DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 6

KINI baru dia faham kenapa Rania Arissa tiba-tiba memeluk erat kakinya dan  memanggilnya mommy. Mengapa Rania Arissa seakan-akan enggan melepaskannya berlalu pergi.

Dan baru dia mengerti mengapa Rania Arissa seolah-olah mengharapkan pertemuan akan terjadi selepas pertemuan pertama mereka. Tatkala itu hatinya menjadi sayu dan jatuh kasihan mengenangkan Rania Arissa. Kasihan Rania Arissa! Demi Tuhan… Kalaulah Rania Arissa ada ketika itu, mahu saja dia memeluk si comel itu. 

Perempuan di dalam gambar itu ditatap lama. Dan gambar itu jugalah telah berjaya  merungkai segala persoalannya tentang peristiwa semalam. Terutamanya tentang Rania  Arissa. Dan Rania Arissa memiliki raut wajah yang seiras dengan perempuan di dalam gambar tersebut. Terutamanya mata bundar, hidung mancung dan kulit putih gebu milik perempuan itu. Namun kenapa Rania Arissa memiliki sepasang mata hazel? Seolah-olah Rania Arissa berdarah campuran mat salih. 

Jantungnya seakan-akan mahu gugur tadi apabila melihat wajah jelita di dalam gambar tersebut. Wajah perempuan di dalam gambar itu sangat seiras dengan wajah miliknya. Mata, hidung, bibir, lesung pipit, kulit gebu, semuanya sama. Cuma perempuan di dalam gambar tersebut bertudung. Patutlah Ghaz Khuzairi tergamam apabila melihat wajahnya semalam.

Ya Tuhan, kebetulan apakah ini? Patutlah Rania Arissa bersungguh-sungguh memanggilnya mommy. Namun ke mana perginya perempuan itu? Mereka sudah berceraikah? Tapi siapa Rania Arissa sebenarnya? Nak kata anak angkat perempuan itu, tetapi wajah mereka seiras. Nak kata anak Ghaz Khuzairi dan perempuan tersebut, tetapi kedua-duanya memiliki wajah kemelayuan.

“Ghaz, perempuan dalam gambar ni mommy Rania, kan? Atau secara tepatnya wife awak? Betul tak?” Izzara bertanya. Mahukan kepastian tentang perempuan di dalam gambar tersebut. Tangannya masih memegang gambar itu dan matanya terarah kepada Ghaz Khuzairi. 

“Ya, Zara. Perempuan dalam gambar tu mommy kandung Rania Arissa. Marlissa namanya. Dia bukan wife saya. Tetapi dia kekasih pertama saya, Zara. Cinta hati saya.” Jawapan dari mulut Ghaz Khuzairi itu membuatkan Izzara tersentak. Kalau perempuan itu bukan isterinya, kenapa Rania Arissa boleh bersama dengan Ghaz Khuzairi? Mana perginya Marlissa? Adakah Rania Arissa itu hasil hubungan terlarang antara Marlissa dan Ghaz Khuzairi? Nauzubillah! Ya Allah, kenapa dia boleh fikir bukan-bukan pulak ni. Astaghfirullah!

“Saya keliru, Ghaz. Kalau Rania Arissa tu bukan anak kandung awak, siapa ayah Rania sebenarnya? Dan mana pergi mommy dia? Kenapa dia tak jaga Rania? Kenapa pula awak yang kena jaga Rania?” Bertalu-talu soalan keliru dimuntahkan oleh Izzara.

Hesy... Izzara ni tak sudah-sudah nak keliru bagai dari tadi. Muka saja jelita tapi blur!
 
Ghaz Khuzairi menghela nafasnya seketika. Tiba-tiba matanya terpandang sebentuk cincin yang tersarung di jari manis Izzara. Cincin emas putih bertatahkan sebutir berlian menarik pandangannya. Entah kenapa hatinya seakan-akan kecewa tatkala melihat cincin itu. Namun, kenapa dia perlu kecewa? Lama Ghaz Khuzairi merenung cincin emas putih yang bertatahkan sebutir berlian itu. Cantik! Bohonglah kalau dia tidak faham di sebalik makna itu. Paling tidak pun, cincin itu tandanya si pemakai sudah bertunang atau dimiliki seseorang. 

Mana ada yang belum berpunya mahu memakai cincin yang begitu. Maknanya Izzara sudah berpunya. Bermakna juga Izzara sudah ada yang istimewa di hatinya. Telah hati Ghaz Khuzairi. Dan dia tersentak daripada lamunannya apabila mendengar Izzara berdehem.

