RAIYAN meletak topi keselamatannya di atas meja dan masuk ke dalam salah sebuah bilik yang berada di dalam bilik itu. Sebentar kemudian dia keluar sambil mengelap mukanya dengan tuala putih. Langkahnya menuju ke pintu.
“Mus, buatkan I Ribena sejuk,” pintanya kepada setiausahanya, Mustika.
“Okey,” sahut Mustika sambil bangun menuju ke pantri yang terletak tidak jauh dari bilik kerjanya.
Raiyan mengambil tempat di kerusi empuk dan menghempas tubuhnya di situ. Terasa begitu penat sekali. Sudah dua hari dia terpaksa ke tapak projek Sri Teja. Ada berlaku keretakan pada beberapa dinding bangunan yang masih dalam pembinaan. Dia mengeluh berat. Apakah puncanya? Nampaknya dia perlu meneliti semula bahan-bahan yang digunakan, tetapi setahunya bahan-bahan itu sudah pun diteliti oleh Faiz dan beberapa orang jurutera lain sebelum digunakan.
Masalah, masalah, keluhnya. Itu bukan kejadian pertama, sebelum itu berlaku runtuhan kecil di bukit di bahagian belakang bangunan yang masih dalam pembinaan itu. Mujurlah ketika itu tiada sesiapa yang bekerja. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Mujur pembinaannya masih lagi dalam fasa pertama dan belum pun siap sepenuhnya, baru mencapai 15 peratus.
“Raiyan!” panggil Faiz sambil mengunjuk sebuah fail nipis kepada lelaki yang nampak keletihan itu.
“Letak aje di situ. Pukul berapa sekarang?” soal lelaki itu memandang kepada temannya yang sudah pun duduk disalah sebuah kerusi di hadapan mejanya.
“Aku rasa nak balik, nak tidur,” keluh Raiyan dan sudah menelangkup mukanya ke meja.
Mustika masuk sambil menatang dulang. Meletak sejug Ribena sejuk dan dua biji gelas. Dia terlihat kelibat Faiz tadi dan dia pasti lelaki itu menuju ke bilik Raiyan. Sebentar kemudian dia keluar.
Mustika masuk sambil menatang dulang. Meletak sejug Ribena sejuk dan dua biji gelas. Dia terlihat kelibat Faiz tadi dan dia pasti lelaki itu menuju ke bilik Raiyan. Sebentar kemudian dia keluar.
“Terima kasih, Mus...” ucap Raiyan.
“Dah pukul 5.45 petang. Memang elok kau balik pun. Rehatlah, esok Sabtu,” tegas Faiz.
Tanpa segan-segan dia menuang Ribena tadi ke dalam kedua-dua biji gelas.
“Aku kena buat laporan untuk Tuan Haji Hamidi. Pening kepala aku.” Raiyan membetulkan duduknya sambil mengambil gelas yang sudah berisi Ribena. Diteguknya perlahan-lahan, terasa begitu sejuk ketika melalui rengkungnya. Nyaman sekali.
“Mungkin disebabkan tanah yang runtuh dekat belakang bangunan tu.” Faiz cuba mengagak punca retakan yang berlaku. Keretakan yang berlaku begitu ketara sekali. Raiyan senyap. Jauh renungannya menerjah fail yang kini berada di hadapannya.
“Aku rasa sebab runtuhan tanah. Bukit di belakang tu kan cerun sangat,” keluh Raiyan.
“Sepatutnya kita buat dulu RC wall sebelum memulakan projek,” sambungnya masih tidak puas hati dengan idea Tuan Haji Hamidi, CEO Rayway Property. Mahu jimatkan kos dan inilah padahnya. Dia tidak pasti akan ada atau tidak runtuhan tanah di belakang projek itu lagi. Atau retakan pada bangunan yang sedang dalam pembinaan pada masa-masa akan datang.
Kerja-kerja terpaksa dihentikan dalam dua ketiga hari untuk memberi laluan kepada jurutera dari Ikhlas membuat pemeriksaan ke atas bangunan itu.
“Aku akan tengok balik laporan terakhir yang dibuat oleh pihak Ikhlas,” ujar Faiz. Situasi itu membuatkan mereka dalam keadaan serba tidak kena. Bimbang akan berlaku kejadian yang lebih buruk daripada yang berlaku pagi tadi.
“Terima kasih Faiz,” ucap Raiyan dan terus menyisip Ribena tadi. Matanya memandang cuaca yang masih terang di luar sana. Teringat akan pertemuannya dengan Iskandar dan Shafiqa di tapak projek sebentar tadi. Mereka berdua dimaklumkan dengan apa yang berlaku.
