DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 9



AKU balik dululah, Ras. Kalau ada apa-apa, kau call aku,” ucap Atif sambil menepuk lembut lengan Rasfal yang berdiri di hadapannya.
Rasfal hanya mengangguk.
“Kau tak payah risau. Tahulah aku jaga diri nanti,” balas Rasfal tersenyum nipis.
“Kau jagalah Citra baik-baik. Kesian aku tengok dia, menangis sepanjang hari. Kau tengoklah tu, termenung je kerja dia…” ucap Atif sambil menunjukkan ke arah Citra yang duduk termenung di atas tangga rumah.
Rasfal berpaling. Satu keluhan kecil terbit daripada celah bibirnya melihat Citra yang hanya termenung sambil ditemani oleh Datin Rohana. Sebaik saja pulang dari tanah perkuburan, gadis itu hanya mendiamkan diri. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab.
“Insya- Allah, dia tengah sedih aku cakap apa pun, bukan dia nak dengar. Biarlah dia layan perasaan dia dulu. Anak mana yang boleh tahan sedih kalau ibu meninggal. Kalau aku dekat tempat dia pun, tentu aku akan jadi sasau macam dia…” balas Rasfal menyebelahi Citra.
Atif tersenyum nipis. Apa yang dikatakan Rasfal ada benarnya juga. Dia mengeluh sebelum meminta diri untuk pulang.
Rasfal berlalu ke arah Datin Rohana yang setia menemani Citra. Mamanya itu memeluk erat bahu Citra yang sedang menahan tangis. Sayu hatinya melihat keadaan Citra yang tidak bermaya.
“Citra, mama tahu Citra sedih. Kalau mama cakap apa pun Citra tentu tak dapat terima tapi mama nak Citra tahu yang Citra masih ada mama. Masih ada papa dan Citra masih ada Ras. Kita satu keluarga kan? Mama tak nak Citra rasa Citra keseorangan dalam dunia ni sedangkan mama dan papa masih ada untuk temani Citra. Mama rasa yang Ras akan jaga Citra dengan baik sebagaimana ibu Citra jaga Citra…” ucap Datin Rohana sambil mengelus lembut bahu Citra yang bersandar di bahunya.
Rasfal terdiam mendengar kata-kata Datin Rohana. Mampukah aku untuk menjaga gadis ini sedangkan perkahwinan itu hanya sementara?
“Betul cakap mama tu, Citra. Saya masih ada untuk awak. Jika saya sanggup untuk menikahi awak bermakna saya sudah bersiap sedia untuk menjaga awak buat selama-lamanya…” ucap Rasfal. Entah dari mana datangnya kata-kata itu Rasfal tidak pasti. Dia hanya bercakap apa yang terlintas di hatinya.
Citra mendongak. Lama dia memandang wajah Rasfal sebelum dia kembali memeluk Datin Rohana. Kata-kata Rasfal membuatkannya kembali sebak kerana dia tahu perkahwinan ini tidak akan kekal lama. Selepas perkahwinan ini tamat ke mana lagi dia akan pergi? Ke mana lagi dia harus membawa dirinya yang bersendirian di bumi yang luas ini? Dia tiada tempat untuk bergantung apatah lagi untuk menumpang kasih-sayang.
“Laaaa…kenapa menangis pulak ni?” soal Datin Rohana pelik. Dia menjenguk wajah Citra yang tersembam di dadanya.
Citra menggelengkan kepala. Dengan pantas dia menyeka air mata yang merembes di pipinya.
“Mama kena balik dah. Papa dah tunggu tu. Ras, kamu jaga Citra elok-elok…” ucap Datin Rohana sambil menggosok lembut belakang badan  Citra sebelum dia bangun dan mendapatkan Rasfal.
“Citra tu isteri kamu. Jaga dia baik-baik dan jangan nak buat perangai pulak…” ujar Datin Rohana sambil berbisik di tepi telinga Rasfal.
Rasfal hanya mampu mengangguk. Nampaknya begitu mudah untuk mamanya menerima Citra tanpa banyak soal sedangkan sebelum ini semua kawan perempuan dan rakan artis wanita tidak berkenan di mata mamanya.
“Insya-Allah, mama. Mama jaga diri baik-baik. Ras akan jaga Citra…” balas Rasfal.
