DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 22 January 2015

Dekat Padamu - Bab 8

PANDANGAN daripada Raiyan dan Faiz benar-benar membuat dia gelisah tidak menentu sebentar tadi. 

Mahu sahaja dia keluar dari mesyuarat yang dihadiri antara kakitangan Rayway Property, Archkey Sdn Bhd, Ikhlas dan dua orang kontraktor dari syarikat berlainan yang dilantik
oleh Rayway Property untuk menyiapkan projek Sri Teja tersebut.

“Kita pergi makan dulu,” ajak Iskandar sambil mengemas dokumen-dokumen yang dibawanya. Kemudian memandang Shafiqa yang masih duduk sambil menggulung pelan bangunan yang mereka bincangkan tadi. Nampaknya keretakan itu tidak seserius mana. Menurut pihak Ikhlas, retakan itu hanya berlaku di mezanine sahaja dan tidak berlaku di mana-mana ruang dan tingkat lain. Ia hanya retakan biasa, mungkin disebabkan hentakan yang kuat ketika mereka memunggah batu bata di tingkat atas. 

Dia dapat melihat yang Raiyan tidak berpuas hati dengan laporan pihak Ikhlas, tetapi Tuan Haji Hamidi, CEO dari Rayway Property yang turut hadir, sedikit membangkang kenyataan yang dikeluarkan oleh Raiyan sebentar tadi. Kecut juga dia mendengar suara lantang Raiyan menentang lelaki yang sudah berstatus haji itu. Tegang wajah kedua mereka.

“Perlu ke?”

Setahunya lelaki itu sudah menikmati nasi lemak bersama rendang ayam untuk sarapan paginya. 

“Hidup untuk makan, makan untuk hidup, sayang Ika, oii!” balas Iskandar dengan senyuman sambil mengenyit matanya. Shafiqa menjeling. Macam buaya Iskandar ni. Tak
sudah-sudah dengan makan, omelnya sendiri.

“Hai,” sapa Faiz yang muncul di antara mereka. Iskandar dan Shafiqa memandang lelaki itu.
Shafiqa sudah pun bangun sambil menjinjing beg tangan dan gulungan pelan tadi. Dia memandang Iskandar yang sedang bersalam dengan Faiz. Kemudian menoleh kepada  Raiyan yang masih duduk. Mereka duduk berhadapan tadi dan lelaki itu masih lagi begitu, tangannya ligat bermain dengan pensel di celahan jarinya. 

Apa kena dengan mamat ni? Soalnya sendiri kembali memandang kepada Faiz dan Iskandar yang sedang berborak.

“Di mana?” soal Iskandar.

Mendengar soalan itu dia sudah dapat mengagak yang Faiz mengajak mereka keluar makan. