DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 22 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 4

Pandangan matanya dilemparkan kepada anak-anak kecil yang leka bermain papan gelongsor di taman permainan tersebut. Asyik sekali mereka bergelongsor laju ke bawah sambil mengekek tawa. Kemudian berlari-lari kembali memanjat tangga papan gelongsor itu untuk meluncur turun semula. Ah, dunia kanak-kanak, penuh dengan rasa bahagia yang langsung tidak terusik dengan masalah dunia. 

Mereka bermain, bermain dan bermain, tanpa menghiraukan duka nestapa. Apabila berlaku sedikit selisih faham, mereka bertengkar dan masing-masing berlari pulang ke rumah. Dan pada hari esok, mereka kembali semula untuk bermain lagi. Sudah hilang segala sengketa semalam. Persahabatan terjalin semula tanpa sedikit pun rasa curiga. Ah, sungguh mudah kehidupan mereka. Kalaulah hidupku ini semudah itu, alangkah bahagianya, detik hati Mai. Memang sejak berpisah dengan Irfan dua bulan yang lalu itulah rutin sehariannya. Tiba waktu petang, pasti dia akan menapak ke sini. Menikmati suasana hiruk-pikuk kanak-kanak di taman permainan ini. Berada di sini hatinya jadi lebih tenang. Tidaklah nanti perasaannya diganggu oleh seribu kenangan antara dia dan Irfan. Kenangan yang mulanya indah, tapi diakhiri dengan seribu duka yang melanda dek rasa kesal.

Pada awal perpisahan, dia cuba mempertahankan rasa bencinya kepada bekas suaminya itu. Panggilan telefon daripada lelaki itu langsung tidak diendahkan. Sedikit pun dia tidak mahu mendengar suara yang pernah melaungkan ucapan talak kepadanya dengan nada yang cukup marah. Bagaikan terngiang-ngiang lagi kata-kata itu di telinganya. 

Namun perasaan itu tidak mampu untuk dipertahankan. Rasa benci yang pada mulanya begitu tebal menyelubungi hati mula menipis. Tanpa diduga perasaan itu kian hari kian bersulam pula dengan rasa rindu. Pada awalnya Irfan cuba menghubunginya dengan panggilan telefon. Apabila cara itu tidak berhasil, dia kemudian bertukar strategi pula dengan cara menghantar SMS dan e-mel.

Hatinya yang sepi itu dipujuk rayu. Terus-terusan pujuk rayu itu menggoyahkan ketahanan mentalnya untuk terus tetap dengan pendirian yang dibina pada awal tarikh perpisahan dulu. Hanya sebulan sahaja dia mampu bertahan, cuba buat acuh tak acuh dengan kiriman SMS yang dihantar saban waktu terluang. Segala rasa resah dan kecewa Irfan yang digambarkan dalam SMSnya membuatkan ketahanan itu mula goyah.

Irfan tahu akan kelemahan dirinya. Irfan tahu cintanya kepada lelaki itu masih tetap utuh. Dan kelemahan inilah yang digunakan oleh Irfan untuk terus memujuk-mujuk dan merayu-rayu sekeping hati yang sarat dengan rasa rindu. Sekeping hati yang terkapai-kapai sendirian tanpa ada tempat untuk mengadu. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Irfan untuk mendekati semula dirinya yang sungguhsungguh berada dalam kesepian.

Ah, kepada siapa hendak dia mengadu. Ayah dan emak sudah lama pergi meninggalkan dirinya sendirian di dunia ini. Selama ini dia hanya ada Irfan yang menjaga segala kebajikan dirinya. Kematian emak akibat sakit buah pinggang lima tahun yang lalu membuatkan dia terkapai-kapai sendirian. Setelah terpisah mati selama tiga tahun, ayah pula pergi akibat komplikasi jantung. 

Tinggallah satu-satunya anak tunggal ini di bawah tanggungjawab seorang suami sepenuhnya. Cuma yang ada hanyalah seorang emak saudara yang sememangnya tidak rapat sejak kecil lagi. Akibat daripada pertelingkahan keluarga yang tercetus dek masalah pembahagian harta yang tidak sama rata, ayahnya membawa rajuk dalam hati. 

Meskipun hubungan kekeluargaan antara ayah dan emak saudaranya sudah kembali jernih sebelum dia meninggal dunia, namun bagaikan sudah terbina satu tembok konkrit di antara kedua-duanya. Menyebabkan masing-masing membawa haluan sendiri.

