DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 4



"AKU ada berita baik untuk kau, Ras!" ucap Atif sambil menolak daun pintu pejabat Rasfal.
Rasfal yang sedang membaca skrip terkejut dengan kedatangan Atif. Dia mendongak.
"Kau ni salam tak ada, main terjah je.." bebel Rasfal sambil menutup skrip yang dipegangnya.
Atif tersengih. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Rasfal. Sehelai kertas ditolak ke hadapan Rasfal yang kelihatan tercengang.
"Sorry, aku terlupa. Itu dia berita gembira untuk kau.." ujar Atif sambil memeluk tubuhnya.
Rasfal masih lagi tidak mengerti apa yang dikatakan oleh Atif namun tangannya dengan pantas mencapai kertas yang disuakan oleh Atif tadi.
"Ini kertas perjanjian..." gumam Rasfal perlahan. Satu persatu bait yang tertulis di dalam kertas itu dibaca sebelum matanya tertancap pada tanda tangan yang comel terlakar di sudut kanan kertas tersebut. Matanya membesar, mulutnya terbuka sedikit sebelum matanya kembali dialihkan pada wajah Atif. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
"Betul ke dia yang sign ni?" soal Rasfal masih lagi tidak percaya.
Atif ketawa kecil.
"Ras Haqeemi, kau nampak tak nama siapa yang tertera bawah tanda tangan tu. Citra Nur Afilya, takkan tak kenal?" soal Atif pula.
Rasfal menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Berkerut dahinya cuba mengingati nama yang disebut oleh Atif tadi.
"Siapa tu?" soal Rasfal polos.
"Kau ni, aku tahu kau sibuk tapi takkanlah kau dah hilang ingatan. Itu kan nama Citra. Takkan kau dah lupa?" tempelak Atif sambil menggelengkan kepala.
"Citra? Sedapnya nama dia.." puji Rasfal tanpa sedar.
"Amboi, belum apa-apa lagi dah puji. Kenapa, dah terpikat ke?" usik Atif sambil tersenyum penuh makna.
Rasfal mencebik. Terpikat? Memang taklah!
"Choiii! Mulut kau tak ada insurans agaknya. Tapi macam mana dia boleh sign perjanjian ni tanpa aku?" soal Rasfal pelik.
Atif tersenyum.
"Bila dah terdesak, orang sanggup buat apa saja. Ibu Citra masuk hospital dan dia perlukan duit tu segera sebab tulah dia call aku dan sign kontrak ni. Aku nak call kau, tapi aku tahu kau sibuk dengan program bual bicara tu jadi aku suruh dia sign dulu. Qammar dan aku dah sign bagi pihak saksi, so aku serahkan surat ni pada kau untuk kau sign pulak. Jangan lupa, inilah peluang kau untuk bersihkan nama dan maruah kau," ujar Atif.
Rasfal hanya mengangguk. Dia meletakkan kertas perjanjian tersebut di dalam laci mejanya.
"Aku akan tanda tangan kemudian. Sekarang ada perkara yang lebih penting untuk kita selesaikan terlebih dulu..." balas Rasfal dengan penuh semangat. Dia dapat rasakan masalahnya akan selesai tidak lama lagi.
"Apa dia? Kau nak aku buat apa lagi?" soal Atif.
"Aku nak jumpa dengan Citra. Ada banyak perkara yang perlu aku bincang dengan dia pasal perkara ni," ujar Rasfal serius. Memang begitulah dia jika melibatkan pekerjaan.
"Kau nak jumpa dekat dia dekat mana? Aku rasa better kau jumpa dia dekat ofis ni, aku risau kalau kau jumpa dia dekat luar ada reporter yang mengintip pula," cadang Atif.
"Its up to you, Atif. Aku tak kisah asalkan semua benda ni dapat selesai dengan cepat. Makin lama, makin serabut kepala otak aku fikirkan semua ni," balas Rasfal.

MATA Rasfal tidak lepas daripada merenung penampilan gadis yang berada di hadapannya sekarang. Gadis itu kelihatan santai dengan memakai t-shirt lengan panjang dan berseluar jeans. Kepala gadis itu pula bertutup dengan tudung yang menutupi dadanya. Perlahan-lahan, satu keluhan terbit daripada bibir Rasfal. Banyak yang perlu dilakukan pada Citra sebelum dia memperkenalkan gadis itu sebagai bakal isterinya.
"Duduklah..." pelawa Rasfal apabila melihat Citra masih lagi berdiri.