Selepas bersalaman dengan papa dan mamanya, Rasfal kembali mendapatkan Citra yang duduk termenung di atas tangga. Dia mengeluh kecil sebelum melabuhkan punggung di sisi Citra. Buat seketika dia merenung wajah Citra yang kelihatan pucat tidak bermaya.
“Sunyi je bila ibu tak ada. Biasanya, kalau petang-petang macam ni, saya selalu bawak ibu pergi jalan-jalan. Ibu pulak suka sangat makan ABC dekat kedai depan tu…” cerita Citra tanpa dipinta.
Dia menarik nafas sedalam-dalamnya cuba menahan rasa sebak yang kembali mengetuk dada. Bibirnya digigit perlahan.
Rasfal terdiam. Dia hanya membiarkan Citra terus bercerita. Mungkin dengan cara seperti itu, Citra akan merasa lebih lega.
“Sekarang semuanya sudah berubah. Rumah ni sunyi tanpa ibu, hidup saya juga sepi tanpa ibu. Saya dah tak ada sesiapa lagi atas dunia ni untuk saya bergantung harap. Kenapalah bukan saya yang pergi dulu…” ujar Citra. Air matanya menitis laju.
Rasfal tersentak. Dia mengetap bibir.
“Citra, awak tak boleh cakap macam tu. Cara awak cakap tu seolah-olah awak tak redha dengan apa yang Allah tetapkan untuk awak. Saya mengaku saya bukan seorang yang ahli untuk bercakap soal agama tapi awak kena ingat dan yakin, hidup dan mati itu ketetapan Allah. Tidak cepat ataupun lambat, awak dan saya akan pergi juga. Awak kena yakin, apabila Dia mengambil seseorang yang awak sayang bermakna Dia akan mengantikannya dengan lebih baik…” nasihat Rasfal lembut.
“Kematian bukan penamat sebuah kehidupan tetapi permulaan sebuah perjalanan kita sebagai manusia. Saya percaya ibu akan bahagia kalau awak lepaskan dia pergi…” sambung Rasfal lagi membuatkan Citra tertunduk.
“Saya tahu tapi hati saya ni rapuh sangat. Saya rasa macam saya ni anak yang tak berguna. Ibu meninggal tanpa sempat melihat saya sedangkan itu impian saya. Saya dah berkorban segalanya supaya ibu dapat melihat semula tapi awak tengoklah…dia pergi tinggalkan saya seorang…” balas Citra dengan suara yang tersekat-sekat.
“Tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi esok apatah lagi yang akan datang. Kita hanya mampu merancang tapi setiap perancangan kita tidak mampu menandingi perancangan yang di atas sana. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk awak, Citra. Saya tahu perkahwinan ini adalah pengorbanan awak untuk ibu tetapi pemergiaan ibu bukan rancangan kita. Rela atau tidak, saya tak boleh nak batalkan perjanjian kita…” ujar Rasfal.
Citra mengeluh kecil. Air matanya diseka dengan jari. Itu salah satu masalah lagi. Sepatutnya apabila pembedahan itu berjaya, dia akan menerima gaji daripada Rasfal tetapi sekarang berlaku sebaliknya. Ibunya sudah meninggal dunia dan sekarang dia sudah sah menjadi isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal. Dia terperangkap!
“Tapi saya tak nak menyusahkan awak…”
“Susah atau tidak semuanya sudah dipersetujui dan awak tak boleh berpaling lagi. Satu Malaysia dah tahu yang saya berkahwin dengan awak dan tak mungkin saya akan ceraikan awak dalam masa terdekat ni. Awak kena faham dengan situasi saya. Saya boleh berikan gaji setiap bulan pada awak kalau awak nak sebagai upah jadi isteri saya…” balas Rasfal. Dia mula berpeluh apabila dapat tanda-tanda yang Citra ingin menarik diri. Mana boleh tarik diri. Malu muka aku nanti. Detik hati Rasfal.
Citra mengeluh lagi. Otaknya semakin sakit memikirkan masalah yang melanda hidupnya. Dia inginkan ketenangan seperti dahulu. Sewaktu ibunya masih hidup.
“Nantilah saya fikirkan kemudian. Kalau bos nak balik ke KL, bos baliklah. Biarkan saya seorang dekat sini…saya faham bos tentu sibuk…” balas Citra. Dia sedikit pun tidak menoleh pada Rasfal yang berada di sisi. Entah mengapa dia rasa sedikit kekok berdua-duaan dengan Rasfal walaupun lelaki itu sah menjadi suaminya.
