DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 3


SAYA tak setuju! Semurah itu harga diri saya depan mata encik?!” suara Citra melengking tinggi. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Wajah Atif dipandang dengan renungan tajam.
“Sabar dulu, Citra. Jangan mengamuk macam ni, kita boleh bawak bincang kan?” Qammar memujuk sambil menarik lengan baju kurung milik Citra meminta supaya gadis itu duduk kembali.
Citra menurut. Dia duduk kembali sambil matanya memandang tepat ke muka Atif dan sesekali dia menjeling pada Rasfal yang kelihatan tenang. Sejak daripada pertemuan pertama lagi, Citra perhatikan Rasfal lebih suka mendiamkan diri daripada berbicara. Hanya Atif yang selalu menjadi bersuara bagi pihak Rasfal. Bisu ke lelaki ini? Benak hati Citra tertanya-tanya.
“Ini bukan pasal murah atau mahal, Citra. Ini pasal kepentingan kita masing-masing. Encik Ras perlukan seorang gadis yang boleh dijadikan isteri sementaranya untuk mengaburi mata wartawan agar gosip tentang dia gay dan gosip hubungan dia dan Fiona itu tutup. Lepas semuanya selesai, awak resignlah jadi isteri dia. Bukan susah pun. Anggaplah ini macam sebuah pekerjaan,” balas Atif selamba.
Bulat mata Citra memandang wajah Atif. Tak tahu agamakah lelaki ini? Soal hati Citra tetapi tidak mampu diluahkan.

“Encik Atif ingat perkahwinan tu sebuah pekerjaan yang ada tempoh tertentu ke? Encik nak kita buat perkahwinan mutaah ke? Encik tahu tak perkahwinan kontrak itu haram? Encik cakap ni fikir tak dulu?” bertalu-talu soalan yang terbit daripada mulut Citra membuatkan Atif terdiam. Ketegasan Citra membuatkan dia kering idea untuk membalas.
“Citra, abang rasa cadangan Atif ini boleh pakai juga. Encik Ras dah setuju nak bagi RM30,000 kalau Citra setuju untuk jadi isteri sementara dia dan abang percaya pada Encik Ras. Citra fikir pasal ibu, jangan fikir pasal Citra je…” Qammar bersuara menyebelahi Atif. Atif tersenyum kemenangan.
Citra terkejut. Lama dia memandang wajah Qammar. Dia bagaikan tidak percaya, seorang tunang sanggup menyerahkan tunangnya untuk dikahwinkan dengan lelaki lain semata-mata kerana duit. Citra menggelengkan kepala.
“Abang merepek apa ni? Abang sedar tak Citra ni tunang abang? Tergamak abang…” Citra tidak dapat menghabiskan kata-katanya.
“Abang sedar, Citra. Tapi seperti kata Atif tadi, anggaplah perkahwinan ni seperti pekerjaan lagipun Citra memang memerlukan duit kan. Abang sanggup berkorban asalkan Citra dapat selamatkan ibu Citra. Selepas segalanya selesai, abang masih tetap boleh berkahwin dengan Citra,” balas Qammar cuba menyakinkan Citra yang tampak kegelisahan.
Citra mendengus. Dia memandang tepat pada wajah Rasfal yang kelihatan bersahaja.
“Kenapa Encik Ras tak kahwin je dengan Fiona? Dia pelakon popular, satu jiwa dengan Encik Ras, tentu dia lebih sesuai dengan Encik Ras…” ucap Citra.
“Saya tak suka dia dan jangan tanya kenapa saya tak suka dia.” Rasfal bersuara juga akhirnya. Dia membalas pandangan Citra namun dengan pantas gadis itu mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Okey, kalau Citra atau Qammar tak percaya juga, kami dah sediakan surat perjanjian. Dalam, surat ini ada tertulis yang Rasfal akan membayar RM35,000 kepada Citra sebagai upah untuk menjadi isteri sementaranya. Selepas mereka bercerai, Rasfal akan berikan pampasan sebanyak RM10,000 lagi. Tetapi Citra akan dapat RM30,000 untuk pendahuluan, lagi lima ribu akan diberikan setelah Citra selamat menjadi isteri Rasfal. Sepanjang tempoh perkahwinan itu, Citra perlu menjadi isteri Rasfal hanya di hadapan mata keluarga, orang ramai dan wartawan. Segala-gala hak peribadi tidak akan disentuh walaupun halal menjadi suami isteri sebab ini untuk kebaikan kedua belah pihak,” terang Atif sambil membaca perkara yang tertera di kertas yang dipegangnya.
