DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 21 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 10

PINNNN PINNNN!!!

Serasa mahu gugur jantung Izzara mendengar bunyi hon kereta yang agak kuat itu.

“Rania! Sayang kat mana? Rania Arissa???” Bertalu-talu nama si comel itu terbit dari mulut Izzara. Cemas saja bunyinya.

“Mommy, Rania kat sinilah!”

Izzara memandang ke arah pintu bahagian penumpang keretanya. Kelihatan Rania Arissa bersandar di pintu tersebut. Izzara mengurut dadanya perlahan. Lega. Kemudian matanya menghala ke arah bunyi hon kereta yang agak kuat tadi. Saat itu, mahu saja dia membaling kasutnya ke arah cermin  kereta tersebut. Melihat kereta Toyota Vios putih itu hatinya menjadi geram. Dan paling membuatkannya geram ialah pemilik kereta tersebut!

“Hampeh punya Shamzlin! Buat jantung aku nak gugur je! Nak makan pelempang aku agaknya minah ni!” Bisiknya perlahan. Nak maki si Shamzlin tu kuat-kuat tak boleh. Kut didengar Rania Arissa tu nanti, lain pulak jadinya.

Izzara pergi mendapatkan Rania Arissa, lalu dipimpinnya tangan si manja. Kemudian dia mara ke arah Shamzlin yang baru keluar dari keretanya sambil melambai-lambai mesra kepadanya. Siap tersengih lebar menayangkan barisan giginya yang cantik itu. Persis model iklan Colgate saja lagak si
Shamzlin tu. Semakin geram pulak di hati Izzara!

“Eh, Zara... Kau dah kenapa pucat semacam je ni?” soal Shamzlin hairan bila.

“Kalau kau nak tahu, sikit lagi cermin Vios kau tu nak kena baling dengan wedges aku ni.” Bisik Izzara ke telinga Shamzlin. Risau butir perbualannya didengar Rania Arissa.

“Kau merepek apa ni? Sampai nak baling cermin kereta aku bagai? Tahulah wedges Salvatore Ferragamo kau tu mahal! Tapi janganlah nak over sangat. Sampaikan cermin Vios aku pun kau nak test!” soal Shamzlin pelik. Turut berbisik ke telinga Izzara.

“Yang kau tekan hon kereta kau tu sekuat tidak pasal apa? Nak gugur jantung aku, tahu tak? Kata aku yang over. Tapi kau tu over sebenarnya. Macamlah Vios kau tu je ada hon kereta!” Balas Izzara, masih dengan nada berbisik. Belum sempat Shamzlin membalas, kedengaran suara halus menyampuk.

“Mommy… kenapa cakap bisik-bisik? Auntie ni siapa, mommy?”

Izzara dan Shamzlin memandang ke arah suara halus itu. Shamzlin tersentak apabila si comel itu memanggil Izzara dengan panggilan mommy. Hatinya tertanya-tanya, anak siapa yang panggil Izzara ni mommy bagai? Nampak begitu manja dengan Izzara pulak tu. Takkan anak sedara kut! Setahunya
Izzara ni mana ada anak sedara. Abang Iqram tu memang dah lama kahwin. Tapi dia belum punya anak lagi.

Bila dia mengamati wajah si comel di hadapannya itu, tiba-tiba dadanya berdegup kencang. Wajah si comel tu ada iras wajah Izzara. Ya Allah, takkanlah Izzara sanggup buat kerja tak senonoh?


Izzara tersenyum melihat riak kehairanan pada wajah Shamzlin. Bukan dia tak faham apa yang Shamzlin sedang fikirkan. Sah minah ni merapu dan fikir bukan-bukan!

“Rania… Inilah dia Auntie Shamzlin. Kawan mommy. Salam Auntie Sham, sayang.”

Shamzlin menyambut huluran tangan mulus itu yang ingin bersalam dengannya. Makin sesak dadanya apabila Izzara melayan Rania Arissa seolah-olah itu memang anaknya. Dia tetap terkaku. Seakan-akan tak percaya dengan situasi itu.

“Dan kau, Sham… tak payah nak buat muka blur kau tu. By the way, kau ingat lagi tak Rania Arissa yang aku cerita pada kau semalam? Inilah dia, Rania Arissa. Comel tak?”

