CITRA
duduk di sebelah Rasfal dengan perasaan yang berbaur. Sekali sekala dia
membetulkan selendang yang membelit kepalanya. Sungguh saat ini dia rasa
gementar kerana pertama kali berhadapan dengan wartawan yang akan mewawancara
tentang perkahwinan pelakon lelaki popular.
Buat seketika Rasfal berpaling pada
Citra yang kelihatan tidak keruan. Dia melihat ada air jernih yang memercik di
dahi gadis itu. Tanpa sedar bibir Rasfal tersenyum nipis. Lalu dia mengambil
tisu kemudian dihulurkan pada Citra.
“Janganlah takut sangat. Awak jawab je
apa yang wartawan tanya, selebihnya biar saya yang uruskan,” bisik Rasfal.
Citra tersengih. Dia mencapai tisu yang
dihulurkan oleh Rasfal lalu dia mengesat dahinya yang berpeluh.
“Tapi saya tak biasa dengan semua ni.
Kalau ibu tahu habislah saya,” balas Citra turut berbisik.
“Pasal ibu kita settlekan kemudian. Lagipun awak cakap ibu dah setuju dengan
peminangan ini kan. Saya rasa ibu tak ada masalah lagipun ibu kau tak boleh
baca paper kan?”
Citra mengetap bibir. Dia mengalih pandangan
ke arah kerusi yang tersusun rapi di hadapannya. Kelihatan beberapa wartawan
sudah memenuhi ruang depan untuk memulakan sesi temu ramah dengan Rasfal.
“Memanglah ibu tak boleh baca paper tapi ibu boleh dengar berita.
Mesti ibu terkejut habis kalau dapat tahu saya akan kahwin dengan artis…” balas
Citra.
Rasfal hanya tersenyum nipis. Dia hanya
merenung wajah Citra yang berada di sebelahnya itu. Gadis itu memang kelihatan
gementar, jelas terpancar di wajah gadis itu. Wajah itu tampak begitu mulus
tanpa solekan yang tebal malah sebaik saja dia merenung wajah Citra, hatinya
dapat merasa ketenangan yang entah daripada mana datangnya.
“Habis tu masa ibu awak tanya saya kerja
apa, awak cakap apa?” soal Rasfal ingin tahu. Dia terus memandang wajah Citra
dari dalam cermin mata hitamnya.
“Saya cakap awak berniaga sendiri…” ujar
Citra sambil tersengih. Dia membalas pandangan Rasfal namun apabila menyedari
Rasfal membalas pandangannya sepantas kilat dia membuang pandangan ke tempat
lain.
Rasfal ingin membalas kata-kata Citra
namun cuitan daripada Atif membuatkan perbuatan Rasfal terhenti. Dia berpaling
pada Atif yang berada di sisinya.
“Aku rasa kita dah boleh mulakan sesi
temu ramah ni. Apa pendapat kau?” soal Atif sambil berbisik.
Rasfal menganggukkan kepala tanda
mengiyakan.
Atif tersenyum lalu mencapai mikrofon.
Dia berdehem seketika untuk mengambil perhatian para wartawan yang hadir.
“Assalamualaikum semua, terima kasih
saya ucapkan kerana sudi hadir ke sidang akhbar yang sangat teristimewa untuk
pelakon dan pengarah muda kesayangan kita ni, Ras Haqeemi. Semua orang sedia
tahu kan dengan gosip liar yang tersebar tentang Ras ni, jadi hari ini
merupakan hari untuk Ras jelaskan apa sebenarnya yang berlaku agar semuanya
jelas,” ucap Atif memulakan mukadimahnya.
“Kalau ada apa-apa soalan dan
kemusykilan, anda semua boleh bertanya direct
pada Ras. Tak payah nak pendam-pendam lagi,” sambung Atif lagi.
Kedengaran bunyi bising apabila para
wartawan yang berbisik sesama sendiri. Ada yang menjeling pada Citra, mungkin pelik
dengan kehadiran gadis yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Boleh kami tanya soalan sekarang?” soal
Hakim, salah seorang wartawan surat khabar tempatan.
Rasfal mengangguk dan mencapai mikrofon
yang berada di hadapannya. Dia bersedia untuk menjawab segala soalan walaupun
hatinya terasa sedikit gementar.