“Mengarut! Perkahwinan itu satu ikatan yang suci, kenapa perlu dipermainkan?” soal Citra dengan rasa marah yang tertahan-tahan.
“Siapa cakap saya permainkan perkahwinan? Kalau awak setuju, kita berkahwin secara sah dengan majlis yang sepatutnya. Cuma saya takkan sentuh awak sebagai isteri saya sebab saya tahu awak sayangkan tunang awak. Anggap saja perkahwinan sebagai pengorbanan awak pada ibu awak. Awak perlukan duit, saya perlukan isteri untuk sementara jadi saya bayar awak untuk tolong saya. Win win situation kan? Tak ada siapa yang rugi pun,” jawab Rasfal petah.
Atif menganggukkan kepala. Kata-kata Rasfal ada benarnya juga.
“Berapa lama Citra kena berlakon jadi isteri sementara Encik Ras?” soal Qammar pula.
“Setahun je,” jawab Atif yakin.
Qammar tersenyum puas. “Untuk aku tak ada ke? Memandangkan aku tunang Citra, jadi kau kena bagi aku upah juga sebab setuju berikan dia pada kau,” Qammar mula menunjukkan taringnya.
“Abang, siapa cakap saya setuju?!” terjerit suara Citra mendengar kata-kata Qammar.
Qammar tersenyum pada Citra. Orang nak bagi duit pun tak nak ke? Aku tak fahamlah perangai perempuan ni. Detik hati Qammar.
“Kau jangan risau, Mar. Bahagian kau tetap ada,” balas Atif dengan senyuman penuh makna.
“Citra dengar tadi kan, Encik Ras cuma nak Citra jadi isteri sementara dia saja. Selepas setahun, Citra boleh kahwin dengan abang. Abang sayangkan Citra tapi abang tak nak tengok Citra kerja siang dan malam cari duit macam ni. Bulan depan ibu dah nak kena bedah, mana nak cari duit lagi Citra. Citra tak kesian dekat ibu ke?” soal Qammar sambil menatap wajah Citra yang kusut.
Sebaik saja nama ibunya disebut, Citra menjadi lemah. Terbayang wajah si ibu yang teraba-teraba setiap kali ingin berjalan. Kadang-kadang langkah ibunya itu akan tersadung apabila tertinggal tongkat. Sedih, sayu dan pedih itulah yang dirasakan setiap kali melihat wajah Puan Cempaka.
“Berikan masa untuk saya berfikir. Kalau pun saya setuju ini semua untuk ibu saya. Hanya untuk ibu saya…” jawab Citra perlahan.
Atif dan Rasfal berpandangan. Mereka tersenyum gembira. Dia tahu, Citra tengah terdesak dan orang akan lakukan apa saja jika sudah terdesak.
“Saya tak halang pun untuk awak berfikir. Saya tak nak perkahwinan ni jadi disebabkan terpaksa. Saya nak awak rela hati kahwin dengan saya meskipun hanya sementara. Awak jangan risau, saya pun bukan jenis yang suka terikat dengan mana-mana perempuan. Tempoh setahun itu pun sudah cukup lama pada saya. Awak boleh percayakan saya sebab saya seorang yang professional. Perkahwinan ini tidak melibatkan apa-apa perasaan pun. Saya tak cintakan awak dan awak hanya sayangkan Qammar jadi anggaplah ini sebagai satu pekerjaan dan pengorbanan,” ujar Rasfal cuba menyakinkan Citra.
Dia tahu hanya Citra yang dapat membantunya terlepas daripada belenggu masalahnya ini. Jika dia berkahwin dengan Citra, pasti gosip tentang gay dan hubungannya dengan Fiona akan tamat begitu saja. Memandangkan Citra bukan dalam kalangan artis jadi lebih senang untuk dia menguruskan Citra selepas perkahwinan mereka tamat nanti. Dia yakin semuanya akan berjalan seperti biasa. Dia yakin pada dirinya sendiri.
