DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 8



“AKU terima nikahnya Citra Nur Afilya binti Mohammad  dengan mas kahwin RM500 tunai.."
Dengan sekali lafaz, Rasfal selamat menjadi suami kepada Citra yang sah. Dia menarik nafas lega apabila tok kadi mengangguk tanda lafaz ijab dan kabul yang meluncur laju daripada mulutnya itu sah. Sesekali dia menjeling pada Citra yang duduk bersimpuh di atas pelamin. Wajah gadis itu kelihatan sugul malah senyuman yang terukir di bibir seolah-olah terpaksa. Rasfal tahu pasti Citra risaukan keadaan ibunya yang sedang menjalani pembedahan sekarang ini.
Silauan lampu kamera mengejutkan Rasfal. Dia tersenyum manis pada para wartawan yang galak merakamkan gambarnya yang segak berbaju melayu dan bersamping.
"Ras, dah sampai masa kau sarung cincin..." bisik Atif rapat di telinga.
Rasfal mengangguk lalu bangkit melangkah ke arah Citra yang duduk di sisi mamanya.
Citra hanya mampu menundukkan wajah. Sungguh dia malu berhadapan dengan Rasfal saat ini. Renungan suami yang baru menikahinya sebentar tadi benar-benar menusuk kalbu. Dia gementar dalam diam apabila ada suara-suara yang mengusik mereka berdua.
"Citra hulurkan tangan..." arah Datin Rohana sambil berbisik di telinga Citra. Wanita itu tersenyum manis.
Dengan wajah yang merona merah, Citra menghulurkan jarinya pada Rasfal. Saat Rasfal menyentuh jari-jemarinya, Citra dapat rasakan jantungnya berdegup pantas apatah saat mata mereka bertentangan, sepantas kilat Citra menundukkan wajah.
Rasfal tersenyum melihat reaksi Citra. Gadis itu betul-betul pemalu hari ini.
"Saya nak cium dahi awak ni. Jangan terkejut pulak..." bisik Rasfal dengan senyuman nakal tersungging di bibir.
Citra menggelengkan kepala.
"Tak payahlah..." balas Citra turut berbisik.
Rasfal tidak peduli. Dia bangkit lalu mendekatkan wajahnya ke wajah Citra. Citra yang sudah bersedia hanya menundukkan wajah membenarkan Rasfal untuk mengucup dahinya namun sangkaannya meleset, spontan Rasfal mengucup pipinya.
Citra terpana. Kedengaran riuh-rendah suara yang mengusik mereka berdua. Saat itu hanya Allah yang tahu betapa berdebarnya Citra dengan sentuhan Rasfal. Dia menelan air liur beberapa kali.
Setelah selesai menyarung cincin, sesi bergambar pula yang terpaksa Citra harungi. Maklumlah berkahwin dengan artis popular terpaksalah dia mengadap semua ini belum termasuk dengan sesi temuramah dengan stesen televisyen dan surat khabar lagi. Fuhhh, memang memenatkan!
"Ras, peluklah sikit isteri awak tu. Baru nampak romantik. Takkan malu-malu lagi kut,"
Julie, si jurugambar untuk akhbar harian bersuara.
Rasfal dan Citra berpandangan. Citra menggelengkan kepala sedikit sedangkan Rasfal hanya tersenyum nipis. Perlahan-lahan dia menarik lengan Citra supaya merapatinya dan spontan pinggang isterinya dirangkul mesra.
Citra tergamam. Jantungnya kembali berdetak apatah lagi tangan Rasfal masih erat memeluk pinggangnya.
"Bos, tak payahlah mesra-mesra sangat. Seganlah.." bisik Citra.
Rasfal berpaling pada Citra yang berdiri di sisinya. Seketika dia memandang jurugambar yang masih setia merakamkan setiap perbuatan mereka berdua.
"Mana boleh tak mesra, depan wartawan, depan famili, dan depan public, kita pasangan yang hangat bercinta. Saya nak lakonan kita ni berjaya. Ingat kontrak kita..." Rasfal turut berbisik dengan senyuman mekar di bibirnya.
Citra mencebik.
"Buatlah mulut macam tu. Saya cium depan orang ramai ni baru awak tahu.." usik Rasfal.
Citra terkejut. Dengan pantas dia menutup mulut. Kepalanya digelengkan.
"Tak senonohlah bos ni..." marah Citra sambil menjeling.
Rasfal ketawa kecil. Namun, senyumannya mati apabila melihat Atif yang kelihatan tergesa-gesa mendekati mereka berdua.
"Ras, ada berita sedih. Citra, saya harap awak dapat bersabar..." ujar Atif selepas dia dapat menarik Rasfal dan Citra ke tempat yang agak jauh daripada orang ramai.
"Apa maksud kau ni, Atif?" soal Rasfal pelik.
"Berita sedih? Berita apa?" giliran Citra pula yang menyoal. Hatinya mula merasa tidak enak.
"Aku dapat call daripada Qammar tadi, dia cakap dia call Citra tapi tak dapat. Jadi dia call aku. Hospital ada call dia dan dia dimaklumkan ibu awak Citra...ibu awak..." Atif menghentikan bicara apabila melihat riak Citra yang berubah keruh.
"Kenapa dengan ibu saya, encik?" soal Citra tidak sabar. Tanpa sedar dia telah memeluk lengan Rasfal.
Atif menarik nafas panjang kemudian dihembuskan perlahan. Begitu sukar untuk dia menyampaikan berita ini pada Citra kerana pasti gadis itu tidak dapat menerima berita yang ingin disampaikan.
"Citra, awak sabar ya. Ibu awak dah tak ada!" ucap Atif.
Citra terpempan. Kata-kata Atif umpama halilintar buatnya. Namun, Citra hanya ketawa sambil kepalanya digelengkan beberapa kali.
Rasfal memandang isterinya dengan pandangan pelik.
"Encik tipu kan? Ibu saya cuma operate mata dan doktor dah bagi jaminan yang ibu akan selamat. Mana boleh ibu tak ada. Encik ni bergurau pulak dengan saya..." ucap Citra berpura-pura ketawa sedangkan air matanya sudah meleleh di pipi.
Rasfal dan Atif berpandangan lalu Rasfal memeluk bahu Citra, cuba untuk menenangkan gadis itu.
"Citra, soal hidup dan mati macam ni takkanlah Atif nak main-main..." ucap Rasfal lembut.
Citra menggelengkan kepala tidak percaya. Tidak mungkin ibunya meninggal! Tak mungkin sama sekali!
"Tapi ibu dah janji, dia takkan tinggalkan saya!" tekan Citra sambil meraup wajahnya yang basah dengan air mata.
Rasfal mengeluh. Dia juga terkejut dengan berita ini tapi apa kan daya, hidup dan mati itu ketentuan Yang Maha Esa.
"Atif, betul ke apa yang kau cakapkan ni?" soal Rasfal inginkan kepastian.
"Ras, pasal mati ni mana boleh buat main. Kalau kau tak percaya, jom kita pergi hospital." cadang Atif.
Rasfal mengangguk. Citra pun.

MEREKA bertiga mempercepatkan langkah sebaik saja sampai di hospital. Sesekali Citra mengesat air mata yang merembes laju daripada matanya. Dia takut. Dia takut jika apa yang dikatakan oleh Atif tadi adalah kenyataan. Bagaimana dia ingin menghadapi kenyataan jika benar-benar ibunya sudah pergi meninggalkannya?
Dari kejauhan Citra dapat melihat Qammar yang sedang berbual bersama seorang wanita berjubah putih. Dia kenal dengan wanita itu. Itulah Dr.Wani yang bertanggungjawab dalam pembedahan ibunya hari ini. Lalu, Citra berlari-lari anak bagi mendapatkan Doktor Wani dan Qammar.
“Doktor, mana ibu saya?” soal Citra tidak sabar-sabar.
Qammar dan Doktor Wani tersentak. Wajah Qammar berubah mendung manakala Doktor Wani hanya menundukkan wajah. Dia menggigit bibir.
“Kenapa diam ni? Ibu saya selamat kan doktor?” soal Citra lagi sambil memegang lengan Doktor Wani yang diam seribu bahasa.
Qammar menghembuskan nafas perlahan. Dia dan Rasfal saling berpandangan.
“Citra, bawak bersabar. Ibu dah tak ada, Citra…” ucap Qammar.
Citra tergamam. Pandangannya beralih pada wajah Qammar. Lama dia memandang wajah bekas tunangnya itu dengan pandangan yang berbalam. Air mata sudah memenuhi kedua belah matanya itu. Dia tidak percaya malah sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Perlahan-lahan, Citra menggelengkan kepala.
“Tak. Abang tipu kan? Doktor saja nak main-main dengan saya kan? Hari tu doktor dah bagi jaminan ibu saya akan selamat tapi kenapa sekarang abang cakap ibu dah tak ada?” soal Citra dengan suara yang meninggi.
Qammar mengeluh.
“Cik Citra, memang kalau ikutkan pembedahan ini boleh selamat tetapi bukan saya yang menentukan ajal seseorang. Sewaktu melakukan pembedahan, tiba-tiba jantung Puan Cempaka berhenti berdegup. Kami dah cuba sebaik mungkin tetapi ini semua kerja Allah, saya tak mampu untuk mengawalnya. Ibu cik meninggal sebelum sempat pembedahan itu berakhir dan saya klasifikasikan kes ibu cik sebagai mati mengejut.” Terang Doktor Wani dengan lembut.
“Tidakkkk!!! Ibu tak boleh mati!!!” jerit Citra tiba-tiba. Takung air matanya sudah pecah membasahi pipinya.
“Sabar, Citra…” ucap Rasfal lembut sambil memegang belakang isterinya. Sebak juga hatinya melihat keadaan Citra yang tidak tentu arah.
“Ibu tak boleh mati, doktor. Ibu tak boleh tinggalkan saya….” Rengek Citra. Dia jatuh terjelopok di hadapan Doktor Wani dengan tangisan yang kuat.
Qammar turut menitiskan air mata melihat keadaan Citra lalu dia cuba untuk menyentuh bahu Citra tetapi malangnya tangan Rasfal terlebih dahulu menarik tubuh Citra untuk bangun. Qammar pegun seketika.
Rasfal menarik Citra ke dalam pelukannya. Tubuh gadis itu dipeluk erat bagi menenangkan isterinya yang sedang kesedihan.
“Sabar ya, Citra. Walaupun doktor bagi jaminan tetapi doktor bukan Tuhan. Ajal maut itu sudah ditetapkan oleh Allah. Bawak istighfar dan ingat Allah…” bisik Rasfal lembut di telinga Citra.
Citra tidak membalas hanya tangisan yang kedengaran. Ibu sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Bagaimana dia ingin menghadapi semua ini? Jerit batin Citra.
“Saya tak ada sesiapa melainkan ibu saya. Saya tak sempat nak balas jasa dia. Saya tak sempat nak tunaikan permintaan dia untuk tengok saya kahwin. Saya…saya…” Citra tersedu-sedan di bahu Rasfal.
Syhhhhh….jangan cakap macam tu. Dia pergi tidak bermakna hubungan awak dan dia terputus. Awak masih boleh doakan dia agar dia tenang di sana….” Nasihat Rasfal lagi. Dia mengelus lembut belakang badan Citra.
Sesekali dia memandang pada Atif yang masih setia menunggu mereka berdua sebelum pandangannya beralih pada laman wajah Qammar yang keruh. Dia tahu sukar untuk menerima kenyataan bahawa orang yang kita sayang akhirnya pergi mengadap Sang Pencipta, tetapi sebagai manusia kita harus akur dengan hukum alam bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati dan mati itu adalah sesuatu perkara yang pasti akan berlaku sama ada cepat atau lambat tetapi yang nyata kematian itu selalu mengekori kita setiap saat.
“Tapi saya nak ibu. Saya nak ibu…” rengek Citra lagi dengan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
Akhirnya dia menolak tubuh Rasfal lalu berlari masuk ke dalam wad yang menempatkan jasad ibunya. Dia sudah tidak peduli dengan panggilan Rasfal. Dia sudah tidak peduli dengan pandangan orang sekeliling. Apa yang berada di dalam fikirannya adalah Puan Cempaka. Hatinya takkan puas selagi wajah Puan Cempaka tidak kelihatan di matanya.
“Citra!!” laung Rasfal kuat lalu mengejar isterinya dari belakang. Qammar dan Atif mengikuti dari belakang.
“Ibu!” panggil Citra sambil merempuh pintu bilik wad. Langkahnya terhenti apabila melihat sekujur tubuh yang terbaring kaku di atas katil sambil seluruh tubuhnya diselubungi dengan kain putih sehingga menutupi keseluruhan wajahnya.
“Ibu….” Suara Citra bertukar perlahan. Dia duduk di birai katil dengan tangisan yang tertahan-tahan. Kolam air matanya sudah pecah berderai. Hatinya luluh dan lumpuh saat melihat wajah Puan Cempaka disebalik kain putih.
“Ibu, bangun, bu. Citra datang ni. Citra bawak menantu ibu…” ucap Citra sambil menggoncang lengan Puan Cempaka yang kaku.
Namun, tiada jawapan daripada Puan Cempaka. Hanya bibir yang membiru itu saja yang kelihatan mengukir senyuman. Wajahnya kelihatan berseri-seri.
“Ibu tidur kan? Ibu tak mati kan? Citra tahu ibu tidur. Tapi kenapa Abang Qammar dan Doktor cakap ibu dah meninggal? Ibu mana boleh tinggalkan Citra. Ibu sayang Citra kan? Citra pun sayangkan ibu….” Ucap Citra lagi sambil mengesat air matanya yang merembes di pipinya dengan kasar.
“Ibu, bangunlahh…” rengek Citra lagi. Dia menggoncangkan tubuh Puan Cempaka yang kaku.
“Citra, jangan macam ni. Ibu dah tak ada. Sabar ya, sayang…” pujuk Qammar yang duduk berlutut di hadapan Citra. Dia turut menitiskan air mata melihat kepiluan Citra.
Citra menggelengkan kepala. Basah wajahnya dengan air mata tetapi dia tetap tidak dapat menerima yang ibunya sudah pergi buat selama-lamanya.
“Citra tak percaya, abang. Baru semalam ibu bergurau dengan Citra. Ibu nak tengok suami Citra, mana boleh ibu tinggalkan Citra. Citra sayang ibu…” ucap Citra lagi dengan linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
Qammar terdiam. Dia menggigit bibir.
Rasfal yang berdiri di muka pintu hanya mampu memandang Citra dan Qammar. Dalam hati dia turut sebak melihat isterinya yang menangis pilu. Timbul simpatinya pada nasib Citra.
“Pergilah pujuk isteri kau tu. Kesian dia aku tengok. Dia betul-betul perlukan kau saat ini. Kau kena beri semangat pada dia…” ujar Atif sambil menepuk lembut bahu Rasfal.
Rasfal berpaling pada Atif. Dia tersenyum nipis.
“Aku rasa dia lebih memerlukan Qammar daripada aku…” balas Rasfal.
“Tapi kau suami dia. Kau lebih berhak…” ujar Atif membuatkan Rasfal terdiam.
Dia hanya memandang Citra dari jauh. Apabila dia melihat Qammar cuba untuk menyentuh tangan Citra, dengan pantas Rasfal melangkah menghampiri Citra dan Qammar.
“Qammar, tolong tinggalkan I dengan Citra sekejap…” pinta Rasfal membuatkan Qammar berpaling ke arahnya.
“Tapi saya nak temankan Citra…” bantah Qammar.
Rasfal mengetap bibir.
“Ya I tahu you nak temankan dia. Tapi dia isteri I..” ucap Rasfal tegas.
Qammar terdiam. Akhirnya dia menurut. Dia meninggalkan Rasfal dan Citra berdua bersama-sama dengan jasad Puan Cempaka.
Rasfal menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Dia merenung wajah Citra yang masih basah dengan air mata sebelum matanya dialihkan pada wajah Puan Cempaka yang kaku tidak bernyawa. Perlahan-lahan, dia menarik kain lalu menutup wajah Puan Cempaka.
“Jangan tutup! Jangan tutup muka ibu!” marah Citra sambil menarik tangan Rasfal daripada memegang kain.
Rasfal menarik tangan Citra. Kedua tangan itu digenggam kemas. Wajah itu ditarik agar menghadapnya.
“Ibu dah tak ada, Citra! Cuba sedar sikit. Jangan jadi macam budak-budak! Cuba awak tengok. Ibu dah tak bernyawa. Ibu dah meninggal!” ujar Rasfal dengan suara yang meninggi.
Bukan niatnya untuk berkasar dengan Citra tetapi dia perlu menyedarkan Citra tentang kematian Puan Cempaka.
“Tak! Ibu tak meninggal! Ibu tengah tidur tu!” Citra melawan.
Rasfal menarik nafas panjang. Dia memegang kedua belah pipi Citra dengan tapak tangannya.
“Jangan jadi bodoh, Citra. Kalau menangis air mata darah sekali pun, ibu takkan hidup semula. Dia milik Allah, bila-bila masa dia akan kembali pada Allah. Ingat sikit. Ibu awak milik Allah, bukan milik awak!” sergah Rasfal.
Citra terkejut. Dia terdiam. Kata-kata Rasfal menusuk ke hatinya. Jadi betullah ibu meninggal? Hatinya menyoal. Akhirnya dia menangis dan terus menangis.
Rasfal kebingungan. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk memujuk Citra namun akhirnya dia menarik Citra ke dalam pelukan.
“Kalau nak menangis, menangis jelah. Saya faham perasaan awak. Tapi awak kena ingat, awak menangis dan meratap macam ni, ibu awak akan sakit. Awak nak ibu awak sakit disebabkan awak?” soal Rasfal lembut.
Pantas, Citra menggelengkan kepala.
“Kalau macam tu, kita kena percepatkan urusan pengebumian ibu awak. Kalau awak sayangkan dia, awak relakan dia pergi. Dia pergi bukan ke mana-mana tapi dia pergi berjumpa dengan Pencipta kita. Percayalah, Allah akan menjaga ibu awak lebih baik daripada awak menjaga ibu awak…” pujuk Rasfal lagi.
Citra tidak membalas. Dia hanya menganggukkan kepala. Kata-kata Rasfal membuatkan hatinya sedikit terubat tetapi kesedihannya tetap tidak akan hilang. Ibu pergi buat selama-lamanya meninggalkannya seorang di atas muka bumi ini. Bagaimana dia ingin menghadapi semua ini? Akhirnya, Citra memperkemaskan pelukannya. Rasa tenang berada dalam pelukan suaminya.

No comments:

Post a Comment