“Siapa perempuan dekat sebelah tu? Girlfriend baru ke? Atau pengurus baru?”
soal Hakim tanpa selindung.
Citra dan Rasfal berpandangan. Dia
tersenyum pada Hakim yang masih menanti jawapan daripadanya.
“Dia bukan girlfriend tapi bakal isteri saya yang awak semua tanyakan itu.
Kami akan berkahwin awal bulan depan,” Rasfal berterus-terang dengan tenang.
“What??!!!”
kedengaran para wartawan menjerit. Ada yang bertanya sesama sendiri. Ada yang
tidak senang duduk dengan berita yang baru diterima.
“Kenapa terkejut sangat ni? Memang betul
dia bakal isteri saya, jadi dakwaan yang saya gay tu adalah salah sama sekali,” balas Rasfal.
“Tapi kenapa nak kahwin tergesa-gesa?
Awal bulan depan? Tak pernah pun dengar you sebut pasal bakal isteri you ni,
Ras. Hujan tak ribut tak, tup-tup you nak kahwin. Biar betul Ras?” Soal Kak
Hanim yang sudah bersedia untuk mencatat segala apa yang dikatakan oleh Rasfal.
Rasfal tersenyum lagi. Dia mencabut
cermin mata hitam yang dipakainya lalu diletakkan di atas meja.
“Soal jodoh memang tak boleh tolak.
Sebenarnya saya dah lama berkawan dengan dia cuma saya tak hebohkan pada press saja. Biarlah soal privasi tidak
dicampur dengan urusan kerja saya. Lagipun, bakal isteri saya ni bukan daripada
kalangan artis jadi saya tak nak berita-berita macam menganggu kehidupan bakal
isteri saya,” terang Rasfal tenang.
“Maksud you, gosip you bercinta dengan
Fiona tu tak betullah? Yang you keluar berpimpin tangan dengan dia tu cuma
gosip semata-mata? Itu maksud you, Ras?” soal Kak Hanim lagi seakan tidak
berpuas hati.
“Itu semua gosip semata-mata. Saya tak
ada apa-apa hubungan istimewa dengan Fiona. Dia hanya kawan saja,” tegas
Rasfal.
Kak Hanim terdiam. Dia mengangguk tanda
faham.
“Ras, boleh I tanya soalan pada bakal
isteri you?” sampuk Didi pula.
Rasfal terdiam sejenak. Dia berpaling
pada Citra untuk mendapat jawapan. Citra mengangguk dengan teragak-agak.
“Silalah…tapi bakal isteri I ni pemalu
sikit. Dia kurang bercakap,” sempat lagi Rasfal mengingatkan Didi.
“Boleh I tahu Cik….”
“Citra. Nama saya Citra…” pintas Citra.
“Okey, Cik Citra. Boleh I tahu berapa
lama you kenal dengan Ras? Boleh tak you ceritakan detik-detik pertemuan
pertama antara you dan Ras?” soal Didi membuatkan dahi Citra berpeluh-peluh.
Citra terkedu seketika. Apa yang boleh
dia ceritakan? Sedangkan detik-detik pertemuan antara dia dan Rasfal bukanlah
detik yang indah yang boleh dikenang.
“Errr…saya
dan Rasfal bertemu dekat set lokasi. Saya ni peminat Ras, jadi bila ada
pengambaran dekat kawasan rumah saya. Saya pergilah, tak sangka masa tu saya
jumpa Ras. Pertama kali saya tengok Ras secara berdepan, saya terus suka. Dia
pun ramah dan tak sombong.” Cerita Citra. Dia menarik nafas lega kerana cerita
yang direka oleh Rasfal itu masih lekat di kepalanya. Jenuh juga untuk dia
menghafal skrip yang diberikan oleh Rasfal semata-mata untuk menjawab soalan
wartawan.
“Macam tu je? Bagaimana pula dengan
lamaran? You tahu kan, Rasfal ni digosipkan dengan Fiona, takkan hati you
langsung tak tersentuh dengan cerita-cerita macam tu?” tambah Didi lagi.
Citra menarik nafas panjang sebelum
dilepaskan perlahan. Dia menggenggam kuat mikrofon yang berada dalam tangan.
“Hati perempuan mana yang tak tersentuh
apabila orang yang disayang digosipkan dengan perempuan lain tapi Abang Ras
selalu nasihatkan saya agar tidak termakan dengan berita seperti itu sebab
setiap apa yang berlaku dalam hidup dia, pasti dia akan ceritakan pada saya.
Saya tahu Abang Ras dan Fiona berkawan jadi saya rasa tak perlulah saya kisahkan
sangat.” Jawab Citra petah.
Rasfal tersenyum manis. Dia memandang
Atif yang turut tersenyum puas.
“Memang tak rugi kau upah Citra, Ras. She do a very good job!” puji Atif
sambil berbisik rapat di telinga Rasfal.
“Okey, terima kasih. Sekarang I nak tanya
pada you, Ras…” Didi mengalihkan soalan pada Rasfal.
Rasfal tersentak lalu mendongak
memandang wajah Didi yang kelihatan serius.
“Okey, teruskan…”
“You rasa dengan berita perkahwinan you
ni akan tamatkan gosip gay you tu ke?
Atau you sengaja percepatkan perkahwinan you ni untuk tutup cerita you tu?”
soal Didi.
Berdesing telinga Rasfal mendengar
soalan yang diajukan oleh Didi tetapi dia tetap tersenyum.
“Kalau I gay, I takkan kahwin dengan gadis yang berada di sebelah I ni. I
harap sangat bila I kahwin nanti cerita gay
ni akan tutup sebab ia melibatkan maruah I, maruah keluarga I. Itu semua
fitnah. I lelaki straight tau. I tak
tahulah daripada mana datangnya cerita ni tapi yang pasti cerita gay tu tak betul dan I tegaskan yang I
ni lelaki normal!” ujar Rasfal dengan tegas.
“Kenapa sebelum ni you macam nak elak
bila reporter nak tanya soalan?
Kenapa baru sekarang you nak tunjuk bakal isteri you ni? Apa yang you cuba
sembunyikan?” celah Karina, wartawan dari Media Hiburan.
“I tak sembunyikan apa-apa cuma I
menghormati perasaan bakal isteri I yang tak nak hebahkan tentang hubungan
kami. Biarlah segalanya kekal sebagai privasi. I bukan tak nak jawab cuma I nak
fokus dengan drama dan filem. Sekarang ada masa yang sesuai jadi I akan jawab
semua soalan yang belum terjawab,” balas Rasfal.
“You tak takut ke kalau you kahwin nanti
saham you jatuh merundum. Maklumlah, hero kalau dah kahwin memang tak laku…”
“Rezeki di tangan Allah. Bila Dia
mengatakan itu rezeki I maka ia tetap akan jadi rezeki I, begitu sebaliknya,”
balas Rasfal dengan senyuman.
Keadaan menjadi membisu sejenak. Rasfal
menarik nafas dalam.
“Okey, ada soalan lagi tak? Kalau tak
ada, kami akan tutup sesi soal jawab ini.” Atif mula bersuara.
“Setakat ini semua dah clear…” jawab Didi.
Atif tersenyum dan mengangguk.
“Kalau macam tu, I nak jemput semua
wartawan yang hadir hari ini untuk ke majlis perkahwinan I nanti. Jangan tak
datang pulak…” sampuk Rasfal.
“Insya-Allah, Ras. Nanti kami datang.
Berapa sponsor untuk perkahwinan you Ras? Mustahil pelakon popular macam you
tak ada yang taja…” sempat lagi Kak Hanim menyampuk sambil tersengih.
“Tak ada yang menaja pun Kak Hanim.
Semuanya sendirian berhad…” balas Rasfal.
“Bulan madu dekat mana?” sampuk satu
suara yang tidak dikenali tuannya.
Rasfal dan Citra tersentak. Mereka
berpandangan sesama sendiri. Tidak pernah pula terlintas dalam fikiran mereka
tentang itu.
“Errr…belum
difikirkan lagi. Rasanya lebih afdal bulan madu dalam rumah sendiri…” gurau
Rasfal dengan disambut tawa oleh para wartawan.
Wajah Citra merona merah. Dengan pantas
dia tertunduk malu.
“Cantik bakal isteri you, Ras. Sejak
bila pulak you suka perempuan yang bertudung ni?”