“Aku tak pernah nampak Shafiqa sebelum ni.” Mata Raiyan beralih ke wajah temannya yang duduk di hadapan mejanya. Wajah gadis yang bersama Iskandar sebentar tadi terbayang kembali di ruang matanya.
“Dia baru lagi aku rasa. Kawan baik tunang kau, Ashila.” Faiz tersenyum sambil membetulkan duduknya. Raiyan mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia tidak tahu perkara itu. Ashila pun dia tidak kenal. Tunangnya itu pilihan keluarga. Dia hanya melihat Ashila dari sekeping foto sahaja. Kedua orang tua mereka berkawan baik semasa di universiti dahulu dan untuk terus mengikat tali persahabatan, keduanya bersetuju untuk menyatukan anak-anak mereka.
“Eh, esok Sabtu! Kau tak keluar pergi dating dengan Ashila?” usik Faiz sambil tersengih seperti kerang busuk.
“Perlu ke semua tu?” Hampir dua bulan dia dan Ashila bertunang tetapi masing-masing belum berkesempatan untuk berhubung.
“Perlulah. Kenalah kenal dengan tunang. Esok dah kahwin tak kekok.” Faiz sudah ketawa-ketawa dengan apa yang difikirkan.
“Kepala otak kotor!” Sergah Raiyan geram namun tersungging senyuman di bibirnya. Kalau tidak begitu, petang-petang begini pasti suram tanpa gurauan Faiz.
Faiz menyambut kata-kata Raiyan dengan tawa yang kuat. Tidak menyangkal kata-kata si teman. Raiyan menggelengkan kepalanya lalu bangun.
“Aku nak balik,” katanya. Tangannya menarik laci dan mengeluarkan telefon bimbit, kunci kereta dan jurnal hitam yang menjadi catitan peribadi apabila berlaku sesuatu kepada projek yang diuruskan.
“Hmm... Esok macam mana?” Faiz turut bangun melihatkan temannya sudah bersiap untuk pulang.
“Aku terus ke site, dalam pukul 10.00 pagi macam tulah,” jelas Raiyan sambil menunjukkan jurnal hitamnya kepada Faiz. Faiz mengangguk-anggukkan kepala, faham akan maksud si teman.
“Jadi, jumpa kau di sana.” Faiz mengangkat tangannya sebagai pamitan. Dia melangkah meninggalkan Raiyan yang sedang mengemas mejanya.
“Bos, Encik Iskandar Aisy di talian. Bos nak jawab panggilan dia ke?” jerit Mustika di luar.
Berkerut dahi Raiyan. Apahal pula Is ni, telefon petang-petang begini? Soalnya sendiri.
“Okey!” Balas Raiyan menanti talian disambungkan kepadanya.
“Ya, Is?” soal Raiyan sebaik mendengar ucapan Iskandar di sebelah sana.
“Boleh kita jumpa, Raiyan?” soal Iskandar di sebelah sana.
“Boleh. Di mana tu?” soal Raiyan ingin tahu.
“Di office aku. Kat bawah tu kan ada kedai mamak dua puluh empat jam. Aku tunggu kau di situ,” cadang Iskandar.
“Okey, setengah jam lagi aku sampai.”
Pelik, kenapa lelaki itu tidak menelefonnya melalui telefon bimbitnya. Sebaik meletak gagang telefon, dia menyeluk saku bajunya untuk melihat telefon bimbitnya. “Ya Allah, bateri aku dah kong!” Gumamnya sendiri sambil melangkah ke pintu. Dia menggeleng-geleng sendiri. Kesal dengan sikap pelupanya.
“Esok, pihak Ikhlas akan datang untuk buat inspection balik. Aku memang tak puas hati,” ujar Raiyan sambil menguyah roti canai yang dipesannya tadi. Memang dia lapar. Dia bersolat Jumaat dalam keadaan berlapar. Tidak sempat hendak menjamah apa-apa pun.
“Agaknya ada orang nak sabotaj?” Iskandar meneka sambil memandang tepat ke wajah tampan Raiyan. Bersih wajah lelaki di hadapannya namun berjanggut nipis di tengah dagunya. Iskandar mengurut-urut dagunya yang licin.
Raiyan tersenyum sambil mencicah roti yang berada di garpu ke dalam kuah kari. “Entahlah susah nak cakapkan,” keluhnya lalu memasukkan roti canai tadi ke dalam mulutnya.
