RANIA Arissa memaut lengan daddynya yang tengah leka bersembang dengan Yasmin dan Iqram. Turut berada di situ Datuk Iskandar, Datin Aziah, Izzara dan Shamzlin.
“Daddy... let’s go home now. Rania dah ngantuk.” Omel si comel itu seraya memeluk Ghaz Khuzairi. Nampak mengantuk betul gayanya.
Ghaz Khuzairi memandang sekilas jam Tag Heuer Aquaracer di tangannya. Sudah pukul 10:30 malam. Patutlah anaknya sudah mengantuk. Selalunya weekdays begini dia memang membiasakan si comel itu tidur awal supaya mudah nak kejutkannya bangun pagi. Selalunya pukul 10:00 malam, Rania Arissa sudah lena dengan memeluk teddy bear kesayangannya.
Ghaz Khuzairi memandang ke arah wajah si comel itu. Kasihan, mengantuk sangat dah tu. Kuyu saja matanya. Namun dia naik segan pulak nak minta diri. Tak sampai 15 minit dia duduk bersembang dengan famili yang ramah dan baik ni. Takkan dia nak minta diri pulak? Sudahlah famili Izzara ni begitu lapang dan senang hati menerima kedatangannya. Dan, paling membuatnya terharu apabila keluarga ini ikhlas menerima Rania Arissa.
“Alahai… kasihan sayang nenek ni. Mengantuk ye, sayang?” soal Datin Aziah.
“Esok Rania nak pergi tadika. Daddy cakap kalau tidur lewat, nanti lambat bangun. Jomlah daddy, kita balik.” Rania Arissa sudah merengek-rengek sambil tangannya menarik tangan Ghaz Khuzairi.
Haih, budak kecik ni kalau dah mengantuk, memang buat perangai. Ghaz Khuzairi sudah serba salah dibuatnya. Sarah Yasmin yang perasan akan riak muka serba salah Ghaz Khuzairi itu terus bersuara.
“Tak apalah, Ghaz. Kasihan Rania tu nak tidur. Lagipun memang dah lewat pun. Nanti free, bawaklah dia datang sini lagi.” Ujar Sarah Yasmin.
“Hmm, yalah. Nampaknya, saya nak minta diri dululah. Rania dah merengek-rengek ni. Dah mengantuk sangatlah tu. Saya minta maaflah pada semua, tak dapat nak sembang panjang.” Ghaz Khuzairi menepuk-nepuk perlahan belakang Rania Arissa yang sudah memeluknya. Tangan si comel itu melingkar manja di lehernya.
“Ghaz, tak perlulah nak minta maaf. Kami faham. Biasalah budak-budak kalau dah mengantuk memang macam gini kerenahnya. Alahai... nampak mengantuk betul cucu atuk
ni ye. Salam atuk dulu, sayang. Nanti jangan tak datang rumah atuk ni. Jumpa atuk dan nenek lagi tau.” Seraya itu Datuk Iskandar menghulurkan tangannya kepada Rania Arissa untuk bersalaman. Sempat dia mencium pipi gebu si comel yang petah itu.
“Ghaz, ni card saya. Nanti free datanglah rumah or kita set date jumpa kat mana-mana. Pasti banyak perkara awak nak sembang dengan Yasmin. Maklumlah, dah lama tak jumpa, bukan? Jangan lupa ye, Ghaz. Bawak Rania sekali nanti.” Usai bersalaman, Iqram Arief menghulurkan name cardnya kepada Ghaz Khuzairi. Selama ini dia hanya mengenali Ghaz Khuzairi melalui cerita Sarah Yasmin sahaja. Namun malam ni tak sangka pula boleh bersua dengan jejaka kacak itu. Tampak santai saja apabila Canterbury rugby jersey berlengan panjang dan jeans Levi’s itu tersarung kemas di badan tinggi dan sasa itu.
“Yelah Ghaz. Jangan lupa ye. Banyak perkara nak sembang dengan awak ni. Lama betul tak jumpa, kan.” Tambah Sarah Yasmin yang sudah berdiri di sisi Iqram Arief. Manja saja dia memaut manja lengan suaminya.
“Insya-Allah. Thanks ye Iqram… Sarah... Maybe lepas balik dari Perth nanti saya call and decide bila nak jumpa.” Ujar Ghaz Khuzairi.
“Bila nak fly Ghaz? Rania ni parents awaklah yang jaga ye?” soal Sarah Yasmin.