Ibu mertua? Dia tidak begitu rapat dengan ibu mertuanya. Irfan juga telah meminta supaya dia merahsiakan semua ini daripada mereka. Katanya dia sedang merancang sesuatu supaya emak dan ayahnya tidak perlu tahu tentang semua ini. Agak hairan dalam hatinya tentang perancangan bekas suaminya itu. Namun dia diamkan sahaja. Tawar hatinya untuk mengambil tahu tentang semua itu malah emak dan ayah mertuanya juga tidak pernah menelefonnya. Sikapnya yang kurang mesra dengan ahli keluarga Irfan menyebabkan mereka tidak selalu berhubung. Hanya apabila ada sesuatu yang penting sahaja barulah mereka berhubung. Itupun selalunya Irfan yang menghubungi emak atau ayahnya.

Akhirnya, jadilah dia seorang insan yang terkapai-kapai sendirian. Lemas di dalam lautan kedukaan yang tidak bertepi. Tanpa ada sesiapa yang dapat melayan rajuk dalam hati dan resah dalam jiwa yang ketandusan kasih sayang. Untuk menceritakan kepada teman-teman sekerja, dia berasa amat malu. Hanya kepada Kak Gee dia menceritakan semuanya. Itupun kerana Kak Gee bertanyakan khabar mengapa dia mengambil cuti sakit selama dua hari. Dan apabila dia kembali ke sekolah, keadaannya yang tidak seperti selalu membuatkan ada tanda tanya dalam kalangan teman-temannya. Setelah didesak oleh Kak Gee, dia menceritakan segalanya kepada teman rapatnya itu. Namun tidak sampai pun seminggu, berita penceraiannya itu telah tersebar kepada semua rakan sekerjanya. Mulut tempayan boleh ditutup tetapi tidak mulut manusia. Namun begitu tiada seorang pun yang berani bertanyakan terus kepadanya. Kalau ada pun yang cuba bertanya, dia hanya senyum hambar dan berkata bahawa dia tidak mahu membicarakan hal tersebut. Selepas itu tiada lagi yang bertanya kepadanya.

Dia tahu, mengadu masalah dengan teman-teman yang kebanyakannya sudah mempunyai keluarga, tak mampu untuk merawat hatinya yang duka nestapa. Teman yang dia ada hanyalah mereka yang menghulurkan bantuan dengan seribu syarat. Setakat memberi nasihat dan idea sahaja tidak mencukupi. Dia perlukan seseorang yang boleh berkongsi segala rasa resahnya. Namun di mana hendak dicari teman yang sebegitu memahami dirinya? Maka, apabila SMS demi SMS dilayangkan oleh Irfan, jiwanya kembali terpujuk. 

Hilang dan melayang segala rasa benci yang diluahkan ketika hati berkecamuk dengan rasa marah dua bulan yang lalu. Sehingga kini, yang masih mampu dipertahankan adalah keengganannya untuk menerima kehadiran Irfan di sisi. Walaupun hubungan mereka kembali terjalin melalui SMS, Facebook dan YM, permintaan Irfan untuk bertemu masih lagi ditolak. Dia tahu dan sedar, peluang untuk mereka kembali sudah tiada.

Saban malam, ketika rindu melanda dalam jiwa yang sedang ketandusan itu, masing-masing berhubung meluahkan seribu kata rindu yang tidak mungkin akan kesampaian. Ada ketikanya Mai rasa cukup bersalah dengan keadaan itu. Dia merasakan cukup berdosa kerana melayan perasaan yang sering bergelodak akibat daripada luahan rasa cinta dan rindu yang sudah pasti tidak akan terubat.  Kata-kata rindu Irfan di dalam Inbox Facebooknya semalam kembali menyapa. 

Abang Irfan: Mai, kalaulah abang boleh luahkan rasa rindu ni dalam bentuk katakata, pastinya saat ini tiada pujangga yang mampu mematahkan kata-kata yang ingin abang sampaikan kepada Mai. Rindu sekali hati ni pada pujuk rayu, cumbu mesra yang sering kita kongsi bersama suatu masa dulu pada waktu-waktu malam yang penuh syahdu begini. Saat ini mahu saja rasanya abang terbang ke sisi Mai untuk melepaskan beban rindu yang bagaikan sudah tak tertanggung lagi.