Alahai… malunya! Mana dia nak sorok muka yang terkantoi ni... Lalu dia mengurut-urut perlahan belakang tengkuknya. Dengan wajah yang sudah menebal rasa malu, dia memandang Izzara. Segaris senyuman terlakar. Aduhai! Sumpah, dia rasa malu mahu menatap wajah cantik di hadapannya itu. Itulah, siapa suruh tenung-tenung jari anak dara orang? Kan dah terkantoi! Izzara tersenyum apabila melihat riak wajah Ghaz Khuzairi yang sedikit kemerahan itu. Bukan Izzara tidak faham apa yang terlintas dalam fikiran lelaki itu. Dia menjeling sekilas ke arah jari manisnya. 

Tersemat sebentuk cincin berlian yang amat bermakna baginya. Dia tersenyum kecil mengenangkan momen indah ketika dia menerima cincin tersebut.

 “SAYANG… IF you wear this, then you’re mine. Dan kalau you setuju, balik dari Sheffield nanti I bincang dengan my parents untuk merisik you. Tapi I tak paksa you kalau you tak ready lagi. Tak apa, I sanggup tunggu sampai you bersedia untuk terima lamaran I. Seriously, I can wait for it, sayang!” ucap Qaleef dengan tenang dan sememangnya setiap kata-katanya itu tadi memang ikhlas dari benak hati dan perasaannya. Kalau Izzara tak bersedia lagi untuk menerima lamarannya, dia sanggup menunggu sehingga si jelita itu bersedia menjadi hak mutlaknya.

Izzara mengambil kotak yang dihulurkan Qaleef. Reben putih yang mengikat kotak cincin Tiffany & Co itu dibuka dengan cermat. Izzara tersenyum apabila melihat sebentuk cincin emas putih bertatahkan sebutir berlian. Design yang simple. Qaleef sememangnya sudah tahu cita rasanya. 
 
“Qal… I simpan dulu cincin ni, boleh? Bagi I masa untuk berfikir.”

“Of course, dear! You boleh ambil masa banyak mana pun yang you nak. I faham soal nikah kahwin ni bukan perkara mudah. It’s okay, take your time.” 

“Thanks, Qal.” Ucap Izzara dengan tersenyum manis lalu menyimpan kotak cincin tersebut ke dalam tote bagnya. Sampai sahaja di hadapan pintu pelepasan Antarabangsa KLIA, Qaleef sempat menitipkan beberapa pesanan buat si jelita. 

Selepas itu dia melangkah masuk untuk pemeriksaan imigresen sebelum dia ke balai berlepas. Izzara menghantar pandangan dengan perasaan sayu. Sepuluh hari kena tinggal. Gila rindu dia nanti! 

Izzara mengeluarkan kotak cincin tadi dari tote bag miliknya. Kotak cincin itu dibuka. Izzara merenung seketika cincin tersebut. Kemudian dia mengambil dan menyarungkan cincin itu ke jari manisnya. Kemas saja cincin tersebut di jari. Tanda hatinya memang tersemat kemas menerima lamaran itu. Dia tersenyum dan kemudian dia memandang ke arah Qaleef yang sedang berdiri memandangnya dari jauh. Qaleef melambai-lambaikan tangannya. Tanda mengucapkan selamat tinggal buat buah hati sebelum dia masuk ke balai berlepas. 

Izzara membalas lambaian Qaleef dengan menunjukkan cincin emas putih yang sudah tersarung di jari manisnya. Dia ketawa apabila melihat telatah Qaleef yang tiba-tiba melompat dengan tangan si kacak itu membuat aksi ‘yes’… tanda dirinya gembira melihatkan cincin tersebut sudah tersarung di jari manis Izzara. Tanda Izzara menerima lamarannya. 

Beberapa saat kemudian, berkumandang lagu A Thousand Years di Blackberry Izzara. Dia menjawab panggilan itu sambil memandang ke arah Qaleef yang turut sama memandang ke arahnya. 

“My baby, my love, my sayang... Thanks sebab sudi sarungkan cincin tu ke jari you. I’m really happy, Zara. Tak sabarnya I nak hantar rombongan merisik balik dari Sheffield nanti. You tunggu I balik ye, sayang. Take care and I love you so much! Bye, sayang.” Jelas ceria nada suara Qaleef. Hatinya sangat gembira. Gembira tak terkata kerana Izzara menerima lamarannya.

“I love you too, Qal. I akan tunggu you balik, sayang.” Lafaz Izzara lembut dengan matanya memandang ke arah Qaleef yang berdiri di sana. Lelaki itu sempat melemparkan senyuman manis kepadanya.

