DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 20 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 9

DI DAYCARE Rania Arissa dan Amanda leka bermain di suatu sudut yang tidak jauh daripada kanak-kanak lain bermain. Terdapat juga dua orang kanak-kanak perempuan iaitu Awatif dan Maisarah yang turut bermain bersama denganmereka.

“Rania, kita nak masak ayam gorenglah macam mama kita masak. Sedap!” Cadang Amanda yang sibuk bermain dengan permainan perkakas masakan. Sesekali dia sibuk menepuk-menepuk patung Barbie Rapunzel miliknya yang dibawa dari rumah.

“Haah. Ibu kita pun masak ayam goreng, sedap!” Sampuk Awatif.

“Yelah, mama Maisarah pun pandai masak. Dia masak ayam goreng, sedap!” Tambah Maisarah pula.
Rania Arissa hanya mendiamkan diri apabila kawan-kawannya sibuk memuji mama masing-masing.

Sedangkan dia, mana pernah merasa masakan mommynya. Jumpa mommy pun hanya sekali.
Sedang mereka sibuk bermain masak-masak, ibu Awatif dan mama Maisarah datang ke daycare untuk menjemput mereka balik. Tinggallah Rania Arissa dan Amanda meneruskan aktiviti memasak mereka.

“Amanda, bak sini baby tu. Rania tolong sikatkan rambut dia, ye.”

“Okey, kita sikat rambut baby sama-sama. Lepas sikatkan rambut dia, kita tidurkan baby ni okey.” Cadang Amanda sambil menghulurkan patung Barbie Rapunzel itu kepada Rania Arissa.

“Rania… mama kita kan, dia buatkan kita susu. Lepas tu dia tidurkan kita sambil peluk kita. Tapi kadang-kadang papa yang tidurkan kita sambil peluk kita…” Kata Amanda tersengih.

Namun, belum sempat Rania Arissa membalas kata-kata Amanda itu, kedengaran lembut suara memanggil nama Amanda. Puan Amirah iaitu mama Amanda sudah berada di pintu masuk di ruang mereka bermain. Amanda berpaling ke arah suara tersebut dan berlari-lari anak ke arah mamanya. Gembira mamanya sudah sampai untuk menjemputnya pulang.

Di sudut sana, Rania Arissa mencemik menahan sedih. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata bundarnya. Sudahlah dia sentap apabila kawan-kawan sibuk bercerita tentang mama masing-masing. Dan, kenapa pulak hari ini daddynya lambat datang menjemputnya? Selalunya, dia yang balik awal daripada Amanda.

Amanda kembali ke arah Rania Arissa untuk mengambil beg dan patung Barbie Rapunzel miliknya.

“Rania, Rania... awak kenapa ni? Daddy awak lambat datang eh? Selalu awak balik dulu dari kita kan...” Amanda sudah mendekati dan memegang tangan kawan baiknya itu.

“Rania sedih sebab daddy Rania lambat datang. Entah-entah daddy lupa.” Pecah juga tangisan Rania Arissa. Berjurai air matanya.

“Kenapa sayang Auntie Mira ni menangis? Amanda buat Rania ye?” soal Puan Amirah yang sedari tadi perasan sketsa dua sahabat, lalu mara ke arah dua kanak-kanak comel itu. Lantas dia memeluk Rania Arissa yang tiba-tiba menitiskan air matanya. Kaget dia seketika, risau budak berdua ni bergaduh sampaikan Rania Arissa ni menangis bagai.

“Mama… Rania nangis sebab daddy dia lambat datanglah. Bukan kita yang buat dialah, mama.” Petah Amanda berkata kepada mamanya sambil memuncungkan mulut comelnya itu.

“La, iye ke? Daddy ada cakap tak nak pergi mana-mana masa hantar Rania tadi?” soal Puan Amirah yang memeluk Rania Arissa. Dia juga hairan, selalunya Rania Arissa yang balik dulu daripada Amanda. Namun, kenapa hari ini boleh lambat pulak. Jangan lupa jemput anak sudah! Meraung budak ni nanti!

“Daddy cakap dia lambat sebab dia ada hal. Rania suruh daddy cari mommy. Tapi kenapa lambat? Rania tak ada kawan kalau Amanda balik.” Adu Rania Arissa yang sudah tersedu-sedu menangis.