Citra tersentak lantas terus melabuhkan punggung. Dia resah kerana terpaksa berhadapan dengan Rasfal seorang diri tanpa Qammar di sisi.
"Errr...apa yang encik nak bincangkan?" soal Citra tanpa banyak bicara.
"First, saya nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi terima kerja ni. Kalau keadaan tak mendesak, saya takkan paksa awak untuk melibatkan diri dalam semua ni tetapi kali ni saya dah tak jumpa jalan lain selain upah awak jadi isteri saya buat sementara waktu. Awak jangan risau saya seorang yang profesional, walaupun kita bernikah secara sah nanti, tapi privasi awak takkan saya ganggu sebab saya tahu awak sayangkan tunang awak cuma saya nak awak hayati watak sebagai isteri saya, itu saja. Boleh?" ucap Rasfal panjang lebar. Wajah Citra ditenung lama.
"Insya-Allah saya cuba walaupun saya tak berapa yakin. Tapi untuk ibu, saya akan buat yang terbaik. Apa lagi yang perlu saya buat, encik?" soal Citra.
Hatinya cukup berdebar dengan kerja terbaru yang diperolehinya ini. Mampukah untuk dia melakonkah watak ini? Hanya keluhan kecil yang terbit sebagai jawapan.
"Sebelum saya kenalkan awak pada famili saya, saya nak awak ubah penampilan sebab awak akan berjumpa dengan ramai orang apatah bila orang tahu awaklah bakal isteri saya. Nanti saya akan ajar awak untuk jawab soalan-soalan wartawan. Saya nak semuanya sempurna sampaikan mama dan papa saya pun tak dapat kesan yang kita berlakon," ujar Rasfal dengan wajah yang serius.
Citra hanya menganggukkan kepala. Rela atau tidak, dia harus terima semua ini memandangkan masa depan ibunya bergantung pada duit Rasfal.
"Tapi saya tak pandai sangat berlakon macam encik..." ucap Citra merendah diri. Pandangannya ditundukkan apabila Rasfal merenung tepat ke matanya. Seakan mahu tercabut jantungnya dipanah dengan anak mata yang coklat itu.
"Sebab itu kena belajar. Saya bagi tempoh seminggu untuk awak belajar then baru saya kenalkan awak pada famili and reporter. Sepanjang tempoh tu saya yang akan guide awak, faham?" soal Rasfal.
Citra mengangguk lagi.
"Kalau faham, bagus. So, kita mula dengan langkah yang pertama.." ujar Rasfal sambil bingkas bangun mendapatkan Citra.
Citra cuak apabila Rasfal duduk di bucu meja sambil memandang wajahnya
"Apa langkah pertama, encik?" soal Citra tergagap-gagap.
Rasfal tersenyum dalam hati. Sikap kelam-kabut dan malu yang ditunjukkan Citra menghiburkan hatinya.
"Saya nak awak cerita semuanya pasal awak dan saya akan ceritakan pasal saya…nanti senang kalau ada reporter yang tanya, tak adalah awak tergagap-gagap nak jawab, ingat lakonan ni mesti kena real.." ujar Rasfal mengatur semuanya.
"Baik, encik. Boleh saya tahu bila saya akan dapat duit untuk operation mak saya?" soal Citra.
"Once, saya rasa awak dah boleh hayati watak awak dengan awak dalam masa yang singkat, saya akan bagi duit tu secepat mungkin.." balas Rasfal.
Citra menarik nafas lega. Dia tersenyum dalam kepayahan.
"Kalau macam tu, saya sudah siap untuk bekerja sekarang..." ujar Citra.
Rasfal tersenyum puas. Terasa masalah yang membelenggu diri akhirnya hilang jua.

MELOPONG mulut Citra saat dia memasuki butik mewah di dalam Alamanda, terkelip-kelip matanya melihat harga yang tertera pada tag di setiap pakaian yang ditayangkan di situ. Tetapi dahi Citra berkerut apabila Rasfal membawanya ke butik yang menempatkan pakaian-pakaian yang boleh tahan seksinya.
"Buat apa kita ke sini?" soal Citra sambil mengerling Rasfal yang berdiri disampingnya.
Kelihatan penampilan lelaki itu berubah seratus peratus apabila berada di tempat awam. Cermin mata hitam yang berjenama Rayban tersarung kemas di matanya manakala rambut lelaki itu dibiarkan menutupi dahi ala-ala pelakon Korea. Sekali pandang dah macam mamat K-Pop pula, patutlah kena gosip ada hubungan dengan kaum sejenis, rupa Rasfal memang jambu. Bisik hati Citra.