Rasfal tersenyum. Dia merenung wajah
Citra yang menunduk.
“Sejak I tengok dia. Sejak tu I minat
dengan gadis yang bertudung…” balas Rasfal sambil matanya terus menatap wajah
Citra.
Semua yang hadir di menjerit seolah-olah
apa yang dikatakan oleh Rasfal itu sesuatu yang romantik padahal itu semua
hanyalah lakonan Rasfal semata-mata tanpa melibatkan sebarang perasaan.
“Wahhh…so sweet!” laung seorang wartawan muda.
Manakala Citra sudah tidak senang duduk.
Dia malu dengan kata-kata Rasfal apatah lagi lelaki itu tidak lepas daripada
merenung wajahnya. Air liur ditelan berkali-kali apabila wajahnya tidak
henti-henti menjadi bahan tatapan lensa kamera.
‘Matilah kalau ibu tahu semua ini. Masak
kau, Citra!’ detik hati Citra.
"CITRA dah fikir masak-masak ke nak terima pinangan lelaki tu? Tak
sampai seminggu Citra putus dengan Qammar takkan Citra boleh lupakan Qammar
dengan begitu mudah? Siapa Rasfal tu sebenarnya?" soal Puan Cempaka
membuatkan Citra tidak jadi menyuapkan nasi ke dalam mulut.
Dia memandang wajah ibunya yang sedang
teraba-raba mencari gelas minuman lalu dengan pantas Citra menyuakan gelas
tersebut pada Puan Cempaka.
"Errr...Rasfal tu kawan Citra, ibu. Dia tahu yang Abang Qammar dah
putuskan hubungan kami jadi dia sanggup nak ubati kekecewaan Citra tu.."
bohong Citra dengan rasa bersalah yang menggunung.
"Citra pula macam mana? Citra
sayangkan dia?" soal Puan Cempaka membuatkan Citra tersentak. Serta-merta
nasi yang dikunyah berasa tawar. Sekelumit pun rasa sayang itu tiada dalam
hatinya untuk Rasfal. Apa yang dilakukan hanya semata-mata kerana kerja.
"Citra sayangkan dia sebab dia
kawan Citra. Lagipun dia sayangkan Citra tentu Citra akan bahagia dengan orang
yang sayangkan Citra. Cinta boleh dicarikan, ibu?" soal Citra dengan suara
sengaja diceriakan.
Puan Cempaka tersenyum hambar. Dia
kembali menyuapkan nasi ke dalam mulut.
"Ibu harap keputusan kamu ni betul,
Citra. Ini soal masa depan kamu, hidup kamu. Ibu belum tentu akan hidup lama
jadi sebelum ibu menutup mata, ibu nak tengok Citra ada suami yang mampu jaga
Citra sehingga ke akhir hayat Citra..." ujar Puan Cempaka sayu.
Citra terkedu seketika. Tanpa sedar air
matanya menitis.
'Kalaulah ibu tahu apa yang Citra
lakukan ini hanya untuk lihat ibu pulih semula, agak-agaknya ibu marah Citra
tak? Citra sanggup gadaikan semuanya termasuk masa depan dan prinsip Citra
semata-mata untuk ibu kerana ibu lebih berharga daripada nyawa dan masa depan
Citra.' monolog Citra. Dia menyeka air mata yang tumpah.
"Citra...Citra dengar tak apa yang
ibu cakapkan ni?" soal Puan Cempaka sambil tangannya meraba tangan Citra
yang berada di sisinya.
Citra tersedar. Cepat-cepat dia menyambut
tangan Puan Cempaka.
"Ya, ibu. Citra dengar.
Insya-Allah, Rasfal mampu untuk jaga Citra. Nanti bila selesai pembedahan mata
tu, ibu boleh tengok siapa menantu ibu tu. Baik orangnya, ibu." puji Citra
dengan senyuman nipis. Air matanya masih.lagi tidak henti mengalir sebaik
sahaja terpandang wajah Puan Cempaka yang sudah berusia.
