DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 20 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 8

GHAZ Khuzairi merenung seketika ke arah Izzara di hadapannya. Kelihatan mata bundar milik si jelita itu bergenang dengan air mata. Dia tahu, Izzara sangat tersentuh dengan kisah sedihnya terutamanya nasib si comel, Rania Arissa. Lalu dia mengeluarkan sapu tangan miliknya dan  menghulurkannya kepada Izzara yang sesekali menghala pandangannya ke arah lain, cuba menahan hiba.

“Zara… ambil sapu tangan ni. Buat lap air mata awak tu. Jangan risau, sapu tangan ni bersih. Saya tak gunakannya lagi. Sengaja standby untuk awak.” Sempat lagi Ghaz Khuzairi mengusik Izzara.

Izzara memandang ke arah sapu tangan berwarna ungu yang dihulurkan jejaka kacak di hadapannya. Kemudian dia tergelak kecil sambil tangannya mencapai sapu tangan itu. Segan apabila Ghaz Khuzairi dapat mengesan rasa sebak dan genangan air mata di kelopak matanya.

“Saya sedih dengan kisah awak, Marlissa dan Rania. Kasihan Rania, Ghaz. Kecil lagi dah hilang kasih sayang ibu dan bapanya. Saya sangat bersimpati dengan nasib arwah Marlissa.” Sebak Izzara meluahkan rasa simpatinya lalu dia menyapu perlahan air matanya.

“Saya pun tak menjangkakan yang nasib arwah begitu, Zara. Saya sangat kesal dengan tindakan Ryan. Sanggup dia meninggalkan arwah Marlissa yang sarat mengandung tanpa sebarang pesan. Saya dapat tahu dia terima better offer daripada Emirates Airlines. Saya tak tahu dia tinggalkan Marlissa selama tiga bulan tu kalau Sarah tak memaklumkan pada saya masa hari pengebumian arwah. Marlissa tu perempuan yang baik, Zara. Malah masa saya hantar dia ke hospital masa tu, dia sempat berpesan, walau apa pun yang telah Ryan buat pada dia, dia tetap maafkan Ryan.”


“Setianya seorang isteri yang menghitung hari menunggu si suami balik, dengan harapan yang menggunung agar suaminya kembali. Namun sampai ke akhir hayatnya, si suami tetap tak kembali. Pada malam tu, saya nampak betapa beratnya sengsara yang dia tanggung selama ditinggalkan Ryan.
Sedih saya tengok keadaan dia ketika itu, Zara. Sampai hati Ryan tinggalkan dia dalam keadaan macam tu sekali.” Sebak Ghaz Khuzairi meluahkan rasa terkilannya dengan sikap Ryan Arshad.

“Ghaz... walaupun saya tak mengenali arwah, tetapi secara peribadinya saya tahu dia seorang wanita yang baik dan seorang isteri yang setia. Saya dapat rasakan betapa bebanan yang ditanggungnya sangat berat dengan keadaan dirinya yang sarat mengandung tanpa suami di sisinya. Saya pun kesal dengan sikap Ryan yang tak menghargai isteri sebaik arwah Marlissa tu.

Kalaupun dia tak kisahkan pasal arwah, sekurang-kurangnya dia perlu fikirkan jugak anaknya yang dikandung arwah Marlissa. Saya tak dapat bayangkan kalau awak tak jumpa dan tolong arwah malam tu. Bagaimana agaknya nasib dia dan anaknya.”

Sesungguhnya, Izzara turut merasakan kesedihan yang dialami Ghaz Khuzairi saat itu. Air muka dan genangan air mata si kacak di hadapannya menggambarkan betapa Ghaz Khuzairi sedih dan terkilan.
“Saya bersyukur sangat sebab Allah pertemukan saya semula dengan arwah Marlissa malam tu, Zara. Saya bersyukur dapat membantunya di saat dia memerlukan seseorang ketika itu. Luluh hati saya tengok keadaan dia, Zara. Paling saya terkilan, dia tidak dapat melihat dan memeluk anaknya sendiri
kerana Allah lebih menyayanginya. Saat yang saya takkan lupakan ketika Rania memberi ciuman ke pipi kaku milik arwah dengan tangisan Rania. Seolah-olah si comel tu turut sedih dengan pemergian mommynya.” Luah Ghaz Khuzairi dengan sebak dan akhirnya gugur jua air matanya ketika mengenangkan saat pilu itu.

Izzara kaget seketika melihat si kacak di hadapannya itu mengalirkan air matanya. Kelihatan Ghaz Khuzairi menyapu perlahan air mata dengan jari-jemarinya. Izzara memandang seketika ke arah sapu tangan dalam genggamannya itu, lalu menghulurkannya kepada Ghaz Khuzairi. Cewah!

Berbalas-balas dan berkongsi sapu tanganlah pulak!

“Ghaz, rasanya sapu tangan ni bersih lagi, ambillah buat lap air mata awak tu. Kalau saya tahu kita berpesta menangis macam ni, awal-awal lagi saya bawak satu kotak tisu ke sini. Agaknya hari ni hari sedih sedunia, ya tak Ghaz?” usik Izzara dengan senyuman manisnya, cuba menceriakan suasana sedih dan pilu itu.

“Pandai awak kenakan saya balik ye, Zara. Tak pasal-pasal saya jadi buruk siku ambil sapu tangan ni balik. Anyway, thanks ya Zara sebab sudi mendengar. Saya cuma nak awak tahu dan faham kenapa Rania beria-ia anggap awak ni mommy dia. Sebab awak seiras sangat dengan arwah Marlissa, Zara. Kalau sebelum ni, dia hanya dapat menatap wajah mommynya melalui gambar dan pastinya dia gembira apabila dapat bertemu dengan awak semalam. Dan semenjak kejadian semalam tu, dia selalu bertanyakan tentang awak, Zara. Sampai saya sendiri dah mati akal nak menjawab.” Terang Ghaz
Khuzairi sambil menyapu air matanya.

“Tu la, nak gugur jantung saya tadi bila tengok gambar arwah Marlissa iras benar dengan muka saya. Dan baru saya faham kenapa Rania beria-ia memeluk kaki saya semalam dan anggap saya ni mommy dia. Kasihan dia, Ghaz.” Kata Izzara sayu dan hatinya memang makin bertambah kasih setelah mendengar citra hidup si comel itu. Oh, Rania Arissa!

“Sebab tu saya tergamam bila terpandang wajah awak semalam, Zara. Saya macam tak percaya apa yang saya lihat. Awak dan arwah Marlissa sangat seiras. Cuma bezanya awak tak bertudung.”

“Hmm... Ghaz, saya cuma nak bertanya. Kalau Ryan muncul semula dan mahukan Rania daripada awak… awak macam mana?”

“Zara, memang saya yang menjaga dan mendidik Rania sedari dia kecil lagi. Tapi kalau Ryan muncul untuk menuntut Rania daripada saya, dia berhak. Walau apa pun yang telah berlaku, Rania Arissa tetap anaknya. Darah dagingnya. Dan saya tiada hak nak menghalang. Malah, parents saya selalu ingatkan saya, Ryan tetap berhak ke atas Rania. Saya hanya pegang dan tunaikan amanah yang telah diberikan oleh arwah Marlissa untuk menjaga dan mendidik si manja tu. Saya pernah cari Ryan. Tapi sampai ke sudah dia tak dapat dikesan. Namun jauh di sudut hati saya, saya akui... tak sanggup saya nak melepaskan Rania pada Ryan atau sesiapa pun sebab Rania umpama nyawa saya, jantung hati saya. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa Rania Arissa suatu hari nanti.”

Ghaz Khuzairi kembali sebak. Walaupun Rania bukan darah dagingnya, tetapi si manja itu umpama sang pelangi yang mewarnai dan menceriakan hidupnya. Kasihnya pada Rania Arissa memang tiada penghujungnya.

“Tapi saya risau kalau Ryan tak mampu nak menjaga dan memberi didikan yang sempurna sebagaimana awak menjaga dan mendidik Rania selama ni, Ghaz.”

“Saya terfikir juga pasal tu, Zara. Bukan bermaksud saya ni terlalu sempurna menjaga dan mendidik Rania selama ni. Tapi saya risau kalau dia masih juga tak berubah, bagaimana dia nak mendidik Rania sebaiknya sedangkan dia sendiri terumbang-ambing. Zara, setiap anak Adam dilahirkan suci bersih. Ibu bapa yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani mahupun Majusi. Kitalah yang bertanggungjawab dalam membentuk akhlak mereka, memberikan didikan dunia akhirat dan menjadi role model yang baik kepada mereka. Saya selalu berdoa agar Ryan berubah. Sekurang-kurangnya hati saya lapang nak lepaskan Rania bersamanya.”

Sesungguhnya, itulah yang Ghaz Khuzairi doakan. Cukuplah bagi Ghaz Khuzairi jika Ryan Arshad dapat memberi didikan yang sempurna dan mencurahkan kasih sayang kepada Rania Arissa jika Ryan Arshad benar-benar kembali menuntut haknya itu.

Ya Tuhan, pedihnya hati apabila dia mengenangkan jika terjadinya perpisahan antara dia dan Rania Arissa. Namun dia harus akur. Rania Arissa bukan hak mutlaknya. Dan seteruk-teruk Ryan Arshad, lelaki itu tetap ayah kandung Rania Arissa.

