SEPANJANG perjalanan ke rumah tangisanku
tidak henti-henti. Terbayang gambaran dua orang lelaki yang
paling aku benci di dalam dunia ini. Kenapa? Kenapa terlalu
sukar untuk melupakan kejadian itu? Kenapa tidak semudah
memadamkan coretan pada sehelai kertas? Mengapakah
aku yang dipilih untuk melalui ujian ini? Terlalu banyak
persoalan yang sering bermain di benak tetapi masih juga
tidak menemui sebarang jawapan sejak dulu lagi.
Sampai sahaja di hadapan rumah, aku terus
memarkirkan kereta. Selepas pintu kereta dikunci, aku
terjelepok sambil menghamburkan tangisan. Kaki terasa
lemah sehingga tak mampu lagi untuk meneruskan langkah.
Sengaja aku biarkan air hujan membasahi diri dengan
harapan supaya kenangan silam itu dibawa pergi bersama
derasnya air yang mengalir di tubuhku ini. Mata kupejam
dengan rapat sambil menggelengkan kepala berkali-kali.
Badan terasa semakin tidak bermaya di saat ini.
“Mak... Issya rindu mak sangat-sangat. Kenapa mak
pergi tinggalkan lssya waktu lssya betul-betul perlukan mak
di samping lssya?”
Setelah beberapa minit berlalu, aku masih lagi
berkeadaan seperti ini. Masih pegun di luar ditemani air
hujan yang turun dengan lebat. Setelah puas menangis
sendirian, aku berdiri dan melangkah masuk ke dalam rumah
dengan longlai.
SEMASA MELEWATI bilik Haneez, langkahku terhenti
seketika. Sedar aku yang memerlukan bahu untuk
mengadu, pintu bilik Haneez kutolak dan segera berlari
mendapatkannya.
“Haneez, aku takut. Tolong aku! Aku takut...
takut sangat.” Terhinggut-hinggut bahuku cuba mengawal
tangisan.
“Kau kenapa ni, Rissya? Apa dah jadi ni?” Haneez
yang tadinya sedang menghadap laptop agak terkejut dengan
tingkahku. Pelukanku dibalasnya. Dia mengusap belakang
badanku dengan perlahan untuk memberikan aku sedikit
ketenangan.
“Hu... hujan... Gu... guruh. Aku teringat kejadian tu.
Aku takut, Haneez! Aku benci lelaki! Aku benci Johan! Aku
benci Irham!” Semakin kuat esakan suaraku kedengaran.
Masih terbayang wajah mereka silih berganti diselangi gelak
tawa yang kuat kedengaran di cuping telingaku.
“Menangislah Rissya. Menangislah sepuasnya.
Keluarkan apa yang kau rasa. Aku ada dengan kau kat sini.
Kau jangan takut. Takde sesiapa pun boleh apa-apakan kau.”
Terasa erat pelukan Haneez di tubuhku. Tangisanku pula
semakin kuat kedengaran memecah kesunyian di rumah
sewa yang hanya dihuni oleh kami berdua.
Seketika kedengaran nafas panjang ditarik sebelum
Haneez menyambung kata-katanya.
“Sabar, Arissya. Dah... kau jangan takut, ya? Kita
selamat kat sini, ada kau dengan aku je. Takde orang lelaki.
Jangan risau... takde Irham, takde Johan.” Kedudukan kami
dijarakkan olehnya. Haneez memegang kedua belah bahuku
seakan ingin menyuntik semangat baharu ke dalam diriku.
“Aku rindu mak aku. Aku rasa bersalah sangat sebab
aku, mak pergi tinggalkan aku selamanya. Semua ni berlaku
kerana kebodohan aku sendiri. Kenapa aku bodoh sangat?
Kenapa aku keluar juga sedangkan mak dah larang. Aku ni
degil, kan?” Aku melepaskan segala yang terbuku dalam hati
diiringi linangan air mata yang mengalir tanpa henti.
