DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 26 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 7

Irfan menarik nafas panjang. Urusan permohonan perkahwinan Mai dan Syamsul Hasni sudah pun selesai. Semua dokumen-dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pihak yang berwajib. Pengesahan pernikahan dari Penolong Pendaftar Nikah Qariah juga telah diperolehi. Kebenaran nikah dari Pejabat Agama Islam Shah Alam juga telah diserahkan kepada Penolong Pendaftar Nikah Qariah. Mereka hanya perlu menunggu hari nikahnya sahaja. Baru sebentar tadi dia menelefon Syamsul Hasni untuk memberitahu tentang perkara itu. Tiada apa-apa reaksi pun pada nada suara lelaki itu. Apa perasaannya? Apa yang difikirkannya? Dan apa tanggapan lelaki itu terhadap dirinya dan juga Mai? 

Apa yang pastinya, dia tahu Syamsul mesti merasakan yang Mai dan dia adalah pasangan yang paling bodoh. Pasangan yang membiarkan diri mereka terjebak dalam kemelut sebegini. Rasa malu melingkari hati. Namun perasaan itu perlu dibuang jauh. Demi kembali menyambung hubungan yang kini telah putus di tengah jalan. Dia tidak punya cara lain lagi selain daripada cara begini, maka dia perlu buang jauh rasa malu itu. 

Ingatannya kembali kepada perbualan mereka tempoh hari. Kali pertama dia bertemu dengan lelaki ini, dia yakin Zamzuri telah membuat pilihan yang tepat. Semua syarat-syarat yang ditetapkannya kepada Zamzuri dalam mencari calon suami untuk Mai, dipenuhi lelaki ini. Dengan wajah yang berserabut, dan riak muka yang sentiasa murung, pasti Mai tidak akan tergoda dengan lelaki ini. Dia terlalu serius dan kelihatan sedikit pun tidak pandai untuk menggoda hati wanita. 

Pertemuan kali kedua diatur untuk memperkenalkan lelaki ini dengan Mai. Dalam pertemuan kedua ini, lelaki itu memberikan satu syarat. Syarat yang sungguh membuatkan dia berasa agak tertekan. Kalaulah diikutkan hatinya, apabila mendengarkan syarat yang diberikan oleh Syamsul Hasni, ingin sekali dia membatalkan niatnya untuk menikahkan mereka berdua. 

Namun, di mana lagi dia akan menemui lelaki yang boleh dipercayai untuk melaksanakan semua ini. Dia tidak mahu ramai yang tahu masalah ini. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapapun dalam kalangan ahli keluarganya yang tahu apa yang berlaku kepada perkahwinan dia dengan Mai. Nasib baiklah mereka tinggal jauh di kampungnya di Kulai, Johor. Sekurang-kurangnya perkara begini dapat dirahsiakannya setakat ini. Cuma yang dirisaukan ialah apabila tiba waktu hari raya nanti. Pastinya emak dan ayahnya akan terkejut jika dia tidak pulang bersama Mai pada kali ini. Namun perkara itu boleh diketepikan buat sementara waktu dan akan difikirkan jalan penyelesaiannya nanti. 

Dia mungkin boleh memberikan pelbagai alasan supaya dia tidak perlu pulang ke kampung pada hari raya nanti. Lagipun tarikh menjelangnya hari raya masih jauh lagi. Nasib baiklah emak dan ayahnya tidak pernah mahu datang ke sini untuk menziarahi mereka. Waktu ini dia rasa sungguh bersyukur dengan sikap ayahnya yang cukup tidak suka untuk datang ke Kuala Lumpur jika tiada sebarang urusan yang betul-betul penting. 

Penceraiannya dengan Mai juga cuba untuk disembunyikan sebaik mungkin. Namun, bangkai gajah manakan mampu untuk ditutup. Ada yang dapat menghidu masalah ini dan mula bertanyakan itu dan ini. Lantas dia cuba untuk menjelaskan sebaik mungkin. Dia tidak mahu dirinya dan diri Mai dipandang serong oleh semua orang. Niatnya untuk mencari cina buta bagi merungkai masalah ini juga dia rahsiakan sebaik mungkin. 

