DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Dekat Padamu - BAB 1

“ASTAGHFIRULLAH AL’AZIM, kau ni memang cari masalah, tau tak?!” marah Shafiqa dengan mata mencerlung merenung si teman yang duduk di hadapannya. “Boleh tak jangan buat kerja gila macam tu?!” 

Ashila tersengih. Dia tahu Shafiqa tidak akan bersetuju dengan rancangan Jamal. Tetapi entah kenapa ringan sahaja mulutnya memberitahu perkara itu kepada Shafiqa. Ya, hanya untuk makluman Shafiqa dan dia benar-benar rasa gembira dengan percutiannya dan Jamal kelak. 

“Kau baru aje bertunang, tau tak!” tekan Shafiqa dengan suara agak keras namun perlahan. “Tak baik buat tunang kau macam ni. Kalau tak mahu cakap dengan ayah dan ibu kau, Ashi!” 

“Itu pilihan mereka, bukan aku.” 

Keras suara Ashila. Dia baru sahaja bertunang dua bulan yang lalu dengan anak rakan ayahnya. Pilihan orang tua dan bukan pilihan hatinya, namun entah mengapa dia berasa terlalu berat untuk menolak walhal sudah hampir dua tahun dia berpacaran dengan Jamal. 

Shafiqa bersandar kemas di kerusi yang diduduki hampir setahun yang lalu sambil berdengus kasar. Memandang si teman yang berada di hadapan meja kerjanya. “Mujur kau bukan adik aku tau. Kalau tak memang dah aku campak kau dalam perigi buta!”

Ashila ketawa. Dia tidak sampai hati hendak menolak pelawaan Jamal yang mengajaknya bercuti di Koh Samui, Thailand. 

“Fikirkan balik Ashi. Aku tak mahu kau terjerumus. Esok kau sendiri yang akan menyesal. Lagipun kau baru lagi bertunang. Apa kata uncle, aunty dan bakal mertua kau kalau mereka semua tahu perkara ni?” Terasa berbuih mulutnya mengulang kata-kata yang sama. 

Shafiqa bangun sebentar lalu menjengah ke tempat Mazni yang dihalangi oleh partition wall setinggi dagunya. Mazni belum pulang dari bersolat? Dia menarik nafas lega. 

“Kau tak tahu perasaan aku, Ika.”

“Aku tahu dan aku faham. Kau cintakan si Jay tu. Tapi aku tak faham, kenapa kau tak berterus terang dengan orang tua kau? Sampai bila nak terus begini?” 

Ashila berdengus kasar. Dia membenarkan kata-kata Shafiqa. 

“Lambat laun uncle dan aunty akan tahu juga perkara ni,” akhirnya Shafiqa bersuara setelah tiada kata-kata keluar dari mulut teman baiknya. 

“Mereka takkan tahu kalau kau tak bagitahu,” pintas Ashila pantas. Shafiqa menggeleng kepalanya. 

“Perkara tak baik, tak perlu dibagi tau. Allah sendiri akan tunjukkan.” 

“Habis aku nak buat macam mana?” soal Ashila perlahan. “Takkan aku nak tolak. Jay dah pun booked tiket untuk aku?” berkerut dahinya. Mengharapkan jawapan positif daripada teman baiknya.

“Tiket tu berapa sangat. Tolaklah dengan apa yang dia berhutang dengan kau,” tegas Shafiqa. “Apa kata orang nanti, kalau kau pergi berdua. Kalau pergi beramai-ramai tu,
aku pun tak kisah. 

“Kalau macam tu, apa kata kau pergi bersama dengan aku?” Ashila membuat cadangan.

Lama Shafiqa memandang temannya dengan rasa berbaur. “Siapa nak siapkan pelan ni?” tunjuknya kepada pelan yang terbentang di hadapannya. 

“Suruhlah Abang Muz atau Abang Is.”

“Senangnya kau cakap. Kau tu anak tauke, tak apa. Hujung bulan dapat gaji walaupun tak kerja,” perli Shafiqa. Bukan dia cemburu tetapi bengang dengan saranan si teman yang tidak masuk diakal. 

Ashila tersengih tanpa membalas sindiran si teman. 

“Fikir baliklah Ashi,” pujuk Shafiqa sekali lagi. 

“Hanya bercuti aje, Ika.”

“Bercuti pun, kau jamin bilik lain-lain?” 

“Ya.” Terkelip-kelip mata Ashila. Sebenarnya dia tidak bertanya tentang perkara itu kepada Jamal dan dia juga tidak pasti di mana mereka akan menginap kelak. 

“Betul ke?” ada rasa ragu dengan reaksi wajah Ashila. 

“Ahh... sudahlah! Aku tak perlu persetujuan kau pun!” Tiba-tiba sahaja dia merasa cemas dengan soalan Shafiqa. Pantas dia melangkah meninggalkan cubicle temannya dan menuju ke biliknya yang terletak di sebelah bilik Pengurus Pentadbiran dan Kewangan.

Shafiqa menghela nafasnya. 