“Ya Allah, Zara! Pasal apa kau tak beritahu aku awal-awal yang si comel ni Rania Arissa. Sampai aku dah terfikir yang bukan-bukan tadi. Rania sayang… Come, Auntie Sham nak peluk sayang auntie ni, boleh?” Shamzlin bertinggung di hadapan Rania Arissa. Dia mendepangkan tangannya lalu Rania
Arissa terus memeluknya dengan manja.

“Eh, jomlah kita masuk dalam. Nanti mama aku bising pulak kita lambat.” Ajak Izzara sambil mengatur langkah diikut oleh Shamzlin yang sudah mendukung Rania Arissa.

“Zara… macam mana Rania ni boleh ada dengan kau, babe?” soal Shamzlin sambil mencium pipi gebu Rania Arissa. Ciumannya itu pula dibalas mesra oleh Rania Arissa.

“Itu cerita, lain kali aku story pada kau. Now aku tengah serabut nak explain pada mama dan papa aku pasal Rania ni.”

“Eh? Diaorang tak tahu lagi ke? Gilalah kau, Zara. Boleh pulak selamba kau angkut si Rania ni ke sini.”

“Itulah… aku cuak jugak bila fikir pasal penerimaan mama dan papa aku nanti. Well... kau pun tahu, kan? Bab ni memang aku tak suka nak sorok-sorok especially pada mama aku. Baik aku story awal-awal daripada aku terkantoi kemudian hari.”

“Yelah… kau tu kan anak mama! Tapi aku suka dengan cara kau. Seelok-eloknya begitulah, Zara.”

Sampai sahaja di pintu masuk rumahnya, belum sempat Izzara dan Shamzlin memberi salam, kedengaran suara milik mama Izzara memanggilnya dari arah kanan banglo itu. Mereka menoleh. Kelihatan mama Izzara iaitu Datin Aziah, Datuk Iskandar, Abang Iqram dan isterinya Sarah Yasmin sedang bersantai sambil menikmati minum petang di meja yang berdekatan dengan gazebo di halaman banglo tersebut.

Izzara pergi mendapatkan mamanya dan yang lain untuk bersalaman diikuti oleh Shamzlin. Setelah usai bersalaman, mereka melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan. Rania Arissa dengan manjanya duduk di ribaan Izzara.

“Abang Iqram… kenapa dengan Kak Yasmin tu, bang? Migrain eh?” soal Izzara setelah melihat kakak iparnya, Sarah Yasmin melentokkan kepala di bahu abangnya. Sesekali kelihatan si suami memicit-micit lembut kepala si isteri.

“Tu tandanya, Zara akan jadi makcik lepas ni.” Datin Aziah pula.

“Hah? Iye ke, Abang Iqram? Alhamdulillah…. Dah berapa bulan?”

“Nak masuk dua bulan lebih dah. Tapi itulah, kesian kakak ipar Zara ni. Teruk juga alahannya.” Ujar Iqram Arief sambil tersenyum kecil. Geli hati pun ada melihat wajah teruja adiknya itu.

“Congratulation, Abang Iqram dan Kak Yasmin. Haih, tak sabarnya nak tengok baby tu lahir nanti. Pasti cute, kan?”

“Cute ikut mommy dia.” Sampuk Sarah Yasmin yang sedari tadi mendiamkan diri. Menahan sakit kepala agaknya.

Mereka yang berada di situ tersenyum mendengar jawapan dari mulut Sarah Yasmin. Mata terpejam tapi mahu juga nak bersuara.

Datin Aziah sedari tadi asyik memandang ke arah Izzara, paling tepat memandang Rania Arissa yang duduk di ribaan Izzara. Hatinya tertanya-tanya. Nampak begitu rapat dan manja saja dengan Izzara.

“Sayang mama… siapa si comel yang Zara bawak ni? Ini ke special guest yang sayang mama beritahu nak bawak tadi ye?” Lembut Datin Aziah bertanya. Mendengar saja pertanyaan Datin Aziah, segera yang lain tertumpu kepada Izzara. Menunggu jawapan dari mulut Izzara.

Izzara menepuk dahinya tiba-tiba. Aduh! Terlupa pulak nak kenalkan budak comel yang erat memeluk lengannya itu. Yang si comel tu pulak, elok je duduk diam di ribaannya.

“Ya Tuhan! Terlupa pulak Zara nak kenalkan budak cute ni pada semua. Inilah Rania Arissa. Come, sayang… salam nenek, atuk, Uncle Iqram dan Auntie Yasmin.” Izzara memimpin Rania Arissa mendekati mama dan papanya untuk bersalaman.

“Mommy… ini nenek dan atuk ye?” Tiba-tiba Rania Arissa bersuara. Tersenyum Datin Aziah dan Datuk Iskandar mendengar si petah itu bertanya.

“Ye, sayang. Meh sini, Rania salam Uncle Iqram dan Auntie Yasmin pulak.”

Rania Arissa hanya menurut. Tatkala Rania Arissa menghulurkan tangannya, tiba-tiba Sarah Yasmin memeluk Rania Arissa. Lama dia berbuat demikian. Usai itu pipi gebu si manja dicium bertalu-talu. Geram betul dia dengan pipi gebu milik Rania Arissa.

“Comelnya Rania ni, Zara. Geram Kak Yasmin kat dia ni. Pipi tembam dia ni rasa nak picit-picit je! Eh, perasan tak muka Rania ada iras Zara la. Anak siapa ni, Zara?”

Soalan Sarah Yasmin itu membuatkan semua yang ada di situ tersentak. Hanya Shamzlin yang nampak tenang. Dan mereka mengamati wajah milik si comel itu. Wajah Rania Arissa memang seiras dengan Izzara! Paling tak keruan adalah Datin Aziah. Walaupun Rania Arissa memiliki sepasang mata hazel tetapi si comel itu memang iras dengan anak daranya. Nak pecah dadanya memikirkan hal itu.

Datin Aziah memandang tajam ke arah anak daranya. Seolah-olah mahukan penjelasan. Begitu juga dengan Datuk Iskandar dan Iqram Arief, serius memandang ke arah Izzara. Dan belum sempat Izzara bersuara untuk menjelaskan perkara sebenarnya, suara halus milik Rania Arissa bergema.

“Mommy…Rania nak pergi tengok fish, boleh?” soal Rania Arissa sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah kolam ikan peliharaan Datin Aziah yang tidak jauh dari situ.

“Boleh, sayang. Elok-elok ye.” Balas Izzara memberi kebenaran. Sempat dia mencium pipi gebu Rania Arissa sebelum melepaskan si comel ke sana.

Kemudian Izzara memandang wajah-wajah yang serius di hadapannya ketika itu. Setia memandangnya untuk mendengar penjelasan dari mulut Izzara. Dan kecut perutnya serta bercampur baur perasaannya apabila memikirkan reaksi mereka itu nanti. Terutama reaksi papa dan mamanya.

“Papa, mama… Zara minta maaf kalau papa dan mama tak suka dengan perbuatan Zara ni. Zara tak bermaksud nak buat papa dan mama fikir bukan-bukan. Buat pengetahuan semua, Rania Arissa tu anak kawan Zara. Dan Zara bersumpah, yang Rania tu tiada hubungan apa-apa pun dengan Zara. Semua ni adalah atas dasar simpati dan atas sebab Zara menolong seorang kawan yang perlukan pertolongan Zara.”

Izzara menarik nafas lega melihat wajah-wajah di hadapannya itu yang tadi serius bertukar menjadi sedikit tenang, seolah-olah boleh menerima penjelasannya sebentar tadi. Kemudian dia kembali menyambung kata-katanya dengan menceritakan segala kisah citra hidup si comel yang malang itu, tentang Marlissa, Ghaz Khuzairi dan Ryan Arshad.

Dia turut menceritakan bagaimana boleh terjalinnya hubungan ‘ibu dan anak’ antara dia dan Rania Arissa. Shamzlin yang ada di situ turut tekun mendengar cerita serta penjelasannya. Eloklah, tak payah dia nak ulang tayang nak bercerita perkara yang sama kepada Shamzlin lagi.

“Kasihannya dia, sayang. Habis... yang jaga Rania sejak dia lahir tu, Ghaz Khuzairilah, ye? Mulianya budak Ghaz Khuzairi tu ye.” Kata Datin Aziah sambil mengesat air matanya. Tersentuh hatinya mendengar kisah Rania Arissa.

“Ye, ma. Ghaz Khuzairi dan keluarga dia yang jaga dan didik Rania tu sejak dia lahir lagi. Hmm… Zara harap papa dan mama izinkan Zara bantu Ghaz Khuzairi untuk sama-sama bagi perhatian pada si comel tu. Zara tak sampai hati nak hampakan permintaan Ghaz Khuzairi terutamanya Rania Arissa. Kasihan Rania, ma. Sejak bertemu dengan Zara, dia dah anggap yang Zara ni mommy dia yang sebenar sebab wajah arwah mommy Rania tu iras betul dengan Zara, ma.” Sayu Izzara mengharap.