Setakat ini, yang tahu dia merancang cina buta hanyalah Zamzuri dan Juliana. Selain daripada mereka berdua, tiada orang lain yang tahu bahawa perkahwinan Mai kali ini adalah perkahwinan yang dirancangnya. Semua menyangka bahawa Mai telah bertemu jodohnya selepas enam bulan diceraikan. 

“Engkau faham kan maksud aku?” Teringat perbualan mereka sebelum Mai tiba untuk diperkenalkan dengan lelaki itu tempoh hari. Lelaki di depannya itu memandangnya dengan mata yang terkebil-kebil. Dia diam tanpa sebarang reaksi di wajahnya. Satu perlakuan yang membuatkan Irfan jadi cukup marah. Mengapa dia perlu menerangkan kesilapan yang dilakukannya dulu kepada lelaki ini? Mengapa dia harus melibatkan lelaki ini dalam hidupnya? Ah, semua ini silapnya. Terlalu lancang menggunakan kelebihannya sebagai seorang suami.  

“Aku tak nak kau sentuh dia. Kau kahwin dengan dia kat Thailand, lepas tu terus ceraikan dia.” 

“Tak boleh... Aku tak boleh buat macam tu,” kata Syamsul Hasni dengan nada yang cukup tegas. Wajahnya terus serius tanpa sebarang reaksi. 

“Apa yang tak boleh. Kau jangan berangan nak bersama isteri aku. Kau nikah ni pun aku yang benarkan. Kalau bukan sebab aku, jangan harap engkau dapat kahwin dengan dia,” jawab Irfan yang cuba mempertahankan sesuatu yang dulu pernah menjadi haknya. Namun kini, hak itu bukan miliknya lagi. Dia hampir lupa tentang itu. 

“Hei... Aku tahu kau memang nak sangat berbaik balik dengan bekas isteri kau tu. Tapi engkau kena ingat, berdosa kau buat macam ni. Memang mulanya aku setuju nak jadi cina buta. Itupun sebab aku tak tau. Tapi bila aku pergi tanya ustaz yang mengajar kat masjid kawasan rumah aku tu, aku jadi takut. Dia kata hukumnya haram. Kalau aku buat, berdosa besar aku jadinya. Dahlah dosa yang sedia ada pun aku tak tertanggung, ini nak tambah lagi dosa menganiaya bini...” 

“Apa maksud kau menganiya bini?” “Engkau tak sepatutnya buat dia macam ni. Dah bercerai tu... biar ajelah... Tak payahlah nak cari cina buta.” 

“Habis... kau nak tolaklah tawaran aku ni?” 

“Bukan itu maksud aku... Aku cuma nak ingatkan kau, jangan ditambah lagi dosa kita ni... Aku pun silap sebab nakkan sangat duit engkau tu dulu. Nasib baiklah aku terfikir nak tanya ustaz tu hari tu.” 

“Kau nak batalkan semua ini? Kalau nak batalkan tak apa... Aku cari orang lain,” ugut Irfan. 

“Kau dengar dulu cakap aku. Aku boleh kahwin dengan dia. Tapi engkau jangan tetapkan masa untuk aku ceraikan dia. Kalau aku kahwin dengan dia, aku tak akan niat untuk ceraikan dia lepas tu. Kalau dia tak suka kat aku, baru aku ceraikan. Ustaz yang aku tanya tu kata kahwin cina buta ni hukumnya haram. Kalau buat juga, tak sah aku kahwin dengan dia. Aku tak nak macam tu.” Syamsul Hasni mengeluh sambil memandang keluar tingkap restoran. 

Sungguh lelaki di hadapannya ini langsung tidak tahu tentang hukum agama yang sebegini penting. Terlalu mengambil ringan tentang perkara yang amat berat ini. Perkahwinan yang tidak sah sebenarnya akan membawa hubungan yang juga tidak sah. Akibatnya nanti jika ada zuriat yang terhasil daripada pernikahan itu, zuriat itu juga akan jadi tidak sah. 

