DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 15



CITRA berdiri di muka pintu dengan perasaan yang berbaur. Segala debaran terasa saat jari-jemarinya memulas tombol pintu yang tertulis nama ‘ANGAH’. Baharu Citra perasan setiap bilik di dalam banglo mewah ini pasti tertulis nama pemiliknya malah bilik mereka adik-beradik tidaklah jauh hanya bersebelahan dan berhadapan.
“Assalamualaikum…” sapa Citra lalu melangkah masuk dengan penuh berhati-hati.
Matanya meluas melihat sekeliling bilik Rasfal yang berwarna putih dan hitam. Tiada satu pun hiasan dalam bilik itu berwarna terang. Malah cadarnya juga turut berwarna putih. Langsung tidak ceria. Komen Citra dalam hati. Tetapi satu saja yang mengkagumkan Citra, bilik Rasfal cukup bersih dan kemas. Malah setiap barang-barangnya tersusun rapi. Ada meja kerja terletak di hadapan tingkap.
Mata Citra beralih pada sekujur tubuh yang sedang meniarap di atas katil bersaiz king. Kelihatan lelaki itu seperti sedang tidur kerana salamnya tidak berbalas.
“Awak tidur ke?” soal Citra takut-takut. Dia menghampiri katil itu dengan lebih dekat.
Hmmmm….” Gumam Rasfal malas.
“Baguslah awak tak tidur. Awak merajuk ke?” soal Citra bersahaja. Dia cuba mengintai wajah Rasfal yang berselindung di sebalik bantal.
“Kalau aku merajuk pun apa kau nak buat?” soal Rasfal.
“Mama suruh saya pujuk awak. Kesian mama bila awak marah dia,”
“Aku tak marah mama!” ujar Rasfal sambil mengancing gigi.
“Habis tu kenapa awak tinggikan suara dengan mama? Awak tahukan berdosa kalau kita cakap ‘ah’ dengan ibu bapa kita apatah lagi tinggikan suara,” hujah Citra selamba.
Rasfal bengang. Lantas dia bangkit dan mengadap Citra yang berdiri tidak jauh daripadanya.
“Kau apa tahu? Kau tu cuma isteri sementara aku je. Tak payah nak berlagak tahu segalanya. Aku memang pantang kalau orang suka campur urusan aku!” bentak Rasfal dengan mata yang melotot.
Citra tersentap dan terus terdiam. Dia sedikit terasa dengan kata-kata Rasfal yang agak kasar. Pantas, wajahnya ditundukkan. Bibirnya digigit tanda menahan rasa sebak yang mula singgah di dada.
“Bukan niat saya nak campur urusan awak, cuma saya…”
“Cuma apa? Kau jangan ingat mama terima kau sebagai menantu, kau boleh kawal hidup aku. Sedar diri tu sikit!” marah Rasfal lagi.
Citra menahan rasa. Dia cuba bersabar walaupun ternyata hatinya telah terluka dengan kata-kata Rasfal.
“Maaflah, kalau niat saya dah menyakiti hati awak. Saya sedar saya cuma pekerja awak. Saya dah melebihi batas-batas sebagai seorang pekerja pada awak. Saya tak ada niat nak kawal hidup awak ataupun nak tunjuk lagak. Saya minta maaf sebab dah ganggu awak…” lirih suara Citra kedengaran dengan air mata yang mula mengalir.
Lalu, Citra berpaling untuk meninggalkan Rasfal yang duduk terdiam di birai katil. Setitis demi setitis air matanya gugur.
Rasfal mengetap bibir. Dia meraup wajahnya yang kusut. Air mata Citra menyentuh hatinya. Dia tersasul lagi kali ini pantas jari-jemarinya menarik pergelangan tangan Citra menyebabkan langkah gadis itu terhenti.
“Maafkan aku…” ucapnya perlahan.
