DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 22 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 2

Tiga, Fan? Tiga sekali gus? Kau dah gila apa?”

“Memang... Aku dah gila sekarang... Tak tau apa lagi aku nak buat. Menyesal betul, Zam... Menyesal!” 

"Dia kat mana sekarang?”

“Rumah kami.”

“Engkau?”

“Inilah... Aku datang ni nak minta tolong kau tumpangkan aku sehari dua sebelum aku dapat cari tempat tinggal baru.”

“Kau ni betullah... Cari nahas.”

“Bukan nahas lagi dah, Zam... bala...”

“Hah... tau pun kau. Siapa suruh kau pandai-pandai cari nahas... erk... bala...” Zamzuri mengeluh sebentar. Terlahir seluruh rasa kesalnya dengan keterlanjuran temannya itu. Mereka diam seketika, masih buntu untuk terus memikirkan bagaimana kesudahannya nanti dalam masalah ini.

“Dia macam mana?” tanya Zamzuri akhirnya. 

“Aku tak tau. Lepas aku terlepas cakap tu, dia terus meraung, masuk bilik. Puas aku pujuk, tapi dia tak nak keluar dari bilik. Lepas tu, aku call handphone dia tak jawab. Aku mesej pun dia tak jawab juga... Aku risaulah, Zam... Apa patut aku buat sekarang?” kata Irfan.

“Macam ni la... Kau pergi mandi dulu. Aku tengok dah macam mat pit tepi jalan dah rupa kau ni. Lepas solat, kita pergi sarapan. Nanti kita fikirkan apa nak buat, okey?”

“Macam mana ni? Aku dah tak tau apa nak fikir lagi,” keluh Irfan lemah.

“Kan aku dah kata tadi, pergi mandi... Kau belum sembahyang subuh lagi, kan?” kata Zamzuri sambil matanya menjeling ke arah jam di dinding yang sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Selepas dia mandi dan solat subuh tadi, Irfan tiba sambil mengetuk kuat pintu apartmennya. Terkejut besar dia dengan kehadiran temannya itu. Pada saat itu hatinya menjadi cukup hairan mengapa Irfan datang ke rumah bujangnya pada pagi-pagi minggu sebegini. Rupa-rupanya ini puncanya.

Selesai mandi dan bersolat, Irfan cuba melelapkan matanya. Sejak semalam, selepas peristiwa itu, dia tidak mampu untuk tidur sekelumit pun. Mana mungkin dia mampu tidur dalam kekalutan ciptaannya sendiri. Semuanya berlaku selepas kembalinya dia dari tempat kerja hampir pada jam tujuh semalam, dia terus bergaduh dengan Mai. Mai seakan-akan sedang menunggunya pulang untuk memulakan pergaduhan itu. Pelbagai prasangka yang merasuk fikiran Mai pada kali ini sehinggakan dia mengungkit semula kejadian hampir sebulan yang dulu.

Ketika itu Mai terserempak dengan dia bersama Maya di kompleks membeli-belah semasa mereka dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat cawangan tempoh hari. Memang dia menyesal kerana menuruti permintaan Maya untuk singgah di kompleks membeli-belah itu. Katanya ingin mencari hadiah ulang tahun perkahwinan untuk emak dan ayahnya malah dia sendiri turut sama menyumbang idea dalam membuat pilihan hadiah tersebut. Mungkin
kemesraan mereka semasa memilih hadiah itu telah membuatkan Mai tersalah sangka.

“Mai nampak abang bukan main mesra dengan dia... Pilih hadiah sampaikan tak perasan ada orang nampak dia...” Suara marah Mai masih kedengaran di telinganya dalam pertengkaran sebulan yang lalu.

“Kami cuma cari hadiah untuk anniversary mummy dan daddy dia. Tak buat apa-apa pun...” Dia cuba mempertahankan perlakuan mereka.

“Hah... Cari hadiah untuk bakal mak mertua ke? Bukan main mesra lagi. Siap pegang-pegang tangan, gurau-gurau lagi. Itu abang cakap tak buat apa-apa? Sesiapa yang tengok pun mesti nampak macam mana mesranya abang dengan dia. Benci Mai tengok tau!” jerit Mai. 

“Mai, jangan jerit kat abang... Abang tak suka tau,” katanya dengan nada suara memberi amaran.

“Hah... Abang ingatkan marah abang aje, marah Mai abang tak ambil tahu? Perasaan Mai abang tak kisah?” bentak Mai lagi. “Dahlah tu... Abang tipu Mai. Abang cakap betul-betul, baju yang dia pakai hari tu bukan ke baju yang abang minta Mai pilihkan? Baju yang abang cakap nak bagi kepada Syira. Tapi sebenarnya abang beli untuk dia, kan? Sanggup abang buat Mai macam ni...” sambung Mai dengan tangisan yang cukup meruntun perasaan.

Irfan menumbuk meja sambil menahan marah. Cepat-cepat dia mengambil kunci kereta dan bergegas keluar dari rumah. Dia tak boleh lagi berlama-lama dengan isterinya itu. Terasa tercabar akibat daripada kesilapannya sendiri. Kalau lebih lama, entah apa yang mungkin dia lakukan kepada Mai. Entah mengapa tangannya cukup cepat naik ke muka Mai sejak akhir-akhir ini. Mungkin disebabkan sikap Mai yang sering menyakitkan hatinya.

Hati Irfan sememangnya cukup rasa bersalah. Memang dia mesra dengan Maya. Kemanjaan Maya yang merupakan anak bongsu memang sejak dulu lagi dilayannya malah Maya juga selalu menunjukkan sifat mesra dan manja kepadanya. Dia senang dengan sikap gadis itu. Kadang-kadang dia ingin Mai juga manja kepadanya seperti itu. 

Seperti yang pernah mereka lalui suatu ketika dulu. Tapi entah ke mana hilangnya sikap manja Mai sejak akhir-akhir ini terutamanya sejak hati isterinya itu sering berasa risau dengan masalah yang mereka berdua alami. Malam itu dia tidak pulang. Dia bermalam di
rumah Zamzuri. Perkara ini pula telah membuatkan Mai salah faham. Apabila dia pulang keesokan harinya, Mai menyerangnya lagi. Menuduh dia bermalam di rumah Maya.

Sesuatu yang sungguh-sungguh tidak pernah terlintas dalam hatinya. Sungguh isterinya itu cuba menduga perasaannya. Membawa kemarahan demi kemarahan dalam hatinya, menbuatkan kesabarannya hilang lagi. Dan pada petang itu, dia tidak mampu lagi untuk menahan sabar. Bagi kesekian kalinya, tangan Irfan sekali lagi singgah di pipi Mai.

Tamparan yang singgah waktu itu sekali lagi mengundang tangisan Mai. Sejak itu hampir setiap hari mereka bertengkar. Ada sahaja yang tidak kena di mata Mai. Sering kali isterinya
berasa curiga dengan apa sahaja tingkah lakunya. Apabila dia memakai minyak wangi, Mai mula berasa curiga. Apabila telefonnya berbunyi Mai bagaikan ingin menyelidiki siapa pemanggilnya. Apabila dia pulang lewat, Mai menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Hinggakan rimas perasaannya, sakit jiwanya dan bosan hatinya dengan keadaan itu. Dan
sepanjang waktu itu, Zamzuri la menjadi tempat dia meluahkan perasaan hatinya setiap kali mereka bertengkar.

“Fan... Apa kau nak buat sekarang?” Suara Zamzuri mengejutkannya daripada lamunan.

“Entahlah Zam, aku pun buntu,” katanya dengan satu keluhan yang cukup berat.

“Apa puncanya?” tanya Zamzuri lagi.

“Maya...” kata Irfan sambil bangkit dari perbaringan. Sejak tadi dia cuba melelapkan matanya di sofa ruang tamu apartmen Zamzuri.

“La... Kau buat hal lagi ke? Keluar dengan Maya lagi ke?” Berkerut dahi Zamzuri apabila bertanyakan soalan itu. Dulu, Maya jugalah puncanya. Tidak mungkin Irfan membuat kesilapan yang sama sekali lagi. 

“Tak adalah... Cuma semalam... aku tertinggal handphone aku kat ofis. Aku patah balik nak ambil telefon tu. Rupa-rupanya dia call aku kat ofis bila aku lambat balik. Bila dengar Maya yang jawab, dia terus syak yang bukan-bukan. Maya terpinga-pinga masa cakap kat aku yang Mai telefon. Dia angkat sebab nak bagi tau yang aku tertinggal telefon aku tu kat ofis, tapi bila Maya sapa, dia tak jawab. Terus dia letak telefon. Bila aku sampai kat rumah aje semalam, dia terus mengamuk,” jelas Irfan untuk mempertahankan dirinya.

“Huh... Kalau aku jadi dia pun aku mengamuk. Dahlah dulu kau buat hal dengan Maya. Bila dah jadi macam ni, siapa yang tak salah sangka...” kata Zamzuri sambil matanya memandang ke luar pintu gelangsar apartmennya. 

“Kau ni berpihak dengan dia ke?” tanya Irfan dengan kerutan di dahi. Terasa seperti dikhianati kawan sendiri.

“Taklah... Aku cuma cakap yang betul. Cuba kau fikir apa perasaan dia. Cuba kau duduk kat tempat dia. Agaknya apa yang kau rasa?” Irfan terdiam. Dia tidak menafikan kata-kata
Zamzuri sebentar tadi. Siapa yang tidak marah dengan keadaan sebegini. Isteri mana yang tak mengamuk jika telefon suaminya yang pulang lewat dijawab oleh wanita yang sejak dulu disyaki teman wanita suaminya?

