DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 22 January 2015

Dekat Padamu - Bab 10

TERKEJUT Shafiqa sebaik pintu rumahnya dibuka oleh Ashila.

“Bila masa kau datang ke sini?” soal Shafiqa walaupun dia tahu yang temannya itu punya kunci pendua dan Ashilalah tuan rumah sewanya.

“Tengah hari tadi,” jawab Ashila lalu melangkah ke sofa dan terus membaringkan tubuh lampainya di situ. 

“Kenapa tak masuk pejabat?” Shafiqa meletak beg tangannya di atas meja konsul dan kuncinya di dalam bekasnya di situ. Beberapa surat dibeleknya. Pasti temannya itu yang membawa suratsuratnya dari peti surat di bawah. Memang dia sentiasa lupa hendak melihat surat-suratnya walaupun lalu di hadapan peti suratnya di lobi tempat menunggu lif.

“Malaslah... aku datang pun buat semak pejabat aje. Bukan ada kerja untuk aku,” kata Ashila tanpa memandang Shafiqa. Matanya masih melekat di TV LCD yang bertenggek di atas kabinet TV. Namun apa yang ditonton tidak dapat dihadamnya. Keseronokan bercuti di Koh Samui masih terasa-rasa. Cuba diusir ilusi yang kini semakin memburunya. Dia tidak menyangka begitu jadinya. Kalau Shafiqa tahu apa yang berlaku? Serasanya mahu runtuh apartmen yang didudukinya itu sekarang. Ah... biarlah dirahsiakan.

“Kau dah makan?”

Shafiqa menghampiri Ashila lalu duduk tidak jauh dari temannya. Selepas makan bersama Iskandar petang tadi mereka kembali semula ke pejabat dan terus sahaja dia bersolat maghrib sebelum pulang ke rumah sementelah berada di pejabat.

“Dah.”

“Makan apa?” Matanya menjeling ke meja makan. Tiada apa di atas meja itu. Kosong seperti yang ditinggalkan pagi tadi.

“Maggi. Sorrylah aku selongkar dapur kau tadi. Lapar sangat.” Ashila memandang Shafiqa dengan senyuman. 

“Hmm...” Senyap.

“Masa minum petang dengan Abang Is tadi aku terjumpa Raiyan.” Shafiqa memulakan ceritanya. Terkejut juga dia apabila lelaki itu menegur mereka. Kebetulan Raiyan membawa kliennya menikmati makan di situ juga. 

“Ya?” Itu sahaja yang diungkapnya. Tidak berminat dengan cerita temannya. Shafiqa memandang Ashila yang tidak memandangnya. Dia faham dengan gaya tidak acuh temannya itu sebaik dia menyebut nama Raiyan.

“Sampai bila nak macam ni?” Ashila bangun lalu bersila sambil memeluk salah sebuah kusyen yang ada di sofa itu.

“Aku tak ada apa-apa perasaan pada dia, Ika,” balas Ashila. Dia tidak suka Shafiqa membangkitkan tentang Raiyan. Cintanya hanya untuk Jamal, bukan untuk Raiyan atau sesiapa pun.

“Cubalah dulu. Jumpa dia, berkenalan dengan dia. Aku percaya dia seratus kali lebih baik daripada Jamal.” Shafiqa mula membandingkan kedua lelaki itu. Memang kontra, kalau dia di tempat Ashila, sudah ditinggalkan Jamal yang tahu mengikis duit sahaja.

“Tak baik kau cakap macam tu.” Ashila mula terasa hati dengan kata-kata Shafiqa.

“Ashi, aku cakap yang betul. Cuba bukak mata kau tu. Dah berapa banyak yang dipinjam daripada kau? Ada dia bayar? Kalau kau kahwin dengan dia, siapa yang akan menanggung nafkah. Kau atau dia?” soal Shafiqa bertalutalu. 

“Business dia tengah merudum,” jawab Ashila. Itulah yang diberitahu oleh Jamal kepadanya. 

“Ooo... merudum? Tapi boleh pulak pergi Koh Samui?” perli Shafiqa.

“Ika... sampai hati kau cakap macam tu.” Sedih Ashila mendengar sindiran daripada teman baiknya. 

“Dan kau sampai hati melukakan hati ibu dan ayah kau?” tingkah Shafiqa.

Dia menggeleng-geleng sendiri. Kesal dengan sikap Ashila yang begitu taksub dengan cinta Jamal dan sanggup mengkhianati kedua orang tuanya. Kusut kepalanya dengan masalah yang datang bagaikan tsunami. Ashila senyap. Memang benar dia sudah melukakan hati kedua orang tuanya tanpa mereka sedar. Lama ruang itu sepi tanpa suara.

“Okey, aku minta maaf,” pinta Shafiqa kerana keterlanjuran kata-katanya tadi. Ya, tidak sepatutnya dia berkata begitu. Tetapi apa yang dilakukan adalah kerana dia sayangkan Ashila. Dia tidak mahu Ashila dikecewakan oleh Jamal suatu hari nanti. 


“Tetapi sampai bila kau nak macam ni?” soalan yang sama diulang kembali. “Baik kau beritahu pada uncle dan aunty tentang ni. Entah esok atau lusa tiba-tiba dia orang suruh kau dan Raiyan nikah cepat, macam mana?” Aku kesian tengok uncle dan aunty. Dan aku kesian dengan Raiyan. Dia lelaki baik, tau.” Terangkat kening Ashila mendengar kata-kata itu. Bibirnya mengulum sebuah senyuman.

“Mana kau tahu dia baik?” soal Ashila tidak puas hati dengan pujian yang diberikan oleh Shafiqa kepada Raiyan.

“Aku dapat rasakan sebegitu,” jelas Shafiqa. Terbayang wajah lelaki bermata tajam itu di ruang matanya. Shafiqa masih menatap wajah Ashila.

“Lelaki Ika.”

“Ya, Ashi... Lelaki.” Shafiqa memberi isyarat pembuka kata. “Jay tu pun lelaki,” getusnya dengan jelingan. Dia tahu Ashila sudah tidak boleh berfikir lagi kerana sedang kemaruk bercinta dengan Jamal. Entah apa yang diagungkan sangat dengan lelaki seperti Jamal. Raiyan jauh lebih baik daripada lelaki itu. Ya, mungkin disebabkan Raiyan terlewat datang dalam hidup Ashila menjadikan Ashila tidak dapat memandang lelaki lain selain daripada Jamal. Ashila bangun. 

“Aku malas nak panjangkan perkara ni. Selamat malam.” Ashila melangkah menuju ke bilik yang sering dihuni kalau berada di situ. Shafiqa senyap. Matanya menghantar tubuh Ashila sehingga temannya itu hilang di sebalik pintu bilik.

No comments:

Post a Comment