“Tak apa, sayang. Auntie Mira dan Amanda boleh temankan Rania. Kita tunggu daddy Rania sampai. Dah, jangan menangis lagi. Pergi main dengan Amanda ye, sayang.” Lembut Puan Amirah memujuk Rania Arissa yang dalam pelukannya itu.




IZZARA SUDAH berada di hadapan pintu pagar Smart Kids Islamic Preschool. Inilah tadika Rania Arissa seperti dalam alamat yang diberikan oleh Ghaz Khuzairi tadi. Dia bergegas keluar tepat 5:05 petang untuk menjemput Rania Arissa memandangkan pasaran saham hanya ditutup pada pukul 5:00 petang.

Kata Ghaz Khuzairi tadi, kebiasaannya pukul 5:00 petang si daddy sudah menjemput anaknya itu di daycare. Ini bermakna dia sudah terlambat. Dia risau jika Rania Arissa menangis kerana lama menunggu. Belum sempat dia memberi salam, datang seorang wanita ke arahnya sambil tersenyum. Cikgu daycare Rania Arissa agaknya.

“Ya, Puan. Datang nak jemput anak ke?” soal wanita itu sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam.

“Haah... Saya Izzara, datang nak jemput Rania Arissa. Tadi daddy dia dah maklumkan yang saya datang jemput Rania Arissa balik.” Jawab Izzara sopan. Dengan tersenyum dia menyambut huluran salam wanita di hadapannya itu.

“Oh, ya. Tadi memang daddy Rania ada telefon beritahu yang Puan Izzara akan datang jemput Rania. Saya Cikgu Nurul, cikgu tadika dan daycare kat sini. Rania ada kat ruang sana. Puan nak tunggu kat sini atau nak pergi jumpa dia kat sana?”

Ahaks! Tak pasal-pasal Zara dapat gelaran puan. Dapat percuma lagi tu!

“Hmm… Cikgu Nurul, kalau saya ke sana jumpa Rania, boleh?”

“Boleh, puan. Mari ke sana. Lagipun Rania tengah menangis tu sebab daddy dia lambat jemput dia balik.”

 Izzara melihat sekilas jam di tangannya. Sudah pukul 5:40 petang. Patutlah Rania Arissa menangis sebab dia memang dah lambat sampai! Terbit rasa bersalahnya. Tak pasal-pasal melalak budak tu.

Sampai saja di situ, Izzara pelik melihat seorang wanita memeluk Rania Arissa. Nampak beria-ia wanita itu memujuk Rania Arissa. Kelihatan seorang budak perempuan comel turut berada di situ. Dan mereka nampak seperti rapat dan mengenali Rania Arissa. Takkan cikgu tadika atau daycare ni kut?

“Rania Arissa…” Seru Izzara lembut. Matanya memandang penuh sayu ke arah si manja yang sedang menangis itu.

Kala itu, Rania Arissa segera menoleh ke arah suara yang menyeru namanya. Tidak semena-mena tangisnya reda. Terbit pula senyuman manisnya di bibir mungilnya itu.

“Mommy!!!” Jerit Rania sambil berlari menghampiri Izzara.

Izzara bertinggung di hadapan Rania Arissa yang nampak sungguh comel memakai Gap smocked dress berwarna merah itu. Dia merenung kasih ke arah wajah mulus Rania Arissa. Jari-jemarinya sempat menyapu lembut air mata si comel sambil tersenyum manis.

“Sayang mommy.... Sayang rindu mommy ye?” soal Izzara sambil membelai lembut rambut Rania Arissa.

“I miss you, mommy.” Sayu Rania Arissa menjawab sambil kepalanya mengangguk laju. Serentak itu, Izzara didakap erat.

“I miss you too, sayang. Sorry ya mommy lambat jemput, sayang. Kasihan sayang mommy ni. Menangis tunggu mommy jemput dia ye.” Izzara membalas erat pelukan Rania Arissa. Lama mereka berkeadaan begitu. Izzara membiarkannya agar rindu Rania Arissa terubat. Moga hilang rasa sedih si comel itu.

“Rania, ini mommy awak ye?” tanya Amanda. Hairan barangkali melihat wanita jelita itu erat memeluk kawan baiknya.

Rania Arissa merungkaikan pelukan itu perlahan. Lalu menoleh ke arah Amanda yang sudah berada di sisinya itu.