“Esok saya fly ke Perth. Dan Rania ni memang parents saya yang jaga kalau saya fly ke mana-mana. Malam ni nak gerak sanalah. Tidur kat sana.” Terang Ghaz Khuzairi pula.
Setelah masing-masing bersalaman, Ghaz Khuzairi meminta diri seraya menuju ke pintu untuk keluar. Izzara yang tidak jauh dari situ mara ke arah Ghaz Khuzairi yang sedang mendukung Rania Arissa.
“Mengantuknya sayang mommy ni. Come, mommy dukung dia. Kita sama-sama ke kereta daddy ye.” Rania Arissa yang tengah mamai dalam pelukan Ghaz Khuzairi, mencelikkan mata bundarnya apabila mendengar suara milik Izzara. Seraya itu dia mendepangkan tangan lalu badan comelnya itu dicapai oleh Izzara.
Izzara merapatkan badannya sedikit pada Ghaz Khuzairi untuk mendukung si comel itu. Haruman Dior Homme Perfume milik Ghaz Khuzairi menerjah ke rongga hidungnya. Entah kenapa jantungnya tiba-tiba seakan dipalu kencang.
Adakah sebab wangian maskulin milik lelaki kacak itu? Ataukah kerana kedudukannya begitu rapat dengan Ghaz Khuzairi ketika ingin mendukung Rania Arissa tadi? Serentak itu, dia memandang pada wajah Ghaz Khuzairi yang turut memandangnya. Kedua-duanya saling terpanar saat mata mereka bertautan. Lama. Namun rengekan Rania Arissa mematikan adegan itu.
Ghaz Khuzairi menoleh ke arah lain sambil mengurut perlahan belakang tengkuknya. Nak cover malulah tu! Papa dan mama Izzara yang sedari tadi menyaksikan mereka tersenyum senang. Hati tua mereka seolah-olah bahagia dengan apa yang dilihat oleh mata kasar. Namun kedua-duanya tidak mengerti gelora jiwa di hati kedua-dua anak muda di hadapan mereka ketika itu.
Izzara sudah mendukung Rania Arissa. Dia mengekori langkah Ghaz Khuzairi untuk ke kereta. Yang lain sudah masuk ke dalam rumah setelah bersalaman dan berpamitan dengan Ghaz Khuzairi. Sampai saja di kereta Mazda CX-9 itu, Ghaz Khuzairi membuka pintu penumpang di bahagian hadapan dan menyelaras tempat duduk untuk menempatkan Rania Arissa yang sudah terlena.
Kemudian dia mengambil Rania Arissa dari dukungan Izzara. Dan sekali lagi kedudukannya agak rapat dengan Izzara dan hatinya bagai dipalu kencang. Naluri lelakinya terusik apabila melihat Izzara mengenakan satin stripe pyjamas Victoria’s Secret berlengan panjang berwarna peach lembut itu. Walaupun nampak sopan tapi jantungnya serasa nak gugur kerana baju itu nampak seksi di badan Izzara dengan rambut ikal panjangnya yang dibiar lepas bebas.
Ya Tuhan, entah kenapa dia merasakan nalurinya berkocak hebat melihat gerak-geri dan pakaian serta haruman yang dipakai si jelita itu. Wangian yang dipakai oleh Izzara itu mengingatkannya kepada insan yang pernah bertakhta di hatinya. Wangian Miss Dior Cherie adalah wangian kegemaran arwah Marlissa.
“Ya Allah, kenapalah Izzara ni banyak sangat persamaannya dengan arwah Marlissa?”
“Ghaz? Are you okay? Kenapa diam je ni? What’s wrong? tanya Izzara kepada Ghaz Khuzairi yang tiba-tiba senyap dan kaku setelah mengambil Rania Arissa dari dukungannya. Bukan nak diletaknya si comel itu ke seat, boleh pulak terkaku di situ.
“Erm… errr... nothing. Just hairan dan lupa nak tanya. Baju siapa yang Rania pakai ni. Seingat saya, dalam beg dia tu saya tak bubuh pun jubah ni untuk dia. Lagipun rasanya saya
tak bekalkan baju lebih untuk dia.” Soal Ghaz Khuzairi yang baru perasan akan baju yang dipakai oleh anaknya.
Sebenarnya dia cuba menutup malunya yang boleh pulak terkaku terkenangkan arwah Marlissa. Kemudian dia meletakkan Rania Arissa ke tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Tempat duduk yang telah diselaraskan kedudukannya, agar anaknya selesa baring di situ.
“Oh, tu jubah mama saya beli untuk cucu-cucu sedara dia. Mama beli masa buat umrah hari tu. Kebetulan ada lebih dan muat dengan Rania. Tadi dia sibuk nak solat berjemaah sama-sama, tu yang mama mandikan dan pakaikan dia jubah tu.” Jelas Izzara kepada Ghaz Khuzairi yang berdiri di hadapannya. Matanya memandang sekilas ke arah Rania Arissa yang sedap melayan lenanya.
“Zara, saya nak ucapkan terima kasih sebab awak dan keluarga awak layan Rania dengan baik. Saya bersyukur sebenarnya, awak dan keluarga awak ikhlas menerima dan melayan Rania. Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan awak sekeluarga.”
“Ya Allah, Ghaz... berapa kali awak nak berterima kasih ni? Dah jadi tanggungjawab kita sesama manusia, kan? Sebenarnya saya masih tak sangka yang Kak Yasmin tu kawan awak dan arwah Marlissa. Patutlah dia pernah cakap muka saya ni seiras dengan kawan dia.”
“Saya pun tak sangka Sarah Yasmin tu kakak ipar awak. Terkejut saya tengok dia ada dengan famili awak tadi. Kami dah lama lost contact since dia berkahwin dan resigned dari MAS.”
“Ghaz, kadang-kadang kita memang tak sangka dengan apa yang telah Allah aturkan atau takdirkan untuk kita. Macam tak percaya je... Secara tak sengaja saya kenal awak dan Rania
... secara tidak langsungnya boleh menemukan awak, Rania dan Kak Yasmin yang dah lama lost contact.”
“Betul tu, Zara. Saya tak jangka perkenalan kita yang tak sampai dua hari ni boleh menemukan saya dan Sarah Yasmin. Erm… wait for a minute Zara.” Ghaz Khuzairi melangkah ke keretanya, ke bahagian pemandu. Dia membuka pintu dan mengambil sesuatu dan kemudian kembali ke arah Izzara.
“Zara… ni contact number mama dan adik saya, Zati. kalau awak nak jumpa Rania selama saya tak ada empat hari ni, awak call je diaorang ni. Nanti saya inform pada diaorang ya.” Ghaz Khuzairi menghulurkan sekeping name card kepada Izzara.
“Insya-Allah, nanti free saya nak bawa Rania tu jalan-jalan sebab tadi tak sempat . Saya baru teringat ada dinner malam ni dengan famili saya pun sebab mama yang call.”
“Tak apa. Kalau nak bawak Rania jalan-jalan, saya izinkan. Call je Zati adik saya ni. Dia okey. Lagipun dia ni kaki merambu jugak. Kaki shopping. Yang jadi mangsa penemannya si Ranialah.” Cerita Ghaz Khuzairi mengenai adik bongsunya Izzati Aisyah, yang kaki shopping itu. Rajin mengangkut si Rania Arissa keluar shopping dan berjalan-jalan. Sukalah si comel tu yang sememangnya pantang diajak.
“Wah, kaki shopping ye? Ada geng ni. Boleh saya ajak dia dan Rania keluar sama-sama nanti.”
“Hmm… okeylah, Zara. Saya dan Rania nak gerak balik dululah ye. Thanks for everything. Anything, just let me know or call Zati, adik saya tu.” Ghaz Khuzairi meminta diri untuk bergerak balik.
Sebenarnya hatinya tak keruan apabila melihat Izzara yang berdiri di hadapannya itu. Tampak seksi. Sesak dadanya apabila angin malam meniup baju si jelita yang kadang-kadang menampakkan lekuk-lekuk yang tak sepatutnya dipandang oleh matanya. Tiupan angin malam itu juga mengusik lembut rambut ikal panjang milik si jelita yang terlepas bebas itu. Haih, tergugat jugak imannya nanti kalau lama di situ.
Ketika dia ingin menutup pintu penumpang di bahagian hadapan, tiba-tiba Rania Arissa membuka matanya dan bertanya sesuatu kepadanya.
"Daddy, mana mommy?”
“Aikk? Budak ni mengigau ke siap tanya mommy bagai ni?” Desis Ghaz Khuzairi. Terkejut apabila tiba-tiba si comel itu bersuara. Izzara yang mendengar Rania Arissa bertanyakan dirinya terus mendapatkan si comel yang kononnya mengantuk sangat tadi tu.