"Kita datang sini nak pilih bajulah. Nak tukar penampilan awak tu, awak tu bakal jadi isteri artis so takkan nak pakai baju kurung je," jawab Rasfal selamba.
Citra mengetap bibir. Dia memang pantang kalau orang pandang rendah tentang baju kurung memandangkan dia memang penggemar baju kurung.
"Apa yang salahnya kalau saya nak pakai baju kurung je? Selesa kut. Kalau awak nak saya tukar identiti saya dengan pakai baju yang tak cukup kain ni, lebih baik awak ambil Fiona tu jadi isteri awak. Memang sesuailah kan," bentak Citra. Dia menjeling.
Rasfal menyembunyikan senyumnya. Ini bukan pertama kali dia melihat Citra mengamuk seperti ini, gadis itu pasti akan cuba menegakkan kebenaran jika ia membabitkan maruah.
"Marah nampak. Tak sesuai dengan awak.." ucap Rasfal.
Citra terdiam. Dia yang buat aku marah, boleh pula tayang muka tak ada perasaan.
"Sesuai atau tak itu prinsip saya, saya akan ikut cakap awak selagi ia tak bertentangan dengan agama. Saya tak suka dan tak akan pakai pakaian yang seksi jadi saya rasa butik ni tak ada baju yang sesuai untuk saya," balas Citra.
"Habis tu kita nak pergi mana?" soal Rasfal malas. Kalau aku tahu, biar Atif je yang buat semua ni. Bosannya pergi shopping dengan perempuan! Jerit hatinya.
Citra memandang ke sekeliling, kemudian matanya tertancap pada butik yang menjual pakaian muslimah. Dia tersenyum manis.
"Dekat sana ada baju yang sesuai.." ujar Citra lalu mengorak langkah menuju ke butik tersebut sambil diikuti oleh Rasfal.
Rasfal menjuihkan bibir apabila melihat fesyen muslimah yang digayakan oleh model patung tersebut. Semuanya mempamerkan jubah dan abaya yang sangat tidak menarik perhatian Rasfal.
"Ini baru dikatakan pakaian. Memandangkan awak bos jadi awaklah yang pilih yang mana sesuai untuk saya," ujar Citra cuba berlembut dengan lelaki yang bakal menjadi suami sementaranya.
"Tak ada baju yang moden sikit ke?" soal Rasfal pula.
Mati terus senyuman Citra. Bulat matanya memandang wajah Rasfal yang menayang muka tak bersalah.
"Awak nak saya jadi isteri awak ke atau awak nak saya jadi model?" soal Citra selamba.
"Isterilah..." jawab Rasfal lurus.
"Dah tu buat apa nak pakai yang moden-moden. Cukuplah dapat tutup aurat, saya tak perlukan pakaian yang mahal lagipun ini semua untuk sementara je," balas Citra sambil tangannya lincah membelek sehelai jubah moden berwarna merah yang tergantung di rak. Dia tersenyum sendirian.
"Ikut suka hati awaklah…saya tak kisah.." balas Rasfal akhirnya.
Dia mengambil beberapa helai jubah moden dan baju kurung moden lalu dihulurkan pada Citra untuk dicuba. Citra hanya mengikuti arahan Rasfal. Sehelai baju abaya berwarna hitam berlabuci disarungkan ke badannya. Dia mencebikkan bibir melihat penampilannya di dalam fitting room.
‘Betul ke apa yang aku buat ni? Aku bakal jadi isteri kepada pelakon terkenal. Pelakon lelaki popular yang menjadi kegilaan wanita-wanita dekat luar sana. Aku dah gila ke?’ soal Citra sendirian. Dia merenung wajahnya yang berada di dalam cermin.
‘Layakkah aku untuk dia walaupun sementara?’ soal dirinya lagi.
Tetapi tiada jawapan untuk soalannya itu. Citra tersedar apabila terdengar ketukan di pintu fitting room, lalu dia membuka pintu dan berdiri di hadapan Rasfal yang sedang berdiri di hadapannya.
