DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 10



"BETUL awak tak nak ikut saya balik KL? Awak boleh tinggal dengan mama sementara saya siapkan kerja saya.." ujar Rasfal selepas menghidupkan enjin kereta.
Wajah Citra yang pucat dipandang lama. Tiba-tiba rasa risau menyerang dirinya saat memandang wajah Citra yang kelihatan tidak bermaya.
"Tak mengapalah, bos. Biar saya tinggal kat sini dulu buat sementara waktu lagipun ini rumah saya, kalau ada apa-apa nanti saya akan call bos. Majlis resepsi lambat lagi kan?" soal Citra sambil tangannya memegang penghadang tangga. Kepalanya terasa berpusing namun dia gagahkan diri untuk tersenyum pada Rasfal.
"Muka awak nampak pucat saya rasa lebih baik saya hantar awak ke klinik dulu..." balas Rasfal pula. Dia menyentuh dahi Citra. Namun, dahi itu tidak pula panas.
Citra tersenyum nipis. Tersentuh hatinya dengan keprihatinan Rasfal.
"Tak payahlah, bos. Saya okey. Lepas saya rehat nanti eloklah. Bos baliklah dulu nanti lambat pulak sampai sana.." balas Citra.
Rasfal mengetap bibir. Hatinya berat untuk meninggalkan Citra keseorangan. Dia tahu semangat gadis itu masih belum pulih sepenuhnya lagi tetapi apakan daya, dia masih ada urusan yang perlu diselesaikan.
"Kalau ada apa-apa awak terus call saya. Awak tu pekerja saya jadi saya tak nak apa-apa berlaku pada awak.." balas Rasfal.
Citra menganggukkan kepala. Hanya pekerja? Soal hati Citra. Terasa dirinya jauh daripada Rasfal walaupun lelaki itu ada di hadapannya.
"Insya-Allah saya akan jaga diri. Bos jangan risau.." ucap Citra. Suaranya kedengaran lemah.
Rasfal mengangguk. Lalu dia menyarungkan cermin mata hitam ke wajah sebelum dia melompat ke dalam kereta. Dia sempat melemparkan senyuman buat Citra yang melambaikan tangan padanya.
Citra tersenyum hambar sebelum dia kembali melangkah ke dalam rumah. Sunyi betul rumahnya saat ini, satu persatu ruang di dalam rumah kayunya itu dipandang. Cukup sepi sesepi hatinya saat ini. Tanpa sedar air matanya menitis lagi. Kepalanya dipegang dan digelengkan untuk beberapa kali. Rasa mencucuk di kepalanya membuatkan Citra rasa ingin pitam lalu dia melangkah ke ruang tamu sebelum tubuhnya dibaringkan di atas kerusi rotan. Perlahan-lahan matanya dipejamkan.
“Kalau ibu tak ada nanti, Citra kena pandai jaga diri, jaga maruah. Sebagai perempuan, maruah kita adalah perkara yang penting. Bila Citra ada suami nanti, Citra kena jaga maruah suami Citra, jaga makan minum dan pakai dia. Jangan sesekali tinggikan suara dengan suami Citra nanti. Apabila Citra dah kahwin, syurga Citra bergantung pada ketaatan Citra pada suami Citra. Ibu hanya mampu mengingatkan Citra, selebihnya Citra kena berdikari.” Suara Puan Cempaka terngiang kembali.
Saat itu Citra hanya mampu tersenyum. Dia fikirkan kata-kata  Puan Cempaka itu perkara biasa namun ternyata kata-kata itu adalah nasihat terakhir daripada ibunya.
“Ish, ibu ni. Mana boleh ibu tak ada masa Citra kahwin. Ibu wajib ada masa Citra kahwin dengan Abang Qammar nanti. Citra takkan kahwin kalau ibu tak ada sekali tau…” ucap Citra sambil menyuapkan nasi ke dalam mulut ibunya.
Puan Cempaka ketawa kecil. Tangannya mencari kepala Citra lalu dielus lembut.
“Tak bolehlah macam tu, Citra. Sama ada ibu ada atau tidak, Citra perlu kahwin sebab perkahwinan ni akan melengkapkan separuh daripada agama kita dan merupakan jalan untuk kita ke syurga. Ingat pesan ibu ni walau sesiapa pun yang jadi suami Citra, Citra kena taat pada dia selagi apa yang dikatakan itu tidak menyimpang dari agama kita, ingat tu…” pesan Puan Cempaka lagi.
Citra hanya mengangguk dan tersenyum.
“Baiklah, ibu. Citra akan ingat pesan ibu.” Balas Citra.
Citra tersedar apabila terasa ada air menitis di pipinya. Serta-merta dia bangun dan menyandarkan belakang badannya di kerusi. Air mata diseka dengan jari-jemarinya.
“Macam mana Citra nak hadapi semua ini tanpa ibu? Macam mana Citra nak lepaskan ibu pergi kalau hati Citra tidak sekuat mana? Citra sayangkan ibu…Citra masih perlukan ibu…” ngongoi Citra sambil teresak-esak. Dia memeluk lutut.
Citra menangis dan terus menangis sehingga akhirnya dia kembali terlena dalam tangisan.