“ARE YOU okay, Zara?” soal Ghaz. Ghaz Khuzairi hairan melihat Izzara tersenyum-senyum sambil merenung cincin di jari manisnya itu. 

“Oh sorry, saya okey... saya okey, Ghaz. Oh ya tadi saya tanya pasal mommy and daddy kandung Rania. Kalau awak sudi ceritakan, saya sedia mendengar.” Ghaz Khuzairi tersenyum, geli hati pun ada mengenangkan Izzara yang sedikit menggelabah itu. 

Ghaz Khuzairi memandang seketika pada wajah jelita itu. Kemudian, dia menghela nafas mencari kekuatan bercerita mengenai kenangan silamnya. Kenangan yang menyebabkan dia hampir-hampir putus asa untuk meneruskan hidupnya. Kenangan yang membuatkan hatinya patah seribu dan harapannya hancur berkecai.

“Marlissa tu kekasih saya, Zara. Entah di mana silapnya, dia ditangkap basah dengan kawan saya sendiri. Dan ayahnya paksa jugak dia menikah dengan lelaki tu. Mahu menutup malu katanya biarpun berkali-kali Marlissa bersumpah yang kejadian tu bukan atas kerelaan dia dan lelaki tu. Dan atas paksaan ayahnya, Marlissa terpaksa menikah dengan Ryan. Mereka terperangkap, Zara. Apa yang mengecewakan saya, orang yang memerangkap mereka tu adalah kawan kami sendiri. Orang tu berdendam dengan saya sebab saya pernah menolak cintanya.

Kerana dendamnya tu, dia perangkap Marlissa dan Ryan dengan membubuh pil khayal dalam minuman mereka. Apa yang saya tahu, mereka ditangkap oleh pihak pencegah maksiat dalam keadaan tanpa seurat benang dan sedang tidur berpelukan.” Ghaz Khuzairi mengimbas peristiwa beberapa tahun lalu. Peristiwa yang telah merobek hati lelakinya. Dia masih ingat lagi ketika itu. Dia baru pulang dari night-stop di Kota Kinabalu. Ketika dia ingin merebahkan badannya di katil, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Hatinya teruja apabila melihat nama kekasih hatinya membuat panggilan. Hilang rasa penatnya seketika. Namun terperanjatnya dia bukan kepalang apabila mendengar suara si pemanggil galak menangis.

“Mar, kenapa ni? Kenapa menangis ni? Kenapa ni, sayang?” soal Ghaz Khuzairi bertalu-talu.
“Ghaz, I ada kat bawah area kondo you ni. I nak jumpa you. Please... I really need you now!”
Dah mabuk rindu sangat ke Marlissa ni? Sanggup pula datang ke kondonya. Dengan menangis bagai pulak tu.

Agaknya, kalaulah Marlissa tahu mana satu unit kondonya, pasti perempuan itu sudah terpacul depan pintu rumahnya. Hati Ghaz Khuzairi tertanya-tanya. Hairan dengan kedatangan Marlissa secara tiba-tiba. Walaupun gaya hidup dan kerjaya dia terdedah dengan budaya bebas, namun itu bukanlah alasan untuknya turut sama mengamalkan budaya kurang sihat itu. Dia ada prinsipnya sendiri. Dia bukan jenis yang suka mengangkut perempuan ke rumah seperti rakannya yang lain. 

Walaupun ilmu agamanya tak sedalam mana. Tetapi dia masih tahu halal dan haram. Dosa dan pahala. Ghaz Khuzairi yang masih memakai uniform juruterbang bergegas keluar dari rumah. Risau apabila mendengar tangisan Marlissa. Apa yang sudah berlaku dengan kekasih hatinya itu? Hilang segala penatnya ketika itu. Diganti pula dengan perasaan risau yang berlegar-legar dalam benak fikirannya. Serabut kepalanya memikirkan hal Marlissa.
 
Setelah sampai di bawah, kelihatan si gadis sedang berdiri di tepi keretanya, memeluk tubuh dengan menundukkan wajahnya. Bahu si gadis itu terhinggut-hinggut, menahan tangis. Ghaz Khuzairi melangkah laju ke arah Marlissa dengan seribu persoalan berlegar di kepalanya. Apa dah jadi dengan Marlissa ni, sanggup memandu datang ke kediamannya dengan menangis bagai begini? Apa dah jadi?

“Kenapa ni, sayang? Kenapa menangis ni? You rindu sangat pada I ye?”