“Kau tau tak Fan, cerai talak tiga dengan sekali lafaz ni menunjukkan kau ni jenis yang tak fikir panjang dan panas baran. Mungkin ini hikmahnya kamu berdua bercerai. Mungkin kalau kamu berdua tak bercerai talak tiga, sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku. Hari ni kau tampar dia, mungkin esok-esok kena sepak terajang pula Mai tu bila kau dah hilang akal.”

Irfan hanya diam membisu mendengarkan kata-kata Zamzuri. Langsung dia tidak mampu menyangkal kenyataan itu. Apabila melihatkan Irfan diam, Zamzuri meneruskan kata-katanya. 

"Itulah... Dulu aku dah cakap, duduk bincang baik-baik dengan dia. Ini tidak, bila dia marah aje, kau keluar.  Sepatutnya kau pergilah bincang dengan keluarga kau. Minta mereka nasihatkan dia. Ini tidak, larikan diri daripada masalah, bukannya kau cuba selesaikan. Masalah ini sepatutnya dapat diatasi jika kau berdua sama-sama duduk berbincang.”

“Macam mana nak bincang, dia asyik marahkan aku aje. Tak sempat nak kata apa-apa. Aku ni lelaki, ada ego aku sendiri. Kalau salah cakap, cepat aje rasanya tangan ni naik ke muka. Dah berapa kali aku tampar muka dia sebab mulutnya yang kuat menjawab tu...” Berkerut dahi Irfan menjelaskan perkara tersebut kepada Zamzuri. Dia cukup mengharapkan pengertian daripada Zamzuri dalam hal ini. Bukan dia seorang sahaja yang bersalah. Mai juga bersalah dalam hal ini.

“Itu satu lagi masalah kau. Tinggi sangat ego kau tu. Sikit-sikit naik tangan, sikit-sikit nak tampar. Dia pun ada ego dia, kan?” Irfan meraup mukanya menahan rasa kecewa.

Memang sejak dulu Zamzuri sering menasihatinya supaya menangani masalah di antara dia dan Mai secara berhemah. Namun, tidak pernah diendahkannya. Sangkanya masalah mereka tidak akan sampai ke tahap ini. “Dahlah... Apa lagi nak dikatakan? Gigit jari ajelah
kau...”

“Tapi, aku sayangkan dia, Zam... Aku tak nak berpisah dengan dia. Aku cuma terlepas kata aje,” jelasnya sambil menahan rasa geram yang merajai hati. “Terlepas kata ke... apa ke... Kau tau kan yang kau dengan dia mana boleh rujuk balik. Cerai talak tiga ni mana boleh balik semula, kan? Takkanlah itu pun kau tak tahu?” 

“Hei, kau ingat aku ni jahil sangat ke? Aku pun tau  juga. Ini yang buat aku buntu ni,” bentak Irfan, marah.  Rasa geramnya bagai tidak mampu dibendung. Zamzuri bagaikan terlalu memandang rendah terhadap dirinya. Dia tahu dia jahil, tidak banyak hukum-hakam
agama yang dia tahu. Dia bukannya seorang yang suka membaca buku-buku agama, malah dia juga bukan jenis yang suka mengikuti ceramah-ceramah keagamaan. Tetapi setakat hukum tentang cerai talak tiga, bukannya dia tidak tahu. 

“Apa yang nak dibuntukan lagi? Kesilapan dah terjadi. Kau terpaksa terima aje... Lepaskanlah dia,” kata Zamzuri tenang saat menghadapi temannya yang sedang bingung itu. 

“Mana boleh. Aku cintakan dia, dia isteri aku. Tujuh tahun kami kahwin. Walaupun tak ada anak, kami sayang satu sama lain... Menyesal betul aku. Kalaulah dulu aku terima aje cadangan dia ambil anak angkat, mesti kami tak jadi macam ni. Mesti dia tak stres sangat sampaikan semua pergerakan aku dia curiga. Aku menyesal, Zam...” keluh Irfan.

Ada air mata yang bening membanjiri tubir matanya. Sebuah penyesalan yang tiada kesudahan. Sesuatu yang tidak ditarik balik. 

“Apa nak dikesalkan lagi? Benda dah jadi...” nasihat Zamzuri lagi. Susah hati dia melihat temannya yang sedang bingung ini. Dia sendiri tidak tahu apa yang sepatutnya dia lakukan untuk membantu. 

“Ada satu cara, Zam...” kata Irfan dengan nada yang tidak mampu dimengertikan oleh Zamzuri. Berkerut dahinya memikirkan apa yang ingin disampaikan oleh Irfan. “Apa maksud kau?”

“Ada cara untuk aku boleh balik dengan dia...” Kali ini mata Irfan tepat memandang ke hadapan. Namun Zamzuri tahu, dia sebenarnya larut dalam fikirannya sendiri. Pasti tidak ada sesuatu pun yang terlihat di mata temannya itu pada saat ini. 

“Apa?” Dia bertanya lagi.

“Cina buta.”

“Hah?”

No comments:

Post a Comment