DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 13



CITRA memandang wajahnya yang berada di hadapan cermin. Baju kurung berwarna pink lembut yang diberikan oleh Rasfal kelihatan cantik tersarung di tubuh genitnya dipadankan pula dengan selendang halfmoon bercorak yang dililit di atas kepala membuatkan Citra nampak ayu dan manis. Dia tersenyum nipis melihat penampilannya dari dalam cermin.
Setelah semuanya dirasakan tiada cacat cela, Citra keluar untuk mendapatkan Rasfal yang sedang menunggu di ruang tamu. Dia tersenyum nipis apabila melihat Rasfal yang tertidur di atas sofa sambil TV terpasang.
"Tak sampai setengah jam aku bersiap, sempat lagi dia tidur..." omel Citra sambil menjengukkan wajahnya hampir ke wajah Rasfal.
Citra mengayang-gayangkan tangannya di hadapan wajah Rasfal namun tiada tindak balas.
"Tidur mati agaknya..." ucap Citra.
Dia mengetuk dagu memikirkan cara yang paling sesuai untuk mengejutkan Rasfal. Lama dia memandang wajah Rasfal sebelum Citra menongkat dagu merenung wajah suaminya yang kacak.
Daripada rambut Rasfal yang hitam pekat, mata Citra beralih pada kening Rasfal yang lebat. Tampak sesuai dengan mata lelaki itu yang bulat dan besar. Hidung Rasfal yang mancung memang sesuai dengan bibir lelaki itu yang sensual ditambah pula dengan kulit lelaki itu yang putih kemerahan membuatkan Rasfal kelihatan kacak persis Lee Dong Wook pelakon Korea yang terkenal tu.
Lama Citra merenung wajah Rasfal sebelum dia tersedar.
"Tak, tak...Abang Qammar lebih kacak.." ucap Citra spontan sambil menggelengkan kepala.
"Siapa lebih kacak?" sergah Rasfal membuatkan Citra terkejut.
"Makkkk!!!" jerit Citra sambil dia jatuh terduduk di atas lantai.
Rasfal ketawa lepas. Dia bangun dan membetulkan duduknya.
"Siapa suruh kau tenung muka aku tanpa izin? Tak pasal-pasal jatuh terduduk..." ucap Rasfal dengan ketawa yang masih bersisa.
Citra mencebik. Dia bangun dan menggosok belakangnya yang terasa sakit.
"Bos memang suka kenakan saya kan. Sakit tahu tak..." balas Citra dengan mulut yang memuncung panjang.
Rasfal ketawa kecil. Dia menarik pergelangan tangan Citra dengan lembut. Wajah itu dipandang.
"Betul ke Qammar lebih kacak daripada aku?" soal Rasfal tiba-tiba
Citra tersentak. Alamak, apa aku nak jawab ni?
"Kenapa diam pulak ni? Kau dengar tak apa yang aku tanya ni?" soal Rasfal mengharapkan jawapan daripada Citra.
"Errr...saya bergurau je bos. Saya tak bermaksud nak bandingkan bos dengan orang lain. Abang Qammar tunang saya jadi tentulah saya akan cakap dia lebih kacak daripada sesiapa pun sebab dia pilihan saya..." jawab Citra teragak-agak.
Rasfal terdiam. Hampir dia terlupa yang Citra adalah tunang kepada Qammar dan Qammar adalah satu-satunya lelaki yang sanggup melihat tunangnya berkahwin dengan lelaki lain semata-mata untuk duit yang diselindungkan atas dasar pengorbanan.
Rasfal tersenyum nipis. Dia meleraikan pegangan di tangan Citra sebelum dia bangun.
"Jomlah gerak, kata lapar..." ucap Rasfal tanpa membalas kata-kata Citra.
Citra mula tidak senang duduk. Dia bimbang jika Rasfal terasa dengan kata-katanya tadi.
"Saya mintak maaf.." ujar Citra membuatkan langkah Rasfal terhenti. Dia berpaling dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Untuk apa?"