“Zara, nak buat perkara baik macam ni tak perlulah nak minta izin. Sudah jadi tanggungjawab kita sesama insan. Zara sepatutnya bersyukur, sebab Zara dipilih untuk membantu insan yang memerlukan pertolongan. Besar ganjarannya kalau kita ikhlas. Honestly, I’m proud of you, dear!”

Belum sempat Izzara membalas kata-kata papanya itu, Sarah Yasmin pula menyampuk.

“Zara, Kak Yasmin nak tanya. Ghaz Khuzairi tu kerja apa? Dan nama mommy kandung Rania tu apa ye, sebab tadi masa Zara bercerita pasal mommy dia, Zara tak mention pun nama arwah. Boleh Kak Yasmin tahu?” soal Sarah Yasmin sambil merenung Izzara. Hilang sakit pening kepalanya setelah teruja mendengar cerita Izzara sebentar tadi. Ditambah pula persoalan tentang Ghaz Khuzairi dan arwah mommy Rania yang berlegar-legar dalam fikirannya.

“Hmm… Ghaz tu MAS pilot, kak. Dan nama mommy kandung Rania tu, Marlissa. Dia MAS stewardess. Tapi dia resigned semasa mengandungkan Rania. Husband dia, Ryan yang cadangkan agar dia berhenti kerja masa tu.”


“Ya Tuhan... takdir apakah ini, Zara? Arwah Marlissa tu kawan Kak Yasmin dan kami pernah jadi housemate dulu. Last kami jumpa, masa dia datang jumpa akak. Tanyakan tentang suaminya, Ryan. Akak tak boleh lupa betapa wajah arwah ketika tu. Nampak sangat dia derita ditinggalkan Ryan tanpa sebarang berita. Kesian dia, Zara. Dalam keadaan sarat mengandung, dia sanggup keluar cari suami dia.”

“Ya Allah, Kak Yasmin! Macam mana Zara boleh terlupa yang akak dulu MAS stewardess!” Izzara menjerit kecil seraya memegang erat tangan kakak iparnya. Kecilnya dunia! Kebetulan apakah ini?

“Akak tak sangka Ryan sanggup buat arwah macam tu. Lagipun arwah tu sangat baik, perempuan yang baik. Tak sangka begitu pengakhiran kisah hidupnya. Dan kali terakhir akak jumpa Rania selepas pengebumian mommy dia. Paling akak tak boleh lupakan bila memandang wajah sayu anak arwah ketika tu. Seolah-olah dia juga sedih dengan pemergian mommynya. Pilu hati akak mengenangkan nasib Rania. Ada ayah pun tapi entah ke mana menghilangnya. Selepas akak menikah dengan Abang Iqram dan resigned dari MAS, akak memang dah lost contact dengan Ghaz Khuzairi tu.”

Iqram Arief memeluk Sarah Yasmin. Cuba menenangkan isterinya yang teresak-esak sedih mengenangkan nasib arwah Marlissa dan Rania Arissa. Sarah Yasmin pernah menceritakan kepadanya tentang itu. Namun dia tidak menjangkakan takdir Allah boleh menemukan semula isterinya dengan Rania Arissa. Sekali gus bakal menemukan Sarah Yasmin dengan Ghaz Khuzairi. Syukur Ya Allah!

Sarah Yasmin memandang ke arah Rania Arissa yang sedang leka melihat ikan peliharaan di tepi kolam tidak jauh dari situ. Nampak sungguh comel dengan tangan kanannya mengelek teddy bear berwarna coklat. Lalu Sarah Yasmin bangun dan menapak ke arah Rania Arissa. Sampai sahaja di situ, terus dia memeluk dan mencium pipi gebu si comel dengan juraian air mata. Demi Tuhan, dia tak sangka akan pertemuan yang tak terduga ini. Terima kasih Ya Allah, kerana memakbulkan doanya selama ini. Rania Arissa agak kaget. Dia hairan wanita itu beria-ia menangis sambil memeluknya.

