“Aku mintak maaf. Sibuk sangat,” pinta Shafiqa sambil meletak mangkuk tingkat di atas meja kayu yang terdapat di situ.
“Tak apalah. Kau dah datang sekarang ni pun aku seronok,” ungkap Shafiq mula membuka mangkuk tingkat itu. Memang dia sudah tidak sabar hendak menikmati bekalan yang dimasak oleh Shafiqa. Walaupun tidak sesedap mana adik kembarnya memasak, tetapi yang paling penting adalah ingatan Shafiqa terhadap dirinya.
“Kau nampak gemuk,” usik Shafiqa. Shafiq tersenyum, mula menjamah nasi beriani dan ayam masak merah yang sudah diletakkan di dalam pinggan plastik.
“Kau pulak, nampak kurus,” komen Shafiq memandang kepada Shafiqa. Tubuh adik kembarnya itu kelihatan agak susut. Teruk sangatkah adiknya itu bekerja sehingga kurus
sebegitu. Kasihan Shafiqa, kerana hendak mencari sesuap nasi terpaksa bekerja berhempas pulas, desisnya sendiri.
“Diet.”
Shafiq menjeling tanpa senyum. Shafiqa tersengih. Seronok dia melihat Shafiq menjamah bekalan yang dimasaknya dengan berselera sekali.
“Tak makan ke?” soal Shafiq apabila melihat Shafiqa hanya bersandar membelakangi meja tempat mereka meletak bekalan makanan.
“Dah makan di rumah tadi.” Dia hanya bersarapan dengan roti bakar dan planta sahaja. Seleranya hilang dek sikap Ashila. Dia tahu, lambat laun pasti Encik Zakey dan Puan Razita akan bertanya kepadanya. Berbohong berdosa. Tak berbohong salah, bimbang segala rahsia Ashila terbongkar. Pening kepalanya.
Shafiq mengangguk sambil terus menjamu selera. Sepi antara mereka. Shafiqa meneguk teh bunga yang dituang ke dalam gelas tadi. Matanya memandang suasana pusat pemulihan itu. Kelihatan surau yang terletak hampir 50 meter dari tempat mereka sedang duduk kini. Ada sebuah dewan yang boleh memuatkan semua penghuni di situ. Suasana kelihatan agak sibuk. Mungkin ramai ahli keluarga yang datang ingin bertemu dengan orang tersayang mereka yang tersadai di situ.
“Tak lama lagi aku akan keluar Ika,” kata Shafiq memandang Shafiqa sejenak. Kemudian beralih memandang nasi yang masih bersisa di dalam pinggan plastik. Terasa puas dapat makan masakan yang lain daripada selalu. Shafiqa senyap. Dia tahu. Sudah beberapa kali
Shafiq memberitahu perkara itu kepadanya dan dia juga sedang berusaha mencarikan kerja untuk lelaki itu.
“Aku tak tahu nak kerja apa dah keluar nanti,” perlahan Shafiq bersuara sambil menyuap nasi ke mulutnya. Lama dia merenung nasi itu. Terasa menyesal dengan apa yang telah dilakukan. Melihatkan kejayaan Shafiqa, dia juga ingin merasa seperti itu. Punya kereta dan kerja tetap. Dia tidak boleh terus-terusan mengharapkan Shafiqa sahaja.
“Kau jangan bimbang. Insya-Allah aku akan tolong carikan,” pujuk Shafiqa sebagai memberi semangat kepada Shafiq. Dia memandang Shafiq yang kelihatan rusuh. Shafiq memandang Shafiqa.
“Nanti kat mana aku nak tinggal, Ika?” soalnya perlahan. Pelbagai persediaan terpaksa difikirkan sebaik sahaja dia keluar dari situ.
“Kau tinggal dengan akulah,” balas Shafiqa. Berkerut dahinya. “Kenapa? Kau ada tempat lain ke?” soal Shafiqa ingin tahu. Mana tahu kalau lelaki itu sudah merancang untuk tinggal bersama teman-temannya. Tetapi jangan harap dia akan membenarkan. Dia tidak sanggup
melihat perkara yang sama berulang lagi. Dia bimbang kalau-kalau Shafiq mengulangi lagi perbuatannya.
Terasa perit dan pedih bila mengingatkan cemuhan Puan Arfah. Dia tidak menyangka yang satu-satunya ibu saudara mereka sanggup membuang mereka berdua. Dicaci, dihina dan dibenci oleh wanita itu dan Helmi. Sangkanya bolehlah dia menumpang kasih dengan emak saudaranya itu sementelah ayah mereka dan arwah suami Puan Arfah adik beradik kembar.
“Tak apa ke?” soal Shafiq rasa lega dan terharu.
“Shafiq, siapa lagi yang aku ada?” keluh Shafiqa merenung kejauhan. Shafiq memandang Shafiqa. Air mata mula menuruni pipinya. Dipeluk bahu Shafiqa dengan erat.
“Siapa lagi yang aku ada kalau bukan kau.” Shafiqa menjatuhkan kepalanya ke bahu Shafiq. Air mata itu sudah jatuh ke dalam nasi beriani yang dimasak oleh Shafiqa pagi tadi.
“Rumah di kampung ada lagi ke?” soal Shafiq ingin tahu.
“Tak payahlah. Kau duduk dengan aku dulu.”
“Sampai bila nak susahkan kau aje?” keluh Shafiq.
“Tak ada yang susah. Aku lagi suka. Ada teman. Sekarang ni pun Ashi temankan aku. Itu pun kejap ada, kejap lagi balik rumah orang tua dia.” Ya sesekali Ashila akan melepak dan tidur di rumah yang disewanya daripada temannya itu. Shafiq senyap. Dia terus menyambung makannya. Malas hendak memikirkan perkara itu, tetapi kalau tidak difikirkan bagaimana dia hendak meneruskan kehidupannya.
“Pasal kerja, insya-Allah, aku akan cuba carikan. Kau jangan susah hati. Bumi Allah ni luas. Cuma aku nak kau janji... jangan buat kerja dulu ya,” pinta Shafiqa memandang kembarnya.
Shafiq memandang Shafiqa tanpa senyuman, kemudian mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Aku pun kalau boleh nak padam kisah yang memalukan keluarga kita. Walaupun emak dan abah dah tak ada, tapi aku dah palit lumpur pada nama mereka.” Sedih hatinya apabila mengingatkan kisah-kisahnya dahulu.
“Dahlah, jangan diingatkan perkara dah lepas. Yang penting kau dah sedar dan berubah. Manusia tak lari daripada buat silap dan aku harap kau jangan buat kesilapan yang sama lagi,” nasihat Shafiqa lembut.
“Insya-Allah,” ucap Shafiq dengan anggukannya.
“Kalau aku silap, kau tolong-tolong tegur aku,” pesannya.
“Banyak-banyaklah berdoa selepas solat agar ditetapkan diri kau berada di landasan yang betul.” Sekali lagi Shafiqa menasihati kembarnya.
Dan sekali lagi Shafiq mengangguk-anggukkan kepalanya.
No comments:
Post a Comment