Rasfal terkedu melihat Citra yang kelihatan ayu dengan abaya yang dipilihnya tadi. Nampak lain benar penampilan Citra dengan pakaian itu tambahan lagi apabila wajah itu tertunduk malu saat dia merenung gadis itu daripada atas hingga ke bawah. Rasfal tersenyum sendirian kemudian mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Sesuailah untuk awak. Ambil semua abaya dan jubah yang awak rasa awak suka, saya bayar. Cepat sikit, kita dah tak ada masa ni.” balas Rasfal sambil memandang jam di pergelangan tangannya.
Citra mencebik. Dia yang suruh aku test baju ni, dia pula nak merungut. Aku tarik balik perjanjian tu baru tahu. Bebel Citra dalam hati namun dia tetap mengikuti arahan Rasfal.
Selepas membeli beberapa keperluan yang lain, mereka berdua singgah di restoran untuk membasahkan tekak. Rasa kering tekak apabila asyik berlegar-legar membeli pakaian. Ini semua salah Rasfal. Detik hati Citra.
“Bila perjanjian ni tamat, saya janji saya akan pulangkan balik pakaian ni pada awak,” ujar Citra sambil memandang tepat ke wajah Rasfal yang kelihatan tidak selesa apabila ada beberapa mata yang sedang memandang ke arahnya.
“Tak payah. Awak ambil je sebagai hadiah…” balas Rasfal sambil membetulkan cermin matanya.
“Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi. Ikut je cakap saya, semuanya akan beres. Sekarang ni saya nak awak kenalkan diri awak pada saya. Senang sikit kalau ada orang tanya tentang awak nanti. Ingat saya nak semuanya sempurna…” balas Rasfal membuatkan Citra terdiam. Dia mendengus dalam hati.
‘Macam diktator!’ sumpah Citra Cuma dalam hati.
“Yelah, yelah. Nama penuh saya, Citra Nur Afilya binti Mohammad. Umur saya 27 tahun, asal Selangor, kerja kilang, anak tunggal. Apa lagi ya?” soal Citra sendirian. Dia mengetuk dagunya.
“Hah, saya dah bertunang dengan Qammar. Rancang nak kahwin tahun depan…”
Stop!” arah Rasfal sambil mengangkat tapak tangannya ke hadapan wajah Citra. Citra tergamam. Pantas saja dia mendiamkan diri.
“Saya tak nak dengar kisah awak dengan tunang awak. Takkan saya nak cerita pada public yang awak ni dah ada tunang, Cik Citra oii…logiklah sikit,” balas Rasfal sambil mendengus.
“Habis tu awak suruh saya cerita, saya ceritalah. Okey, kalau macam tu awak tanya, saya jawab…” balas Citra.
“Awak belajar sampai mana?” soal Rasfal.
“Sampai SPM je, ibu tak ada duit nak hantar saya belajar tinggi-tinggi…” balas Citra.
Rasfal terdiam sebentar. Dia mengetap bibir. Betul ke keputusan dia untuk mengambil Citra sebagai isteri sementaranya? Belajar pun tak tinggi mana. Macam manalah nak berhadapan dengan wartawan nanti? Soal hati Rasfal. Dia mula was-was dengan keputusannya sendiri.
‘Kau dah buat keputusan, Ras. Kau tak boleh tarik diri begitu saja. Fikirkan pasal perempuan ni juga. Kau dah berikan dia harapan, takkan kau sanggup nak musnahkan harapan dia?’ bisik hati Rasfal pula. Satu keluhan terbit di celah bibir Rasfal.
“Kenapa awak mengeluh? Awak menyesal ya ambil saya jadi bakal isteri sementara awak?” soal Citra seolah-olah dapat membaca apa yang berada di fikiran Rasfal ketika ini.
Rasfal tersentak. Pantas pandangannya berlabuh di wajah Citra yang mendambakan jawapan daripadanya tetapi dia mengambil langkah untuk mendiamkan diri. Mungkin itu yang terbaik untuknya saat ini.
“Saya tak cakap apa-apa pun. Awak jangan nak memandai fikir yang bukan-bukan. Kalau saya tak ambil awak jadi isteri sementara, dekat mana awak nak dapat duit untuk bayar operation ibu awak tu?” persoalan Rasfal menyebabkan Citra terdiam.
Hatinya bertukar sayu tiba-tiba. Disebabkan ibu dia sanggup memperjudikan masa depan dirinya walhal dia sudah menjadi tunangan orang. Kerja gila apakah yang dibuat ni? Soal hati Citra.
“Saya tahu saya terdesak. Kalau bukan disebabkan ibu saya tak sanggup gadaikan harga diri saya semata-mata untuk duit…” lirih suara Citra kedengaran.