“Saya ni public figure, Citra. Kalau saya tinggalkan awak keseorangan dekat sini, apa kata orang nanti. Tak pasal-pasal masuk paper, sekarang ni wartawan cari peluang untuk create berita yang panas walaupun benda itu tak sahih. Saya akan temankan awak sampai majlis tahlil untuk ibu selesai selepas tu kita balik KL. Kita masih ada majlis resepsi…” terang Rasfal.
Citra mengetap bibir. Kata-kata Rasfal tidak ubah seperti seorang bos yang memberi arahan pada anak buahnya. Mendatar saja bunyinya langusng tidak wujud kemesraan. Apa yang kau harapkan, Citra? Ingat, dia hanya majikan kau dan kau adalah pekerja dia. Itu saja. Hati kecilnya mengingatkan.
“Bos tak kisah ke bermalam dekat rumah saya yang serba kekurangan ni. Saya segan…” jawab Citra sambil menundukkan wajahnya.
Rasfal tersenyum manis. Wajah Citra yang bertudung putih dipandang lama sebelum matanya jatuh pada jari-jemari Citra yang masih merah berinai. Terasa ingin digenggam jari-jemari itu tapi Rasfal tersedar, dia perlu menjaga batas antara dia dan Citra.
“Saya ni pernah tidur seminggu dalam hutan apa nak dikisahkan sangat kalau tinggal dekat rumah awak dua hari. Janji saya dapat makan, minum dan tidur. Selebihnya saya tak kisah…” balas Rasfal tersenyum.
Citra berpaling. Mata mereka berlaga membuatkan Citra terkedu seketika. Dia tidak percaya pelakon terkenal seperti Rasfal berkata seperti itu. Walaupun air muka lelaki itu kelihatan sombong tapi ternyata Rasfal bukanlah seperti yang dia fikirkan. Masih ada sifat baik dalam diri lelaki itu pasti terikut perangai Datin Rohana yang tidak sombong.
“Kalau macam tu, saya nak kemas apa yang patut. Malam ni ada tahlil, lepas maghrib orang masjid akan datang. Saya harap bos dapat turut serta masa tahlil nanti…” ucap Citra selepas melarikan pandangan ke tempat lain.
Rasfal tersenyum kecil. Dia mengangguk. Dalam hati dia tercuit dengan sikap malu-malu yang ditunjukkan oleh Citra tanpa sedar.
“Memang itu pun niat saya nak bermalam dekat sini tapi depan orang ramai ataupun mama dan papa, tolong jangan panggil saya bos, boleh?” pinta Rasfal.
Dahi Citra berkerut. Dia berpaling pada Rasfal.
“Habis tu saya nak panggil bos apa? Takkan nak panggil nama je…”
“Panggil macam biasa je. Kalau awak tak keberatan panggil je abang lagipun saya lebih tua daripada awak…” balas Rasfal tersengih.
Bulat mata Citra memandang wajah Rasfal. Abang? Macam tak sesuai je.
“Mana boleh, awak bos saya takkan saya nak panggil abang pulak. Nanti marah pulak Abang Qammar.” Jawab Citra sambil menggelengkan kepala.
Rasfal terdiam seketika apabila nama Qammar disebut oleh Citra. Hampir dia terlupa yang Citra sudah mempunyai tunangan.
“Depan orang ramai awak panggillah dengan panggilan yang elok sikit, tapi kalau belakang orang, terpulang pada awak…” balas Rasfal membuat kata putus.
Hmmm…insya-Allah saya akan cuba. Saya masuk dulu, saya nak kemas bilik untuk awak. Bolehlah awak rehatkan badan. Saya ni terlalu banyak menyusahkan awak…” ujar Citra kemudian dia bangun.
Rasfal hanya menganggukkan kepala sebelum dia kembali menyambung lamunannya.
MAJLIS tahlil selesai dengan selamat. Walaupun dirinya masih bersedih namun Citra cuba cekalkan hati tetapi saat imam membacakan doa, air mata Citra tumpah juga apabila wajah ibunya menari-nari di ruang mata.
Kini, semua tetamu sudah pulang ke rumah, tinggal Citra bersendirian mengemas ruang tamu yang belum selesai dikemas.
“Assalamualaikum…” sapa satu suara membuatkan Citra berpaling ke muka pintu.
“Waalaikummusalam…” jawab Citra apabila terlihat wajah Rasfal yang kacak berbaju melayu dan berkain pelekat berdiri di muka pintu.
Rasfal melangkah masuk menghampiri Citra. Suasana rumah itu sunyi sepi hanya tinggal mereka berdua sahaja. Suasana itu cukup membuatkan Rasfal terasa kekok. Dia kekok apabila berdua dengan Citra saat ini.
“Nak saya tolong ke?” soal Rasfal memulakan bicara.
Citra memandang sekilas pada Rasfal yang masih setia memandang wajahnya.
“Tak payahlah. Saya boleh kemas. Kalau awak nak rehat, saya dah kemas bilik. Awak pergilah. Maaflah kalau awak tak selesa…” jawab Citra sambil tangannya lincah menyapu ruang tamu.
“Berapa kali saya nak cakap yang saya tak kisah dengan semua tu. Cuma saya nak bagitahu awak, esok saya kena balik KL, ada wawancara dengan Astro Ria..” ucap Rasfal. Dia berlalu ke tepi tingkap.
Citra menghentikan perbuatannya. Dia mengangkat wajah seketika sebelum menunduk kembali.
“Kalau macam tu, bos baliklah. Saya nak tinggal dekat sini lagi.”
“Awak nak tinggal dalam rumah ni sorang-sorang? No, no, saya tak benarkan!” tingkah Rasfal sambil menggelengkan kepala.
Citra terdiam seketika. Dia memandang wajah Rasfal yang kelihatan tegang.
“Tapi kenapa? Ini rumah saya…” balas Citra.
“Ya, saya tahu ini rumah awak tapi bahaya awak tinggal sorang diri dalam rumah ni. Kalau mama tahu mesti saya yang kena marah. Awak tak dengar apa yang mama pesan tadi?” soal Rasfal. Suaranya kedengaran tegang.
Citra tidak menjawab. Perlahan-lahan dia menghampiri Rasfal yang berdiri di tepi tingkap. Wajah lelaki itu dipandang lama.
“Saya dengar, tapi saya nak tinggal lama lagi kat sini. Saya belum puas tinggal kat sini. Hanya rumah ni saja kenangan yang saya ada dengan ibu saya…” ucap Citra perlahan.
Rasfal menarik nafas panjang. Cuba bersabar dengan karenah Citra yang seakan tidak mahu menerima kenyataan bahawa Puan Cempaka sudah meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
“Apa lagi yang awak nak tunggu, Citra? Ibu dah meninggal. Awak tak faham ke? Buat apa awak kenang kalau ternyata ibu takkan kembali. Menangislah air mata darah sekalipun, ibu takkan hidup semula. Cuba awak belajar terima kenyataan. Jangan jadi perempuan yang lemah!” suara Rasfal meninggi.
Bahu Citra terhinjut mendengar suara Rasfal yang meninggi. Spontan air matanya mengalir. Bukan dia tidak dapat menerima kenyataan tetapi saat ini hatinya sangat rapuh. Dia baharu kehilangan ibunya jadi wajar kalau dia berasa sedih.
“Saya…saya cuma…cuma nak tinggal kat sini je…” ujar Citra dengan sendu yang semakin berlagu. Dia menundukkan wajahnya.
Rasfal mengeluh. Dia meraup wajahnya yang terasa lesu. Tanpa dia sedari, dia sudah menyakiti hati Citra. Lalu, dia memegang kedua bahu Citra. Wajah gadis itu yang sedang tersedu sedan dipandang lama.
“Maaf, saya tak sengaja…”
“Saya tahu saya banyak menyusahkan bos sampaikan ibu saya meninggal pun saya susahkan bos. Sepatutnya saya selesaikan masalah bos bukan mengheret bos dalam masalah saya ni…” lirih suara Citra kedengaran menyebabkan Rasfal kehilangan kata. Setiap kali melihat air mata mengalir dari anak mata bundar itu, hatinya terasa sakit dengan sendirinya.
“Citra….bukan itu maksud saya…”
“Saya tak salahkan bos kalau bos tak faham keadaan saya sebab bos tak pernah berada di tempat saya. Selepas abah saya meninggal dunia, hidup ibu saya bagaikan dalam kegelapan, dia menangis dan terus menangis sehingga meragut pandangannya. Waktu itu saya tak mampu buat apa-apa hanya berdoa yang ibu akan sembuh, bila ibu ada peluang untuk sembuh…dia pergi buat selama-lamanya. Bos tahu apa yang saya rasa, saya rasa saya tak guna….” Luah Citra. Air matanya terus menitis dengan laju mengenangkan dirinya yang tidak mampu membalas jasa ibunya.