Citra mendiamkan diri. Dia menarik tangannya daripada pegangan Rasfal namun Rasfal dengan pantas mencengkam pergelangan tangan Citra bagi mengelakkan gadis itu melarikan diri.
“Cakap yang kau dah maafkan aku,” ucap Rasfal lagi.
Citra bungkam. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar daripada mulutnya.
“Lepaskan tangan saya!” akhirnya Citra bersuara. Tapi kali ini dengan tegas.
“Aku akan lepaskan kalau kau cakap yang kau dah maafkan aku. Aku tak sengaja berkasar dengan kau,” balas Rasfal memujuk.
Citra mendengus. Senangnya bercakap, lepas lukakan hati aku senang-senang cakap tak sengaja. Huh! Dasar lelaki ego!
“Saya cakap lepas, maknanya lepaslah!” bentak Citra cuba menyentap tangannya kembali.
Namun, Rasfal lebih bertindak pantas apabila dia merentap tangan Citra menyebabkan Citra jatuh menghempap badannya. Mereka berdua tergamam. Hanya bola mata mereka saja yang berhubung sedangkan hati sudah berdenyut kencang.
“Apa awak ni?” marah Citra dengan wajah yang sudah merona merah. Dia cuba bangun daripada tubuh Rasfal namun dengan pantas tangan Rasfal menghalang. Dengan selamba, pinggang Citra dipeluk kemas.
Citra terpana. Bulat matanya memandang wajah Rasfal yang hanya tersengih. Sekelip mata mood lelaki itu boleh berubah. Pelik!
“Kau nak maafkan aku atau tidak?” soal Rasfal inginkan kepastian.
“Saya tak tahu!” jawab Citra pantas. Dia mula rimas apabila Rasfal seolah-olah tidak mahu melepaskan tubuhnya.
“Mana boleh tak tahu,” balas Rasfal.
“Sakit hati saya bila awak cakap saya macam tu. Saya tahu kedudukan saya. Saya tahu taraf saya. Tak ada terlintas dalam fikiran saya pun untuk mengongkong atau berlagak macam saya isteri awak yang sebenarnya. Saya cuma tak nak awak jadi anak yang kurang ajar dengan mama awak sebab awak beruntung masih punya mama…” ujar Citra dengan suara yang sebak.
Rasfal mengeluh kecil. Perlahan-lahan dia melepaskan pelukan daripada tubuh Citra. Dia bangun dan duduk di birai katil diikuti oleh Citra. Buat seketika dia memandang Citra yang hanya menundukkan wajah. Keruh di wajah yang manis itu mengundang simpati dalam hati Rasfal.
“Otak aku berserabut jadi macam-macamlah yang keluar daripada mulut aku tetapi aku tak bermaksud pun nak cakap macam tu. Apa yang berlaku pada kita berdua semua rancangan aku dan aku tak sepatutnya tuduh kau begitu,” ucap Rasfal.
“Tetapi sampai bila-bila pun saya tetap ingat siapa saya pada awak. Awak tak payah risau, saya takkan langgar kontrak itu,”
Rasfal terdiam. Sukar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kerana rasa yang terbenam dalam sanubarinya sudah menjadi luka selama bertahun-tahun malah sering kali emosinya terganggu apabila soal alongnya dikaitkan. Hatinya yang berdarah tiada siapa tahu dan tiada siapa yang peduli.

MALAM ni, Ras tidur dalam bilik tetamu dan biar Citra tidur dalam bilik Ras sampailah majlis selesai, faham?” ujar Datin Rohana sewaktu mereka sekeluarga sedang duduk berehat di ruang tamu sambil menonton siaran ulangan majlis pernikahan Rasfal yang disiarkan dalam salah satu program terkenal di Malaysia.
“Kenapa Ras kena tidur asing-asing pulak, mama? Kan kami dah sah nikah,” ujar Rasfal berpura-pura kecewa padahal dalam hati melonjak gembira.