Rasfal melepaskan keluhan. Dia tidak menyangkan Citra sensitif seperti ini. Menyesal pula tanya soalan seperti itu.
“Dahlah tak payah nak tayang muka monyok depan saya. Banyak benda lagi kita kena bincang. Esok saya nak bawak awak jumpa dengan famili saya, saya harap awak bersedia.” Rasfal bersuara.
Citra mengangkat pandangan. Pandangannya bertaut dengan anak mata Rasfal yang dilindungi oleh kaca mata hitam. Citra menelan air liur apabila terkena panahan anak mata itu lalu dengan pantas dia menunduk.
“Awalnya nak jumpa famili awak…”
“Awak nak duit tu cepat atau lambat?” soal Rasfal.
“Secepat mungkin…” balas Citra.
“Tahu pun. Lebih cepat perkara ni selesai lebih cepat ibu awak dapat buat operation,” balas Rasfal.
Citra hanya menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata Rasfal. Dia cepat-cepat menghabiskan minuman apabila melihat Rasfal sudah mula bingkas berdiri. Dia membuntuti langkah Rasfal dengan beg plastik memenuhi kedua belah tangannya.
Aaaaa…” Citra terjerit kecil apabila tiba-tiba dia terlanggar belakang Rasfal yang menghentikan langkah secara mendadak. Habis semua beg plastik yang dipegangnya jatuh bertaburan di atas lantai.
Rasfal berpaling. Dia tersentak apabila Citra betul-betul berada di hadapannya. Mata mereka bertentangan lagi tetapi kali ini Rasfal sedikit pun tidak berganjak daripada merenung anak mata yang bundar itu.
“Awak ni kenapa? Kenapa kelam-kabut sangat ni?” soal Rasfal sambil tunduk dan mengutip beg-beg plastik milik Citra. Cermin mata yang tersungging di hidungnya ditarik dan diselitkan di dalam poket bajunya.
“Saya minta maaf. Tak sengaja…” balas Citra.
“Eh, ini Ras Haqeemi kan? Eh Ras laaa…” dua orang gadis datang menyapa.
Rasfal terkaku seketika. Dia mendongak dan tersengih kepada dua orang gadis tersebut. Dia melambaikan tangan pada mereka berdua.
“Hai…” sapa Rasfal lalu berdiri.
“Ras, saya sukalah dengan lakonan awak dalam cerita Indah Bersulam Duka tu. Sedih sangat masa awak menangis. Mana Fiona? Dia sesuai sangat dengan awaklah. Saya suka kalau awak dengan dia,” ujar salah gadis yang bertudung ungu itu.
Citra yang melihat hanya mendiamkan diri.
“Oh, terima kasih…” jawab Rasfal dengan senyuman pura-pura.
“Nak sign boleh?” tanya seorang gadis lagi.
“Eh, boleh. Nak sign dekat mana?” soal Rasfal lagi. Dia cuba untuk beramah mesra dengan peminatnya walhal dalam hati dia berharap agar dia tidak bertemu dengan sesiapa saat ini.
“Ini siapa?” soal gadis bertudung ungu itu apabila menyedari kehadiran Citra di situ.
Citra mula cuak. Dia memandang wajah Rasfal yang turut memandang ke arahnya.
Errr…ini sign dah siap. Kita jumpa lagi…” ucap Rasfal lalu dengan selamba menarik tangan Citra supaya berlalu.

AWAK!” jerit Citra sebaik saja mereka berdua berada di luar pusat membeli belah. Dia merentap tangannya dengan sekuat hati dan berdiri berhadapan dengan Rasfal yang masih kelihatan selamba.
“Apa?” soal Rasfal pelik.
“Siapa suruh awak tarik tangan saya?” marah Citra. Dia menentang wajah Rasfal.
“Tarik tangan je kut, salah ke?” soal Rasfal selamba. Dia berjalan meninggalkan Citra yang melongo.
Citra mendengus. Dia boleh tanya salah ke tak? Takkanlah benda basic macam ni pun dia tak tahu? Bentak hati Citra.
“Memanglah salah. Awak bukan muhrim saya, takkan tu pun tak tahu…” bebel Citra. Dia mengejar Rasfal yang semakin laju berjalan.
“Alah, setakat tarik tangan bukannya luak pun. Lainlah kalau saya terkam awak…” balas Rasfal selamba. Dia mengorak langkah menuju ke keretanya yang terpakrir di basement.