“Lagipun kalau kahwin dengan dia, aku kena bersama dengan dia. Aku tak boleh ceraikan dia sebelum kami bersama,” ucap Syamsul sinis. Terkejut Irfan dengan pernyataan lelaki di hadapannya ini. Dia memandang wajah Syamsul dengan riak yang cukup marah. 

“Mana boleh, kau tak boleh sentuh dia. Kahwin sudahlah. Mana orang tahu kau bersama dengan dia atau tidak.” 

Reaksinya itu menyebabkan Syamsul juga naik marah. Keadaan menjadi bertambah tegang antara mereka. 

“Hei gila kau... Engkau tahu tak, kalau aku kahwin dengan dia, lepas tu aku ceraikan dia tanpa bersama dulu, engkau tak boleh rujuk balik dengan dia. Kalau aku ceraikan dia tanpa sentuh dia, tak sah kalau kau rujuk balik dengan dia. Bila tak sah, setiap kali kau bersama dengan dia, kau sebenarnya berzina dengan dia. Kau nak ke buat dosa sepanjang hayat kau?” 

Irfan memandang wajah Syamsul Hasni dengan perasaan yang bercampur baur. Agak terkejut dengan pengetahuan agama lelaki di hadapannya itu. 

“Mana kau tahu semua tu?” tanyanya dengan perasaan marah yang masih meluap-luap. “

”Hei, aku tahulah aku ni bodoh. Kau tu sepatutnya lebih cerdik daripada aku. Tapi tak nak gunakan akal. Kalau tak tahu tanyalah orang yang lebih tahu. Jangan pandai-pandai nak buat rancangan sendiri. Kau nak tipu siapa? Nak tipu Allah? Orang bolehlah kau nak tipu. Tapi kalau nak tipu Allah, kena laknat, tak berbau syurga engkau nanti.” Kata-kata Syamsul 

Hasni itu bagaikan meramas-ramas hatinya. Ya, benar. Hakikat itu tidak mampu untuk dinafikan. Selama ini dia tahu bahawa cina buta ini bukan perkara yang sihat. Tapi bukankah itu sahaja caranya untuk dia kembali bersama Mai? 

“Habis tu? Apa patut aku buat?” Kemarahannya tadi kembali mengendur. Dia rasa serba salah. Tiada pilihan lain yang dia ada. Dia ingin memiliki Mai kembali, biar dengan apa cara sekali pun. 

“Aku cadangkan macam ni... Aku kahwin dengan dia tanpa kau bagi syarat berapa lama tempohnya. Aku tak akan niat untuk ceraikan dia selagi dia tak minta. Kalau dia tak nak kepada aku lagi, barulah aku ceraikan.” 

Irfan mengeluh berat. Bagaimana nanti jika Mai tidak mahu dirinya diceraikan oleh lelaki ini? Apa yang dia boleh buat untuk memastikan lelaki ini akan menceraikan Mai? Lama dia berfikir. Akhirnya dia mengeluh perlahan. Ya, dia tidak punya pilihan lain. 

 “Macam ni la. Aku benarkan kau kahwin dengan dia. Tapi, kau jangan sekali-kali goda dia.” Kata-kata itu dikeraskan sedikit seolah-olah mengugut. Syamsul Hasni diam, hanya memandang dengan sinis wajah lelaki di hadapannya itu. Apabila melihatkan dia diam, Irfan menyambung lagi kata-katanya. 

“Sampai masanya nanti, dia akan minta cerai dengan engkau. Aku akan pastikan itu berlaku. Masa tu nanti, kau kena ceraikan dia. Upah kau aku bagi separuh dulu lepas nikah ni. Lepas kau ceraikan dia aku bagi bakinya.” Syamsul mengeluh lagi. Dia menggelenggelengkan kepalanya perlahan. Matanya kembali menatap ke wajah Irfan yang kelihatan cukup gusar itu. 