"Tiada apa yang ibu mahukan dalam
hidup ibu selain tengok Citra bahagia. Kalau ibu tak dapat melihat pun ibu tak
kisah, Citra. Janji anak ibu ni gembira dan ibu tak nak Citra rasa terbeban
dengan keadaan ibu. Ibu tak kisah kalau tak buat pembedahan tu pun, asalkan tak
menyusahkan anak ibu ni. Ibu tahu Citra kerja keras untuk dapatkan duit rawatan
tu tapi Citra kena ingat, tiada siapa yang dapat menentang takdir Allah. Kalau
ditakdirkan ibu pergi dulu, Citra jaga diri Citra baik-baik..." sayu saja
suara Puan Cempaka kedengaran di telinga Citra.
"Ibu, kenapa cakap macam ni?Ibu
takkan pergi mana-mana. Selagi Citra hidup, selagi itulah Citra akan cuba buat
yang sebaik mungkin untuk hidup kita, ibu. Citra akan jaga ibu sebagaimana ibu
jaga Citra sampai Citra besar..." ucap Citra dengan dada yang sebak. Dia
melentokkan kepalanya di bahu Puan Cempaka. Esakan cuba ditahan agar tidak
kedengaran di telinga Puan Cempaka.
"Ibu tahu anak ibu ni seorang anak
yang baik. Ibu doakan Citra dapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Citra anak
ibu yang baik. Anak ibu yang solehah. Ibu bangga dapat anak macam Citra.."
ucap Puan Cempaka sambil menggosok kepala Citra dengan lembut.
Saat itu Citra dapat rasakan dia ingin
menjerit dan meraung meminta kemaafan daripada Puan Cempaka atas apa yang
berlaku di sebalik perkahwinan antara dia dan Rasfal nanti.
'Ibu, maafkan Citra atas apa Citra
lakukan ini akan mengecewakan ibu...'
"CITRA, termenung pula dia..." tegur satu suara mengejutkan
Citra daripada lamunan. Dia mendongak.
Kelihatan Rasfal yang sedang
memandangnya dengan penuh tanda tanya. Citra memandang ke hadapan, kelihatan
kerusi yang tadinya penuh dengan wartawan sudah pun kosong. Dahi Citra
berkerut.
"Mana semua orang?" soal Citra
pelik.
Rasfal yang sedang membaca sesuatu di
dalam diari hitamnya mendongak memandang Citra.
"Awak ni mengigau ke apa? Wartawan
semua dah baliklah. Tinggal kita bertiga je. Awak tak nak balik ke?" soal
Rasfal pula.
Dia melihat ada garis sendu di wajah
Citra. Sinar mata gadis itu pun kelihatan suram, tidak seperti kebiasaannya.
Apa agaknya yang difikirkan oleh gadis itu?
"Oh, kalau macam tu, saya balik
dululah..." ucap Citra sambil bingkas bangun.
"Awak nak balik dengan siapa?"
soal Rasfal kembali.
Langkah Citra terhenti. Dia tersenyum
nipis.
"Bas dengan teksi banyak..."
balas Citra bersahaja.
"Biar saya minta Atif yang tolong
hantarkan awak, nak?"
Sepantas kilat Citra menggelengkan
kepala. Matanya diliarkan ke jam yang melilit di pergelangan tangan.
"Dah pukul enam petang maknanya
waktu bekerja saya dah tamat jadi apa-apa yang berlaku lepas waktu bekerja itu
tanggungan saya. Bos tak payah risau. Saya boleh balik sendiri..." balas
Citra tersenyum.
"Rumah awak jauh Citra, lebih baik
Atif yang hantarkan. Atau awak nak saya panggilkan Qammar?" soal Rasfal
lagi.
Sekali lagi Citra menggelengkan kepala.
"Abang Qammar sibuk jadi saya tak
nak menyusahkan dia. Lagipun saya dah terbiasa naik teksi, bos jangan
risau," jawab Citra.
Rasfal hanya menjongketkan bahu.
“Ikut suka awaklah tapi kena ingat esok
jumpa saya dekat ofis. Kita kena tempah baju secepat mungkin. Lagi tiga minggu
kita akan kahwin…” ucap Rasfal mengingatkan Citra.
Citra hanya menganggukkan kepala. Esok
pasti kecoh di kilang apabila berita tentangnya akan keluar surat khabar. Dia
gerun jika memikirkan penerimaan orang ramai terhadap berita perkahwinan
pelakon lelaki popular dengan gadis biasa sepertinya.