Marlissa mendongakkan kepalanya tatkala mendengar suara orang yang diperlukannya saat itu. Suara milik kekasih hatinya. Terus dia memeluk Ghaz Khuzairi yang sudah berada di hadapannya itu. Makin kuat esakan Marlissa. Ghaz Khuzairi kaget dan bingung dengan tingkah Marlissa. Hesy... Takkan sehari tak jumpa dah teruk begini rindu Marlissa terhadapnya? Manja betul! Khuzairi merungkaikan pelukan erat Marlissa dengan perlahan. Kedua-dua bahu Marlissa dipegang. Wajah jelita itu dipandang sayang. Cuba memberi kelegaan kepada si gadis yang sudah bengkak matanya akibat banyak menangis. 

“Sayang, kenapa ni? Siapa buat you menangis macam ni? You sakit ke?”




Marlissa menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia merenung Ghaz Khuzairi. Kecut hatinya mengenangkan apakah penerimaan Ghaz Khuzairi dengan berita yang cuba dia sampaikan nanti. Apa reaksi kekasihnya itu apabila mendengarnya?

“Ghaz, pagi tadi I kena tangkap berkhalwat dengan Ryan.” Terketar-ketar Marlissa mengungkapkan kata-katanya, bimbang dengan reaksi Ghaz Khuzairi.

“Hesy... You merepek apa ni, Mar?” 

“I tak merepek, Ghaz! Betul! Pagi tadi kami kena cekup dengan beberapa pihak pencegah maksiat. Dan ayah I paksa kami menikah jugak untuk tutup malu. Kami dah menikah,
Ghaz. Semua ni perangkap Ghaz! You kena tolong I.” Ghaz Khuzairi tersentak dan bagaikan nak tercabut tangkai hatinya apabila mendengar berita buruk itu. Dia melepaskan kedua-dua tangannya yang memegang bahu Marlissa tadi. Tetapi akalnya seakan-akan tak boleh menerima apa yang disampaikan Marlissa. Khalwat? Menikah? Tapi siapa yang perangkap Marlissa dan Ryan ni? Dia memicit-micit kepalanya. Cuba melegakan apa yang berserabut dalam fikirannya itu. Sungguh dia buntu. Takkan Marlissa nak bergurau dengan dia pulak? Keadaan Marlissa sudah cukup menunjukkan yang perkara tersebut benar-benar berlaku.

“Mar, macam mana benda ni boleh berlaku? Macam mana you boleh ada bersama dengan Ryan tu? Siapa yang perangkap you all?” 

Marlissa menceritakan segalanya apa yang telah berlaku di Kelab Zouk sehinggakan dia dan Ryan terperangkap dengan rancangan Anita. Zack, yang bertugas sebagai bar tender di Zouk ternampak Anita bubuhkan sesuatu ke dalam minuman Marlissa dan Ryan Arshad. Namun, belum sempat Zack beritahu tentang itu, Ryan Arshad, Marlissa juga Anita sudah tidak kelihatan di situ. Rupanya Anita telah mengupah beberapa lelaki untuk menghantar Ryan Arshad dan Marlissa yang telah khayal akibat minuman tersebut ke bilik hotel. 

Dan segala peristiwa pahit itu bermula di situ sehinggakan dia dipaksa menikah dengan Ryan Arshad. Ghaz Khuzairi sudah tersandar di kereta. Patah seribu hatinya mendengar berita itu. Kekasih yang dipuja dan disayangi serta dicintainya selama ini, sekelip mata sudah menjadi hak mutlak kawannya sendiri iaitu, Ryan Arshad. Ya Tuhan, dugaan apakah ini?

“Mar, malam tadi you text I beritahu yang you ada dengan Sarah. You ke Zouk tu dengan Sarah, kan? So, mana Sarah masa tu? Dan atas alasan apa Anita perangkap you dan Ryan? Anita kan kawan kita?” tanya Ghaz Khuzairi masih tidak puas hati dengan penjelasan Marlissa. Dia masih tidak percaya Anita sanggup memerangkap Marlissa dan Ryan Arshad.
Takkanlah!

“Ghaz, memang I ke Zouk tu dengan Sarah. Tapi sampai saja kat sana, Sarah lepak dengan friends dia. Maksud I, dia tak lepak semeja dengan I. Masa tu I lepak dengan Ryan dan Anita. Pasal Anita tu, pagi tadi Zack beritahu Ryan yang dia ternampak Anita bubuh serbuk pil khayal tu ke dalam minuman kami. Dan Ryan dah pun bersemuka dengan Anita. 

