DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 4

ASSALAMUALAIKUM Abang Irfan. Amboi! Mentang-mentanglah duduk lama kat US tu, nak bagi salam pun dan tak reti ke cik abang?” Izzara membalas sapaan si pemanggil dengan nada menyindir. Setelah mendengar sapaan si pemanggil nombor yang tak dikenali itu tadi, hatinya menjadi lega. Dia sangat cam pemilik suara garau itu. 

“Waalaikumussalam. Aikk? Ni yang payah kalau dapat adik yang bijak sangat. Baru je nak mengurat, tapi dah terkantoi pulak.” Balas lelaki bersuara garau itu. “Abang Irfan… ini bukan pasal bijak ke tak. Tapi ni soal kita ni lahir dari rahim yang sama. Darah yang mengalir kat tubuh kita pun sama. Surelah Zara boleh kenal suara abang yang macho ni. Dengan Zara tak payah nak berlakon sangatlah.” 

“Ya ke kita lahir dari rahim yang sama ni? Ingatkan Zara anak angkat papa dan mama selama ni. Sebab muka kita tak macam adik-beradik pun.” Irfan sengaja mengusik adiknya.

“Abang Irfan! Kalau mama tahu yang Abang Irfan cakap Zara ni anak angkat, menangis seminggu orang tua tu nanti. Teruk betul Abang Irfan ni!” Izzara menjerit geram mendengarkan usikan abangnya. 

Mahu tak sentap bila abang kandung sendiri kata dia anak angkat. Sudahlah antara diaorang tiga beradik, cuma dia seorang saja perempuan. Bongsu pulak tu. Entah-entah memang betul dia tu anak angkat. Hesy, mengarutlah! Memang merepek betul abang dia yang seorang ni. Sampaikan Izzara sendiri termerepek sama dan fikir yang bukan-bukan!

“Uikss! Garangnya adik abang ni. Tak jadilah nak balik Malaysia kalau macam ni. Tak pasal-pasal nanti kena lempang laju-laju dengan cik garang ni... hehehe.”

“Memang pun! Kalau orang tu ada kat depan mata Zara sekarang ni, memang nak lempang laju-laju muka dia. Biar terus bisu. Tak adalah orang tu nak merapu je lepas ni. Kasi pengajaran sikit kat dia.” 

“Amboi! Dahlah garang, zalim pulak tu. Siap nak tampar orang sampai jadi bisu. Zalim betul! Anyway... how are you, beautiful?”

“Hmm, ingat dah lupa nak tanya khabar Zara. Yelah, asyik sibuk nak merepek je, kan. Alhamdulillah, Zara sihat. How about you, handsome?

“Alhamdulillah, abang pun sihat. Dah kat ofis ke ni?” 

“Zara baru nak gerak jumpa client ni. Eh, pasal apa guna nombor lain ni? Nombor baru ke?” soal Izzara hairan.

“Ni nombor yang satu lagi. Memang jarang guna pun. Guna masa nak mengurat awek je... hehehe.” 

“Ada-ada je la Abang Irfan ni. Auta je lebih. Tapi sampai sekarang tak ada girlfriend. Muka je handsome. Tapi tak juga laku. Kasihan...” sela Izzara sambil tergelak kecil mengusik
abangnya. 

“Ewah! Mentang-mentang dah ada si Qaleef yang handsome tu, sedap je mengata abang ni tak laku ye? Ini bukan soal tak laku, tapi abang tak jumpa lagi yang berkenan di hati.”  Sanggah Irfan Arief. Geram pula dengan usikan adiknya. Berani kata dia yang kacak persis hero filem ni tak laku!

“Ceh! Banyaklah tak jumpa lagi. Hakikatnya memilih sangat! By the way, ada apa-apa ke nak nak beritahu Zara ni? Tetiba je call. Eh, tadi Abang Irfan ada cakap nak balik Malaysia,
betul ke? Bila?” tanya Izzara bertalu-talu dengan nada teruja. 

“Sebab itulah abang call Zara ni. Nak beritahu abang balik Isnin ni. Nak mintak tolong Zara ambil kat KLIA nanti. I’m coming back for good, dear!” 

Irfan sudah membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia dan terus menetap di sini setelah bertahun-tahun dia tinggal di bumi asing bagi menuntut ilmu dan mengumpul pengalaman. Kini, sudah tiba masanya dia membantu papanya untuk menguruskan syarikat milik keluarga mereka. 

“For good? Really? Wah! Kalau mama dan papa tahu, pasti diaorang suka. Tak apa... Abang Irfan punya pasal, Zara ambil cutilah Isnin nanti.” Izzara sungguh teruja. Ini bermakna abangnya itu akan bekerja dengan papanya. 