Izzara memandang pada wajah Ghaz Khuzairi dengan perasaan simpati. Dia faham. Bukan mudah untuk Ghaz Khuzairi melepaskan Rania jika ayah kandung si comel itu benar-benar datang menuntut haknya. Perginya Rania Arissa dari sisi Ghaz Khuzairi umpama si manja itu membawa bersama-sama separuh jiwa lelaki itu. Ghaz Khuzairi memandang Izzara. Lama. Seperti cuba meluahkan sesuatu yang terpendam dalam benak hatinya. Dia menghela nafasnya perlahan. Cuba mencari kekuatan untuk meluahkannya. Apabila mengenangkan Rania Arissa, hatinya seakan-akan terbit kekuatan untuk meluahkan kata-katanya itu.

“Hmm… Zara. Awak tahu kan, Rania dah pun anggap awak ni mommy dia dan selalu bertanyakan tentang awak. Maksud saya, Rania dah anggap yang mommy dia tu memang ada semenjak dia bertemu dengan awak semalam.” Sesak rasanya dada Ghaz Khuzairi cuba mengungkapkan kata-katanya itu. Risau kalau Izzara salah faham dengan pengucapannya.

“So, apa yang awak nak cuba sampaikan pada saya ni, Ghaz? Saya tak berapa nak fahamlah.”

“Hmm... Zara. Rania sangat perlukan awak saat ni. Sangat memerlukan seorang mommy di sisinya…” Belum sempat Ghaz Khuzairi menghabiskan ayatnya itu, Izzara sudah menyampuk.

“Ya Allah, Ghaz... Saya makin tak fahamlah dengan apa yang awak cuba nak sampaikan tu. Cuba awak terus-terang je. Insya-Allah saya sedia mendengar dan akan pertimbangkannya nanti.” Lembut Izzara menuturkan kata-katanya. Cuba berdiplomasi untuk mengurangkan rasa gugup lelaki di hadapannya itu. Nampak payah benar untuk meluahkan hasrat dalam benak hatinya.

“Saya sangat perlukan pertolongan awak mengenai Rania ni, Zara. Kalau boleh, saya mahu awak luangkan sedikit masa untuk dia. Layan dia macam anak awak sendiri. Maksud saya, awak anggaplah Rania Arissa tu seperti anak angkat awak. Saya berharap awak sudi curahkan kasih sayang padanya
sepertimana saya dan keluarga saya. Sejujurnya, saya segan nak susahkan awak. Tapi saya harap awak sudi terima permintaan saya ini demi seorang anak yang sangat mendambakan kasih seorang ibu. Dan awak anggaplah ini permintaan daripada seorang kawan.”

Izzara menarik nafas lega. Dia agak bimbang jika lelaki di hadapannya ini membuat permintaan yang bukan-bukan tadi. Yalah, tengok reaksi Ghaz Khuzairi yang agak berat meluahkan permintaannya tadi, menyebabkan Izzara sesak dada nak mendengar. Mana tahu si kacak tu tiba-tiba melamarnya untuk menjadi mommy betul untuk Rania Arissa. Tak ke haru nanti! Habis Qaleef kekasih kesayangannya itu nak letak celah mana?

“Ya Allah, Ghaz. Kalau pasal Rania, tak perlulah awak nak segan untuk minta bantuan saya. Kalau awak tak tawarkan saya untuk meluangkan masa dengannya, saya sendiri akan datang cari dia, Ghaz. Sejak pertemuan saya dengan Rania semalam, macam ada sesuatu yang menarik saya untuk lebih dekat dengan dia. Dan saya masih terbayang-bayang wajah mengharap dia semalam. Sejujurnya, saya sudah jatuh sayang pada dia.” Ujar Izzara lembut.

“Alhamdulillah… terima kasih, Zara. Saya tak tahu macam mana nak balas budi awak ni, Zara. Lapang dada dan fikiran saya bila awak setuju. Pasti Rania gembira dapat bertemu dengan awak lagi lepas ni.”

“Ghaz… kalau awak izinkan, kejap lagi balik dari kerja saya nak jemput Rania di daycare dia, boleh? Dan kalau boleh, lepas tu saya nak bawa dia keluar jalan-jalan dengan saya. Boleh, Ghaz?” Pinta Izzara dengan menayangkan muka mengharap.

“Syukur Ya Allah. Zara... sememangnya Rania berharap nak bertemu dengan awak. Masa kat tadika tadi dia sempat berpesan pada saya supaya carikan awak untuk dia. Okeylah, saya nak call pihak tadika maklumkan pada guru yang bertugas di daycare tu yang awak jemput Rania hari ni. Sekejap lagi saya bagi alamat daycare dia ye.”

Gembira tak terkata hati Ghaz Khuzairi mendengar permintaan Izzara itu. Lalu dia mengeluarkan iPhone 5 dari kocek seluarnya dan mendail nombor telefon pihak tadika. Syukur Ya Tuhan!

No comments:

Post a Comment