Mai: Kenapa perpisahan ini mesti berlaku? Kenapa kita terlalu terburu-buru mengikut nafsu marah? Sekarang, kita dah tak mampu lagi nak buat apa-apa. Kita dah tak mampu lagi nak kembali bersama. Mai kesal sangat dengan sikap Mai kepada abang dulu. Tapi, nak kesal pun dah tak ada guna, kan? 

Abang Irfan: Ya Mai, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Dan sekarang ni kitalah yang terima padahnya. Tapi Mai, bagi abang, kalau dah nak seribu daya. Kalau abang usahakan supaya kita dapat kembali bersama, Mai akan sokong abang, kan? Mai tak akan hampakan abang, kan?

Mai: Apa maksud abang? Mana mungkin kita dapat bersama semula? Semuanya dah berakhir untuk kita. Dah tak ada lagi peluang untuk kita kembali bersama. Abang lupa, yang abang hadiahkan Mai tiga sekali gus?

Abang Irfan: Siapa kata tak ada? Masih ada lagi peluang tu. Dan abang akan usahakan
supaya kita akan dapat kembali bersama. Percayalah Mai.

Mai: Mai tak faham, bang. Apa maksud abang?

Abang Irfan: Mai tau tak kenapa abang cepatkan proses pendaftaran perceraian kita dulu? Saja abang cepatkan sebab nak pastikan kita cepat-cepat dapat surat cerai kita. Sebab abang nak supaya jelas sampai bila tempoh edah bagi Mai. Bila Mai dah habis edah nanti, abang akan pastikan Mai akan kahwin secepat mungkin. Dan jangan bimbang perkahwinan itu tak akan kekal. Kalau boleh sehari cukuplah, dan lepas tu dia akan ceraikan Mai. Mai akan kembali jadi milik abang... percayalah Mai. Abang sanggup buat apa saja untuk dapatkan balik Mai.

Mai : Maksud abang? Cina buta? Abang dah gila? Sanggup abang nak serahkan Mai kepada orang lain? Dan... siapa??? 

Abang Irfan: Abang tengah cari calonnya sekarang. Dah tak ada cara lain lagi, Mai. Itu saja caranya. Satu-satu cara supaya kita dapat kembali bersama.

Mai: Sanggup abang buat Mai macam tu?

Abang Irfan: Percayalah Mai, satu aje tujuan abang. Supaya kita dapat bersama. Abang tak boleh hidup tanpa Mai.

Mai: Yalah tu... Kalau betul abang tak boleh hidup tanpa Mai, tentu abang tak buat macam apa yang abang buat dulu. Ini tak, senang-senang aje abang jatuhkan maruah Mai sampai macam tu. 

Abang Irfan: Mai, dah berapa kali dah abang katakan, masa tu akal fikiran abang tak mampu berfikir dengan waras. Mai pun sama, kalau masa tu Mai tak cabar abang mesti benda ni tak akan jadi, kan? Mai meraup mukanya. Sungguh dia tidak menyangka Irfan akan terfikir hingga ke arah itu.

Abang Irfan: Mai... kenapa diam? Jawablah boleh... Jawablah Mai setuju.

Mai: Aaa... macam mana... kalau dia tak nak lepaskan Mai?

Abang Irfan: Abang bunuh dia... percayalah...

Kecut hati Mai mendengarkan perancangan Irfan. Sudah hilangkah akal waras bekas suaminya itu? 

“Macam mana, Zam? Kau ada tak sesiapa yang boleh aku minta tolong? Sebulan lagi edah Mai habis. Kalau boleh, tamat aje edah dia, aku nak dia kahwin. Lepas tu, orang tu kena cepat-cepat ceraikan isteri aku tu...” desak Irfan. 

“Eh... kau ni Fan, sabarlah... Kut ya pun janganlah desperate sangat. And correction, dia tu bekas isteri kau... kau dah ceraikan dia dengan talak tiga... Ingat tu,” kata Zamzuri sambil mengangkat jari telunjuknya kepada Irfan.