"Sebab saya cakap Abang Qammar lebih kacak daripada awak..." jawab Citra spontan.
Rasfal ketawa mendengar kata-kata Citra yang jujur. Gadis ini memang polos. Detik hati Rasfal.
"Aku tak kisahlah kalau kau nak cakap Qammar lebih kacak daripada Tom Cruise sekalipun, itu pandangan kau. Sekarang ni jom kita gerak, aku dah lapar ni.." ujar Rasfal lantas menarik tangan Citra.
"Okey-okey..."

"KITA nak makan apa ni?" soal Citra sambil memandang ruang restoran yang agak mewah pada pandangan Citra yang pertama kali menjejakkan kaki ke restoran seperti ini.
Rasfal hanya mendiamkan diri. Dia memilih tempat duduk yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai.
Tidak lama kemudian, seorang pelayan wanita datang untuk mengambil pesanan. Kelihatan wanita itu tersenyum-senyum pada Rasfal.
"Encik Ras nak order apa?" soal pelayan tersebut dengan senyuman yang mekar di bibirnya. Sedikit pun gadis itu tidak mengalihkan pandangan daripada merenung wajah Rasfal.
"Bagi saya beef steak dan chicken chop. Air pula...hmmm...give me orange juice and manggo juice..." ucap Rasfal dengan senyuman.
"Okey. Encik Ras boleh tak kalau saya nak sign, saya peminat Encik Ras.." ujar pelayan itu dengan tersengih-sengih. Kelihatan beberapa orang pelayan wanita di hadapan kaunter memandang ke arah mereka bertiga. Kesemuanya seolah-olah teruja apabila melihat Rasfal.
Rasfal tersenyum. Dia memandang wajah Citra sekilas. Gadis itu hanya menayang wajah selamba.
"Hmmm...boleh tapi lepas saya makan ye. Ajak kawan-kawan awak sekali, kita bergambar..." ujar Rasfal.
"Betul ke, encik?" soal pelayan itu hampir menjerit. Terpamer riak kegembiraan di wajah gadis muda itu.
Rasfal hanya mengangguk tanda mengiyakan.
"Baiklah, encik. Saya bawak order encik secepat mungkin..." ucap pelayan itu lantas beredar.
"Tak sangka ramai betul peminat bos. Seronok tak jadi artis?" soal Citra tiba-tiba.
"Dah nama pun kerja, seronok atau tak aku kena hadapi jugak. Aku yang pilih karier ni jadi aku kena tanggung semuanya…” jawab Rasfal sambil menentang pandangan Citra.
“Tapi bos tak rasa rimas ke asal keluar je ramai yang pandang-pandang. Kadang-kadang serbu bos, macam hidup tak tenteram pulak…” ujar Citra lagi.
Rasfal tersenyum. Dia mengerling ke sisi, kelihatan pelayan tadi menuju ke arah mereka berdua, lalu dengan pantas, Rasfal memegang tangan Citra lalu digenggam jari-jemari isterinya itu. Dia tahu Citra pelik lantas, Rasfal memberi isyarat mata bahawa gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh orang sekeliling jadi mereka perlulah menunjukkan kemesraan.
“Jangan banyak tanya, sekarang ni kau senyum je. Orang pandang tu…” ucap Rasfal dengan suara yang perlahan. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Citra.
“Ehem, Encik Ras, ini makanannya. Jealousnya saya tengok Encik Ras dengan wife. Memang romantik, beruntung akak dapat kahwin dengan jejaka idaman tanah melayu ni,” ujar pelayan yang bertanda nama Nurul itu dengan tersenyum-senyum.
Rasfal dan Citra saling berpandangan. Mereka ketawa kecil.
“Akak doakan adik dapat suami yang sama macam Ras Haqeemi jugak. Insya-Allah…” ujar Citra ramah. Dia tersenyum manis.
Rasfal hanya memerhatikan gelagat Citra yang berbual kosong dengan Nurul. Gadis itu memang ramah walaupun tampak macam pemalu. Senyuman yang mekar di bibir Citra membuatkan Rasfal turut tersenyum. Tak sia-sia aku ambil kau bekerja, Citra. Pandai kau berlakon.