“Mungkin saya lambat sikit sebab saya
perlu hantar ibu ke hospital untuk check-up…”
ujar Citra.
Rasfal menganggukkan kepala tanda
mengerti.
“Macam ni, esok saya ambil awak dan ibu
awak. Kita pergi hospital dulu sebelum pergi tempah baju, okey?” Rasfal memberi
cadangan.
“Ras, esok kau ada interview dengan pihak TV1 pukul sepuluh pagi,” sampuk Atif.
Rasfal mengetap bibir.
Citra hanya tersenyum nipis.
“Tak mengapalah, bos. Saya pergi
sendiri. Saya tak nak menyusahkan bos lagipun bos tentu sibuk. Kalau tak ada
apa-apa, saya balik dulu. Assalamualaikum…” ucap Citra lantas berlalu
meninggalkan Rasfal dan Atif.
“Waalaikummusalam…” jawab Rasfal dan
Atif serentak.
Mereka menghantar kelibat Citra sehingga
gadis itu hilang dari pandangan. Atif mengalihkan pandangan pada wajah Rasfal
yang kelihatan bersahaja.
“Apa yang kau cakap pada parents kau sampaikan mereka setuju
ambil Citra jadi menantu? Aku ingatkan parents
kau akan halang. Yelah, Citra bukan anak orang kaya,” ucap Atif.
Rasfal tersenyum. Beg sandangnya dicapai
sebelum bahu Atif ditepuk lembut.
“Agaknya kau lupa yang mama aku tu
pembela kaum wanita. Jadi bila dia tahu ibu Citra tu buta dan ayah Citra dah
meninggal terus dia bersimpati dan mama minta aku jaga Citra baik-baik sebab
dia tengok Citra tu perempuan yang baik. Simple…”
terang Rasfal dengan senyuman yang mekar di bibirnya.
“Simple
as that?” soal Atif dengan dahi yang berkerut.
“Yelah simple. Mama aku ni dia tak boleh kalau nampak perempuan-perempuan
yang susah, mesti dia pun tak senang duduk. Maklumlah mama aku ni pencinta
wanita infact dia nak taja semua
majlis perkahwinan aku ni,” ucap Rasfal dengan tawa kecil.
“Kalau macam tu senanglah kerja kau,
Ras. Tunggu hari perkahwinan kau je ni. Esok mesti kecoh berita pasal kau ni.
Aku gerenti Fiona akan mengamuk dengan kau…” balas Atif.
Mati terus senyuman Rasfal apabila Atif
menyebut nama Fiona. Dia mencebik. Antara dia dan Fiona bukannya ada apa-apa
hubungan cuma mereka kelihatan serasi apabila di hadapan kamera. Selebihnya
Rasfal tidak pernah menganggap Fiona lebih daripada kawan biasa. Malahan dia
cukup rimas dengan perangai Fiona malah bukan saja Fiona tetapi semua perempuan
bagi Rasfal merimaskan.
“Lantak dialah nak mengamuk ke apa. Aku
bukan kekasih hati dia pun jauh sekali teman tapi mesra. Buat semak kepala otak
aku je fikir pasal perempuan,” balas Rasfal selamba.
“Habis tu Citra tu bukan perempuan ke?”
soal Atif.
“Dia tu pekerja aku. Lagipun dia bukan
perempuan yang tergedik-gedik macam Fiona. Tak adalah aku rimas sangat,” balas
Rasfal sambil melangkah menuju ke keretanya.
“Kau suka Citra ke?” soal Atif lagi.
Rasfal terpempan. Langkahnya terhenti.
Spontan lima jari melekat di belakang Atif dengan kuat. Lelaki itu terbatuk
kecil.
“Aduh, sakitlah!” rungut Atif sambil
cuba menggosok belakang badannya yang terasa pedih akibat tamparan daripada
Rasfal.
“Tahu pun sakit. Soalan tu biarlah cerdik
sikit. Kan aku dah cakap yang Citra tu pekerja aku. Dia bekerja untuk aku jadi
aku kena professional. Masalah kerja tak boleh dicampur adukkan dengan masalah
peribadi. Faham?” tekan Rasfal geram.
Atif tersengih. Dia menekan alarm kereta bagi membolehkan Rasfal
meloloskan diri ke tempat duduk sebelah pemandu.