“Ikut adatlah nanti hilang seri pengantin. Kalau tinggal satu bilik entah apa-apa yang kamu buat pada Citra nanti. Lepas majlis kamu nak buat apa pun, terpulanglah,” ucap Datin Rohana tersengih.
“Abang nak buat apa pada Citra?” soal Citra tiba-tiba. Soalannya benar-benar lurus.
Rasfal dan Datin Rohana berpaling sebelum keduanya menghamburkan ketawa. Datuk Rahim hanya tersengih dan menggelengkan kepala.
“Kenapa mama?” sambung Citra lagi.
“Nanti lepas majlis saya terangkan pada awak apa yang saya kena buat pada awak. Tapi sekarang saya tak boleh terangkan lagi,” balas Rasfal dengan senyuman nakal tersungging di bibir.
Datin Rohana tergelak lalu dia menghadiahkan satu cubitan di peha Rasfal.
“Perlu ke tunggu lepas majlis? Terangkanlah sekarang,” sambung Citra lagi tanpa mengesyaki apa-apa. Senyuman di bibir Rasfal membuatkan dia pelik.
Rasfal tidak dapat menahan ketawa. Akhirnya terhambur juga tawanya dengan soalan Citra yang agak lurus. Gadis ini memang polos.
“Mama boleh tak Ras nak terangkan pada Citra apa yang Ras tak boleh buat pada dia sampai majlis selesai?” sengaja Rasfal mengutarakan soalan itu pada Datin Rohana yang sudah ketawa besar. Mamanya itu menggelengkan kepala.
“Kamu jangan nak mengada. Sudah-sudahlah tu usik Citra. Kesian dia tak tahu apa-apa,” balas Datin Rohana sedangkan Rasfal hanya tersengih.
“Awak, apa maksud mama tadi? Saya tak fahamlah,” bisik Citra rapat dengan Rasfal yang sedang menumpukan perhatiannya pada kaca televisyen.
Rasfal mengalihkan pandangan pada wajah Citra  yang dekat dengannya. Anak mata gadis itu memancarkan sinar pengharapan namun Rasfal hanya tersengih.
“Nantilah aku terangkan. Sekarang tak sesuai,” balas Rasfal turut berbisik.
“Macam mana dengan majlis resepsi kamu, Ras? Mama dengar bermacam-macam tajaan yang kamu dapat. Kecoh dalam paper tajaan untuk perkahwinan kamu mengalahkan wedding of the year,” suara Datin Rohana menghentikan perbualan Rasfal dan Citra. Rasfal mengalihkan pandangannya pada Datin Rohana.
“Itu semua gosip je, mama. Ras tak ada terima mana-mana tajaan pun untuk majlis Ras ni. Semuanya duit Ras dan duit mama. Ras malaslah nak fikir pasal tajaan ni semuanya Ras serahkan pada Atif.” Terang Rasfal.
“Baguslah kalau macam tu, mama tak nak kamu membazir pula. Nanti orang duk mengata, kahwin bukan main beribu-ribu tapi setakat nak menunjuk buat apa. Nanti perkahwinan tu tak berkat apatah lagi kamu ni role model untuk masyarakat. Sepatutnya kamu tunjuk tauladan yang baik. Walaupun kamu artis popular tapi jangan pernah kamu lupa di mana kamu berpijak. Jangan terlalu menongkat langit sampaikan lupa bumi yang dipijak,” nasihat Datin Rohana lagi.
Rasfal menganggukkan kepala tanda faham. Sedangkan Citra ralit mendengar bicara yang dilontarkan oleh Datin Rohana.
“Insya-Allah, Ras takkan lupa mama. Sekarang ni Ras ada Citra untuk mengingatkan Ras. Citra ni kalau membebel, kalah mama.” Sakat Rasfal sambil mencuit hidung Citra.
Citra menarik muka. Bila pula aku membebel dekat dia? Asal aku nak membebel, dia marah. Manalah sempat nak berleter panjang. Detik hati Citra bengang.