“Hah… pasal mama dan papa tu, Zara jangan beritahu pada diaorang tau. Abang Irfan nak surprisekan diaorang dulu, terutamanya papa. Abang dah buat keputusan nak kerja dengan
papa lepas ni.” 

“Okey... Nanti kita surprisekan diaorang sama-sama ye. Anyway, I’ve got to go. Ada appointment dengan client kejap lagi. Nanti kita jumpa kat KLIA ye, handsome!”

“Okey, beautiful. Apa-apa hal nanti Abang Irfan beritahu ye. Take care and drive safely.”

Setelah menamatkan perbualan, Izzara memandu kereta Honda Citynya ke destinasi yang dituju. Teruja hatinya apabila mendapat berita gembira daripada abangnya. Pasti mama dan papa juga gembira.

GHAZ KHUZAIRI merenung wajah bersih milik Rania Arissa. Nampak nyenyak si manja itu tidur sambil memeluk teddy bear kesayangannya. Tenang, persis Snow White saja. Tak sampai pula hatinya mengganggu tidur si comel itu. 

Bagaimanapun dia perlu mengejutkan Rania Arissa untuk menunaikan solat subuh. Dia harus melatih anaknya sedari awal lagi agar si comel terbiasa bangun untuk mengerjakan perintah Allah yang wajib itu. Dia tidak mahu Rania Arissa culas untuk bangun mengerjakan solat subuh kemudian hari nanti.

“Hey, my little girl… bangun sayang. Kita solat subuh sama-sama ye.” Lembut suara Ghaz Khuzairi mengejutkan Rania Arissa sambil menarik perlahan ibu jari kaki anaknya. 

Sempat lagi dia mencium penuh kasih pipi gebu si manja. Badan Rania Arissa bergerak sedikit. Tanda respons tidurnya terganggu. Dia menggonyoh-gonyoh mata bundarnya.  

“Daddy… Rania nak jumpa mommy. Rania rindu mommy.” Suaranya serak merengek manja. Ghaz Khuzairi menghela nafas. Semenjak pertemuan Rania Arissa dengan ‘mommynya’ semalam, pantang saja celik mata, pasti perkataan ‘mommy’ itu keluar dari mulut si kecil itu. Haih, jenuh dah dia mengayat budak kecil ni. Seolah-olah alasan yang diberikan dah basi bagi anaknya itu. 

“Rania nak jumpa mommy?” 

“Naklah, daddy!” Bingkas Rania Arissa bangun. Teruja.

“Kalau Rania nak jumpa mommy, jom bangun mandi. Lepas tu kita solat subuh sama-sama. Nanti masa solat, Rania doa pada Allah supaya mommy datang jumpa Rania, okey?”

“Okay daddy. Rania nak pergi mandi sekarang. Lepas tu nak solat. Nanti masa solat, Rania nak doa banyak-banyak. Mesti mommy datang jumpa Rania lagi, kan daddy?” Si manja  tersenyum girang lalu dia segera bangun dan turun dari katil seraya melangkah ke bilik air.
Ghaz Khuzairi meraup wajahnya perlahan. Perasaan bersalah bersarang di hatinya. Mampukah dia memenuhi impian Rania Arissa yang terlalu mengharapkan agar dapat bertemu kembali dengan Izzara? Sehari dua ini hidupnya agak terbeban dengan kehadiran ‘mommy’ Rania Arissa itu. Hatinya tak tenang apabila terlalu memikirkan bagaimana harus dia keluar dari kemelut ini apabila si anak sering bertanya tentang mommynya.

Tiba-tiba dia teringat akan peristiwa malam tadi ketika dia menidurkan Rania Arissa. Seperti rutinnya, sebelum Rania Arissa tidur, dia menyuruh si comel itu membaca doa sebelum tidur. Saat anaknya hampir terlelap, dia akan membisikkan bacaan surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, surah Insyirah dan surah Toha ke telinga si anak dan kemudiannya dihembuskan ke ubun-ubun anaknya sambil meniatkan agar Rania Arissa menjadi anak yang solehah dan berjaya dunia akhirat nanti. Itulah harapannya. Usai itu, dia membetulkan selimut anaknya dan ketika merenung pada wajah tenang comel itu, tiba-tiba mulut mungil Rania Arissa terkumat-kamit menyebut mommy berulang-ulang kali. Ya Tuhan, sampaikan mengigau si manja itu. Sungguh! Dia kasihan akan anaknya itu. Dia mengerti Rania Arissa merindui mommynya. Tapi bagaimanakah harus dia pertemukan semula Rania Arissa dan Izzara? Atas alasan apa yang perlu dia berikan kepada Izzara?

