DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 21 January 2015

Dekat Padamu - Bab 4

HAMPIR pukul 10.00 pagi, tetapi satu apa pun masih tidak bersentuh. Hanya pensel di tangan berpusing-pusing menyilang jarinya yang tegap. Matanya merenung cuaca yang kelihatan begitu cerah dan nampak tenang-tenang sekali. Teringat perbualan dengan ibu bapanya malam tadi.

“Ashila macam mana? Sesekali bawalah dia makan tengah hari atau makan malam dengan kita.” Soal Puan Kamisah sekaligus membuat cadangan untuk Raiyan. Rasa tercekik nasi yang baru hendak ditelannya.

Mengapa Puan Kamisah membangkitkan tentang Ashila? Dia langsung tidak mengenali gadis itu. Sama ada dia, mahu pun Ashila, masing-masing tidak pernah menghubungi  antara satu sama lain. Haruskah dia yang memulakan dahulu? Atau menanti gadis itu menghubunginya? Aduh, segannya kalaulah dia terpaksa memulakan semua itu.

“Seganlah ibu.” Itu sahaja yang mampu diungkapkan kepada Puan Kamisah. Encik Rusyaidi ketawa mendengar alasan Raiyan. Memang anaknya itu seorang pemalu, terutama sekali
dengan perempuan. Mungkin disebabkan sifat pemalu itu Raiyan tidak mempunyai teman wanita. Bertunang pun atas pilihan dia dan isterinya.

“Sampai bila nak segan. Ashila dah jadi tunang Raiyan. Berkenalanlah dengan dia dalam masa bertunang ni,” gesa Puan Kamisah.

Raiyan senyap, dia meneruskan makannya. Malas hendak memanjangkan topik yang membuat punggungnya terasa panas.

“Alah, mula-mula memanglah segan. Dah jadi suami besok takkan nak segan,” usik Encik Rusyaidi lalu ketawa lagi. Puan Kamisah menggeleng-geleng mendengar usikan suaminya, sambil memandang Raiyan yang masih tunduk menjamah nasinya.

“Telefonlah Ashila. Ajak makan malam dengan kita, ya.” Puan Kamisah seperti memujuk anak itu sambil memegang lengan Raiyan. Ini yang paling berat sekali, hendak menelefon
perempuan. Aduhai... nak cakap apa? Helo, boleh saya bercakap dengan Ashila. Eh, dah telefon bimbit dia punya, tentulah Ashila yang akan menjawabnya! Masakan orang lain
yang akan menjawab untuk gadis itu, gumamnya sendiri. Memandang telefon bimbitnya itu dan mula mencari nombor tunangnya. Ya Allah, beratnya lidah ni nak bercakap, desisnya lagi.

“Raiyan!”

Terkejut Raiyan hampir sahaja terlepas telefon bimbitnya dari tangan. Dipandangnya Faiz yang sudah melangkah menuju ke arahnya. 

“Esok bagi salam boleh tak. Terkejut aku,” marahnya sambil terus mencari-cari nombor telefon Ashila.

“Pukul berapa kita nak jumpa pihak Ikhlas ni?” soal Faiz seolah-olah tidak sabar.

“Pukul 11.30. Kita pergi dalam pukul 11.15. Bukan jauh sangat dari sini, kan?” soal Raiyan tanpa memandang Faiz. Ligat tangannya menekan punat di dada telefon bimbitnya.
 
“Tak jauh pun? KL babe, KL,” tekan Faiz sambil meraup rambutnya. “Kita pergi awal sikit, aku tak mahu lambat. Aku bawak kereta,” cadang Faiz. Dia tidak suka temu janji yang telah ditetapkan akan tergelincir dari waktunya disebabkan kesesakan yang tidak menentu. Raiyan memandang Faiz. 

“Aku tak kisah. Lagi bagus. Aku kalau mampulah, nak juga merasa ada driver.” Raiyan mula memasang angan-angannya.

“Dah memang kau mampu pun. Pasanglah satu. Taklah penat ke sana ke mari,” cebik Faiz. Raiyan juga kerap ke luar Kuala Lumpur. Terdapat beberapa projek di bawah kendalian Rayway Property yang berada di luar kawasan Kuala Lumpur.

