
imej aku!
“No, no. You don’t have to blame yourself. I pun salah
juga. Kita sama-sama salah. Adil, kan?” Sebuah senyuman
yang paling manis dihadiahkan untukku. Wow, look at his
killer smile!
Lelaki ni tidak pernah melihat perempuan cantik
ke? Kenapa aku rasa dia pandang aku macam nak telan
hidup-hidup je? Seram betul! Dalam keadaan macam ni pun
aku boleh perasan lagi. Satu perasaan halus mula menjalar
di dalam hati. Terasa degupan jantungku bergetar hebat.
Kenapa dengan aku ni?
Kami berdua berbalas renungan tanpa sebarang
kata. Penglihatanku terpaku ke dalam anak matanya
yang mempunyai satu aura yang sukar untuk ditafsirkan.
Pandanganku terus-terusan tertumpu di situ. Apa aku buat
ni? Wake up, Arissya!
Tersedar daripada kesilapan sendiri, aku terus
menoleh ke arah lain. Tiba-tiba kedengaran bunyi guruh
berdentum. Aku terkejut dan secara tidak sengaja kenangan
lama itu datang kembali menjengah ke kotak fikiranku.
Secara automatik, tanganku naik menekup kedua-dua belah
telinga. Aku membuka langkah dan segera berlari meloloskan
diri ke dalam kereta, membiarkan lelaki itu memandang ke
arahku dengan pandangan yang mempunyai seribu persoalan.
Sedaya upaya aku cuba mengawal tangan yang
terketar-ketar untuk menghidupkan enjin kereta Honda Jazz
putih milikku. Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir
keluar akhirnya.
Lelaki tadi! Mataku menghala ke arahnya dan aku
lihat dia sedang melangkah ke arah keretaku dengan pantas.
Cermin keretaku diketuk laju. Apa lagi yang dia mahukan?
Arghh, lelaki semuanya sama! Bersama esakan yang kuat
kedengaran, aku menurunkan sedikit cermin kereta.
“Pergi! Jangan ganggu I! Pergi!” Aku menjerit kuat
ke arahnya. Kawasan parkir yang sunyi itu sedikit bergema
dengan laungan suaraku yang kuat.
“Semuanya okey, miss? Ada apa-apa yang tak kena
ke? Need my help?” Wajah lelaki itu kelihatan agak terkejut
sehingga menampakkan kerutan di dahinya.
Tiba-tiba rasa bersalah menyerbu ke dalam hati
apabila sinar kejujuran terpancar dari sepasang matanya yang
berjaya mencuri tumpuanku.
Kenapa pula aku melepaskan amarah kepadanya
sedangkan dia tidak bersalah? Malah dia yang menghulurkan
pertolongan sebentar tadi. Aku tidak seharusnya menengking
lelaki itu kerana dia tidak tahu apa-apa.
Kekesalan datang bertimpa-timpa akibat gagal
mengawal emosi sendiri. Tetapi apakan daya, aku tak sengaja.
Ketenanganku sering kali terganggu di kala hujan lebat
berserta bunyi guruh begini. Kenangan lama itu masih lagi
menghantui diri. Terlalu sukar untuk memadamkan tragedi
hitam itu dari dalam ingatan. Cuma Haneez sahabatku
sahaja yang mengetahui rahsia yang tersimpan kemas selama
beberapa tahun ini.
“I’m okay. Nothing to worry about. Sorry again.”
Tersentak dari lamunan terus aku berkata begitu sambil
menyeka air mata yang merembes laju membasahi pipi.
“Thanks for your concern.” Sebelum berlalu sempat aku
bersuara perlahan kepadanya.
Dia hanya tersenyum sambil mengangguk. Merah
wajahku menanggung malu apabila sedar akan kealpaanku.
Berbeza dengan si lelaki yang nampak lebih tenang dan tidak
cepat melatah walaupun aku meninggikan suara kepadanya
tadi. Kelak suasana pasti akan menjadi kekok jika ditakdirkan
kami berjumpa lagi. Jadi seeloknya aku berharap agar tiada
lagi pertemuan antara kami selepas ini. Walaupun hatiku
meronta-ronta untuk bertemu lagi dan meminta maaf
daripadanya.

No comments:

Post a Comment