“Abang degil, saya bebellah…” jawab Citra selamba.
Rasfal ketawa. Lalu, dengan selamba dia memeluk bahu Citra. Bahu itu dielus dengan lembut.
Serentak bulu roma Citra meremang. Belum pernah Rasfal semesra ini. Ternyata perbuatan Rasfal mendatangkan debar di hati Citra. Dia gementar dalam diam.
“Rania bila balik mama? Rindu pula dekat dia tu,” soal Rasfal mengalih topik perbualan.
“Rasanya esok sampailah dia. Dia pun tak sabar-sabar nak jumpa dengan Citra. Masa akad nikah hari tu dia tak sempat nak berbual panjang maklumlah tengah exam.” Balas Datin Rohana.
Errr…Citra nak ke dapur sekejap. Citra mintak diri dulu,” sampuk Citra lalu bangun meninggalkan ruang tamu. Dia tidak betah duduk berdekatan dengan Rasfal. Naik semput nafasnya menahan gementar.

AIR kosong yang diambil dari peti sejuk diteguk dengan perlahan-lahan bagi menghilangkan rasa gemuruhnya. Citra menepuk dadanya yang asyik berdebar tidak tentu hala. Selama ini jika dia keluar bersama dengan Qammar, hatinya tidak sebegitu malah dia rasa cukup selesa keluar bersama dengan Qammar tapi kali ini rasa itu berbeza. Sesak nafasnya menahan debar saat berada di dalam pelukan Rasfal.
“Apalah yang aku fikirkan ni? Inikan lakonan mestilah dia kena tunjuk mesra sikit,” bebel Citra sendirian. Dia menepuk kepalanya sendiri.
Nafasnya ditarik dengan sedalam-dalamnya kemudian dihembuskan.
“Kau hanya isteri sementara!” kata-kata itu terngiang di telinga Citra menyebabkan dia tersedar.
“Aku bukan untuk dia dan dia bukan untuk aku,” desis Citra kemudian dia berpaling tetapi tiba-tiba…
“Hah!!!” sergah Rasfal.
Arggghhhh!!” jerit Citra lantas menutup wajahnya dengan telapak tangan.
Rasfal ketawa lepas melihat reaksi Citra yang terkejut.
“Ini akulah. Macam nampak hantu je gaya kau ni,” ujar Rasfal sambil menarik tangan Citra ke bawah. Dia ketawa melihat wajah Citra yang pucat.
“Awak ni kan…” Citra mengancing gigi. Rasa ingin dicekiknya Rasfal saat ini.
“Kau buat apa sorang-sorang dekat dapur ni?” soal Rasfal sambil menyandarkan belakang badannya di kabinet dapur.
“Mama dan papa mana?” soalan dibalas soalan. Kepalanya dijengah ke ruang depan.
“Dah naik ke bilik. Esok mama nak pergi hotel. Kita kena ikut sekali tengok persiapan dekat sana. Esok juga kita kena ambil baju pengantin. Masa dah suntuk sangat ni,” ujar Rasfal sambil berpeluk tubuh.
Matanya ditumpukan sepenuhnya pada wajah Citra yang nampak manis tanpa mengenakan tudung di kepala. Rambutnya yang diikat toncang membuatkan gadis itu kelihatan comel.
“Semuanya berlaku dengan begitu pantas kan? Saya tak sangka saya akan jadi isteri sementara pada seorang pelakon terkenal gilaan ramai wanita dekat luar sana. Ramai yang nak jadi isteri awak kenapa sorang pun tak ada yang berkenan dekat hati awak?” soal Citra selamba.
Satu keluhan dilepaskan daripada bibir Rasfal. Dia tersenyum hambar.
“Anggaplah ini rancangan Allah. Bila Dia merancang selalunya terbaik. Hati aku tak terbuka pada mana-mana perempuan bukan bermakna aku suka kaum sejenis seperti yang kau baca dalam surat khabar tapi aku belum bersedia untuk terlibat dalam hubungan yang melibatkan komitmen tapi bila keadaan mendesak, aku terpaksa ketepikan semua itu dahulu,” jawab Rasfal. Citra hanya menganggukkan kepala.