“Tunggulah, aku naik pangkat jadi Senior Manager,” Raiyan ketawa dengan kata-katanya sendiri. Sepi seketika. Raiyan masih berkira-kira hendak menelefon Ashila. Patutkah atau tidak? soalnya sendiri. Aduhai, malunya. Nak cakap apa? Soalan itu sudah berpuluh-puluh
kali berulang di mindanya.

“Eh, Raiyan! Kau rapat dengan Is kan?” soal Faiz sambil merapatkan kerusinya sedikit biarpun jauh dari Raiyan dengan dihalangi oleh meja. Mata Raiyan menatap sebujur wajah Faiz yang seperti harimau hendak menerkamnya. Raiyan membetulkan duduknya yang sedikit tidak selesa. Mamat ni mesti nak bergosip, Raiyan meneka.

“Is mana pulak ni?” soal Raiyan walaupun dia sudah dapat menangkap siapa yang dimaksudkan oleh Faiz. 

“Alah... siapa lagi Iskandar Aisylah,” keras sedikit suara Faiz apabila terpaksa menyebut nama lelaki itu yang sedikit berbelit di hujungnya.

“Hmm... kenapa?” soal Raiyan ingin tahu. Telefon bimbit yang dipegang diletakkan semula di atas meja bersebelahan papan kekunci. Tunggulah dulu, bisiknya sebagai alasan penyelamat untuk tidak menelefon Ashila.

Faiz tersenyum malu. “Begini. Aku berkenan sangat dengan si Ika tu...” Faiz menyatakan hasratnya. Dia memang berkenan sungguh dengan gadis itu tetapi entah mengapa dia berasa bimbang. Shafiqa dan Iskandar seperti tidak boleh berenggang, sentiasa berdua.

“Habis, si Laila tu kau nak letak ke mana?” 

Menyirap darah Raiyan mendengar kata-kata Faiz sebentar tadi. Terasa berbahang tubuhnya dengan tiba-tiba. Tetapi mengapa? Faiz ketawa. 

“Orang kata berkawan biar beribu-ribu. Berkasih biar satu.”

“Kan kau dah lama berkasih dengan Laila? Tak kan dengan Ika pun nak berkasih juga?” dasar hidung belang, kutuk Raiyan geram. 

Faiz tersenyum lebar. “Biarlah pilihan tu banyak, sikit.”

“Kepala otak kau!” Bengang pula dia dengan sikap Faiz. Nampak sangat lelaki itu seperti seorang lelaki tidak bertanggungjawab. Sekali lagi Faiz ketawa menerima kata-kata Raiyan
tadi. 

“Tolonglah Raiyan,” rayu Faiz bersungguh-sungguh.

“Tak nak aku jadi orang perantaraan. Kau dah gatal sangat, tanyalah si Ika tu sendiri.” Entah mengapa darahnya berasa begitu panas sekali.

“Tolonglah Raiyan, sekali ni aje,” rayu Faiz sekali lagi.

“Hisy! Tak kesian ke kau dengan Laila? Lama dia menunggu kau, tau.” Kesal dia dengan sikap Faiz yang seolah-olah mahu mempermainkan hati seorang perempuan yang setia menunggunya.

“Alah, nak kenal-kenal aje. Bukan nak serius pun.” Faiz masih mengharap bantuan daripada si teman. 

“Tengok! Kenal, lepas tu bukan nak serius. Itu main-mainlah namanya. Tak baik main-mainkan perasaan orang Faiz.” 

Faiz senyum. “Please, Raiyan.” Untuk kesekian kalinya dia merayu kepada Raiyan. Raiyan bangun sambil mengemas dokumen yang perlu dibawa ke pejabat Ikhlas.

“Sorry. Kalau nak, buat sendiri. Aku tak bukak match making agency ya,” tingkah Raiyan.

Dia tidak mahu Faiz meneruskan rancangannya. Geram apabila mendengar pengakuan Faiz itu sebentar tadi. Tidakkah Faiz berasa bersalah mempermainkan perasaan seorang wanita, hatinya terus bergolak sendiri. 

“Dah, bangun! Dah pukul 11.05 minit ni haa... kang lambat kau marah aku pulak.” Raiyan segera melangkah meninggalkan Faiz yang termangu di atas kerusi. 