“Saya ke belakang dululah, kak. Nampaknya, Encik Ras Haqeemi kesayangan ramai ni dah tak nampak orang lain selain akak. Saya yang cantik ni pun tak dipandang…” gurau Nurul membuatkan Citra ketawa. Dia mengangguk apabila Nurul meminta diri.
Citra menarik nafas lega apabila bayang Nurul hilang di sebalik pintu dapur. Matanya kini tertancap pada pinggan yang berisi chicken chop. Dahinya berkerut. Macam mana aku nak makan ni? Takkan nak makan dengan tangan? Arghh…bantai jelah. Aku dah lapar betul ni. Desis hati Citra lalu dia cuba memegang peha ayam itu dengan menggunakan tangannya.
Mata Rasfal membulat, sepantas kilat dia menampar tangan Citra dengan lembut. Pinggan itu ditarik supaya menjauhi Citra.
“Kau nak buat apa tadi?” soal Rasfal dengan suara yang perlahan.
Citra mendongak. Dia mengangkat kening.
“Nak makanlah. Lapar…”
“Siapa suruh kau guna tangan? Kalau nak makan, guna pisau dan garfu ni. Takkan itu tak tahu?” soal Rasfal serius. Dia menatap wajah Citra yang kelihatan tenang.
Citra terdiam. Masalah sekarang dia tak pandai makan menggunakan sudu dan pisau. Nak makan macam mana kalau guna pisau? Makan pakai tangan cukuplah. Lagipun itu sunnah nabi. Jika niat atas mengikut sunnah, pasti akan dapat pahala.
“Tapi saya…saya…” Citra kehilangan kata-kata.
“Saya apa?” pintas Rasfal.
“Saya tak pandai….” Ucap Citra sambil menundukkan wajahnya. Dia segan.
“Tak pandai?” Rasfal mengeluh kecil. Inilah padahnya kalau beristerikan orang kampung. Semua benda tak tahu padahal menjadi orang kampung tidak semestinya harus berada di takuk yang lama. Sesekali perlu keluar daripada kotak untuk melihat apa yang terjadi di dunia luar.
“Apa yang kau pandai?”
“Saya pandai makan je…” jawab Citra lurus.
Rasfal hanya menepuk dahi. “Aku nak kau belajar makan dengan menggunakan garfu dan pisau ni, masa akan datang kau akan lebih banyak terdedah dengan dunia-dunia artis memandangkan kau dah kahwin dengan aku jadi sedikit sebanyak kau kena belajar gaya hidup macam artis…” bebel Rasfal.
Lalu, tangannya lincah memotong chicken chop itu sehingga menjadi kepingan yang kecil sebelum pinggan itu ditolak ke hadapan Citra.
Citra terkedu melihat perbuatan Rasfal. Dia termangu seketika apabila Rasfal ingin menyuapkan kepingan ayam itu ke dalam mulutnya. Hai, pelakon terkenal ni dah buang tebiat ke? Fikir Rasfal.
“Bukalah mulut tu. Jangan malukan aku. Kita tengah berlakon sekarang ni…” bisik Rasfal sambil menayang senyuman palsu.
Lambat-lambat Citra membuka mulut membiarkan Rasfal menyuapnya. Wajahnya sudah berbahang panas namun Citra cuba bersikap selamba tetapi saat Rasfal mengesat sisa mayonis yang tercalit di tepi bibirnya, pantas darah merah menyerbu ke mukanya. Citra malu lalu dia menundukkan wajahnya.
Rasfal tersenyum melihat Citra yang tersipu-sipu. Suka pula dia melihat pipi Citra yang merona merah. Baru usik sikit dan merah. Pemalu betul minah ni. Detik hati Rasfal.
“Makanlah sampai habis. Nanti petang kita balik rumah mama…” ujar Rasfal.
Citra mendongak. Mata mereka bertentangan sebelum Citra mengalihkan pandang ke tempat lain.