Mengingatkan temannya itu tentang hakikat yang seolah-olah sengaja dia lupakan. Irfan mengetap bibir tanda marah dengan peringatan yang diberikan oleh temannya. Dia lupa. Suasana hingar di dalam restoran mamak itu langsung tidak diendahkan. Terlalu larut dia dalam perbualan mereka. Roti canai yang dipesannya sebentar tadi hanya dipandang dengan tawar hati. Seleranya memang langsung tiada. Lidahnya terasa pahit, malah tekaknya juga bagaikan tidak mampu untuk menelan sebarang makanan. Semua teman menegur keadaan dirinya yang sudah lebih kurus daripada biasa. Tiada seorang teman di tempat kerja pun yang tahu tentang masalahnya ini. Maya juga tidak diberitahunya. Sementara ini dia masih menginap di apartmen Irfan. Sebahagian dari pakaiannya telah diserahkan oleh Mai kepadanya seminggu selepas mereka berpisah. Bekas isterinya itu telah
mengemaskan semuanya dan meninggalkan pakaian itu di tepi pintu rumah mereka untuk dia ambil ketika isterinya itu berada di sekolah. Dia cuba menunggu Mai balik dari sekolah untuk menemui bekas isterinya itu, namun Mai tidak pulang sehinggalah malam. Dia tidak mampu masuk ke dalam rumah kerana Mai telah menukar mangga pintu jeriji. Akhirnya dia terpaksa meninggalkan rumah dengan penuh kehampaan.

“Memang aku desperate. Bukannya aku tak boleh cari sendiri. Masalahnya aku tak nak ramai yang tahu. Kalau mak ayah aku tahu, matilah aku. Mai pula, bukannya ada saudara-mara. Dan kalau boleh aku tak nak keluarga aku dan keluarga Mai tahu. Kecoh nanti...” dengus Irfan. 

“Kau ingat senang ke nak cari orang yang sanggup buat kerja gila tu? Itulah, dari dulu lagi aku dah cakap, selesaikan masalah kau dengan Mai tu secara berhemah. Ceritakan kepada mak ayah kau. Biarkan dia orang bagi nasihat. Kalau susah sangat, cari pakar motivasi, jumpa mana-mana kaunselor. Ini tidak, kau biarkan masalah tu berlanjutan. Kau biarkan diri kau dan Mai terus dalam keadaan stres. Sekarang... tengok, semua dah susah. Sampaikan aku pun kau babitkan dalam masalah kau ni...” Kata-kata Zamzuri itu bagaikan minyak yang menyemarakkan lagi api kemarahan yang melingkari hati Irfan. Dia tidak perlukan leteran daripada sesiapa pun jua pada saat ini.

“Habis, kau tak nak tolong aku yang dalam kesusahan ni?” bentaknya dalam kemarahan. Mata Zamzuri melatari wajah murung sahabatnya itu. Marah dan simpati bercampur baur dengan sikap temannya itu. 

“Bukan aku tak nak tolong... tapi benda ni sulit, Fan. Jadi aku kenalah tapis-tapis sikit. Kenalah pilih orangnya betul-betul. Dibuatnya orang tu buat hal, ceritakan kepada semua orang, macam mana? Kau dengan Mai juga yang dapat malu, kan?” Irfan melarikan jejari kasarnya di rambut. Dia mengeluh... dan terus mengeluh. Mengapalah dia menempah semua malapetaka ini? detik hatinya penuh rasa kesal.

“Kalau susah-susah, kau ajelah yang kahwin dengan dia...” katanya tiba-tiba. Kelihatan dia nekad dengan keputusannya itu. Terbelahak Zamzuri yang sedang menghirup minumannya dek rasa terkejut. 

“Hah... gila kau? Nak cari nahas? Bukannya aku tak nak... Tapi nanti Yana aku tu nak letak kat mana? Aku tak nak nanti sebab nak tolong engkau, aku pula yang porakperanda,” kata Zamzuri sambil berdehem kuat.

“Aku dah tak ada jalan lain lagi, Zam... Tolonglah aku...”

“Kut ya pun kau desperate, agak-agaklah sikit. Janganlah main tangkap muat aje... Dibuatnya nanti cina buta tu tak nak lepaskan Mai tu, nahas kau.” 

“Aku bunuh dia...” kata Irfan dengan muka yang merah menyala menahan kemarahan. Dia nekad, jika itu berlaku, dia sanggup lakukan itu daripada kehilangan Mai.

“Mengucap, Fan... Jangan kau tambah lagi masalah kau tu...” kata Zamzuri, cuba menenangkan teman di hadapannya. Menyesal pula kerana telah menimbulkan kemarahan Irfan sehingga begini sekali. Nafas Irfan turun naik menahan kemarahan yang dirasakan pada saat itu.

No comments:

Post a Comment