“Syhhh... bukan salah kau. Semua tu takdir yang
dah Allah tetapkan. Kau terimalah dengan reda. Kau kena
lawan perasaan takut kau tu. Sampai bila kau nak jadi macam
ni? Move on, Rissya. Aku tahu kau boleh. Lawan perasaan
takut kau pada hujan dan guruh. Buang rasa benci kau pada
lelaki. Buka pintu hati kau seluas-luasnya. Aku sayang kau
sangat-sangat. Aku tak nak kau musnahkan masa depan kau
hanya kerana dua lelaki yang pernah hadir dalam hidup kau
tu. Bagi peluang pada hati kau, Rissya. Sekarang adalah masa
yang tepat untuk kau move on. I believe that some where out
there, there is someone who will love you for who you are.”
Panjang nasihat yang diberikan oleh Haneez kepadaku.
Aku menyeka air mata dan tersenyum sedikit.
“Terima kasih, Haneez. Aku pun sayang kau sangat.
Kaulah satu-satunya sahabat aku dunia akhirat. Terima kasih
sebab selalu ada bila aku perlukan kau.” Luahan ini lahir dari
hatiku yang paling dalam.
“Sama-sama. Kita kan best friend forever,” balas
Haneez.
Aku menjadi pelik apabila melihat Haneez
menjegilkan matanya kepadaku secara tiba-tiba.
“Dah, pergi mandilah! Tak pasal-pasal aku pun kena
tukar baju. Habis basah dah ni!” Dia mencapai bantal kecil di
sebelahnya dan dilibas perlahan ke paha kananku.
Aku tahu Haneez sekadar ingin menceriakan hatiku.
Tak boleh jadi ni, aku kena buat serangan balas.
Hehe. Tanpa berlengah aku mencampakkan semula bantal
kecil tadi ke muka Haneez dan berlari keluar sambil ketawa.
Kedengaran suara Haneez yang turut sama tergelak dari
dalam biliknya.
“Haneez, aku rasa gaya kau bagi nasihat tadi dah
boleh jadi kaunselor tau!” laungku dari luar. Dia membalas
juga dengan butir bicara yang tidak jelas di telingaku. Aku
hanya tersenyum menggelengkan kepala. Terima kasih Allah
kerana menganugerahkan seorang sahabat sejati kepadaku.
Aku nekad dan berjanji bahawa hari ini akan menjadi
hari terakhir aku membiarkan diriku dikuasai oleh kejadian
silam itu. Buka buku baharu, tutup buku lama. Itulah yang
akan cuba aku lakukan bermula dari sekarang. Selamat
tinggal kenangan hitamku. Selamat tinggal Irham dan
Johan. Akan kucuba padamkan ingatan terhadap dua lelaki
ini dengan sedaya upaya. Itu azamku!
SETELAH SELESAI membersihkan diri, aku segera
menunaikan solat maghrib yang sudah hampir ke
penghujungnya. Semuanya gara-gara emosiku yang terlebih
sensitif tadi. Kepada Allah aku memohon kekuatan dan
perlindungan untuk meneruskan kehidupan yang penuh
ranjau dan duri.
Sedar sahaja perut sudah terasa sakit. Kepedihannya
mencucuk sehingga ke hulu hati. Aku terlelap selepas
menunaikan solat isyak tadi. Perlahan aku buka mata. Terasa
berdenyut di kepala. Baru teringat yang aku tidak sempat
makan tengah hari siang tadi gara-gara terpaksa menyiapkan
kerja urgent yang diberikan secara tiba-tiba kepadaku.
Padahnya aku hanya sempat minum secawan air Milo dan
beberapa keping biskut sahaja demi memenuhi tuntutan
kerja.
Inilah satu tabiatku yang tidak suka
menangguh-nangguhkan kerja yang dipertanggungjawabkan.
Sekarang, hadaplah sendiri bahana yang datang. Semakin
kuat rasa yang mencucuk pada ulu hati. Sah gastrik dah mai
ni. Huaaargh, baik aku makan cepat!
Usai melipat sejadah dan telekung, aku bergerak
turun ke dapur. Maggi cup aku ambil dan air panas aku tuang
ke dalamnya. Settle!
Sedang aku menikmati keenakan mi segera berperisa
tomyam, satu suara datang menyergah.