Dahulu, sebelum dia berkenalan dengan Rasfal sering saja rakan-rakan tempat kerjanya bergosip tentang Rasfal malah ada yang mengatakan Rasfal homoseksual kerana terpengaruh dengan gambar yang disebarkan di internet tapi apabila dia sudah mengenali Rasfal, dia tahu Rasfal bukan lelaki jenis itu.
“Kadang-kadang manusia itu akan lakukan apa saja apabila sudah tersepit. Macam yang saya dan awak alami. Kalaulah saya boleh undurkan waktu, saya tak nak semua ini berlaku,” ucap Citra.
“Kenapa?” soal Rasfal pendek.
“Sebab semua ini telah memerangkap saya. Sepatutnya saya berkahwin dengan awak untuk mengubati mata ibu saya tapi sekarang awak tengok apa dah jadi. Ibu saya meninggal dan saya?? Saya tak tahu apa nasib saya selepas ni…” keluh Citra sambil menundukkan wajahnya.
Rasfal tersenyum nipis kemudian dia berdiri berhadapan dengan Citra. Kedua belah bahu Citra dipegang lembut manakala dagu gadis itu diangkat sedikit.
“Berapa kali aku nak nasihatkan kau, hiduplah untuk hari ini sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Memang aku yang merancang perkahwinan ini tapi bukan aku yang merancang apa yang terjadi. Aku menyediakan jalan cerita tetapi skrip hidup kita telah tertulis di atas sana. Jadi kau kena teruskan dengan apa yang kita rancangkan. Jika kau pandai jaga tingkah laku, aku rasa semuanya boleh berjalan seperti sedia kala,” ujar Rasfal memujuk.
Matanya dibiarkan menatap terus ke dalam anak mata Citra yang bening. Dia dapat rasakan kedamaian saat menatap ke dalam anak mata itu. Dia tersenyum manis.
“Tapi sampai bila saya harus berbohong?”
“Sampai perkahwinan ini tamat…” balas Rasfal.
Citra mengeluh.
“Lagipun takkan kau tak nak tahu apa yang mama tak bagi aku buat pada kau kut,” sambung Rasfal sambil tersenyum penuh makna.
Melihat saja senyuman yang tersungging di bibir Rasfal serta-merta hati Citra mula berdenyut. Tentu ada sesuatu yang berada di dalam fikiran Rasfal saat ini.
“Apa dia? Awak tak cakap pada saya manalah saya nak tahu,” balas Citra.
“Betul kau nak tahu ni?” soal Rasfal lagi.
“Terpulang pada awaklah. Saya tak paksa,”
Rasfal sudah mula tersengih. Sikap Citra yang polos itu kadang-kadang mencuit hatinya malah dia terhibur dengan sikap Citra yang naif itu.
“Baiklah, aku tunjukkan…”
“Tunjukkan? Buat apa nak tunjuk?” soal Citra pelik.
Rasfal menahan ketawa. Namun, dia terus-terusan merenung wajah Citra sehingga membuatkan Citra jadi tidak keruan. Dia menghampiri Citra setapak demi setapak sehingga Citra tersekat di sinki.
“Apa awak nak buat ni?” soal Citra ketakutan.
“Laaa…aku nak tunjuk pada kau apa yang aku tak boleh buat pada kau sampailah majlis kita selesai. Takkan kau tak nak tahu pulak.” Usik Rasfal lagi. Kali ini wajahnya didekatkan ke wajah Citra.
“Tapi….”
Suara Citra tersekat apabila tangan Rasfal mula menjalar cuba menyentuh pinggangnya. Dia terkejut. Jangan-jangan maksud mama tadi….