“Hai, dah bangun ke sayang mommy ni? Tadi bukan main lagi mengantuk mata dia.”
“Nak kiss, mommy.”
“Oh, no wonderlah sayang mommy ni bangun ye? Mommy lupa nak kiss dia rupanya. Come here and give me a kiss.” Izzara merapatkan badannya kepada Rania Arissa dan seraya itu si manja itu memeluk dan menciumnya lalu dibalas mesra oleh Izzara
“Be good, dear. Dengar cakap Tok Pa dan Tok Ma ye. Nanti lain kali mommy bawak jalan-jalan ye. Mommy will miss you and good night, sayang.”
“Good night and I love you, mommy.”
“I love you too, sweetheart.” Balas Izzara lalu menutup pintu kereta. Ghaz Khuzairi yang sudah menghidupkan enjin keretanya, melambaikan tangannya kepada Izzara. Beberapa saat kemudian, kereta Mazda CX-9 itu bergerak meninggalkan perkarangan banglo tiga tingkat itu. Dan Izzara mengatur langkah masuk semula ke dalam rumah.
“PATUTLAH RANIA tu macam anak mat salih je. Rupanya ayah dia memang ada darah campuran Melayu-Inggeris. Mesti handsome ye, bang?” soal Datin Aziah sambil menyapu losen ke tangannya.
“Amboi… isteri abang ni! Depan suami pun boleh tanya pasal lelaki lain handsome ke tidak. Yang suami awak ni dah tak handsome ke?” Giat Datuk Iskandar. Sengaja bergurau dengan isterinya yang tetap jelita itu walaupun usianya sudah lewat 50-an.
Datin Aziah memalingkan badannya, menghadap Datuk Iskandar. Matanya merenung kasih ke arah wajah lelaki yang sentiasa di hatinya, seraya dia memeluk pinggang suaminya itu. Terbit perasaan risaunya jika si suami terasa hati dengan soalannya tadi. Maklumlah, kadang-kadang lelaki yang dah berusia ni sensitif dan suka diberi perhatian. Lagi-lagi perhatian daripada si isteri.
“Abang, Azie ada tersalah cakap ke? Abang terasa hati eh?” soalnya risau.
“Alahai, isteri abang ni cepat benar panik. Takkanlah abang nak terasa, sayang oii! Abang tahu yang isteri abang ni sayang kat abang je. Bukan lelaki lain. Tapi... kan yang, abang berkenan betul dengan Ghaz Khuzairi tu. Bertuahlah siapa dapat bermenantukan Ghaz Khuzairi tu ye.”
“Azie pun sama, bang. Berkenan betul Azie dengan budak Ghaz tu. Kalau kita ada anak perempuan sorang lagi, boleh kenenkan dia dengan anak kita. Hmm, abang tak risau ke anak dara kesayangan kita tu? Dah lama berkawan dengan Qaleef tu, tak ada ura-ura nak menikah pun, bang. Saya risau umur anak kita tu dah 28 tahun. Tapi tak nampak nak ke arah menamatkan zaman bujangnya. Naik risau saya dengan anak dara awak tu. Qaleef tu pun apa kurangnya. Memang baik budaknya. Azie memang suka kalau dia jadi dengan Zara.” Jelas kedengaran risau nada Datin Aziah bersuara meluahkan tentang anak perempuan tunggalnya itu.
Tersenyum Datuk Iskandar mendengar omelan isterinya itu. Selagi Izzara tu tak menikah, selagi itulah hati isterinya risaukan tentang anak dara mereka itu.
“Yang... soal nikah kahwin ni kita tak boleh nak paksa budak-budak tu kalau diaorang tu belum bersedia. Kalau dipaksa nanti, lain pulak jadinya. Apa-apa hal nanti, kita pulak disalahkan. Sayang jangan risaulah. Zara dan Qaleef tu pasti ada perancangan yang baik untuk masa depan mereka tu. Kita sebagai orang tua doakan yang terbaik untuk mereka.” Lembut Datuk Iskandar bersuara berbaur memujuk dan cuba mengurangkan keresahan isterinya itu. Namun Datin Aziah masih dengan riak risau dan resahnya.