PINTU KERETA bahagian penumpang dibuka. Kelihatan si comel bermata hazel itu sudah bersedia dengan beg Barbie di belakangnya. Menunggu untuk didukung si daddy. Ghaz Khuzairi mencapai Rania Arissa lalu didukungnya. Kemudian, Ghaz Khuzairi melangkah masuk ke perkarangan tadika Smart Kids Islamic Preschool dan menghala ke kelas Saidatina Aisyah iaitu kelas untuk kanak-kanak yang berusia tiga dan empat tahun.

Di pintu masuk kelas Saidatina Aisyah itu, kelihatan Amanda iaitu kawan baik Rania Arissa berdiri di situ sambil melambai-lambai mesra tangannya ke arah Rania Arissa. 

Serentak itu, Amanda terus mencapai kasutnya yang tersusun di rak kasut lalu dipakainya. Kemudian dia berlari-lari anak ke arah Rania Arissa dan Ghaz Khuzairi. 

“Rania, Rania... dari tadi kita tunggu Rania. Kita ingat Rania tak datang.” Sapa Amanda mesra sambil tersenyum lebar. Sukalah tu ada geng!

“Sorry, Amanda. Rania lambat la hari ni.” Balas Rania Arissa yang masih didukung daddynya. Tangannya merangkul manja leher Ghaz Khuzairi. Dan Ghaz Khuzairi sempat 
merenung kasih pada wajah anaknya lalu dia menurunkan Rania Arissa dari dukungan.

“Hmm, mahu tak lambat. Siap berdrama slot samarinda kat rumah tadi.” Bisik Ghaz Khuzairi. Anaknya itu berdrama packing baju segala. Macam nak lari dari rumah pun ada. Mahu tak sentap apabila melihatnya! 

“Assalamualaikum… Uncle Ghaz. How are you, uncle?” sapa Amanda mesra sambil matanya menghala ke arah Ghaz Khuzairi.

“Waalaikumussalam, sweetie! I’m fine, dear. Siapa hantar Amanda tadi? Papa ke?” tanya Ghaz Khuzairi sambil menyimpul senyum. Lembut dia bersuara membalas sapaan kawan baik anaknya itu. 

“Mama yang hantar kita. Papa outstation.” Balas Amanda sambil tersenyum comel. Dia sudah berdiri di sebelah Rania Arissa. Tangannya sudah menggenggam erat tangan kawan baiknya itu. Memang mesra alam si Amanda ni, kan? Mata Ghaz Khuzairi menghala ke arah kaki Amanda. Dahinya berkerut. Patutlah nampak pelik saja. Rupanya si Amanda ni pakai kasut terbalik! 

“Oh cute, muka... comel dah. Tapi pasal apa pakai kasut terbalik, sayang? Cuba Amanda tengok kaki Amanda tu. Betul tak cara pakai kasut tu, sayang?” Lembut Ghaz Khuzairi menegur Amanda. Dah macam kartun pun ada kaki si comel tu. 

“Eh? Yelah, kita pakai kasut terbalik… hehehe.”  Amanda sudah tersengih. Tersengih nak cover malulah tu! 

“Come, sayang. Uncle betulkan kasut Amanda tu.” Ghaz Khuzairi mara ke arah Amanda lalu bertinggung di hadapan si comel itu. Lalu tangannya membetulkan semula kasut Poney
berona merah jambu itu. 

“Daddy… Amanda tu memang suka pakai kasut terbaliklah. Rania dah ajar dia. Tapi salah jugak.” Adu Rania Arissa. Eceh! Mengata orang… awak dulu pun sama jugak, cik kak oii!

“Tak apa. Dia tak pandai lagi tu nak pakai kasut dengan betul. Nanti Rania tolong ajarkan Amanda ye.” Balas Ghaz Khuzairi yang baru selesai membetulkan kasut Amanda itu lalu bangun dan memandang kedua-dua wajah comel itu sambil tersenyum.

“Thank you, Uncle Ghaz.” Ucap Amanda malu-malu. Tersengih hingga menampakkan barisan gigi susunya. 

“You’re welcome, sweetie. Hmm, Rania pergi bawa Amanda masuk kelas, sayang. Dah lambat ni. Balik nanti daddy jemput Rania lambat sikit ye sebab daddy ada hal.”

“Uncle Ghaz, nak salam.” Belum sempat Rania menjawab, si comel sorang ni terlebih dahulu menyampuk sambil menghulurkan tangan mulusnya kepada Ghaz Khuzairi.