“Kenapa Auntie Yasmin nangis? Kepala auntie sakit sangat ye?” Polos si comel itu bertanya. Hairan apabila Sarah Yasmin merenungnya sayu. Tangan comelnya sempat menyapu lembut ke kelopak mata Sarah Yasmin. Makin sebak Sarah Yasmin dengan perbuatan Rania Arissa. Lalu dia memeluk Rania Arissa semula. Erat.

“Auntie Yasmin menangis bukan sebab sakit kepala, sayang. Tapi auntie menangis sebab happy dapat jumpa sayang dan dapat peluk sayang auntie yang comel ni. Dah besar sayang auntie ni.” Sebak Sarah Yasmin menuturkan kata-katanya. Dia kembali merenung kasih ke arah wajah suci Rania Arissa. Kasihan!


“Mar… anak kau dah besar dan comel, Mar. Seiras dengan muka kau, Mar. Kalau kau ada, pasti kau bangga  dengan kecomelan anak kau ni. Dan aku bersyukur sangat sebab Ghaz Khuzairi jalankan amanah kau dengan baik, Mar. Alhamdulillah.” Bisik Sarah Yasmin. Seolah-olah dia bercakap
dengan arwah Marlissa.



SUASANA DI bilik yang dikhaskan untuk beribadat itu kelihatan tenang. Hanya kedengaran suara merdu milik Iqram Arief mengalunkan azan maghrib. Solat maghrib berjemaah itu akan diimamkan oleh Datuk Iskandar. Jemaah wanita sudah mengambil tempat masing-masing, begitu juga si manja
yang duduk bersebelahan dengan Datin Aziah. Dah tak boleh berenggang langsung dengan nenek barunya si Rania ni!

Pembantu rumah mereka, Kak Salmah juga turut serta. Setelah selesai menunaikan solat maghrib berjemaah dan membaca Yasin beramai-ramai, Datuk Iskandar mengambil tempat di hadapan sekali iaitu menghadap para jemaah untuk menyampaikan sedikit tazkirahnya. Sudah menjadi rutinnya menyampaikan sedikit tazkirah untuk keluarganya itu sekiranya mereka berkesempatan solat bersama-sama.

“Malam ni papa ingin berkongsi sedikit pada anak-anak papa dan juga pada kamu, Shamzlin tentang Istidraj. Harap kamu semua bukalah hati dan minda bila mendengar tazkirah papa ini. Di sini papa nak jelaskan maksud Istidraj. Istidraj adalah nikmat pemberian Allah kepada manusia yang mana  pemberian itu tidak diredai oleh-Nya. Siapa golongan manusia Istidraj ini? Manusia Istidraj adalah manusia yang lupa daratan iaitu manusia yang beranggapan walaupun mereka ini berbuat maksiat dan mengingkari perintah Allah, tetapi mereka berpendapat bahawa Allah tetap menyayangi mereka.”

“Kadang-kadang kita tertanya-tanya. Mengapa golongan ini walaupun gemar berbuat maksiat dan ingkar dengan perintah Allah, tetapi hidup mereka tetap mewah. Rezeki mereka melimpah-limpah. Ingatlah, pemberian nikmat Allah kepada golongan ini adalah pemberian yang bukan diredai-Nya.
Kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak terhadap golongan ini bertujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu berbuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Hadis ini telah diriwayatkan oleh At- Tabrani, Ahmad & Al- Baihaqi.”

“Papa ingin mengingatkan anak-anak papa… kita hidup ni bukan kekayaan yang kita kejarkan. Jauh sekali untuk hidup susah. Tapi matlamat hidup kita yang sebenarnya adalah mencari keredaan Allah. Nikmat dunia bukan segala-segalanya. Nasihat papa, tak salah kalau kita nak hidup senang. Tetapi jangan terlalu mengejar kesenangan itu sehinggakan kita mengabaikan atau lupa dengan perintah Allah. Jangan jadi hamba dunia sebab di akhirat nanti kita yang rugi. Oleh itu, kita sebagai hambanya hendaklah mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan dengan mentaati segala perintah dan suruhan-Nya. Kita seharusnya menggunakan pemberian Allah itu ke jalan kebaikan dan ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya. Percayalah, bila tujuan hidup kita untuk mencari keredaan Allah, selamatlah kita di dunia dan akhirat.”

Usai Datuk Iskandar mengakhiri tazkirah dan membacakan doa, masing-masing bersalaman. Si comel Rania Arissa menjadi tumpuan dan masing-masing menghadiahkan ciuman ketika bersalaman dengan si comel itu. Izzara terasa lapang dadanya dengan penerimaan mereka terhadap Rania Arissa. Ketika mereka ingin keluar dari bilik itu, sekali lagi si comel bersuara.