Citra diam membisu. Kata-kata Rasfal sedikit sebanyak menganggu hatinya. Benarkah perkara ini akan semudah yang disangka? Bagaimana kalau tiba-tiba perkara ini terbongkar? Tetapi apa lagi pilihan yang aku ada untuk selamatkan ibu? Bukan senang untuk dapat duit dalam jangka masa yang terdekat ini. Pelbagai persoalan yang muncul dalam hati Citra sehingga membuatkan dia mengeluh entah ke berapa kalinya.

CITRA menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Entah mengapa kali ini ujian yang dirasakan terlalu berat malah semakin menghimpit dada. Dia perlu membuat keputusan yang tepat kerana ini bukan saja membabitkan dirinya malah masa depan ibunya juga.
“Nak terima ke? Tak nak terima?” soal Citra sendirian. Dia mengira-ngira jarinya.
“Kalau aku terima, ibu dapat buat operation tapi aku kena hidup dengan mamat tu. Siapa dia yang sebenarnya pun aku tak kenal. Kenapa dia tak nak kahwin dengan Fiona ye? Nak pula dia kahwin dengan orang biasa-biasa macam aku ni. Entah-entah dia nak guna-gunakan aku,” fikir Citra sambil meneruskan perjalanannya ke rumah. Dia mengetuk dagu memikirkan hal yang sangat merumitkan fikiran saat ini.
“Tapi kalau aku tak terima, dekat mana lagi aku nak cekau duit? Nak pinjam dengan bank, memang taklah akan lulus dalam masa yang terdekat. Takkan aku nak pinjam dengan along? Ish, boleh gadai nyawa aku kejap lagi. Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan,” detik hati Citra.
“Assalamualaikum….” Salam dihulurkan sebaik saja dia sampai di hadapan pintu rumah.
Senyap. Tiada siapa yang menjawab salamnya membuatkan dahi Citra berkerut. Mana ibu pergi? Soal hatinya.
“Ibu! Citra dah balik!” laung Citra sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mencari-cari kelibat Puan Cempaka namun batang hidung ibunya tidak kelihatan. Hanya tongkat ibunya saja yang masih bersandar di tepi dinding. Citra pelik.
“Ibu!” laungnya lagi. Langkahnya dihayunkan ke bilik ibunya. Langsir pintu diselak namun bayang ibunya tidak kelihatan.
Hati Citra mula terasa kurang enak lalu dia mengatur langkah ke ruang dapur. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat Puan Cempaka terbaring kaku di atas lantai dengan matanya yang berdarah.
“Ibu!” jerit Citra lalu mendapatkan Puan Cempaka. Tubuh Puan Cempaka dipangku. Air matanya sudah tidak henti-henti menuruni lekuk pipi.
“Ibu, kenapa dengan ibu ni? Kenapa mata ibu berdarah ni? Ya Allah!” rintih Citra lagi dengan tangisan berlagu. Dia menggoncang-goncang tubuh ibunya dengan kuat berharap agar Puan Cempaka sedarkan diri namun hanya nafas Puan Cempaka saja yang kedengaran lemah.
Dengan pantas, Citra meletakkan kepala ibunya ke atas dengan berhati-hati sebelum dia berlari ke ruang tamu untuk mencari telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam beg. Nombor telefon ambulans didail pantas. Dia tidak sanggup kehilangan satu-satunya ibunya. Dia perlu melakukan sesuatu agar ibunya selamat.
Tidak lama kemudian sebuah ambulans tiba di rumah Citra dan tanpa membuang masa, Citra melompat masuk ke dalam ambulans. Nyawa ibunya lebih penting. Sayu hatinya apabila melihat mata Puan Cempaka yang mengeluarkan darah. Darah itu disapu dengan menggunakan jari jemarinya. Air mata yang mengalir sudah tidak diendahkan lagi.
Sebaik saja sampai di hospital, Puan Cempaka dikejarkan ke unit ICU manakala Citra terpaksa menanti ibunya di ruang menunggu. Sungguh saat ini dia resah. Hatinya kacau bilau melihat keadaan ibunya yang tidak sedarkan diri. Apa yang berlaku pada ibu sebenarnya? Itu yang mengganggu fikiran Citra sekarang ini.
Citra meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangan. Tiba-tiba dia teringatkan Qammar lalu dengan pantas nombor telefon Qammar dihubungi.
“Hello, abang…ibu masuk hospital..abang datang ye…” ucap Citra apabila talian disambungkan.
“Abang tengah kerja ni, Citra. Tak boleh keluarlah. Balik kerja nanti abang melawat ibu ya,” ucap Qammar langsung tidak mempedulikan perasaan Citra saat ini.