USAI bersolat maghrib, dia turun ke tingkat bawah untuk bersama keluarganya makan malam. Razin, tidak  kelihatan.

Malam minggu pasti keluar bersama teman-temannya ataupun dengan salah seorang teman wanitanya. 

“Siapa datang tadi?” soal Raiyan ingin tahu apabila melihat cawan-cawan yang telah  digunakan di dalam singki dapur.

“Bakal mertua kaulah.” Encik Rusyaidi menjeling dengan senyuman kemudian menyuap nasi dan lauk ke dalam mulutnya.

Rasa tercekik nasi yang baru hendak melalui rengkungnya. Bulat matanya memandang kedua orang tuanya. Encik Rusyaidi meneruskan suapannya. Puan Kamisah pula tersenyum lebar.

“Kenapa?” perlahan suara Raiyan.

“Nak bincang pasal majlis perkahwinan koranglah. Nak buat di mana? Nak bersanding atau tidak,” jelas Puan Kamisah lembut.

“Perlu ke?” soal Raiyan.

“Perlu apa?” soal Puan Kamisah tidak faham dengan soalan anak sulungnya.

Raiyan tidak segera menjawab soalan Puan Kamisah. Entah mengapa dia berasa pertunangannya itu satu kesilapan.

“Raiyan?” panggil Puan Kamisah. Raiyan beralih memandang ibunya. “Ya?”

“Apa yang perlunya?” soalan itu diulang oleh si ibu. Raiyan meneguk liurnya. Matanya silih berganti menatap orang tuanya. Kemudian beralih ke pinggan makan yang tinggal hanya beberapa suap sahaja lagi. Seleranya mati tiba-tiba.

“Tak cepat sangat ke nak berbincang-bincang?” soalnya.

“Eloklah bincang awal-awal. Senang,” celah Encik Rusyaidi setelah lama berdiam diri.
Raiyan senyap. 

“Dah telefon Ashilanya?”

Tercekik sebaik mendengar soalan Puan Kamisah. Pantas dia meneguk air di dalam gelas yang sudah disediakan oleh wanita itu.

“Belum lagi.” Perlahan suaranya seperti orang takut-takut.

“Bila lagi?” soal Puan Kamisah. Gusar dia melihat sikap Raiyan.

“Tunggulah.” Raiyan mula cuak. Cepat-cepat dia menghabiskan sisa nasi dan lauk di dalam pinggannya. Dia mahu cepat-cepat beredar dari situ. Tidak mahu terus menahan perasaan lemas dan rimasnya.

“Sampai bila nak tunggunya?” soal Puan Kamisah dengan suara nyaring.

“Tunggu saya senang.”

“Kalau tunggu kau senang, memang tak ada masalah!” keluh Puan Kamisah geram.

“Saya bangun dulu.” Raiyan segera meminta diri sebaik suapan terakhir berjaya diselesaikan. Dia tidak menunggu balasan daripada Puan Kamisah mahupun Encik  Rusyaidi. Terus sahaja dia ke dapur untuk mencuci tangan kemudian tangkas kakinya melangkah naik menuju ke biliknya di tingkat atas.

Telefon bimbit di atas meja studi dicapai dan pantas jarinya mencari nama Ashila. Lama dia menatap nama tunangannya itu. Dan akhirnya dibiarkan begitu sahaja. Tiada rasa teruja hendak menghubungi Ashila. 

Mengapa begitu pula yang dirasakan? Wajah tampan itu diraup beberapa kali dan bayangan wajah Shafiqa seperti mengintai di ruang matanya. 

“Astaghfirullah al’azim.” Memang dia sungguhsungguh terkejut. Mengapa wajah itu yang muncul. Mungkinkah kerana kekerapan Faiz menyebut nama Shafiqa yang entah berapa puluh kali?

Gila, bisiknya sendiri. Tak boleh jadi, keluhnya sendiri. Segera dia menekan kembali nama Ashila. ‘Nombor yang anda dial berada di luar kawasan.’ Terasa lega dadanya sebaik mendengar suara wanita  itu. Tetapi kelegaan itu pasti tidak berpanjangan. Dia menarik nafasnya dalam-dalam.

Biarlah dulu, bisiknya sendiri.

No comments:

Post a Comment