“Atuk… boleh ajar Rania mengaji tak? Selalu lepas solat, daddy ajar Rania mengaji. Kalau daddy tak ada, Tok Pa yang ajarkan.” Manja Rania Arissa bersuara. Tampak comel apabila memakai telekung. Tangannya sudah memegang tangan Datuk Iskandar.

“Alahai, pandainya cucu atuk ni. Tapi kat rumah atuk ni tak ada Muqaddam dan buku Iqra, sayang. Tak apa, atuk boleh ajarkan cucu atuk ni baca surah Al-Fatihah, nak?”

“Nak, nak... atuk!” Jawab si comel sambil  mengangguk-anggukkan kepalanya. Bingkas dia duduk bersila di hadapan Datuk Iskandar yang tersenyum melihat keletahnya. Kemudian, Datuk Iskandar bangun dari duduknya untuk ke kabinet yang menempatkan al-Quran dan kitab-kitab serta buku-buku agama miliknya. Setelah itu, dia bersila semula menghadap si comel yang menunggu untuk diajar mengaji. Yang lain pula sudah tersenyum melihat keletah Rania Arissa yang bijak itu.





DI MEJA makan yang boleh memuatkan seramai 20 orang itu meriah dengan pelbagai hidangan yang dimasak sendiri oleh Datin Aziah. Bukan selalu mereka sekeluarga dapat berkumpul begini. Datuk Iskandar telah menetapkan majlis makan keluarga begini diadakan dua kali dalam sebulan. Bertujuan untuk mengeratkan hubungan mereka sekeluarga. Dan sudah pastinya hidangan untuk makan malam istimewa mereka sekeluarga dimasak sendiri oleh Datin Aziah dan Kak Salmah, pembantu rumah mereka hanya membantu apa yang patut.

“Wah… siap masak ikan pari asam pedas ni, ma? Dah lama Zara tak rasa asam pedas mama.” Izzara kecur liur melihat ikan pari asam pedas tersebut. Tak menyabar pulak dia merasa asam pedas kegemarannya itu. Tambahan pula asam pedas dari air tangan mamanya. Datin Aziah hanya tersenyum melihat gelagat anak daranya itu.

“Hmm, Kak Yasmin kamulah yang mengidam nak makan ikan pari masak asam pedas ni. Tu yang mama masakkan.”

“Mama, thanks ya masakan asam pedas ni. Terliur dah Yasmin ni, ma.”

“La, Yasmin tak payahlah nak berterima kasih. Kalau Yasmin nak makan apa-apa, beritahu je kat mama. Nanti mama masak untuk menantu kesayangan mama ni. Untuk bakal cucu mama jugak, kan?” ujar Datin Aziah sambil menyenduk lauk asam pedas itu ke pinggan Sarah Yasmin.

Untunglah dapat ibu mentua yang baik macam gini, kan! Bertuahnya, Sarah Yasmin!

"Hah, Shamzlin. Makanlah lebih sikit. Jangan segan-segan. Ambil je lauk mana yang Sham teringin nak makan. Bukan selalu kamu tu nak merasa masakan auntie ni.” Ramah Datin Aziah menjemput Shamzlin merasa lauk-pauk hasil air tangannya.

“Thanks, auntie. Hmm, tu la dah lama Sham tak rasa masakan auntie yang best ni.” Jawab Shamzlin ala-ala sopan. Sempat memuji masakan Datin Aziah yang sememangnya sedap tu. Dan Datin Aziah menguntum senyum sambil mengangguk perlahan. Membalas ucapan terima kasih Shamzlin yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Cucu atuk ni nak lauk apa, sayang?” soal Datuk Iskandar kepada Rania Arissa yang duduk di sebelahnya itu.

“Rania nak ayam goreng sedap. Boleh tak, atuk? soal si manja sambil tersengih.

“Boleh, sayang. Makan ye, sayang. Nenek masak ayam goreng memang sedap.” Ujar Datuk Iskandar seraya meletakkan seketul paha ayam goreng ke pinggan Rania Arissa. Melihat sahaja peha ayam goreng itu sudah mendarat di pinggan, segera si manja mencapainya. Sempat lagi dia tersengih kepada Datuk Iskandar sebelum menggigit ayam goreng tersebut.