Iskandar menarik tangan Shafiqa masuk ke bilik kerjanya. Gadis itu baru sahaja keluar daripada bilik printing untuk mengambil pelan yang sudah dicetaknya hampir sejam yang lalu.

Terkial-kial Shafiqa mengikut rentak langkah Iskandar. Apa yang tidak kena dengan lelaki ni? Mentang-mentanglah aku kerja dengan bapak dia, sesuka hati dia aje nak buat aku macam ni, dengus Shafiqa sendiri.

“Apa abang ni? Tak malu dekat staf-staf abang di luar tu?!” Shafiqa merentap tangannya daripada pegangan Iskandar. Geram pula dia dengan tindakan Iskandar. 

Iskandar menutup pintu biliknya kemudian memandang Shafiqa dengan hati yang berbaur. Terbayang-bayang di matanya apa yang dilihat semalam. 

“Abang dan Abang Muz jumpa dia dengan lelaki lain,” ujar Iskandar yang mula menunjukkan kegelisahan sambil mundar mandir tidak menentu. Tangan kirinya di pinggang sementara tangan kanannya meraup rambutnya dengan kasar. 

Shafiqa senyap. Dia sudah sedia maklum dengan masalah rumah tangga Iskandar, tetapi apa yang dapat dilakukan walaupun lelaki itu mengadu kepadanya. Iskandar suka membebankan masalah rumah tangga di kepalanya. Kedua-dua anak Encik Zakey, sama ada Iskandar mahu pun Ashila, suka meluahkan masalah mereka kepadanya. Hatinya membungkam marah dengan dua beradik itu. 

“Jadi, abang nak Ika buat apa? Ambil kapak pancung kepala dia orang berdua ke?” soal Shafiqa sedikit geram. Mengapa dengan lelaki ini? Bukan itu pertama kali dia melihat isterinya dengan lelaki lain. Pelik sungguh alam rumah tangga ni, ya? Gumamnya sendiri. Sebenarnya dia tidak suka mendengar masalah yang tiada kaitan dengan dirinya.

Iskandar ketawa mendengar kata-kata Shafiqa. Adakala kata-kata yang keluar dari bibir comel gadis itu terasa lucu. Dia tahu Shafiqa marah kerana diheret sama di dalam permasalahannya. Tetapi dia tiada tempat untuk bercerita dan Shafiqalah menjadi sasarannya. 

“Bukan begitulah sayang. Cuba bagi idea pada abang,” cadang Iskandar, kembali ke bangku empuknya apabila dilihat Shafiqa sudah pun duduk di salah sebuah kerusi yang menghadap mejanya. 

Shafiqa menghela nafasnya.

“Abang... Ika tak kahwin lagi. Mana Ika tau nak selesaikan masalah abang. Abang tanyalah ayah abang atau susah sangat pergi ke pejabat agama, dia orang tentu ada sesi kaunseling pasal rumah tangga kan?” balas Shafiqa. 

Iskandar memandang Shafiqa. Benar juga apa yang dicadangkan oleh Shafiqa.

“Entahlah,” keluhnya sendiri.

“Bang, kalau dia dah buat begitu, kenapa abang nak simpan lagi? Abang dah nampak dengan mata kepala abang sendiri dan bersaksikan Abang Muz kan? Abang seolah-olah membenarkan maksiat berlaku. Abang dah dianggap dayus tau,” ujar Shafiqa.

“Ika...”

“Maaf, Ika cakap macam tu. Tapi memang betul pun. Abang dah boleh dianggap dayus,” Shafiqa ketawa kecil ketika mengungkap ayat terakhir. 

“Ika.” Bulat mata Iskandar memandang ke wajah gadis di hadapannya.

“I’m sorry,” pinta Shafiqa sekali lagi dalam tawanya. Terasa lucu dia mengucap perkataan itu. “Perkara ni dah terlalu lama. Abang sanggup tanggung segala apa yang dilakukan oleh Kak Tini?” soal Shafiqa. Tiada perasaankah Iskandar? “Abang dah patut buat keputusan lama dulu,” nasihatnya. Terasa lelah dia menasihati Iskandar. Nasihatnya seperti mencurah air ke daun keladi. Sama sahaja dua beradik itu. Minta nasihat, tetapi tiada satu pun yang mereka dengar mahu pun ikut.. Terasa membazir air liur yang dikeluarkan. Kalau berbayar tidak kisah sangat. 

Iskandar senyap, memandang Shafiqa yang berada di hadapannya. Hatinya mendidih apabila bertemu dengan Kartini di Suria KLCC bersama seorang lelaki. Ya, itu bukan kali pertama, tetapi sudah berkali-kali dengan lelaki yang sama. Dan dia membiarkan perkara itu berlaku kerana mereka sudah tidak sebumbung lagi. Tetapi semalam, perlakuan Kartini begitu menjengkelkan sekali.  Mahu sahaja dia membunuh keduanya di situ. Mujur juga ada Muzaffar yang menahannya daripada mara mendapatkan kedua mereka. Kalau tidak, dia tidak pasti apa yang akan berlaku dengan keduanya di situ. 

Melihatkan kebisuan Iskandar, Shafiqa bangun. Letih dia dengan kerenah lelaki itu.