Mata Citra membulat kerana dia mula memahami apa yang dikatakan oleh Datin Rohana namun sudah terlambat apabila wajah Rasfal sudah mula mendekat.
“Awak, jangan!” jerit Citra sambil menolak tubuh Rasfal supaya menjauhinya.
“Apa bising-bising ni?” tegur satu suara mengejutkan kedua insan itu.
Mereka berpaling. Rasfal hanya tersengih melihat kelibat Datin Rohan yang berdiri di ruang pintu dapur.
“Eh mama tak tidur lagi ke?” soal Rasfal sambil meleraikan pelukannya. Wajahnya sudah merona merah. Niatnya hanya untuk menyakat Citra bukannya hendak mengambil kesempatan tetapi nampaknya dia sudah terperangkap dengan Datin Rohana. Kantoi!
“Nasib baik mama tak tidur lagi kalau tidak entah apa yang kamu buat pada Citra. Kamu ni kan mama dah pesan kawal sikit perasaan itu jangan nak main terkam je.” Bebel Datin Rohana.
Pantas, Citra lari ke belakang Datin Rohana. Memang perbuatan Rasfal tadi menakutkan dirinya. Nasib baiklah Datin Rohana datang tepat pada waktunya.
“Ras cuma bergurau je, mama.” Rasfal memberi alasan.
“Bergurau apanya macam tu. Bukannya mama tak tahu perangai lelaki macam kamu ni, gatal bukan main lagi. Sabarlah sikit Ras oiii!” ujar Datin Rohana.
Rasfal menggosok hidung tanda menahan malu. Sedangkan Citra sudah pun ketawa mengejek sambil menjelirkan lidahnya dari belakang Datin Rohana.
“Entahlah Ras ni, mama. Citra dah cakap dah tapi dia tak nak dengar,” tambah Citra lagi.
“Haaa…kan mama dah kata kamu ni memang gatal. Majlis tak sampai seminggu je lagi, Ras. Bawak bersabar jangan nak gelojoh sangat,” tempelak Datin Rohana.
Rasfal hanya mampu tersengih dan menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang wajah Citra dengan renungan tajam. Gadis itu sengaja ingin mengenakannya di hadapan mama. Malu kerana gurauannya diketahui oleh Datin Rohana.
“Ras cuma…”
“Dah, dah…mama tak nak dengar apa-apa lagi. Kamu pergi masuk bilik sekarang!” arah Datin Rohana.
Errr…nanti Ras masuklah,” jawab Rasfal tergagap-gagap.
“Jangan nak membantah. Kamu pergi masuk dulu. Citra ni biar mama yang temankan ke bilik. Mama nak pastikan yang kamu tak salah bilik,” ujar Datin Rohana. Citra hanya ketawa.
Rasfal menarik muka.
“Mama ni selalu sebelahkan Citra. Sakit hati tau!” bentak Rasfal geram.
“Eh, suka hati mamalah. Masuk sekarang!” arah Datin Rohana tegas.
Rasfal mencebik. Sakit betul hatinya melihat Citra yang ketawa besar apabila dia dimarahi oleh Datin Rohana. Siap angkat ibu jari lagi. Geram. Memang Rasfal geram dengan Citra cuma terpaksa dipendamkan.
“Yelah, yelah. Ras naik dulu…” ujar Rasfal.
Dia melewati Datin Rohana yang menyembunyikan Citra di belakangnya. Tiba-tiba dia mendapat idea.
“Mama, tengok cicak warna merah!” ujar Rasfal sambil menunjukkan jari telunjuknya ke siling rumah.
“Mana? Mana?” soal Datin Rohana dan Citra teruja. Mereka memandang ke atas.
Di kesempatan yang ada, Rasfal mendekati Citra dan spontan satu ciuman melekat di pipi Citra.
Citra tergamam. Datin Rohana terkedu. Sedangkan Rasfal sudah ketawa besar melihat anak mata Citra yang membulat. Padan muka!
“Ras!!”


No comments:

Post a Comment