“Tapi abang…Citra….”
“Abang banyak kerja ni nanti director marah pulak abang bercakap lama-lama, petang nanti kita jumpa ya…” ujar Qammar lalu memutuskan talian tanpa sempat Citra membalas.
“Abang…abang!” terjerit suara Citra memanggil Qammar namun talian sudah diputuskan. Citra mengeluh kuat. Air matanya semakin lebat membasahi pipinya. Saat dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan, Qammar seolah-olah melarikan diri. Sungguh dia terasa dengan perbuatan Qammar.
“Cik…Cik ni anak Puan Cempaka ke?” satu suara yang menegurnya daripada belakang membuatkan Citra menoleh. Lalu, dia menganggukkan kepala. Air mata yang menuruni lekuk pipi diseka dengan jari.
“Sila ikut saya ke bilik sekarang…” ucap Doktor Hafeez sambil mempersilakan Citra untuk ke biliknya.
“Jemput duduk Cik…”
“Citra. Panggil saya Citra…” ucap Citra perlahan. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Doktor Hafeez yang kelihatan segak dengan pakaian doktornya.
Doktor Hafeez tersenyum. Dia memandang laporan di tercatat di atas kertas sebelum matanya kembali menatap wajah manis milik Citra.
“Apa yang berlaku pada ibu saya, doktor? Kenapa mata ibu saya berdarah?” soal Citra ingin tahu.
“Sebelum tu saya nak tanya, macam mana ibu awak boleh hilang penglihatan?” soal Doktor Hafeez sambil matanya difokuskan pada laman wajah Citra yang kelihatan keruh.
“Ibu saya terlalu banyak menangis sejak ayah saya meninggal. Hampir setiap hari ibu saya menangis dan pada satu hari itu, ibu saya adu sakit mata, lepas saya letakkan ubat titisan untuk mata tak lama selepas tu, ibu saya tak dapat nak melihat dah,” cerita Citra.
Doktor Hafeez hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia mencatatkan sesuatu di atas kertas.
“Tapi, dua minggu lepas saya ada jumpa dengan doktor mata, dia cakap ibu saya boleh melihat lagi kalau buat operation,” sambung Citra lagi.
“Ya, memang betul ibu awak boleh melihat semula kalau buat operation. Tetapi operation tersebut kena lakukan secepat mungkin, disebabkan kejadian hari ini saya tengok tisu mata ibu awak dah rosak. Korneanya juga kelihatan dan rosak. Ibu awak perlu lakukan operation dengan kadar segera sebelum dia menjadi buta sepanjang hayat,” ujar Doktor Hafeez lagi.
Citra mengeluh. Perlukan pembedahan secepat mungkin? Dari manalah aku nak dapat duit secepat ini? Ya Allah, tunjukkan aku jalan keluar. Desis hati Citra.
“Saya akan cuba dapatkan duit untuk operation ni secepat mungkin, doktor.” Ujar Citra. Suaranya kedengaran lirih.
“Baiklah, saya harap awak takkan hampakan ibu awak,” balas doktor muda itu.
Citra hanya menganggukkan lemah. Nafasnya dihela panjang.

CITRA menyandarkan belakang badannya di dinding hospital. Mata bundarnya tegak memandang siling hospital yang putih bersih. Satu keluhan dilepaskan.
“Manalah aku nak cekau duit ni?” soalnya sendirian. Dahinya diketuk-ketuk dengan jari.
“Kalau awak setuju, kita berkahwin secara sah dengan majlis yang sepatutnya. Cuma saya takkan sentuh awak sebagai isteri saya sebab saya tahu awak sayangkan tunang awak. Anggap saja perkahwinan sebagai pengorbanan awak pada ibu awak. Awak perlukan duit, saya perlukan isteri untuk sementara jadi saya bayar awak untuk tolong saya. Win win situation kan? Tak ada siapa yang rugi pun,”
Suara si pelakon popular kembali terngiang di telinganya. Citra tersentak. Isteri sementara! Hatinya menjerit lalu dia mencari nama Atif yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya. Nombor telefon lelaki tersebut ditekan. Dia sudah nekad, demi ibunya yang tercinta dia sanggup korbankan segalanya. Segala-galanya…
“Hello, assalamualaikum, Encik Atif saya Citra. Saya setuju!”

No comments:

Post a Comment