“Azie bukan apa, bang. Budak berdua tu dah lama jugaklah berkawan. Ke hulu ke hilir bersama. Risaulah, takut mereka buat sesuatu yang boleh memalukan keluarga kita. Anak dara kita sorang tu je, bang.” Ujar Datin Aziah yang tak putus-putus meluahkan kerisauan yang terbuku di hatinya. Orang tua manalah yang suka anak daranya keluar dengan lelaki tanpa sebarang ikatan.
“Jangan terlalu memikirkan yang bukan-bukan, yang. Macam yang abang katakan tadilah. Kita sebagai orang tua mereka, haruslah mendoakan yang terbaik dan minta dijauhkan perkara yang tak elok berlaku. Tapi kita kena perhatikan dan tegur jugak kalau mereka buat sesuatu yang tak sedap mata kita ni menengoknya. Setakat ni abang tengok Qaleef tu pandai hormatkan anak dara kita tu. Sayang jangan fikirkan sangatlah.” Datuk Iskandar menarik perlahan Datin Aziah rapat ke badannya. Dia mencium penuh kasih ke pipi isterinya. Cuba memujuk wanita di sebelahnya itu yang risau tentang anak daranya. Serentak tangannya menggosok lembut belakang si isteri. Cuba menenangkan isteri tersayang.
“Ehem... ehem!”
Datuk Iskandar dan Datin Aziah menoleh ke arah suara yang berdeham itu. Izzara sudah melangkah masuk ke bilik mereka. Namun mereka tetap masih berpelukan manja. Riak wajah kedua-duanya tenang saja. Tiada riak malu atau segan dengan anak daranya yang melihat kedua-duanya berpelukan manja itu.
“Sayang mama nak apa? Tengok tu, bang. Sajalah tu nak kacau kita ni nak beromantik.” Datin Aziah sengaja menggiat anak daranya yang tampak serba salah itu. Kemerahan wajah si anak dara mendengar kata-kata mamanya.
“Sorry… Zara bukan nak ganggu suami isteri ni nak beromantik bagai. Zara cuma nak beritahu, Zara nak balik kejap lagi.” Ujar Izzara yang masih memandang ke arah papa dan mamanya berpelukan itu. Hakikatnya, dia suka melihat papanya melayan mamanya begitu. Papanya memang seorang yang penyayang dan lemah-lembut kepada isteri dan anak-anak.
Kekadang, itu yang dia terberangan inginkan suami yang ada ciri-ciri macam papanya…
“Okey, Zara tunggu kat bawah, nanti mama turun.”
“Okey, ma. Zara tunggu kat bawah ye, ma.” Zara sudah mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut. Namun sampai saja di muka pintu, dia berpaling.
“Mama... papa, Zara tak nak adik tau! Abang Iqram dan Kak Yasmin on the way nak bagi cucu kat mama dan papa. Lagipun kita dah ada Rania Arissa yang comel tu… hehehe.” Usik Izzara sambil ketawa kecil. Dan belum sempat Datin Aziah membalas, Izzara bersuara semula sambil tangannya menarik tombol pintu untuk menutup pintu bilik tersebut.
“Next time… kalau nak beromantik, sila tutup pintu ni dulu ye. Tak adalah kena terjah... hehehe.” Datuk Iskandar hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat si anak daranya sudah berlari keluar menghala ke arah lift untuk turun. Nakal betul! Tiba sahaja di bawah, Izzara menuju ke ruang rehat keluarganya. Sementara menunggu mamanya turun, boleh sembang-sembang dengan Shamzlin, Kak Yasmin dan Abang Iqram yang sedari tadi rancak berbual. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Abang Iqramnya sambil memaut manja lengan si abang. Yasmin hanya tersenyum melihat tingkah si adik ipar yang manja dengan suaminya itu.
“Akak sangka Ghaz tu dah kahwin. Rupanya masih single lagi. Setia betul dia dengan cintanya kepada arwah.” Ujar Sarah Yasmin yang menjangkakan Ghaz Khuzairi sudah memiliki keluarga sendiri. Walaupun arwah Marlissa itu sudah menjadi isteri Ryan Arshad, cinta Ghaz Khuzairi tetap bersisa. Sejak itu, hati Ghaz Khuzairi seolah-olah tertutup untuk bercinta lagi. Malah perempuan-perempuan yang cuba memenangi hatinya hanya dipandang sepi.