“Haah… ni la mommy Rania.” Jawab Rania sambil tersenyum ceria.

“Iye ke? Cantiknya mommy awak, Rania. Macam mama kitalah. Sebab mama kita pun cantik.” Kata Amanda. Kagum dengan kecantikan mommy Rania itu. Amanda sempat memandang sekilas ke arah mamanya dan kemudian memandang ke arah Izzara. Mungkin cuba membuat perbandingan siapa paling cantik.

Puan Amirah sedari tadi hairan menyaksikan sketsa dua beranak itu. Wanita jelita yang dianggap mommy oleh Rania Arissa itu memang iras dengan muka si comel itu. Dan kemudian, dia melangkah ke arah Izzara, Rania Arissa dan Amanda.


“Assalamualaikum. Saya Amirah, mama si Amanda ni. Panggil je Kak Mira. Amanda dan Rania ni kawan baik. Puan ni mommy Rania ye?” Lembut Puan Amirah menyapa dengan bibirnya yang tersenyum manis, sambil tangan menghulur salam.


“Waalaikumussalam. Haah, saya mommy Rania. Saya, Izzara. Akak panggil je Zara. Oh, Amanda ni bestfriend Rania ye? Patutlah macam rapat je.” Balas Izzara mesra sambil menyambut huluran salam Puan Amirah.

“Akak dah sampai dari tadi. Nak jemput Amanda ni balik. Tapi kasihan pulak nak tinggalkan Rania ni sorang. Menangis dia bila tengok Amanda ni nak balik. Yelah, selalu dia yang balik dulu daripada Amanda ni. Tapi hari ni daddy dia lambat pulak datang jemput. Itu yang dia menangis tu. Jadi, akak temankan dia sebab dia dengan Amanda ni memang rapat.”

“Saya minta maaflah Kak Mira, sebab dah susahkan akak kena tunggu lama kat sini. Saya memang dah terlambat tadi. Last minute plan nak jemput Rania ni. Kalau tak, memang daddy dialah yang jemput dia balik. Thanks ya kak, sebab tolong temankan Rania tadi. ”

“It’s okay, Zara. Akak memang tak rushing nak balik. Lagipun Rania ni memang rapat dengan Amanda ni je. Dia ni taklah peramah macam Amanda. Kalau Amanda ni, main redah je dengan siapa dia nak bermain. Ikut suka dia je. Yang Rania ni kalau tak ada Amanda, mati kutulah dia.”

Izzara tersenyum mendengar kata-kata Puan Amirah yang ramah bercerita itu. Patutlah anaknya ramah, ikut mama dia.

Izzara teringat kata-kata Ghaz Khuzairi tadi. Lelaki itu menghantar Rania Arissa ke tadika semata-mata mahu anaknya belajar bergaul. Sekurang-kurangnya Rania Arissa pandai menyesuaikan dan pandai membawa diri jika berada di khalayak ramai.

“Oh ya kak, saya minta diri dululah ye. Nak bawak Rania ni jalan-jalan kejap lagi. Terima kasih dan saya minta maaf sekali lagi sebab susahkan akak tadi. Rania, salam Auntie Mira dan Amanda dulu, sayang.” Izzara dan Rania Arissa menghulurkan salam untuk meminta diri kepada Puan Amirah.
Si comel, Amanda turut menyelit sama untuk bersalaman dengan Izzara. Dan Izzara sempat memeluk dan mencium pipi gebu milik Amanda yang petah dan ramah itu.

“Auntie, nanti datang jemput Rania lagi ye. Tapi jangan lambat macam tadi. Nanti Rania nangis lagi.” Pesan Amanda.

“Insya-Allah, nanti Auntie Zara datang jemput Rania, boleh jumpa Amanda lagi lepas ni.” Balas Izzara sambil tersenyum. Kagum dia dengan keprihatinan si kecil itu.

Dan mereka berempat sama-sama melangkah ke arah pintu pagar tadika tersebut untuk ke kereta masing-masing. Sampai saja di pintu pagar, Rania Arissa tiba-tiba bersuara, cuba menyatakan sesuatu kepada Puan Amirah.

“Auntie Mira… Tengok tu Amanda pakai kasut terbalik lagilah auntie.”