Anita mengaku dia yang rancang semua tu sebab dia berdendam dengan you, Ghaz. Sebab you pernah tolak cinta dia. Bagi Anita, kalau dia tak berjaya memiliki cinta you, begitu jugak dengan I dan perempuan lain. Ghaz, kenapa I yang jadi mangsa? Kenapa tak orang lain?”
Ghaz Khuzairi menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Dalam hal ini, dia tidak boleh menyalahkan Ryan Arshad dan Marlissa seratus peratus kerana mereka terperangkap dengan rancangan bodoh Anita. Apa yang dia kesalkan, kenapa Anita sanggup memusnahkan masa depan Ryan Arshad dan Marlissa kerana dendam? Dia yang berdendam dengan Ghaz Khuzairi, jadi kenapa Ryan Arshad dan Marlissa dibabitkan sama? Jangan harap disebabkan rancangan bodoh tu, Ghaz Khuzairi menerimanya. Memang taklah! Ghaz Khuzairi sudah nekad, dia harus berjumpa dengan Anita. Sekurang-kurangnya Anita kena mengaku dan meminta maaf kepada keluarga Marlissa dan Ryan Arshad. Dia mahu Anita menjernihkan keadaan tersebut. 

“Mar, I sangat kecewa dengan apa yang dah berlaku ni. Hati I sakit bila I dapat tahu gadis yang I cintai sepenuh jiwa dan raga I, dah dimiliki lelaki lain. Tapi I tak boleh menidakkan ketentuan Tuhan. Semua yang berlaku ini adalah kehendak-Nya. Walaupun sakit untuk terima berita ni, namun I kena kuatkan hati dan perasaan I. Begitu jugak dengan you. Jangan mempertikaikan apa yang berlaku. Kita kena sama-sama reda walaupun hati kita sakit. Mar, apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan, kekeliruan atau kebetulan. Semuanya sudah ditentukan takdir-Nya.” Ghaz Khuzairi jeda seketika sambil merenung anak mata Marlissa.

“Dalam ayat al-Quran pun ada menyatakan, Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Percayalah, Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangkakan. Kadang-kadang Allah berikan kita rasa kepahitan hidup ini supaya kita menghargai setiap kemanisan yang kita rasai. Bila kita ikhlas reda dengan ujian dan takdir Allah untuk kita, itulah kemanisan yang akan kekal di hati kita.” Ujar Ghaz Khuzairi panjang lebar dengan hatinya yang diselubungi perasaan kecewa saat itu.
 

“Ghaz, I tak tahu macam mana I nak hidup dengan orang yang I tak cintai langsung dan I tak boleh nak bayangkan kehidupan I selepas ni tanpa you, Ghaz.” Marlissa teresak-esak meluahkan kebimbangannya. Berkahwin tanpa rela dan akan berkongsi hidup dengan lelaki yang langsung tiada ruang dalam hatinya.

“Mar… Adakala cinta itu bukan penentu untuk kita mengecapi kebahagiaan hidup. Yang penting nawaitu kita dan kepercayaan kita dengan ketentuan Allah. You kena yakin dan selalu berdoa, moga Allah mengurniakan kehidupan yang baik untuk you selepas ni. Mar, you baliklah. Walau apa pun yang dah berlaku, kita tetap boleh berkawan. I akan sentiasa di sisi you sebagai seorang sahabat. Jika you perlukan pertolongan daripada I, Insya-Allah I akan sentiasa ada untuk you. Tapi untuk kita berhubung seperti sebelum ni memang I tak setuju sebab hukum melarangnya. You isteri Ryan yang sah. Walau siapa pun Ryan pada you, dia tetap suami you, Mar. You pergilah balik. I sentiasa mendoakan kebahagiaan you dan Ryan. Anggaplah kita memang tiada jodoh untuk bersama.”

Marlissa melangkah ke keretanya dengan perasaan kecewa dan hati yang remuk. Sungguh dia tak menjangkakan peristiwa pahit seperti ini boleh terjadi ke atas dirinya. Dan seperti kata Ghaz Khuzairi, dia seharusnya ikhlas dan reda menerima ujian dan takdir Allah ni. Dia percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. 

Ghaz Khuzairi meraup mukanya, kesal dan kecewa dengan apa yang telah berlaku. Dia sendiri sangat terluka. Punah segala harapan dan impiannya untuk membina mahligai cinta bersama Marlissa. Kini, yang tinggal cuma kenangan antara dia dan Marlissa. Sungguh, dia sudah terjatuh di dalam harapan yang dia bina selama ini! Harapan tinggal harapan. Dan dia yakin setiap ketentuan Allah itu ada sebabnya dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dia yakin Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuknya. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang
 

No comments:

Post a Comment