Rasfal menghela nafas panjang. Dia menggigit bibir. Menyesal kerana telah meninggikan suara pada gadis itu sehingga memaksa gadis itu meluahkan perasaannya.
“Saya minta maaf. Saya tahu awak sedih tak sepatutnya saya marahkan awak tapi saya tak nak awak jadi perempuan yang lemah. Saya tahu awak seorang yang tabah dan kuat. Pertama kali saya melihat awak, saya tahu awak seorang yang kuat, Citra.” Pujuk Rasfal lembut.
“Saya kuat apabila ibu ada bersama dengan saya tapi sekarang saya tak ada siapa-siapa. Saya keseorangan atas dunia ni, bos tahu tak? Saya tak ada sesiapa!” suara Citra meninggi bersama sendu yang tidak tertahan. Dia menjarakkan diri daripada Rasfal.
Rasfal mengeluh. Lalu, dia menarik Citra ke dalam pelukannya. Niatnya hanya untuk menenangkan Citra yang bagaikan hilang pedoman. Tubuh itu meronta minta dilepaskan tetapi Rasfal memperkemaskan lagi pelukannya. Dia berharap agar gadis itu kembali tenang.
“Siapa cakap awak keseorangan? Awak masih ada saya…masih ada mama dan papa saya…” ujar Rasfal memujuk.
Citra membalas pelukan Rasfal. Saat ini dia betul-betul perlukan seseorang untuk meluahkan perasaannya. Sungguh hati dan jiwanya lemah saat ini.
“Tapi semuanya untuk sementara…apabila semuanya dah tamat, awak juga akan tinggalkan saya. Semuanya akan pergi dari saya….” Rengek Citra lagi.
Rasfal kehilangan kata. Apa yang dikatakan oleh Citra itu ada benarnya juga. Hubungan mereka sementara. Perkahwinan ini juga sementara. Bagaimana  nasib gadis ini setelah mereka berpisah nanti?
“Awak jangan fikir perkara yang jauh, hiduplah untuk hari ini. Perkara yang terjadi esok, biar Allah yang tentukan. Kuatkan semangat awak,” pujuk Rasfal lembut. Dia cuba menjenguk wajah Citra yang erat memeluk tubuhnya namun wajah itu tidak kelihatan kerana tersembam di dada bidangnya. Basah baju melayunya dek air mata Citra.
“Lepas ni awak tinggal dengan saya, saya akan jaga awak. Esok kita balik rumah saya ye…” sambung Rasfal lagi apabila tiada balasan daripada Citra.
Dahi Rasfal berkerut apabila tiada jawapan daripada Citra. Hanya terdengar dengusan nafas gadis itu yang dekat di wajahnya.
“Citra…” panggil Rasfal  lalu menolak sedikit tubuh Citra yang kelihatan lemah.
“Laaaa…tidur rupa-rupanya.” Ujar Rasfal kemudian dia tersenyum sendirian.
“Tengah berdiri pun boleh tidur. Pelik betul Citra ni…” omel Rasfal sendirian. Lalu dia mencempung tubuh Citra dan dibawa tubuh genit itu ke biliknya.
Tubuh Citra dibaringkan dengan berhati-hati. Tudung yang melekat di kepala gadis itu dibuka lalu diletakkan di sisi Citra. Rasfal terpaku seketika saat melihat wajah sebenar Citra tanpa mengenakan tudung. Sungguh polos wajah itu saat tidur. Perlahan-lahan jari Rasfal menguis anak rambut Citra yang menutupi dahi gadis itu. Sisa air mata yang mengalir di pipi Citra yang mulus diseka dengan jari-jemarinya.
“Berat betul ujian untuk kau, aku harap kau dapat harungi semua ni sebab aku tahu kau seorang yang tabah…” desis Rasfal sendirian.
Dia tersenyum sebelum menarik kain selimut dan menyelimuti tubuh Citra. Dia bangun setelah segalanya selesai.
“Selamat malam, Citra…” ucap Rasfal sebelum menutup suis lampu.


No comments:

Post a Comment