Puan Amirah dan Izzara serentak memandang ke arah kaki comel milik Amanda. Si Amanda sudah tersengih sambil menutup muka dengan kedua-dua tangan comelnya itu. Segan. Terkantoi pakai kasut terbalik lagi!

Izzara tersenyum. Geli hati dengan reaksi spontan Amanda. Puan Amirah pula sudah mencangkung di depan anaknya. Cuba membetulkan semula kasut yang terbalik dipakai oleh si comel yang keletah itu.

Alahai… berapa kali mama nak kena betulkan ni,  sayang !!




MOMMY, KITA nak pergi mana? Daddy mana, mommy?” soal Rania Arissa sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Izzara. Manja dia mencium kedua-dua pipi Izzara.

“Kita pergi One Utama nak tak sayang? Kan mommy janji nak bawak sayang jalan-jalan. Oh ya, daddy pergi tempat lain. Nanti balik, daddy jemput Rania kat rumah mommy.” Izzara membalas ciuman si comel yang mengangguk laju, setuju dengan cadangannya dan dia memeluk si manja itu seketika. Terhibur dengan keletah manja Rania Arissa. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu, lalu dia menoleh ke bahagian tempat duduk belakang, dan mengambil teddy bear yang sempat dibelinya di kedai souvenir yang berdekatan dengan ofisnya tadi. Teddy bear berwarna coklat itu dihulurkan kepada Rania Arissa.

“Sayang… mommy lambat tadi sebab singgah beli teddy bear untuk sayang. Suka tak?” soal Izzara sambil tersenyum.

“Wow... teddy bear. Bestnya... Rania suka la mommy! Thank you, mommy! Jom mommy, kita pergi jalan-jalan!” Girang Rania Arissa bersuara.

“You’re welcome, sayang. Okey, sayang duduk elok-elok. Mommy nak drive ni. Come, mommy tolong pakaikan Rania seat belt.”










GHAZ KHUZAIRI meraup wajahnya perlahan. Sedari tadi dia memerhatikan sketsa di daycare Rania Arissa. Tanpa Izzara sedari, dia sememangnya mengekori kereta Izzara. Hatinya sebak melihat Rania Arissa menangis tadi. Bergenang air matanya melihat Rania Arissa dan Izzara lama berpelukan.

Sesungguhnya, dia sangat bersyukur kerana Izzara sudi meluangkan masa bersama Rania Arissa, sekali gus memenuhi permintaan anaknya itu. Dan dia seakan tak percaya tadi apabila si jelita itu ikhlas membantu tanpa meletakkan sebarang syarat. Mulianya hati gadis itu. Walaupun perkenalannya dengan Izzara tak sampai dua hari, tetapi mereka seolah-olah kenal lama dan selesa berkongsi cerita masing-masing. Seolah-olah ada chemistry dalam diri masing-masing.

Ghaz Khuzairi menghidupkan enjin kereta Mazda CX-9 miliknya untuk bergerak balik ke rumah. Dia harus mengemas barangnya dan keperluan Rania Arissa kerana esok dia bekerja semula setelah bercuti 3 hari dan dia dijadualkan untuk terbang ke Perth, Australia selama empat hari. Rania Arissa akan dihantar ke rumah orang tuanya. Malam ini, dia dan Rania Arissa akan bermalam di rumah orang tuanya dan segala urusan anaknya ke tadika seperti biasa akan diuruskan oleh mamanya.






IZZARA MEMBERHENTIKAN keretanya apabila lampu isyarat merah menyala. Dia menoleh ke arah Rania Arissa yang leka bermain dengan teddy bear yang dibelinya tadi. Si comel itu turut menoleh dan memandangnya sambil tersenyum. Tak semena-mena si comel itu mendekatkan wajahnya ke wajah Izzara. Lalu bibir mungilnya itu menyapa lembut pipi mommynya.

Alahai, manjanya budak comel ni!

Dan, Izzara turut membalas ciuman si comel itu. Selesa dengan perlakuan Rania Arissa yang manja. Selang beberapa saat kemudian, kereta Izzara bergerak perlahan setelah lampu isyarat hijau menyala.

Ketika Izzara mencari ruang parkir di pusat membeli-belah One Utama, telefon bimbitnya berbunyi. Lalu dia menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum… Zara kat mana ni? Dah balik dari ofis ke?” sapa si pemanggil.

“Waalaikumussalam, mama. Haah… Zara dah balik dari ofis. But now Zara kat One Utama ni, ma. Kenapa, ma?” Balas Izzara bersahaja. Matanya sempat mengerling kepada Rania Arissa di sebelahnya. Si comel itu turut memandangnya sambil tersenyum.

“Ya Allah! Bertuahnya anak dara mama ni. Dah lupa agaknya. Kan mama dah cakap hari tu. Malam inikan kita dinner sama-sama kat rumah ni. Mama dah masak sedap-sedap ni.”

“Ya Tuhan, macam mana Zara boleh terlupa ni, ma. Sorry, ma. Okey kalau macam tu Zara ke rumah sekarang. Nasib baik Zara memang dah ada kat Damansara ni, tak jauh nak ke rumah kita. Insya-Allah kejap lagi Zara sampai ye, ma. Tapi Zara ada bawak special guest sekali ni, ma.”

“Jangan lambat sangat, sayang. Nanti boleh kita solat maghrib berjemaah dan baca Yasin sama-sama. Papa pun dah sampai ni. Abang Iqram dan Kak Yasmin kamu tu on the way nak ke sini katanya. Hah, satu lagi jangan lupa ajak Shamzlin sekali. Dah lama mama tak jumpa dia. Kata tadi ada special guest. Ni... special guest apa pulak ni, Zara? Ada-ada jelah sayang mama ni.”

“Ala, Zara dah dekat ni, ma. Dalam 10 minit macam tu sampailah nanti. Nanti Zara ajak Shamzlin sekali datang rumah ye. Hmm... special guest ni, nanti kat rumah Zara kenalkan dengan mama dan papa ye. Okey ma... Zara nak gerak dah ni. Jumpa kat rumah nanti ye, ma.”

“Yelah, jangan lupa ajak Shamzlin tu. Drive elok-elok, sayang. Assalamualaikum.”

Izzara menutup semula Blackberrynya setelah membalas salam mamanya. Dia mengerling jam di dashboard kereta. Dah pukul 6:10 petang. Hatinya berkira-kira. Kalau nak bawak jugak Rania Arissa pusing satu One Utama ni memang tak sempatlah dia nak sampai ke rumah mamanya sebelum
maghrib nanti.

Dia memandang ke arah Rania Arissa, si comel itu leka dengan teddy bearnya. Hati Izzara berat untuk membatalkan janjinya, tapi tak salah kalau dia mencuba nasib untuk mengutarakan cadangannya pada si comel itu untuk ke rumah orang tuanya. Untung-untung Rania Arissa bersetuju dengan cadangannya itu. Lagipun Rania Arissa kan anak yang baik, yang mendengar kata.

“Hmm… sayang, nak tak pergi rumah mommy? Tapi kalau kita pergi rumah mommy, kita tak jadilah nak jalan-jalan kat sini. Nak tak, sayang?”

“Wah, pergi rumah mommy? Jauh tak mommy? Mestilah Rania nak. Janji mommy ada.” Kata Rania Arissa dengan riak wajah terujanya itu.

“Tak jauh, sayang. Dekat sini je. Okey, next time mommy bawak sayang jalan-jalan ye. Tapi hari ni kita pergi jumpa atuk dan nenek dulu, okey?”

“Okey, mommy! Rania nak jumpa atuk dan nenek. Mesti diaorang baik macam Tok Pa dan Tok Ma kan, mommy?”

Tok Pa dan Tok Ma tu merujuk kepada ibu dan bapa Ghaz Khuzairi agaknya. Bisik Izzara dalam hati “Ye, sayang. Atuk dan nenek baik sangat. Mesti diaorang suka jumpa sayang mommy ni. Kita pergi sekarang ye, sayang”

“Okey, mommy.”

Namun kepala Izzara ligat memikirkan, bagaimanakah penerimaan mama dan papanya nanti. Bolehkah mereka menerima si comel ini sebagaimana dia menerima Rania Arissa?

“Ya Allah, moga Engkau mempermudahkan segalanya.” Doa Izzara. Sesungguhnya hatinya berkecamuk memikirkan penerimaan kedua orang tuanya nanti. Sebelum bergerak, dia mendail nombor telefon sahabat baiknya, menyampaikan pesan mamanya buat Shamzlin.

No comments:

Post a Comment