“Setia betul si Ghaz tu kan kak? Dahlah handsome giler. Mana tak si Anita tu sanggup memusnahkan masa depan orang lain kerana cintanya tak berbalas.” Ujar Shamzlin pula. Terpesona dengan kekacakan Ghaz Khuzairi tatkala kali pertama melihat si pilot itu. Sudahlah kacak, berkarisma dan sopan pulak tu. Nasib baik tak ternganga mulutnya tadi. Kalau tidak, malu saja!
“Eceh! Lain macam je kau puji si Ghaz tu, Sham? Dah berkenan ke? Kalau kau berkenan, aku boleh tolong adjust untuk kau.” Sela Izzara pula yang masih duduk menyandar di sebelah abangnya.
“Haah, Sham. Awak tu single dan Ghaz tu pun single. Sedang eloklah tu.” Sampuk Iqram Arief pula. Turut mengusik Shamzlin.
“Tak salah mencuba, Sham. Bertuah perempuan yang dapat Ghaz tu. Baik, bertanggungjawab dan penyayang pulak tu. Nak pulak dah ada Rania Arissa yang comel tu. Haih… rugilah Sham, kalau tak mencuba...” Giat Sarah Yasmin pula. Jadi nasi tambah mengusik Shamzlin.
Muka Shamzlin sudah kemerahan. Malulah dia apabila mereka di situ seperti berpakat mahu mengenenkannya dengan Ghaz Khuzairi.
“Izzaralah ni! Kalau dia tak mulakan dulu, takdelah Abang Iqram dan Kak Yasmin tumpang sekaki dua mengusik sama. Nak kena lempang laju-laju agaknya si Zara ni! Tak pasal-pasal aku jadi bahan. Hampeh kau, Zara!” Omel Shamzlin. Geram dengan Izzara. Tajam matanya memandang Izzara yang tersenyum sumbing.
“Helo, Sham puji dia je okey... Tak semestinya hati Sham ni berkenan. Dan kau Zara, jangan nak ober ye... Karang tak pasal-pasal kau yang jadi mak betul si Rania Arissa. Hah, ternganga kau nanti!” Balas Shamzlin geram. Mentang-mentang dah ada Qaleef, sibuk pulak nak jadi matchmaker bagai! Izzara sudah tergelak melihat muka Shamzlin yang kemerahan diusik. Sarah Yasmin dan Iqram Arief hanya tersenyum dan menggelengkan kepala menyaksikan Shamzlin dan Izzara sempat bertekak tak mengira tempat.
“Hmm… Kak Yasmin. Ada ke pilot yang pakai cermin mata kak? Setahu Zara, pilot tak boleh pakai cermin mata, kan? Tapi Ghaz tu pakai cermin mata pulak?” Izzara bertanya, inginkan kepastian. Dalam masa yang sama, dia cuba menukar topik perbualan mereka yang mengusik Shamzlin. Karang menangis pulak minah kelibut tu kalau mereka tidak sudah-sudah mengusiknya. Satu hal pulak nak memujuknya nanti!
“Haah, yelah Kak Yasmin. Sham pun tertanya-tanya jugak ni. Boleh ke pilot pakai cermin mata segala ni kak?” sampuk Shamzlin.
“Boleh je kalau pilot nak pakai cermin mata. Asalkan correctable 6/6 dan tak ada astigmatism. Dulu MAS memang tak ada pilot yang pakai cermin mata sebab company requirement. But now dah boleh. So, pilot boleh pakai cermin mata atau contact lens yang boleh betulkan kerosakan macam tu jadi normal. Kalau ada masalah lain yang serius contohnya kalau calon tu rabun yang power dia tinggi sangat, memang tak bolehlah jadi pilot.” Terang Sarah Yasmin.
“Macam sorang kawan akak tu, masa dia start jadi pilot kat MAS, dia dah pakai cermin mata. Tapi Ghaz pulak, masa akak still dengan MAS dulu, dia tak pakai cermin matalah. Mungkin dia baru lagi tu kut pakai cermin mata tu. Hmm, tapi itulah. Bertambah handsome pulak dia berkaca mata. Haih… makin ramailah perempuan yang cuba nak tackle dia. Melepaslah awak, Sham.” Sempat pula Sarah Yasmin menggiat Shamzlin. Kehadiran suara Datin Aziah membantutkan perbualan mereka seketika.
“Zara... Sham… kamu berdua balik macam ni je ke? Tak tukar baju? Takkan balik dengan pyjamas ni?” soal Datin Aziah hairan. Selamba saja nak keluar rumah dengan baju tidur.