“Pa, hari ni tak busy ke? Nampak papa balik awal dari ofis. Biasa hampir maghrib baru papa sampai rumah.” Tanya Izzara sambil menyuapkan nasi ke mulutnya.

“Hmm,papa ada appointment dengan kawan lama papa petang tadi. Kawan papa yang sama study di Edinburgh dulu. Lepas masing-masing dah berkeluarga, terus lost contact. Yelah, masing-masing sibuk dengan famili dan kerja. Kebetulan pulak hari tu terjumpa balik kat satu majlis launching di Hotel Istana. Tu yang papa set appointment jumpa dengan dia hari ni. Lama juga bersembang. Maklumlah, lama tak jumpa.”

Datuk Iskandar teringat akan sahabatnya itu. Orangnya tetap macam dulu juga. Baik dan low profile
walaupun dia sudah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Tidak pernah berbangga diri dengan pencapaiannya itu. Kadang-kadang dia merasakan dia dan sahabatnya itu serasi kerana sering sependapat. Mungkin kerana itu mereka berdua kekal bersahabat walaupun pernah terputus hubungan.

“Kawan abang yang mana tu, bang? Azie kenal ke?” Sopan Datin Aziah bertanya.

“Alah... sayang kenal. Ghazali Ghaffar tu, sekarang ni dah jadi Datuk Ghazali. Orangnya tetap macam tu jugak, yang. Tak sombong dan low profile je.”

Tiba-tiba Izzara terhenti mengunyah makanan. Teringat kepada Datuk Ghazali, client yang datang ke pejabat bertemu dengannya siang tadi.

“Hmm… takkanlah Datuk Ghazali tu? Lagipun ramai yang nama Ghazali kat Malaysia ni.” Desis Izzara perlahan. Malas nak ambil tahu, Datuk Ghazali mana satu yang dimaksudkan oleh papanya, lalu dia terus menyambung suapannya.

“Nanti abang jemputlah dia datang ke rumah. Azie teringin jugak nak kenal dengan wife dia.” Cadang Datin Aziah kepada suaminya.

“Plannya begitulah. Nanti bila kita sama-sama free, kita jemputlah mereka sekeluarga datang lunch or dinner kat rumah kita ni.” Balas Datuk Iskandar sambil tersenyum kepada isterinya.

“Hah, si Rania ni tidur dengan Zara ke malam ni?”

“Eh, taklah ma. Nanti Ghaz datang jemput Rania ni di rumah sewa Zara. Kenapa, ma?

“Tak ada la... Mama saja tanya.” Balas Datin Aziah.

“Eh, Zara... Suruh jelah Ghaz tu datang jemput Rania kat rumah ni. Boleh Kak Yasmin jumpa dia sekali.” Sampuk Sarah Yasmin yang sedari tadi leka menjamu selera.

“Haah... Betul tu, Zara. Abang Iqram pun teringin nak berkenalan dengan Ghaz Khuzairi tu.” Sampuk Iqram pula.

“Yelah, Zara... Suruh jelah Ghaz Khuzairi tu jemput Rania kat sini. Papa pun teringin nak kenal daddy Rania tu.” Datuk Iskandar turut menyampuk. Bersetuju dengan cadangan menantu dan anak lelakinya itu.

“Yelah, kejap lagi lepas makan Zara call dia. Suruh dia datang jemput Rania kat sini jelah.” Balas Izzara.

“Zara... lupa mama nak tanya. Qaleef tahu ke pasal Rania dan Ghaz Khuzairi ni?” soal Datin Aziah.

“Hmm… yang tu Zara tak beritahu lagi, ma. Zara ingat, tunggu Qaleef balik dari Sheffield dulu. Baru Zara cerita pada dia.”

“Eloklah macam tu. Nanti sayang mama ni jangan lupa cerita pada dia ye. Takut nanti jadi salah faham pulak. Risau kalau dah salah faham, terjejas pulak hubungan kamu berdua.” Bersungguh-sungguh si mama berpesan.

“Zara, explain elok-elok pada Qaleef tu ya. Insya-Allah pasti dia faham dengan situasi Zara. Lagipun Qaleef tu baik dan seorang yang memahami.” Ujar Datuk Iskandar pula.

“Insya-Allah, papa... mama... Nanti Zara beritahu dan cakap elok-elok pada Qaleef.” Balas Izzara.

1 comment: