CITRA
tersenyum kegembiraan. Tangan ibunya yang sedikit dingin itu digenggam kuat.
Bersyukur kepada Allah kerana sekejap masa lagi ibunya akan dapat melihat
seperti biasa. Namun, senyuman yang terukir mati tiba-tiba apabila dia masih
belum mengetahui kos pembedahan mata yang perlu ditanggung.
“Doktor, macam mana pula dengan kos
rawatannya?” soal Citra sambil memandang wajah Doktor Haiza dengan penuh tanda
tanya.
“Maaflah saya cakap, kos rawatan untuk
pembedahan kornea ini bukannya murah. Anggaran kos yang boleh saya cakap adalah
RM30,000. Kalau awak boleh sediakan secepat mungkin, kita boleh lakukan
pembedahan ini dengan cepat. Jadi ibu awak pun boleh melihat dengan cepat,”
balas Doktor Haiza menjawab.
RM30,000? Mana aku nak cari? Gaji aku
pun tak sampai seribu sebulan. Desis hati Citra sambil matanya mengerling wajah
ibunya yang hanya mampu tersenyum nipis. Sayu hatinya melihat wajah ibunya yang
tua. Teraba-raba dalam kegelapan mencari sedikit cahaya untuk menerangi
harinya.
Kalau bukan disebabkan ayah mereka meninggal
dunia, Puan Cempaka masih lagi dapat melihat namun dek kerana terlalu sedih
ditinggalkan oleh suami tercinta, Puan Cempaka menangis tiap-tiap hari malah
tiada satu saat pun Puan Cempaka tidak menitiskan air mata. Hari-hari Puan
Cempaka hanya dengan tangisan mengenangkan suami tercinta. Akhirnya, akibat
terlalu banyak sangat menangis, mata Puan Cempaka mengalami kerosakan dah
akhirnya Puan Cempaka hilang penglihatannya.
“Insya-Allah, doktor. Saya akan cuba
usahakan secepat mungkin.” Balas Citra dengan senyuman hambar.
Doktor Haiza hanya menganggukkan kepala.
Dia memandang Citra yang sedang memimpin Puan Cempaka yang terpaksa menggunakan
tongkat untuk berjalan. Timbul simpati dalam hati Doktor Haiza terhadap dua
beranak ini. Namun, tiada apa yang boleh dia lakukan selain berdoa agar
penyakit yang dihadapi oleh Puan Cempaka dapat disembuhkan.
“Saya minta diri dulu, doktor. Terima
kasih…” ucap Citra dengan senyuman hambar terukir di bibirnya.
Doktor Haiza membalas dengan senyuman.
“Ibu rasa tak payahlah kita buat
pembedahan, Citra. Ibu tak nak menyusahkan Citra. Bukan murah kos rawatan ni…”
ujar Puan Cempaka sebaik saja keluar daripada bilik Doktor Haiza.
Citra mengeluh perlahan. Dia memimpin
tangan Puan Cempaka untuk keluar daripada hospital. Berat sungguh apa yang
dirasakan saat ini tetapi dia tidak boleh mengalah ataupun putus asa. Nasib
ibunya berada dalam tangannya sekarang ini.
“Ibu tak payah risau, ya. Citra akan
usahakan juga cari duit untuk pembedahan tu. Citra nak tengok ibu melihat
semula. Hanya ibu yang Citra ada sekarang ni. Citra tak kisah kalau perlu susah
sekali pun janji ibu dapat tengok semula.” Balas Citra sambil memeluk bahu
ibunya dengan erat. Dia menahan rasa sebak yang menyerang dadanya.
“Ibu tak kisah pun Citra kalau tak dapat
tengok semula. Ibu lagi senang macam ni. Kalau ibu dapat melihat pun itu lebih
menyakitkan hati ibu apabila terpaksa melihat segala kenangan yang ayah kau
tinggalkan. Lebih baik ibu macam ni…” keluh Puan Cempaka membuatkan air mata
Citra menitis.
“Ibu duduk dekat sini dulu ye. Citra nak
pergi beli air. Ibu jangan pergi mana-mana tau…” ujar Citra tanpa membalas
kata-kata Puan Cempaka tadi.
Dia mendudukkan Puan Cempaka di tempat
menunggu bas. Setelah ibunya duduk dengan selesa, dia mengatur langkah menuju
ke gerai yang menjual minuman. Terasa haus pulak tekaknya. Namun, tiba- tiba
telefon bimbitnya berdering. Lalu, dia menyeluk poket baju kurungnya dan
mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia tersenyum apabila tertera nama Qammar di
skrin telefon.
“Hello, assalamualaikum…” salam
dihulurkan. Buat seketika Citra terlupa pada Puan Cempaka yang masih sabar
menantinya.
“Citra, mana teksi ni? Lambatnya…”
rungut Puan Cempaka sambil bingkas berdiri.
Dia meraba-raba ke hadapan. Satu apa pun
tidak dapat dilihatnya. Terasa gelap gelita dunianya.
“Citra, kamu ke mana?” soal Puan Cempaka
lagi. Dia mengatur langkah menuju ke hadapan. Hanya telinganya saja yang dapat
menangkap bunyi bising di sekelilingnya namun suara Citra tidak kedengaran.
Puan Cempaka resah. Ke mana pula anaknya menghilang ni? Soal hatinya.
Dia meneruskan langkahnya dengan niat
mencari Citra tanpa memikirkan bahaya yang akan dihadapinya.
RASFAL
mengeluh berat. Buat seketika dia memandang wajah Atif yang kelihatan tenang
memandu namun sesekali kedengaran keluhan terbit daripada celah bibir Atif.
Macam berat saja bunyinya padahal yang perlu menanggung segalanya adalah
Rasfal.
“Keadaan dan semakin genting ni, Atif.
Semalam aku terbaca dekat blog tentang gosip aku tu. Mereka sengaja nak ambil
kesempatan atas kesempitan aku. Entah daripada mana datangnya gambar aku menari
dengan lelaki-lelaki jambu tu pun aku tak tahu…” Rasfal mengeluh lagi.
Sejak kontroversi gay melanda dirinya, hidup Rasfal jadi haru-biru apabila ada saja
wartawan yang menganggu hidupnya tidak kira di set lokasi ataupun di rumah.
Hingga sampai satu tahap, mama dan papa dia pun jadi mangsa buruan wartawan
yang ingin mendapatkan cerita sensasi.
“Apa yang berlaku ni, Ras?” soal Datuk
Rahim dengan suara yang keras. Dia menghempaskan surat khabar harian ke
hadapan Rasfal yang menundukkan wajah di
sebelah mamanya.
“Mana Ras tahu papa. Tiba-tiba je keluar
cerita pasal ni…” jawab Rasfal. Suaranya tenggelam timbul. Dalam hati dia
memang takut kalau papanya mengamuk. Boleh kecut perutnya apabila melihat wajah
Datuk Rahim yang bengis itu.
“Kalau tak ada sebab takkan berita ni
boleh keluar macam tu je? Papa malu tahu tak bila kawan-kawan papa tanya betul
kamu ni lelaki yang…papa nak sebut pun malu. Belum ada dalam keturunan papa
minat kaum sejenis!” balas Datuk Rahim sambil menghempas badannya ke atas sofa.
“Keturunan saya pun tak ada, bang!”
sampuk Datin Rohana sambil menjeling Rasfal yang terkulat-kulat.
“Papa, mama, Ras bukan lelaki macam tu.
Ras ni normal. Ras yakin mesti ada orang yang nak sabotaj Ras. Tak pernah
terlintas pun dalam fikiran Ras nak suka dekat kaum sejenis. Gelilah papa…”
balas Rasfal cuba menyakinkan papa dan mamanya.
“Kalau tak betul macam mana gambar kamu
menari dengan lelaki-lelaki itu boleh tersebar dekat internet? Sejak bila kamu
ni jadi kaki clubbing? Berapa kali
papa cakap pada kamu, kalau nak jadi artis, jadilah tapi jangan lupa adat dan
agama. Kamu ni dah kena kejutan budaya ke? Nak papa sedarkan ke?!” soal Datuk
Rahim bertalu-talu.
Rasfal meraup wajahnya. Kusutnya
keadaan. Papa dan mamanya seolah-olah tidak mempercayai kata-katanya lagi. Apa
yang perlu dilakukan lagi supaya segala kontroversi ini dapat ditamatkan.
“Ras tak tahu, papa. Memang Ras mengaku
yang Ras ada pergi ke kelab untuk sambut birthday
kawan Ras tapi Ras tak buat kerja-kerja terkutuk tu. Ras tahu agama lagi, papa,
mama.” Suara Rasfal kedengaran seakan merayu.
“Oh, tahu agama. Habis tu kelab tu bukan
tempat maksiat ke? Bercampur lelaki dan perempuan. Terkinja-kinja menari macam
tak ingat dunia, ini ke dunia hiburan yang kamu agung-agungkan sangat tu?”
tempelak Datuk Rahim lagi membuatkan Rasfal terkedu.
“Papa…percayalah pada Ras. Mama…say something. Takkan mama pun tak
percayakan Ras…Ras anak mama. Ras lelaki tulen tau…” ujar Rasfal sambil
mengenggam tangan Datin Rohana dengan kemas.
“Berapa kali mama dah cakap pada kamu,
dunia hiburan ini bukan sesenang yang kamu sangkakan. Silap percaturan padahnya
yang akan memakan diri kamu sendiri. Tengoklah apa yang berlaku sekarang,
disebabkan kontroversi kamu ni, mama dengan papa terpalit sekali. Mama malu nak
keluar bila kawan-kawan mama tak habis-habis nak tanya pasal kamu. Mama tak
kira, kamu kena bersihkan nama keluarga kita secepat mungkin. ASAP. Faham!”
tingkah Datin Rohana pula.
Rasfal menjatuhkan kepalanya. Harapan
hanya tinggal harapan. Datin Rohana pun sama seperti Datuk Rahim. Tiada siapa
yang mempercayai dia lagi.
Ping!Ping!
Bunyi hon yang ditekan oleh Atif
menyebabkan Rasfal terkejut. Dia kembali ke dunia realiti. Dia memandang ke
arah Atif apabila tiba-tiba kereta yang dipandu Atif terhenti.
“Kenapa, Atif?” soal Rasfal.
“Aku hampir langgar orang, Ras!” ucap
Atif mengejutkan Rasfal.
“Apa? Cepat keluar. Kita tengok…” ujar
Rasfal dengan kelam-kabut.
Dia menolak daun pintu Honda CRZ
miliknya lalu melangkah turun daripada kereta. Kelihatan seorang gadis sedang
memeluk seorang perempuan tua yang memegang tongkat. Terpamer riak ketakutan di
wajah gadis muda itu. Lama Rasfal memandang gadis itu tanpa sedikit pun
berkelip.
“Encik saya mintak maaf. Salah saya
sebab biarkan ibu saya sorang-sorang. Ibu saya tak nampak. Saya mintak maaf…”
ucap gadis itu dengan suara yang tersekat-sekat. Wajahnya keruh.
“Lain kali jaga mak awak baik-baik.
Nasib baik saya tak langgar, kalau tak, siapa nak jawab?” balas Atif sedikit
bengang.
“Saya tahu. Saya minta maaf…” ucap gadis
itu lagi sambil memandang wajah Atif yang sudah merah padam.
Atif melepaskan keluhan. Lama dia
memandang wajah gadis itu. Dahinya sedikit berkerut kerana wajah itu
mengingatkan dia pada seseorang. Ya, dia kenal dengan gadis ini.
“Qammar. Awak tunang Qammar kan?” soal
Atif tiba-tiba.
Rasfal berpaling pada Atif yang masih
memandang wajah gadis ayu di hadapan mereka. Atif kenal ke dengan gadis ini?
Qammar? Siapa Qammar? Macam pernah aku dengar je nama tu. Bisik hati kecil
Rasfal.
“Ya, saya Citra tunang Qammar. Awak
siapa?” soal Citra pula. Matanya silih berganti memandang dua jejaka yang
berada di hadapannya ini. Seorang lagi jejaka memakai cermin mata hitam itu
hanya mendiamkan diri.
“Nasib baiklah awak ni tunang Qammar.
Saya ni kawan dia. Kawan satu production
dengan dia. Ini Ras Haqeemi. Mesti awak kenal kan, pelakon popular tu…” Atif
memperkenalkan Rasfal pada Citra.
Pelakon popular? Citra memandang wajah
Rasfal yang mendiamkan diri. Dia tersenyum nipis sebelum pandangannya dialihkan
pada wajah Atif.
“Citra, siapa tu nak?” soal Puan Cempaka
sambil menyentuh tangan Citra.
“Kawan Abang Qammar, ibu.” Jawab Citra
lembut.
Kemudian dia memandang Atif dan Rasfal.
Bibirnya mengukir senyuman ikhlas.
“Saya minta diri dululah. Saya minta
maaf atas apa yang berlaku tadi..” ucap Citra.
Atif turut tersenyum. Melihat keadaan
ibu Citra yang buta membuatkan dia tidak sampai hati untuk memarahi Citra. Dia
dapat melihat kedukaan yang tersembuyi jauh dalam anak mata gadis itu. Akhirnya
Atif mengangguk lalu membiarkan Citra berlalu sambil memimpin tangan ibunya.
Rasfal terus memandang Citra dan ibunya.
Timbul rasa simpati dalam dirinya apabila melihat kesungguhan Citra untuk
mencari teksi untuk ibunya. Wajah manis itu kelihatan merah akibat terkena
terik matahari.
“Hoi, bro. Jangan tenung lama-lama, tunang Qammar tu…” ucap Atif sambil
memetik jarinya di hadapan Rasfal.
Rasfal tersedar lalu mengalihkan
pandangan ke wajah Atif sebelum dia melangkah masuk ke dalam kereta.
“Siapa Qammar tu?” soal Rasfal sebaik
saja Atif melangkah masuk ke dalam kereta.
“Tunang perempuan tulah…” jawab Atif
selamba sambil menghidupkan enjin kereta.
“Aku tahulah tunang dia. Qammar tu siapa
dengan kau?” Rasfal mengulang pertanyaannya. Dia mengetap bibir.
Atif ketawa kecil.
“Oh, Qammar tu cameraman Karya Production. Alah, yang jadi juru kamera untuk drama
kau tu. Apa ya tajuknya? Lupalah pulak aku. Drama Indah Bersulam Duka. Hah,
drama itulah…” jawab Atif.
Rasfal menganggukkan kepala. Di matanya
terbayang wajah Qammar yang berkulit hitam manis. Lelaki yang tinggi lampai agak
kelam kabut orangnya. Tetapi satu je perkara yang Rasfal tidak suka pada
Qammar, lelaki itu buaya darat. Hari ini dengan perempuan lain, esok perempuan
lain pula. Tapi dia tidak menyangka yang Qammar sudah bertunang.
“Oh, bukan ke mamat tu kaki perempuan. Tak sangka pulak aku tunang dia boleh
tahan sopan…” balas Rasfal pula.
“Apa nak dihairankan, Ras. Yang dia
bawak ke hulu ke hilir tu cuma nak seronok je tapi bila nak buat bini dia cari
stok yang sopan santun. Stok yang boleh buat bini macam si Citra tu. Baik,
sopan santun, dan aku yakin mesti beragama. Siapa yang tak nak? Kau je yang tak
pandang perempuan macam tu…” ucap Atif selamba.
Rasfal hanya mencebik. Terbayang-bayang
wajah Citra di matanya. Gadis itu tidaklah cantik seperti artis-artis tetapi
wajah itu sejuk mata memandang. Manis dan ayu dengan tudung dan baju kurung
yang dipakainya. Senyuman gadis itu kelihatan manis walaupun tanpa lesung pipit
menghiasi pipinya. Namun tetap comel dengan matanya yang besar dan bundar. Ish,
apa yang aku mengarut ni? soal hati Rasfal. Dia menepuk dahi.
“Tapi aku kesian tengok si Citra tu. Ibu
dia buta macam tu, dia tetap bersabar. Mana nak kerja lagi nak jaga ibu dia
lagi. Untunglah si Qammar dapat bakal bini macam tu…” puji Atif lagi.
“Dia orang tu tinggal dekat mana?” soal
Rasfal lagi.
“Setahu akulah dekat Kampung Baru…”
“Kampung Baru? Jauhnya sampai ke sini.”
Desis Rasfal.
“Mungkin dia baru balik dari hospital
kut,” balas Atif sambil matanya dibiarkan fokus ke dada jalan raya.
Sedangkan Rasfal sudah pun mendiamkan
diri. Namun, perbualan mereka terganggu apabila telefon bimbit Rasfal
berdering. Dengan pantas, Rasfal menekan punat jawab setelah melihat nombor
yang tidak dikenali tertera di skrin telefonnya.
“Hello….” Sapa Rasfal.
Tetapi suara di hujung talian sunyi
sepi. Tiada satu bunyi pun yang kedengaran. Rasfal pelik. Dia memandang
telefonnya sebelum melekapkan I Phone 5 itu ke telinganya kembali.
“Hello, siapa ni?” soal Rasfal lagi.
Namun, talian tetap menyepi. Rasfal mendengus
lalu mematikan telefon.
“Siapa tu, Ras?” soal Atif sambil
mengerling sekilas pada Rasfal.
“Entah. Aku tak tahu. Private number.
Banyak kali dah nombor ni call aku tapi bila aku jawab, senyap pulak.” Bebel
Rasfal sambil meraup rambutnya ke belakang.
“Alah, apa nak dihairankan. Kau tu
artis, tentulah ramai secret admire
yang kejar.” Balas Atif bersahaja.
“Kalau secret admire yang menyusahkan aku baik tak payah. Semalam, masa
aku balik dari shooting, ada orang
letak bunga ros merah depan atas kereta aku. Tak ke buang tebiat tu,” balas
Rasfal.
Atif hanya ketawa mendengar bicara
Rasfal. Artis popular macam Rasfal tentu ramai peminat dan perangai peminat ini
sukar untuk dijangkakan.
“Aku cakap serius, kau boleh gelak. Aku
rimaslah,”
“Kalau rimas, kau carilah calon isteri
cepat-cepat. Selagi kau tak kahwin, selagi itulah ramai yang akan kacau kau.
Silap-silap gay pun cari kau nak buat
anak ikan,” ujar Atif bersama tawa yang meledak.
Rasfal menjeling. Satu tumbukan hinggap
di bahu Atif.
“Kau cakap elok-elok sikit, nanti lebam
bijik mata tu,” marah Rasfal sambil menunjuk penumbuk.
Atif hanya mampu ketawa sambil
mengangkat tangan tanda menyerah kalah.
“Sorry,
bos!”
No comments:
Post a Comment