“Alahai, mama… kita orang terus balik ke rumah la, ma. Tak singgah memana pun. Risau betul mama ni, tau.” Jelas Izzara kepada Datin Aziah yang sudah berkerut dahinya. Takkan
nak keluar rumah dengan pyjamas tu?
“Tak manis sayang oii! Anak dara keluar dengan pyjamas begini. Kalau kawan mama ke atau sesiapa yang kenal kamu berdua nampak kamu keluar malam-malam begini dengan pyjamas, tak kenalah. Dah, jangan nak singgah memana pulak. Terus balik!” Izzara hanya tersengih apabila mamanya membebel. Shamzlin yang memakai cotton polkadot pyjamas Victoria’s Secret itu juga turut tersengih sama. Dia yang datang sehelai sepinggang tadi, terpaksa juga merembat pyjamas Izzara. Memang patut pun orang tua tu bising.
“Okey ma. Kita orang terus balik rumahlah.” Jawab Izzara lalu masuk ke keretanya dan menghidupkan enjin kereta. Beberapa minit kemudian, Honda City dan Toyota Vios milik mereka itu perlahan meninggalkan perkarangan banglo tiga tingkat tersebut.
HATI GHAZ Khuzairi masih berdebar apabila mengingatkan situasinya dengan Izzara tadi. Sudah lama dia tak berperasaan begini. Walaupun ramai wanita jelita dan seksi yang cuba menambat hatinya namun semua dipandang sepi dan tidak menggugat naluri lelakinya. Hanya kekasihnya, arwah Marlissa yang mampu mengocak jiwa lelakinya itu.
Entah kenapa malam ini, perasaan yang pernah dia alami ketika dengan arwah Marlissa seolah-olah terbit semula. Rasa itu muncul ketika matanya bertentangan dengan mata Izzara. Naluri lelakinya terusik melihat Izzara tampak seksi dengan satin pyjamas yang dipakainya tadi. Dengan rambut ikal milik si jelita yang terliuk lembut ketika ditiup angin malam menjadikan dirinya tak keruan! Dan dadanya seakan dipalu kencang apabila haruman Miss Dior Cherie yang pernah menjadi wangian kegemaran Marlissa menusuk ke hidungnya ketika mendekati Izzara tadi. Sesak dadanya berdua dengan Izzara tadi.
“Ya Tuhan, takkanlah aku dah jatuh suka dengan Izzara kut? Tapi kenapa perasaan dan naluri lelaki ini tiba-tiba terusik malam ni? Adakah sebab Izzara itu seolah-olah jelmaan arwah Marlissa? Atau kerana memang dia tampak seksi dengan pyjamasnya itu?” Dia akui, kisahnya dan arwah Marlissa hanya tinggal sejarah. Namun sedikit sebanyak rasa cinta di hatinya terhadap arwah masih bersisa walaupun hatinya reda menerima takdir Tuhan. Rasa cinta dan kasihnya kepada Marlissa kadang-kadang bertamu juga di hatinya. Dan kerana itulah, hatinya seakan-akan tertutup untuk menerima dan bercinta dengan wanita lain selain arwah Marlissa. Bukan dia tidak pernah mencuba. Ghaz Khuzairi masih tertanya-tanya kenapa malam ni rasa itu terbit semula setelah lama terkubur di jiwanya. Takkan dia sudah jatuh cinta dengan Izzara yang tak ubah seperti arwah Marlissa itu?
“Ya Tuhan, takkan aku jatuh hati pada wanita yang dah jadi milik orang lain. Cincin yang tersarung di jari manisnya itu sudah menunjukkan bahawa dia dah punya yang istimewa di hatinya. Ya Allah, Aku mohon kepada-Mu… Janganlah disebabkan perasaan di hatiku ini menjadikan aku mengharap pada insan yang hatinya bukan untukku. Aku mohon kepada-Mu, Ya Allah.” Pohon Ghaz Khuzairi sambil mengurut perlahan dadanya yang masih berdebar-debar.
“Daddy, kenapa? Sakit dada ke?” soal Rania Arissa yang terbaring di tempat duduk penumpang. Sedari tadi memerhati daddynya. Dia pelik apabila Ghaz Khuzairi tiba-tiba mengurut perlahan dadanya. Ghaz Khuzairi tersenyum. Sempat pulak dia mengelamun memikirkan rasa hati.