ATIF memandang wajah Rasfal dengan lama. Dia pelik apabila terdengar keluhan demi keluhan yang terbit dari bibir Rasfal. Wajah itu juga kelihatan tegang seperti memikirkan sesuatu yang besar.
“Oit, kau ni kenapa? Aku tengok macam ada masalah besar je…” tegur Atif sambil mencuit lengan Rasfal.
“Hah?” Rasfal tersedar daripada lamunannya. Wajah Atif dipandang.
“Aku tanya kau ni, kau ada masalah ke? Aku tengok monyok bukan main lagi. Tadi masa hos tanya lain, kau jawab lain. Nasib baiklah rancangan tadi tu rakaman je, kalau live malu kau. Takkan baru kahwin dah ada masalah kut,” omel Atif lagi.
“Mana ada masalah. Semuanya okey. Aku cuma risaukan Citra tu tinggal sorang-sorang dekat rumah dia. Aku ajak dia tinggal dengan mama, dia tak nak.” Terang Rasfal.
“Kau tinggalkan Citra sorang-sorang dekat rumah tu, Ras? Kau biar betul?” soal Atif seakan tidak percaya.
Rasfal hanya mengangguk. Air tin yang dibeli diteguk perlahan.
“Dah dia yang nak sangat, takkan aku nak paksa pulak. Dia tu dahlah tengah bersedih, kalau aku paksa, aku berkasar, meraung pula dia nanti,” tingkah Rasfal.
Atif menepuk dahi sambil menggelengkan kepala.
“Takkanlah kau tak boleh pujuk dia baik-baik. Semangat dia belum pulih sepenuhnya lagi saat ini, patutnya kau kena selalu ada untuk dia bukan tinggalkan dia sorang-sorang. Kalau apa-apa jadi macam mana? Ingat, kau tu baru je kahwin. Kalau jadi apa-apa dekat isteri kau dan reporter dapat tahu, masak kau Ras. Macam-macam dia orang boleh reka cerita pasal kau nanti,” tegur Atif membuatkan Rasfal terfikir.
“Aku bukan pandai sangat nak memujuk ni, bukannya kau tak kenal aku. Dah dia degil nak tinggal dalam rumah tu, aku boleh buat apa? Dia tu nampak je lembut tapi degil Tuhan je tahu.” Balas Rasfal membela diri.
Kedengaran Atif mengeluh berat. Wajah temannya merangkap majikannya itu dipandang lama. Wajah itu cukup kacak dengan kulit yang putih kemerahan tampak lebih kemerahan apabila disimbah dengan cahaya matahari. Patutlah, ramai sangat nak ambil kau jadi duta produk, Ras. Memang kau kacak pun. Akui Atif dalam hati.
“Aku nak, lepas kerja kau selesai, kau balik jenguk Citra dan kalau boleh, kau bawak dia tinggal dekat apartment kau. Tak manis kalau orang nampak, suami isteri tinggal asing-asing. Satu Malaysia tahu kau kahwin dengan dia sebab suka sama suka, kau jangan nak timbulkan kontroversi pulak. Penat aku nak melayan wartawan nanti,” ujar Atif.
Giliran Rasfal pula yang mengeluh. Panorama tasik buatan dipandang seketika. Cuba untuk menenangkan diri yang gundah-gulana saat ini.
“Itu yang aku malas kalau kahwin tu. Semuanya nak kena fikir pasal orang lain. Kalau single kan senang, aku fikir diri sendiri je…” bebel Rasfal.
Atif ketawa kecil.
“Kenapa kau ketawa?”
“Kau ni lawaklah, Ras. Takkan selamanya kau nak sendiri? Kau juga perlukan teman sebab setiap manusia tu Allah telah jadikan dia berpasang-pasangan. Itulah, Fiona nak kat kau, kau tak nak pulak. Kalau tak, senang hidup kau kahwin dengan satu aliran dengan kau, tak perlulah kau fikir banyak-banyak…” tempelak Atif.
Mata Rasfal membulat apabila Atif menyebut nama Fiona. Dia mencebik benci.
“Aku rela tak kahwin daripada kahwin dengan Fiona. Gosip sini sana, aku tak suka perempuan macam tu…”
“Habis tu perempuan macam Citra kau suka pulak?” tempelak Atif lagi.
Rasfal terdiam. Lidahnya kelu untuk menjawab.
“Citra lain, dia pekerja aku…” balas Rasfal pantas.
“Berapa lama kau boleh tahan, Ras? Jangan sampai status pekerja tu bertukar sudahlah…”
“Apa maksud kau? Takkan bertukar, ingat semua ini cadangan kau dan aku nak kau pastikan hubungan antara aku dan Citra hanya sekadar majikan dan pekerja. Aku ambil berat pasal dia pun sebab dia pekerja aku. Not more than that..” balas Rasfal cuba menyakinkan Atif.
Atif ketawa lepas. Dia menatap wajah Rasfal yang kemerahan.
“Siapa yang kau cuba yakinkan ni, Ras? Aku atau hati kau? Aku rasa lebih baik kau tanya hati kau sendiri, siapa Citra pada kau selepas kau menikah dengan dia…” ucap Atif seraya bangun.
Dahi Rasfal berkerut. Siapa Citra pada aku? Dia pekerja aku! Jerit hatinya.
Rasfal kebingungan dengan pertanyaan Atif. Dia hanya mampu melihat Atif yang berjalan meninggalkannya tanpa sempat dia membalas kata-kata Atif. Dia perlu jelaskan sesuatu agar Atif tidak tersalah sangka.
“Dia pekerja aku! Dia hanya pekerja aku!” jerit Rasfal pada Atif yang semakin menjauh.
Entah Atif dengar ataupun tidak cuma apa yang Rasfal tahu, dia perlu menjelaskan bahawa Citra hanya pekerja dan kekal sebagai pekerjanya meskipun mereka telah bernikah secara sah. Tiada sesiapa yang dapat mengubah pendirian itu. Titik.