“Ika banyak kerja, abang jangan kacau.” Shafiqa memberi amaran sambil mencapai kertas bersaiz A3 yang baru diambil dari bilik printing di bahagian belakang bilik pantri.

Iskandar juga turut bangun. “Lunch dengan abang hari ni. Banyak benda nak cerita pada Ika.” Iskandar menuruti lenggok Shafiqa menuju ke pintu. 

Shafiqa menoleh sambil memandang Iskandar. “Abang dah tak available, nanti jadi gosip pulak,” balasnya tanpa senyuman. Iskandar senyum. 

“Ada tiga lagi kosong. Ika nak jadi yang nombor berapa? Kedua? Ketiga? Keempat?” usik Iskandar dengan sengihan di bibir sambil menurunkan kaca
mata Shafiqa yang tersangkut di atas kepalanya. Dia suka melihat Shafiqa berkaca mata.

“Ika nak jadi yang tunggal. Tak mahu ada nombor,” balas Shafiqa lalu melangkah keluar. Kalau dilayan Iskandar, alamat kerja-kerjanya tidak akan selesai. 

“Amboi, tamaknya! Kita kena kongsi-kongsi tau. Sharing is caring.” Iskandar terus menuruti langkah Shafiqa menuju ke meja kerjanya yang terletak bersebelahan biliknya.

Kepala hanguk kau! Kutuk Shafiqa sendiri. Yang seorang tu pun Iskandar tidak terjaga, inikan pula nak beristeri empat. Lelaki ni betul-betul cakap tak serupa bikin, kutuknya lagi. Tidak pasal-pasal lelaki itu menjadi bahan kutukannya. Aduhai, dosa lagi, desisnya sendiri.

“Macam tu cari orang lain. Ika tak mahu kongsi-kongsi,”  tingkah Shafiqa sedikit keras sambil terus melangkah dengan laju menuju ke tempatnya, dengan harapan Iskandar tidak menjejak hingga ke meja kerjanya.

“Hidup ini satu perkongsian, kita patut berkongsi kongsi,” Iskandar terus menurut langkah Shafiqa dari belakang. Memandang belakang Shafiqa. Hmm... boleh tahan body Ika ni, desisnya dengan senyuman lebar. Badan mengalahkan model! 

Shafiqa senyap, malas hendak melayan kata-kata Iskandar.

“Abang jadikan Ika isteri yang bongsulah, okey?” soal Iskandar dengan senyuman meleret.

Shafiqa memandang Iskandar di sebalik kaca matanya dengan renungan yang tajam.

“Amboi senangnya hidup, ya!” Mazni di sebalik dinding bersuara. 

Iskandar senyum lalu melangkah menghampiri dinding yang memisahkan tempat Shafiqa dan Mazni. 

“Okeylah tu... Kak Maz. Ika ni kan manja sikit, jadi kena jadikan dia yang bongsu.” Iskandar sudah tergelak dengan kata-katanya sendiri. Entah apa yang dikarutnya pun, dia sendiri tidak pasti. 

“Ika nak jadi yang bongsu untuk Is ke?” soal Mazni yang sudah bangun dan menjenguk Shafiqa di sebelahnya. 

Iskandar ketawa mendengar soalan daripada Mazni.

Tiba-tiba dia berasa lucu pula. Shafiqa menjeling ke arahnya. 

“Merepek!” Tingkah Shafiqa tanpa memandang keduanya.

Kertas bersaiz A3 itu dipandangnya untuk melihat lakaran bangunan yang sudah siap. Dia perlu menyiapkan dengan segera sebelum Iskandar melihatnya. Banyak lagi lakaran yang menunggu untuk disiapkan. 

“Tak apa. Siap sedialah Ika. Abang akan jadikan Ika isteri bongsu abang nanti,” Iskandar seperti mengugut Shafiqa kemudian ketawa dengan kata-katanya sendiri. 

Mazni menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Alamat adalah perang dunia ke empat pulak,” balas Mazni lalu duduk di tempatnya semula.

“Abang...” Shafiqa mendongak memandang Iskandar yang masih berdiri di partition yang memisahkan antara tempatnya dan Mazni.

“Ya, sayang,” sahut Iskandar dengan senyuman lebar. 

“Aduhai, rasa nak muntah,” sampuk Mazni dengan rasa meluat mendengar sahutan Iskandar sebentar tadi. Iskandar ketawa kuat mendengar kata-kata Mazni. Mamat ni ada yang kena baling ke bawah pulak kang, gumam Shafiqa masih memandang Iskandar yang
sedang ketawa. Entah apa yang lucu sangat, dia sendiri tidak faham. Meluat! 

“Abang Is!” laung Intan, setiausaha Encik Zakey dan Iskandar. 

“Yup!” sahut Iskandar sambil menoleh. 

“Encik Zakey panggil,” kata Intan dari tempatnya. 

Iskandar segera melangkah laju menuju ke bilik ayahnya di hujung sekali berhampiran dengan bilik mesyuarat. 

Shafiqa menghela nafas leganya, biarpun untuk sementara waktu.

No comments:

Post a Comment