“Untuk apa?”
Next week majlis resepsi, jadi kita kena siapkan apa yang patut. Awal-awal mama dah pesan supaya aku bawak kau balik jadi aku rasa lepas ni bolehlah kita balik ke rumah mama…” terang Rasfal sambil menyuapkan beef steak ke dalam mulutnya.
“Nanti majlis ni akan masuk TV ke?” soal Citra ingin tahu.
“Insya-Allah, mengikut perancangan memang akan masuk tapi untuk program Ijab dan Kabul dekat Astro Ria, jadi kau kena bersedialah untuk di temu ramah.” Terang Rasfal lagi.
Mata Citra membesar. Temu ramah lagi? Ini yang aku lemah ni. Mesti nak kena berbohong lagi. Keluh hati Citra.
“Saya nak jawab apa? Saya malulah nak masuk TV lagi. Mesti ramai kawan-kawan saya yang tak sangka saya dah kahwin dengan bos…” ucap Citra sambil menguis-nguis sisa makanan yang berada di dalam pinggan.
“Ingat, perkahwinan ni satu pekerjaan bagi kau jadi pedulikan pasal orang lain. Kau buat kerja kau, kau yang dapat gaji. Kalau dia orang nak cakap pun, semuanya tak dapat nak merubah takdir,” balas Rasfal bersahaja.
“Tapi saya…”
Syyyhhhh….”
Rasfal meletakkan jari telunjuknya di bibir Citra membuatkan isterinya itu terdiam. Terkebil-kebil Citra memandang wajah Rasfal. Jantungnya berdenyut dengan tiba-tiba dengan sentuhan Rasfal. Lalu, tangan Rasfal dialihkan daripada bibirnya.
“Apa bos ni? Malulah orang tengok…” tegur Citra sambil tersipu-sipu.
“Malu apanya, kitakan dah kahwin…” balas Rasfal sambil tersengih.
Citra mencebik. Kahwin pun hanya lakonan semata-mata, kahwin apanya macam tu. Detik hati Citra.
“Malaslah nak layan bos, lebih baik saya makan. Lepas ni saya nak balik rumah saya….”
“Nak buat apa? Kan aku dah cakap tak payah…” pintas Rasfal pantas.
“Saya nak ambil pakaian sayalah. Untuk jangka masa setahun ni kan saya kena berkhidmat untuk bos jadi saya kenalah kunci rumah saya tu…” terang Citra.
Rasfal tersengih. Malu kerana terlalu cepat salah sangka terhadap gadis itu. Namun, bibirnya mengukir senyuman nipis saat melihat gelagat Citra yang masih menjamah makanan. Gadis itu seolah-olah tidak mempedulikan orang sekeliling malah jelas di pandangan Rasfal, Citra memang seorang gadis yang selamba.
Tiba-tiba Citra mengangkat muka. Pandangan mereka berdua bertembung membuatkan Rasfal terkedu seketika.
“Kenapa bos pandang saya macam tu? Ada yang pelik ke dengan muka saya?” soal Citra sambil meraba anggota wajahnya.
“Ada…” balas Rasfal bersahaja.
“Hah, apa yang pelik?” soal Citra kelam-kabut.
“Kau nak tahu apa yang pelik dekat kau?” soalan dibalas soalan. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Citra. Anak mata Citra yang bulat dan bundar itu ditenung lama. Jelas gadis itu mengharapkan jawapan daripada Rasfal.
“Apa dia, bos?” soal Citra turut mendekatkan wajahnya ke wajah Rasfal.
Hmmm…otak kau yang pelik…” jawab Rasfal sambil menghamburkan ketawa.
Citra tersentak kemudian dia mengetap bibir. Dia terkena kali ini. Lalu dengan pantas dia mencubit lengan Rasfal dengan spontan.
“Aduh, sakitlah!” jerit Rasfal sambil menggosok-gosok lengannya yang terasa perit.
“Rasakan, padan muka!”


No comments:

Post a Comment