CITRA menggosok perut yang terasa pedih. Seharian dia tidak menjamah apa-apa mungkin gastriknya datang lagi. Inilah padahnya kalau asyik melayan perasaan sampaikan waktu makan sudah tidak dipedulikan. Citra meraup wajah sebelum cuba bangkit daripada pembaringan. Kepalanya yang terasa mencucuk-cucuk menyukarkan Citra untuk berdiri tegak.
Buat seketika dia memandang jam yang tergantung di dinding, sudah pukul lapan malam patutlah perutnya menjerit minta untuk diisi tetapi sungguh saat ini Citra dapat rasakan seleranya bagaikan mati.
Lalu, perlahan-lahan Citra melangkah ke dapur, mencari sesuatu yang boleh dijadikan makanan. Dia membuka peti ais, hanya tinggal air kosong dan beberapa biji buah pisang. Lantas, Citra mencapai pisang tersebut sebelum duduk bersendirian di meja makan.
Dia mengunyah perlahan-lahan tetapi belum sempat dia menelan, tengkuknya terasa semacam lalu belum sempat dia menelan, dia berlari ke singki dan memuntahkan segalanya. Citra meraup wajahnya yang kelesuan.
“Ya Allah…” ucap Citra sambil menekan perutnya. Ditambah pula dengan kepala yang berdenyut makin menyukarkan pergerakan Citra tetapi dia tetap gagahkan diri untuk menjerang air panas. Dia perlu minum sesuatu agar perutnya kembali normal.
Kendi diletakkan di atas dapur gas sebelum api dipasang. Beberapa kali dia terbatuk-batuk menahan rasa pedih di perut. Tangannya memegang kabinet dengan kemas sebelum Citra cuba mengatur langkah untuk duduk kembali di meja makan.
Sewaktu dia melangkah tiba-tiba kepalanya semakin berpusing. Pandangannya juga berbalam-balam. Beberapa kali Citra cuba meluaskan pandanganya namun tetap tidak mampu malah pandangannya semakin kabur dan kabur.
Bukkk!!
Akhirnya, Citra rebah di lantai. Matanya terus terpejam rapat.


No comments:

Post a Comment