“Mujur baru lima belas peratus aje yang siap,” keluh Iskandar sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Walaupun bukan dia yang menjadi arkitek kepada bangunan Sri Teja, tetapi dia tetap bimbang kerana Shafiqa di bawah tangannya. Dia tidak mahu perkara
sebegitu akan mencalar reputasi Shafiqa dan Archkey Sdn Bhd.
“Itulah... aku harap keretakan tu tak serius,” Raiyan menghela nafas beratnya.
“Mungkin ada gerakan bawah tanah?” soal Iskandar lagi.
“Itu aku tak pasti, sebab segalanya berkemungkinan. Struktur bumi memang boleh berubahubah. Tetapi pihak Ikhlas dah buat kajian sebelum Rayway Property beli tanah tu,” jelas Raiyan sambil meletak sudu dan garpu sebaik kepingan terakhir roti canai masuk ke
mulutnya.
Iskandar mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Pasal kejadian di Seri Teja ke, kau nak jumpa aku?” soal Raiyan sambil mengelap mulutnya sebelum menyisip teh tarik yang sudah sejuk. Iskandar tersengih. “Kau ingat aku tak risau bila dapat tahu perkara macam ni berlaku? Ia sebahagian daripada projek aku juga walaupun Ika yang melukis pelannya,” jelas Iskandar menebarkan rasa bimbang, cemas dan takut terhadap kejadian yang berlaku di Seri Teja.
Teringat desakan Shafiqa yang mengajaknya ke tapak projek tadi. Raiyan ketawa. Entah mengapa dia berasa agak lucu. Memanglah perkara itu tanggungjawab mereka bersama, tetapi selalunya setelah mendapat laporan lengkap tentang kerosakan sesuatu bangunan itu, barulah mereka akan memanggil arkitek yang berkenan.
“Adik aku tu cepat sangat mengelabah,” sungut Iskandar sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Raiyan tersenyum cuma.
“Adik? Atau ehem, ehem...” usik Raiyan. Entah mengapa dadanya pula yang berdebar-debar. Iskandar ketawa mendengar usikan Raiyan.
“Aku dah kenal dia lama, Raiyan. Sejak dia sekolah lagi. Dia kawan baik Ashila. Dah aku anggap macam adik aku sendiri,” jelasnya.
Raiyan mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Macam mana kau dengan Ashi?”
Gamam Raiyan mendengar soalan itu. Apa yang perlu dijawabnya. Ya Allah, mengapalah kau tanya aku tentang adik kau. Manalah aku tau! Jeritannya terbenam di hati, tidak mampu untuknya menyuarakan kepada Iskandar.
“Aku belum...”
Iskandar ketawa sebagai memangkas kata-kata Raiyan. “Kau takut dengan perempuan ke?”
Astaghfirullah al’azim, Is ni... ada yang kena dengan buku lima ni kang. Sabar ajelah lelaki ni, gerutu Raiyan agak geram dengan lemparan soalan Iskandar. “Aku sibuk sebenarnya.” Alasan yang sama yang diberikan kepada kedua orang tuanya.
“Adik aku tu gila sikit. Tapi cuba-cubalah pujuk.”
Berkerut dahi Raiyan mendengar kata-kata Iskandar. Gila? Gila yang macam mana? Tak betul ke? Soalan demi soalan berkepuk di benak fikirannya. Boleh percaya ke cakap-cakap Iskandar ni? Soalnya sendiri.
Tiba-tiba Iskandar mengangkat tangannya. Raiyan menoleh. Terasa darahnya bergerak laju meluru ke mukanya. Shafiqa, bisiknya. Pelbagai rasa berbaur di hatinya.
“Eh, aku pergi dulu. Tumpang si Ika nak ke bengkel. Kereta aku rosak dua hari lepas,” jelas Iskandar.
“Yalah, aku pun nak balik. Tak apa aku belanja kau.”
Terasa masanya terbuang dengan perbincangan yang entah apa-apa. Sekejap pasal kerja, kemudian tentang Ashila pula dan kini lelaki itu sudah hendak pulang. Sangkaannya hendak berbincang tentang projek Sri Teja lagi.
“Okey, terima kasih!” ucap Iskandar lalu melangkah laju mendapatkan Shafiqa, seolah-olah gadis itu kekasihnya.
Raiyan tersenyum sendiri melihat keduanya seperti orang bergaduh semasa hendak ke parkir kereta yang terletak di seberang jalan.
No comments:
Post a Comment