“Hmm… daddy okey je, sayang. Tak sakit apa-apa pun. Eh, bukan anak daddy ni tidur ke tadi?”
“Hmm… mata dah tak mengantuklah, daddy. Daddy… nak pasang CD boleh? Rania nak dengar lagu Thank You Allah, boleh tak daddy?” Mudahnya jawapan si anak, tadi bukan main lagi merengek-rengek nak balik sebab dah mengantuk sangat. Sekarang boleh pulak siap nak dengar lagu kegemarannya.
“Boleh sayang... tapi Rania pasangkan CD tu ye, daddy tengah drive ni.”
“Okay, daddy.” Rania Arissa mengambil CD yang memuatkan lagu kegemarannya itu lalu memasangnya. Apabila lagu Thank You Allah yang dinyanyikan oleh kumpulan Raihan itu berkumandang, Rania Arissa turut menyanyi sama. Dia sudah hafal setiap lirik lagu tersebut walaupun ada beberapa lirik lagu Bahasa Inggeris tu tak berapa nak betul sebutannya. Mahu tak menghafal kalau setiap kali masuk je ke kereta, lagu inilah yang dimainkan si comel itu. Antara lagu yang diajar oleh cikgu di tadikanya.
“Kenapa kita kena say thank you kat Allah, daddy?” Polos si manja bertanya.
“Rania… kita kena say thank you pada Allah sebab Allah yang menciptakan kita. Bagi kita rezeki. Bagi kita sihat.” Jawab si daddy dengan lembut. Tenang dia memandu.
“Rezeki tu apa, daddy? Kalau kita sakit tu, tandanya Allah marah ye sebab kita tak say thank you pada Dia ye?” soal Rania Arissa lagi. Bulat matanya memandang ke arah Ghaz Khuzairi. Nampak curious sangat dengan apa yang ditanyanya itu.
“Sayang, rezeki tu macam daddy pergi kerja. Dapat duit, lepas tu beli makanan untuk kita makan. Beli baju Rania. Daddy beli kereta dan rumah. Lepas tu, bayar tadika dan daycare Rania. Semuanya itu adalah rezeki yang Allah bagi pada kita, sayang. Kalau kita sakit, bukan bermaksud Allah tak sayang pada kita. Tapi Allah bagi kita sakit tu, sebab Allah nak uji kita. Kalau sayang nak tahu, sakit yang Allah bagi tu adalah penghapus dosa-dosa kecil kita.” Ghaz Khuzairi menjawab dengan tenang walaupun pandangannya terarah pada jalan raya. Sesekali dia mengerling kepada Rania Arissa dengan senyuman terukir di bibirnya.
“Hmm… daddy. Macam mana kita nak say thank you pada Allah, daddy?” soal si petah ingin tahu lagi. Elok saja duduknya. Seperti bersungguh-sungguh mahu mendengar apa yang bakal si daddy terangkan.
“Kan daddy selalu suruh Rania solat, ajar sayang mengaji. Itu antara cara kita nak say thank you pada Allah, sayang.” Ringkas Ghaz Khuzairi menerangkan kepada Rania Arissa. Sempat lagi sebelah tangannya mengusap-usap kepala si manja yang menyimpul senyum itu.
“Daddy… tadi atuk ajar Rania baca surah Al-Fatihah sebab Rania tak bawak buku Iqra. Jadi atuk ajar baca surah Al-Fatihah je tadi.”
“Iye ke, sayang? Tak apa, nanti daddy belikan buku Iqra untuk sayang bawak ke rumah atuk ye. Nanti boleh atuk ajar sayang mengaji Iqra.” Ujar Ghaz Khuzairi sambil mengerling sekilas si manja yang sedari tadi memandangnya. Sesaat kemudian dia kembali fokus pada pemanduannya.
“Okay, daddy. Hmm... daddy, kita tidur rumah Tok Pa dan Tok Ma ye malam ni?”
“Ye, sayang. Esok daddy nak kerja dah. Sayang duduk dengan Tok Pa dan Tok Ma, ye. Lagipun esok Mak Su Zati balik. Dia cuti seminggu.”
“Hah? Mak Su balik esok? Bestnya daddy! Rania dah lama tak jalan-jalan dengan mak su!”
Ghaz Khuzairi tersenyum melihat reaksi Rania Arissa bertepuk tangan kesukaan. Sukalah sebab ada yang bawak dia keluar jalan-jalan nanti.
No comments:
Post a Comment