Ghaz Khuzairi menyambut huluran salam daripada Amanda sambil tangannya sebelah lagi menggosok lembut kepala si comel yang ramah itu.

“Daddy, nanti jangan lupa cari mommy ya.” Pinta Rania Arissa penuh mengharap sambil memeluk dan mencium pipi Ghaz Khuzairi.

“Insya-Allah, sayang. Belajar elok-elok ya. Jangan gaduh dengan kawan. Be good, dear.” Ghaz Khuzairi membalas pelukan dan mencium pipi si anak penuh kasih. 

Kemudian, kedua-dua si comel itu melangkah masuk ke dalam kelas Saidatina Aisyah. Dan Ghaz Khuzairi melangkah ke kereta Mazda CX-9 miliknya. Dia menghidupkan enjin keretanya dan dia sudah membuat keputusan untuk mencari Izzara. Peristiwa di rumah pagi tadi membuat dia nekad. Dan Mazda CX-9 itu meluncur laju menghala ke Bandar Sunway. Sambil memandu, Ghaz Khuzairi terkenangkan drama Rania Arissa pagi tadi. 

GHAZ KHUZAIRI hairan, apalah yang anak daranya buat dalam bilik lama sangat. Dari tadi tak siap-siap. Dia bingkas bangun dari sofa dan menuju ke bilik si cilik itu. Alangkah terkejutnya Ghaz Khuzairi apabila melihat Rania Arissa sedang memasukkan beberapa helai bajunya ke dalam beg pakaian. Dan paling menghairankan apabila melihat si comel itu sungguh bergaya dengan smocked dress berwarna merah yang dibelinya semalam. Bukankah baju tersebut Rania Arissa nak pakai untuk bertemu dengan Izzara? Apa sudah jadi dengan si manjanya ini? Dia duduk di birai katil sambil memerhati si anak yang
leka mengemas bajunya. Macam nak lari dari rumah pun ada.

“Hey cute... Nak pergi mana ni? Kenapa pakai dress tu? Kan kita nak ke tadika kejap lagi? Mana uniform yang daddy suruh pakai tadi?” soal si daddy dengan riak hairannya. 

“No. I don’t want go to kindergarten today, daddy. Rania nak jumpa mommy. Rania nak duduk dengan mommy. Boleh tak daddy?” Balas si petah bernada sayu. Harap si daddy faham dengan kehendaknya itu. Ya Allah, nak gugur jantung Ghaz Khuzairi mendengarkan kata-kata Rania Arissa. Apa dah jadi dengan anaknya ini? Ghaz Khuzairi terus meluru ke arah Rania Arissa lalu memeluknya. Tiba-tiba hatinya menjadi pilu dan serasa ingin pecah dadanya apabila melihat air muka si comel yang sayu dan penuh mengharap itu. Dan tak semena-mena Rania Arissa merengek-rengek lalu membalas pelukan Ghaz Khuzairi.

Bergenang air mata si daddy apabila mendengar tangisan itu. Dan dia memahami perasaan si anak yang terlalu merindui mommynya. Makin berkepuk-kepuk rasa bersalah di hati Ghaz Khuzairi. Dan dia telah nekad untuk mencari Izzara demi sebuah kegembiraan untuk anaknya. Sungguh! Dia tidak sanggup berhadapan dengan situasi sebegini dan dia tidak sanggup menabur bermacam alasan lagi kepada Rania Arissa. Dia sudah nekad! 

“Maafkan daddy, sayang.” Bisik Ghaz Khuzairi lembut ke telinga anaknya. 

IZZARA MELANGKAH masuk ke Institutional Sales Department atau lebih dikenali sebagai dealing room. Setelah selesai berurusan dengan clientnya tadi, dia terus balik ke pejabat untuk menguruskan semua dokumen clientnya itu. Namun dia agak hairan, di dalam dealing room cuma ada Faris dan Damia saja. Mana perginya yang lain? Izzara tertanya-tanya dalam hati.

“Hmm… patutlah ramai tak ada. Dah lunch hour rupanya.” Izzara melihat jam tangan Tissot miliknya yang sudah menunjukkan pukul 12:45 tengah hari. Dia melangkah ke arah meja kerjanya. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi empuk lalu menyandar seraya menutup matanya seketika. 

“Ahhh… leganya.” Bisik Izzara perlahan. Perjalanan dari Damansara ke Bandar Sunway amat memenatkan. Lebih-lebih lagi pada waktu kemuncak begini. Jalan raya begitu sesak sekali. Izzara membuka semula matanya. Kemudian dia mencapai iPad miliknya untuk memeriksa e-mel. Ketika matanya leka memeriksa e-mel tersebut, tiba-tiba dia terpandang e-mel yang dihantar oleh Qaleef. Segera dia membuka e-mel daripada sang kekasih hatinya itu. 

Dia tersenyum lebar apabila melihat tajuk e-mel daripada Qaleef itu, ‘Special For YouMy Love_ Hey There Izzara’. Kemudian dia membuka file attachment yang terkandung dalam e-mel tersebut. Makin kembang semangkuklah hati Izzara melihat video Qaleef sedang menyanyikan lagu ‘Hey There Delilah’ daripada kumpulan The Plain White T’s sambil
memetik gitar. Patutlah tajuk e-mel yang hantar oleh Qaleef tadi ‘Hey There Izzara’. Rupa-rupanya ketika mendendangkan lagu itu, Qaleef menggantikan nama Delilah kepada nama kekasih hatinya, Izzara. Ouch! Romantik sungguh boyfriend si Izzara ni.

Hampir menitiskan air matanya mendengarkan bait-bait lagu yang dinyanyikan Qaleef. Sungguh! Izzara rasa terharu dan semakin sayang pada sang kekasih hatinya itu. Qaleef benar-benar membuatnya rasa sangat istimewa sepertimana dia menempatkan Qaleef begitu istimewa di hatinya. Qaleeflah cinta pertamanya.

Izzara sememangnya meminati lelaki yang pandai bermain gitar. Baginya seorang lelaki yang pandai bermain gitar itu sangat seksi. Dan ketika melihat sang kekasih bermain gitar di dalam video itu, benar-benar membuatnya tergoda! Dan gitar jugalah yang menjadi punca perkenalan mereka. Izzara tiba-tiba tersenyum bahagia mengenangkan peristiwa itu. 

Setelah selesai mendendangkan lagu buat sang kekasih, Qaleef sempat berkata sesuatu kepada Izzara. 

“Hey there, Izzara! How was my performance? You suka tak? Anyway, you jangan menangis okey sebab I tau you pasti menangis sebab you kan cengeng macam baby... hehehe. I love you and I miss you so much! You tunggu I balik ye, sayang. Take care and Assalamualaikum.” 

“Rindu kamu sangat!” Bisik Izzara perlahan. Dia menutup e-mel tersebut walaupun belum puas menonton video daripada sang kekasih hati yang sangat dirindunya itu. Dah namanya Izzara, pasti lepas ni akan diulang tayang lagi video itu. Haih, payah kalau orang dah kemaruk bercinta ni, kan? “Hei, Zara… You dah kenapa tersengih sorang-sorang ni?” Tegur Damia. Hairan melihat Izzara tersengih. 

“Hesy, you ni buat terkejut I jelah. I geli hati tengok video lucu ni.” Nafi Izzara cuba menutup malunya. Gila dia nak beritahu Damia yang dia sedang angau tatkala melihat si kekasih hati menyanyi sambil memetik gitar. Mana boleh! Ini rahsia dia dan Qaleef je okey... 

“Eh,you tengok video apa, Zara? Macam best je. I nak tengok jugak, boleh?”

“Alah, video yang lelaki nyanyi lagu Shae penyanyi Indonesia tu. You cubalah cari kat Youtube. Kelakar tau!” Selamba Izzara mengauta si Damia.

Tiba-tiba telefon di meja Izzara berdering. Izzara sempat mengerling ke jam tangannya. Sudah pukul 1:30 tengah hari. Lantas dia menjawab panggilan tersebut.

“Zara, ada client nak jumpa you kat depan ni.” Fifi, receptionist Execellent Investment Berhad memaklumkan kepada Izzara.

“Siapa ye? Dia beritahu nama dia tak?” tanya Izzara pula.

“Oh, tak ada pulak. Tapi dia cakap dia client Zara.” 

“Okay, then. Kejap lagi I datang. Suruh dia duduk dulu ya. Thanks, Fifi.” Setelah meletakkan gagang telefon, Izzara bergegas keluar dengan membawa planner bersamanya. 

“Siapa pulak nak jumpa aku ni ye?” soal Izzara sendiri sambil mengatur langkahnya.

Sampai sahaja di kaunter reception, Fifi menunjuk ke arah seorang lelaki yang tengah duduk membelakangi mereka berdua. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Fifi, Izzara
mengatur langkah ke arah lelaki tersebut.

“Assalamualaikum, encik.” Lembut Izzara memberi salam kepada lelaki yang pada firasatnya seorang lelaki Melayu. “Waalaikumussalam.” Jawab lelaki itu lantas memalingkan wajahnya. Izzara tergamam seketika.

No comments:

Post a Comment