“Kau tak faham lagi maksud aku rupa-rupanya. Kalau aku buat macam ni, aku tak harapkan upah daripada kau. Cuma, aku nak kau tanggung semuanya. Daripada perbelanjaan kahwin aku, sampailah selesai semuanya. Kalau kami bercerai nanti pun, semua belanja perceraian tu kau yang kena tanggung. Kalau kau setuju, semua kau yang kena uruskan. Aku cuma lafazkan nikahnya aje.” 

Irfan mengeluh lega. Sangkanya lelaki ini akan meminta bayaran lebih. Rupa-rupanya ini yang dimaksudkan oleh lelaki ini semasa memberitahunya yang mereka perlu berbincang. Sekurang-kurangnya selamatlah wang ringgitnya nanti. Belanja perkahwinan mereka nanti pastinya tidak sebanyak upah yang dia tawarkan. Tapi yang menjadi masalahnya adalah tempoh perkahwinan itu nanti. Pastinya akan jadi lebih panjang. Sehingga Mai meminta cerai, kata Syamsul. Berapa lama? Ah... Dia perlu berbincang dengan Mai tentang perkara ini. 

“Aku... cuma nak tolong kau aje. Kesian juga aku tengok kau ni. Dah gila talak sampai teruk macam ni,” kata Syamsul Hasni apabila melihatkan Irfan agak lama mendiamkan dirinya. 

“Aku sayangkan dia, sejak dulu dan selama-lamanya,” ucap Irfan sendirian. Ada riak sedih di situ. Dan riak itu bagaikan dapat dihidu oleh Syamsul Hasni. 

“Kau sepatutnya tak ikut perasaan. Kalau kau ikut akal fikiran benda ni tak akan jadi,” sinis sekali Syamsul menyindirnya. Dia melihat jam usang di tangannya. Sejak tadi lagi mereka menunggu kedatangan wanita yang akan dijodohkan dengannya. Timbul sedikit tanda tanya dalam hati, apa istimewanya wanita muda ini sehinggakan bekas suaminya ini jadi gila talak sebegini. Tentu ada sesuatu yang istimewa pada dirinya. Tidak semena-mena hatinya jadi berdebar. Agak teruja menantikan kehadirannya. 

“Jadi, macam mana? Kalau kau setuju, aku akan uruskan tentang permohonan nikah di pihak aku. Lepas selesai nanti aku serahkan semua dokumen tu kepada engkau. Dari situ kau selesaikanlah bagi pihak dia. Aku rasa dia mesti tak akan selesaikan sendiri, kan? Dan aku juga perlu tahu sama ada dia setuju atau tidak dengan semua ini. Dia tak ada masalah kan nak kahwin dengan aku?” tanya Syamsul Hasni untuk meminta kepastian. 

Irfan mengeluh lagi. Tentang itu dia tidak begitu pasti. Mungkin selepas pertemuan ini nanti Mai akan menunjukkan reaksinya tentang lelaki ini. 

Pada waktu itu barulah dia menyedari kehadiran Mai yang sedang merenungnya dengan perasaan rindu terpapar jelas di wajahnya. Melihatkan seraut wajah yang dirinduinya itu, dia jadi lupa segalanya. Apa yang dia nampak hanyalah dia dan Mai akan kembali bersama menyulam kasih yang hangat membara. 

Syamsul Hasni menarik nafas lega. Wanita itu sudah menjadi miliknya kini. Namun rasa janggal terdetik dalam hatinya apabila membayangkan perkataan miliknya itu. Dia tahu hakikat sebenarnya perkataan itu. Wajah Mai yang kelihatan cukup murung dipandang tajam. Hatinya jadi serba salah. Bagaimana reaksi Mai terhadap dirinya nanti? Apa yang akan diperbualkan dengan isterinya ini nanti? Huh... isteri? Hakikatnya bagaimana? Segalanya antara mereka terlalu asing. Mampukah isterinya ini menerima dirinya sebagai suami? 

Kecacatannya yang pastinya kekal selamanya ini, mencacatkan sedikit keyakinannya untuk meraih cinta daripada mana-mana wanita. Kecacatan yang selamanya akan sering mengembalikan ingatannya kepada Madihah. Tanpa dia berada di sisi, Madihah meninggal dunia dalam seribu kepayahan semasa melahirkan anak kedua mereka. Nabil. Dan kini berkahwin dengan Mai, menyebabkan ingatan itu makin kuat berpaut dalam hati. Dengan renungan matanya, senyuman di bibirnya dan kelembutannya ketika wanita itu memandang ke arah Irfan membuatkan ingatannya kepada Madihah terimbau kembali. Renungan itu, senyuman itu dan kelembutannya itulah yang selalu diberikan oleh Madihah kepadanya suatu ketika dulu. 

Tidak... Dia tidak mungkin akan melupakan kenangannya bersama isterinya itu. Satu ruang khas telah disediakan untuk arwah Madihah dalam hatinya. Dan yang pasti tidak akan ada sesiapapun yang mampu menggugat kehadirannya di ruang itu. Tidak akan ada gadis lain, mahupun Mai yang bisa melakukan itu. Itu janjinya untuk Madihah. 

Teringat Syamsul pada saat wanita muda itu diperkenalkan kepadanya. Dia menarik nafas dalam diam. Meneliti raut wajah yang begitu manis itu, dia jadi faham mengapa Irfan jadi gila talak. Saat Mai bertentang mata dengan bekas suaminya itu, Syamsul dapat merasakan kehangatan cinta mereka berdua. Lantas waktu itu ingatannya kembali menerpa ke wajah Madihah, arwah isterinya yang tercinta. Ada sedikit persamaan di antara wanita muda di hadapannya ini dengan Madihah. Bukan pada raut wajahnya ataupun pada bentuk tubuhnya. Sungguh apa yang ada pada wanita ini tiada pada Madihah. Begitu juga sebaliknya. Sungguh kedua-duanya langsung tiada apa-apa persamaan. Tetapi melihatkan pada perlakuannya yang lemah lembut dan renungan matanya yang kelihatan begitu telus sekali, rindunya kepada Madihah kembali merenggut tangkai hatinya. Ah... Mana mungkin dia akan melupakan Madihah setiap kali menatap wajah manis yang cukup menawan di hadapannya ini nanti? Syamsul Hasni jadi serba salah. 

“Lepas ni ada kenduri sikit kat kedai Kak Ros. Dia jemput semua orang yang ada kat sini ke kedainya,” ucap Syamsul kepada Mai setelah upacara membatalkan air sembahyang dilakukan. Mai hanya mengangguk lesu. 

Tiada istimewanya majlis tersebut. Setelah dia menunaikan solat sunat selepas diijabkabulkan sebentar tadi, dia menghampiri Mai yang duduk bersimpuh di satu sudut di dalam masjid tersebut. Mai yang ditemani Juliana dan Kak Gee, teman sekolahnya hanya menyambut salamannya dengan dingin sekali. Bagaikan ada protes di pihaknya untuk meneruskan keterlanjuran ini. Juliana pula mengambil gambar mereka dari kamera kecilnya sebagai tanda kenangan. 

Kak Ros tidak hadir ke majlis pernikahan ini. Dia hanya berpesan melaluinya dan juga Abang Din untuk menyampaikan jemputan ini kepada yang hadir pada majlis pernikahan yang serba ringkas ini. Dia kini sibuk melayan tetamu-tetamu yang hadir ke majlis doa selamat di kedainya. Sebentar tadi Abang Din telah menyampaikan hajat Kak Ros itu kepada tok kadi, saksi-saksi dan beberapa orang lain yang turut sama hadir pada majlis pernikahan yang dilangsungkan di masjid ini. Masing-masing telah menyatakan persetujuan mereka untuk hadir di kedai yang letaknya kira-kira setengah kilometer dari masjid ini. 

Emak saudara Mai yang tinggal jauh di Terengganu juga tidak dapat hadir kerana agak sukar untuk meninggalkan kerjanya sebagai penenun kain songket. Hanya sepupunya yang hadir kerana kebetulan bekerja di Putrajaya. Sejak suaminya meninggal dunia dia sudah tidak betah lagi untuk berjalan jauh. Lagipun, majlis ini bukanlah begitu penting buatnya kerana hubungannya dengan keluarga Mai yang kurang baik sejak dulu lagi. Mai akur dengan hakikat itu. Dia juga sebenarnya bukanlah terlalu terdesak menantikan kehadiran emak saudaranya itu. Sedikit pun dia tidak tersinggung kerana ketiadaan emak saudaranya yang sememangnya tidak rapat dengannya sejak dulu lagi. Jemputannya itu pun hanya untuk memenuhi syarat sebagai anak saudara. Dia tidak mahu dianggap sombong kerana tidak menjemput satu-satunya ibu saudaranya ke majlis itu. 

Wajah murung Mai direnungnya kembali. Dia tidak tahu apa yang bakal diperkatakan kepada isterinya itu. Lantas dia terus membisu. Membiarkan Mai dengan  kemurungannya. Mungkin murungnya Mai kini kerana Irfan telah menerangkan tentang syarat yang dimintanya dulu. Biarlah, mungkin apabila mereka bersendirian nanti mereka boleh berbincang. Dia mungkin boleh menerangkan duduk perkara sebenar dalam perkahwinan mereka ini. 

Dia terpaksa meminta syarat itu. Dia tidak mahu hubungannya dengan Mai dicemarkan dengan keadaan yang menyebabkan bertambah dosanya nanti. Memang dulu dia cukup mengharapkan upah yang akan diberikan oleh Irfan. Tetapi sejak dia menemui ustaz yang menerangkan tentang hakikat betapa berdosanya mereka yang melakukan cina buta, dia jadi takut. Dia tidak mahu menambah lagi dosanya. Kerana itu, dia menukar rancangannya yang dulu. Untuk membatalkannya, dia rasa tidak tergamak. Irfan kelihatan begitu berharap dan Mai pula kelihatan begitu memerlukan bekas suaminya itu. Sungguh dia tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka berdua. Tetapi dia lebih takut kepada murka Allah. Mungkin ini jalan terbaik antara mereka. Biarlah Allah yang menentukan segalanya. 

Setelah tiba di kedai makan Kak Ros, Syamsul dan Mai duduk makan di meja yang berasingan. Syamsul bersama tok kadi, saksi-saksi dan jemputan-jemputan lelaki yang lain. Mai pula duduk bersama tetamu-tetamu wanita yang lain. Selesai makan, masing-masing membantu melayan tetamu yang datang. Namun masing-masing cuba mengelak daripada bertembung dan memulakan bicara. Mereka tenggelam dalam fikiran masing-masing. Tiada sedikit pun kemesraan yang ditunjukkan. Apabila ada yang ketawa, mereka kelihatan turut ketawa. Apabila ada yang mengusik, mereka turut senyum walaupun dalam hati masing-masing ada satu rasa yang cukup tidak selesa. 

Syamsul sedikit pun tidak merasakan bahawa dia adalah pengantin lelaki pada majlis ini. Lagipun majlis ini hanyalah merupakan kenduri doa selamat. Kak Ros pada awalnya mahu menyediakan persediaan untuk menyambut pengantin yang selayaknya untuk Syamsul dan Mai. Namun pasangan ini menolak keras-kerasnya. Alasan mereka, tidak mahu membazir untuk perkara yang tidak perlu. Kak Ros kelihatan agak kecewa apabila mendengarkan itu. Namun dia terpaksa akur dengan pandangan yang empunya diri. 

Selesai majlis yang begitu sederhana itu, Kak Ros menolak pelawaan Syamsul untuk turut sama mengemas ruang restoran yang agak bersepah itu. Cepat-cepat Kak Ros mencadangkan mereka supaya balik dan berehat. Di mata wanita separuh umur itu ada sinar yang mengusik kedua-dua pengantin baru itu. Walaupun gurauannya disambut dingin oleh Mai, namun dia masih lagi mampu memberikan senyuman manis kepada Kak Ros. Mungkin sebagai tanda berterima kasih kerana mengadakan majlis ini. 

Sememangnya sudah ada perbincangan di antara mereka tentang di mana mereka akan tinggal. Dengan kata lain, perbincangan di antara dia dengan Irfan. Semua perkara berkaitan dengan urusan perkahwinan ini hanya dibincangkan bersama Irfan selama ini. Mai langsung tidak pernah mengambil bahagian. Apa-apa sahaja protes mahupun persetujuan daripada Mai, hanya disampaikan melalui Irfan. 

Telah dipersetujui bahawa selepas perkahwinan ini mereka akan tinggal di rumah Mai. Syamsul tidak mungkin akan dapat membawa Mai pulang ke rumahnya kerana dia menyewa bersama lima orang lagi teman serumah. Buat sementara waktu ini, mereka akan tinggal di rumah Mai. Sesuatu yang amat sukar diterima oleh Mai, tetapi apa pilihan yang dia ada? Syamsul tahu Mai tidak suka dia tinggal dengan Mai di rumah yang pernah dikongsi bersama dengan Irfan dulu. Mungkin terlalu banyak kenangan yang akan mengganggu kehidupan mereka berdua nanti. Tapi, dia terpaksa terus bersabar dengan keadaan itu. 

Lagipun dia yakin dan pasti yang Mai tidak akan lama menjadi isterinya. Lambat laun Mai akan meminta cerai seperti yang dinyatakan oleh Irfan tempoh hari. Bekas suaminya itu nanti akan memastikan mereka berkahwin dalam jangka masa yang tidak lama. Dia akan memastikan bahawa Mai akan meminta cerai apabila tiba masa yang sesuai nanti. Dan apabila waktunya tiba nanti, Syamsul tahu dia tidak mampu untuk menghalang perkara itu daripada berlaku. Ada sedikit rasa terkilan menerpa dalam hatinya apabila mengingatkan hakikat itu. 

Apabila tiba masa untuk mereka meninggalkan majlis tersebut, terdetik lagi rasa tidak selesa dalam hati Syamsul. Sekali lagi rasa merendah diri menghambat hati. Dia tidak punya kereta, yang ada hanyalah sebuah motosikal cabuk yang digunakan untuk berulang-alik dari rumah sewa ke restoran Kak Ros. Mana mungkin Mai mahu menaiki motosikal buruknya itu untuk ke mana-mana. 

“Engkau nak balik sekarang?” Dia bertanya kepada Mai. Mai hanya mangangguk perlahan. 

“Aku, hantarkan? Tapi... kita kena naik kereta engkau. Aku tak ada kereta, motosikal buruk adalah...” 

“Tak apalah... Naik kereta saya,” kata Mai sambil mengeluh perlahan. 

“Tapi... esok kita kena datang semula. Ambil barang-barang aku kat rumah sewa.” 

Mai diam tanpa sepatah kata. Hanya memandangnya dengan wajah selamba. Dia juga begitu. Lama mereka bertatapan tanpa bicara. Dan akhirnya Mai melarikan wajahnya. Entah apa yang ada dalam hatinya, Syamsul tidak pasti. Tapi dia pasti, hati isterinya itu tentu bergelodak deras seperti apa yang dirasakan dalam hatinya pada saat ini. 

Mereka bergerak ke kereta. Langkah Mai laju sekali mendapatkan keretanya yang diletakkan kira-kira 100 meter dari restoran Kak Ros. Syamsul menurut dari belakang dengan langkah yang agak perlahan. Tertinggal dia beberapa meter ke belakang. Sambil melangkah, dia hanya memandang tubuh kecil Mai yang begitu laju meninggalkannya. Seketika dia merasakan bagaikan ada satu tangan halus yang mengelus lembut dalam jiwanya. Terasa damai dalam hatinya melihatkan tubuh itu. Dan apabila Mai berpaling kepadanya, hilang melayang perasaan tersebut. Wajah keruh isterinya itu bagaikan menyedarkan dia daripada lamunan yang datang seketika itu.

No comments:

Post a Comment