“Hoi, kau duduk kat dapur macam pencuri ni
kenapa? Bukalah lampu!”
Siapa lagi kalau bukan Haneez. Yalah, dalam rumah
ni memang aku dengan dia sahaja. Terkejut disergah begitu,
nasib baik tidak terlepas garpu di tanganku.
“Aku lapar sangatlah sampai lupa nak buka lampu.
Hehe. Lagipun, bukannya gelap sangat. Lampu hall tu sampai
sini terangnya.” Sengihan aku tayangkan dengan mi yang
masih berjuraian di celah bibir.
“Hesy, tak senonohlah kau ni! Kalau ada lelaki
nampak ni confirm reject nak buat bini tau.” Serentak itu
lampu terpasang. “Hah, kan terang ni. Barulah boleh tengok
muka kau yang cun melecun tu,” ujar Haneez.
“Haneez, aku ada benda nak cerita dengan kau
ni.” Lantas kerusi di sebelahku ditarik dan dia hanya
menganggukkan kepala isyarat supaya aku meneruskan
bicara.
“Tadi masa kat parking ofis, aku kelam-kabut
sangat sebab masa tu hujan dah turun. Kau tahulah aku ni
kan clumsy sikit. Lepas tu, aku terlanggar sorang laki ni.
Nasib baik dia sempat selamatkan aku. Kalau tak, mahu dah
terjelepok aku jatuh. But the worse part is, dia paut pinggang
aku. Aduhai... malunya. Tapi aku tahu dia tak sengaja. Tu
spontaneous, kan?” Sengaja aku buat reaksi menutup muka
dengan kedua tapak tangan.
“Hah? Seriously? Siapa dia tu? Kau kenal tak?
Handsome tak muka dia? Budak ofis kau juga ke?” Bertalu-talu
soalan yang keluar dari mulut Haneez. Nah, inilah dia Haneez
Zulaikha sahabatku. Kalau teruja tu, memang habislah
berdas-das tembakan terkeluar dari mulutnya.
“Hoi, hoi! Relakslah. Satu-satulah tanya. Ni tak, dah
macam bom atom aku tengok. Nasib tak tercekik Maggi ni,
tahu tak?”
Minah ni memang macam nilah perangainya. Itu
yang membuatkan aku malas nak cerita dengan dia. Mana
tidaknya, nanti habis sampai ke lubang cacing dikoreknya.
“Sorry, sorry. Alah, kau macam tak tahu pula
penyakit aku yang satu ni.”
Muka berkerut seribu yang Haneez tayang di saat ini
mengundang tawa di bibirku. Sesudah itu, kami sama-sama
tergelak besar. Hahaha!
“Errr... aku tak tahulah pula siapa dia. Selama aku
kerja kat situ, aku tak pernah nampak dia. Muka tu aku tak
perasan sangatlah sebab aku dah malu tahap gaban. Lepas tu
aku terus lari masuk kereta sebab tetiba guruh berdentum.
Dia datang lagi dekat aku maybe sebab kereta aku tak bergerak
lagi kut. Lepas tu aku termarah dia pula. Aku rasa bersalah
sangat walaupun aku dah minta maaf pada dia.” Masihku
ingat wajah terkejut si lelaki apabila aku memarahinya.
“Ohhh... Sampai situ jelah? Takpe, nanti aku minta
tolong Rafiq carikan siapa si jejaka misteri kau tu, eh?
Ingatkan ada lagi babak-babak romantik yang bersambung.
Hehe. Okeylah aku nak tidur. Dah mengantuk ni.”
Wah, bukan main lagi si Haneez ni.
Mentang-mentanglah tunang dia kerja satu ofis dengan aku.
“Okay, thanks Haneez. Aku kalau boleh nak minta
maaf lagi sekali kat lelaki tu. Kau jangan nak tokok tambah
cerita yang mengarut pula dekat Rafiq nanti. Kalau aku tahu,
siap kau!” Keras amaranku. Padahal bukan serius pun.
Haneez hanya tersengih memandangku
No comments:
Post a Comment