Citra mencebik. Orang macam ini pun ada ke?
“Awak tahu tak, awak pegang saya pun kira dah berdosa tau. Tunang saya pun saya tak bagi cuit tangan saya. Awak dah lebih tahu tak…” marah Citra lagi. Dia mendengus.
Rasfal menghentikan langkah dan berdiri bertentangan dengan Citra. Cermin mata yang tersungging di wajahnya ditarik. Dia merenung anak mata Citra dengan senyuman nakal terukir di bibirnya.
“Betul ke tunang awak tak pernah pegang tangan awak?” soal Rasfal sambil keningnya dijongketkan. Separuh hatinya tidak percaya dengan kata-kata Citra mustahil sepasang kekasih tak berpegang tangan walaupun sekali.
“Betullah. Takkan saya nak tipu pulak.” Balas Citra. Wajahnya ditundukkan. Rasa panas mula menjalar di wajahnya saat Rasfal merenung tepat ke matanya.
“Kalau macam tu saya jadi yang pertama. Seronoknya, maknanya saya dah letak cop mohor dekat awaklah ye…” balas Rasfal kemudian dia ketawa lepas. Cermin matanya dipakai kembali.
Citra mencebik. Dia boleh gelak je. Bukannya nak minta maaf. Tak guna punya lelaki, nasib baik lengan baju aku panjang, kalau tak? Siapa nak tanggung dosa aku? Dia? memang taklah!
“Banyaklah awak punya cop mohor. Malaslah saya nak layan awak, saya nak balik…” balas Citra lalu berjalan menuju ke arah yang bertentangan dengan Rasfal.
“Eh, awak nak ke mana tu?” soal Rasfal memanggil Citra.
“Saya nak baliklah!” jerit Citra selamba.
Rasfal mula tidak senang duduk kemudian dia berlari-lari anak mendapatkan Citra yang berjalan menuju ke stesen bas. Beg tangan gadis itu ditarik sehingga membuatkan langkah Citra terhenti. Gadis itu berpaling.
“Nak apa?” soal Citra.
“Biar saya hantar awak…” balas Rasfal.
“Tak payah. Saya boleh naik teksi. Lagipun rumah saya jauh dengan rumah awak. Esok jelah kita jumpa lagi,” jawab Citra menolak.
Rasfal mengetap bibir. Lama dia merenung wajah Citra yang kelihatan berpeluh disimbah dengan cahaya matahari yang terik.
“Kalau macam itu, ikut suka hati awaklah. Esok jumpa dekat ofis saya,” balas Rasfal.
“Baik bos!” balas Citra.
Rasfal hanya memerhatikan lenggok Citra yang sudah mula menahan teksi. Kemudian, dia kembali menuju ke tempat parkir. Namun, tiba-tiba hatinya terasa sesuatu. Dia terasa seperti diperhatikan lantas matanya melilau ke kiri dan kanan. Jantungnya berdetak secara tiba-tiba apabila terlihat kelibat melintasi sisinya. Rasfal berpusing ke tepi.
Tetapi tiada siapa yang kelihatan. Rasfal mula resah lalu langkahnya dipercepatkan ke tempat letak keretanya. Kunci kereta dikeluarkan lantas alarm kereta ditekan. Namun, langkahnya mati apabila terlihat kertas putih bersama sekuntum mawar merah berada di atas cermin keretanya. Pantas, Rasfal mengambil kertas tersebut.
“Aku akan terus mencintaimu sampai mati, Ras Haqeemi…” Rasfal membaca sepotong ayat yang tertulis di atas kertas tersebut. Dia menelan air liur. Siapa pula yang bagi ni? Hatinya tertanya-tanya.
Serentak, kepalanya dipusingkan 360 darjah. Tetapi kawasan parkir kereta itu sunyi sepi malah tiada satu manusia pun yang lalu-lalang. Jadi siapa yang meletakkan bunga dan nota kecil ini? Soal hati Rasfal pelik.
“Arggh, mesti peminat aku ni…” ujar Rasfal sendirian. Lalu dia mengambil bunga ros tersebut lalu dicampakkan ke lantai bersama nota kecil yang telah direnyukkan.
Kemudian, Rasfal melangkah masuk ke dalam kereta tanpa mempedulikan bahawa perbuatannya itu telah meremukkan sekeping hati yang sedang memerhati tingkah lakunya dari kejauhan.



No comments:

Post a Comment