“Tapi dia bakal isteri kau yang sah.
Apa-apa pun yang terjadi, dia tetap isteri kau sebab kau akan menikahi dia mengikut syariat…” balas Atif.
Rasfal terdiam. Gerun pula dia mendengar
kata-kata Atif. Aku akan menikahi Citra, bermakna aku akan terperangkap dengan
seorang perempuan? Oh, my God!
“Dah tu mana ada kahwin olok-olok. Cuma
perkahwinan aku ni ibarat macam kontrak pekerjaan untuk Citra. Kau yang
cadangkan aku buat perjanjian itu semua kan jadi kau jangan nak banyak bunyi.
Bila genap setahun tamatlah kontrak dia dengan aku. Tak perlulah aku hidup
dengan mana-mana perempuan lagi…” balas Rasfal tenang.
Atif tersengih. Dia mula menghidupkan
enjin kereta. Kadang-kadang dia pelik dengan sikap Rasfal yang menganggap
kehadiran perempuan dalam hidup ini membebankan malah sering kali Rasfal
menolak jika terpaksa melakonkan babak-babak yang terlampau romantik. Memang
tidak dinafikan Rasfal bukanlah jenis seorang lelaki yang romantik tetapi
dengan kekacakan dan ketinggian yang ala-ala model itu menjadikan Rasfal
pelakon buruan pengarah dan artis-artis wanita yang lain cuma Rasfal saja yang
jual mahal.
“Kau ni anti dengan perempuan ke, Ras?
Aku perasan yang kau ni memang kurang sosial dengan mana-mana artis perempuan…”
“Aku tak anti dengan perempuanlah. Cuma
kau faham-fahamlah, sejak kecil sampai habis sekolah menengah aku sekolah dekat
sekolah all boys, jadi aku tak reti
sangat nak layan perempuan macam mamat-mamat playboy selalu buat. Jadi kau jangan tanya kenapa aku kurang layan
artis perempuan. Aku rimas,” balas Rasfal tersengih.
Atif menganggukkan kepala.
“Tapi tak mengapa lepas kau kahwin
dengan Citra, kau belajarlah cara-cara berkawan dengan perempuan. Jangan sampai
orang cop kau ni gay sudah,” balas
Atif dengan ketawa kuat.
Rasfal menjeling tajam.
“Ish, nauzubillah min zalik. Kalau aku berminat dengan lelaki pun, kaulah
orangnya…” gurau Rasfal membuatkan tawa Atif terhenti.
Rasfal menunggu reaksi daripada Atif
tetapi akhirnya tawanya pecah apabila melihat Atif yang menggeliat kegelian.
Tetapi tawa Rasfal terhenti apabila terlihat seorang perempuan yang tiba-tiba
melintas jalan.
“Atif!!” jerit Rasfal lalu memusingkan
stereng kereta bagi mengelak daripada terlanggar perempuan tersebut.
Atif tersentak lalu sepantas kilat
kakinya menekan pedal brek. Berdecit tayar kereta Rasfal apabila terpaksa
memberhentikan kereta secara mengejut.
“Aku langgar orang ke, Ras?” soal Atif
dengan wajah yang pucat.
Rasfal mendiamkan diri. Dia sendiri tidak
tahu. Wajahnya sudah berpeluh.
“Jom kita keluar tengok,” ajak Rasfal
lalu menolak pintu kereta. Dia melangkah menuju ke bahagian depan.
“Ya Allah, Atif!” jerit Rasfal.
Atif segera turun dan mendapatkan
Rasfal. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat seorang gadis sedang terbaring
di hadapan keretanya. Atif memandang Rasfal yang kelihatan kaget.
“Kita dah langgar perempuan ni ke?” soal
Rasfal dengan suara yang terketar-ketar.
“Aku rasa dia tak apa-apa lagipun tak
ada darah pun atas jalan ni,” balas Atif sambil matanya melilau melihat kawasan
sekitar.
“Kalau macam tu, jom kita bawa dia pergi
hospital!” ajak Rasfal.
Atif hanya mengangguk lalu dia
mencempung tubuh gadis tersebut dan diletakkan di tempat duduk belakang. Jelas
tergambar riak risau di wajah kedua jejaka itu.
No comments:
Post a Comment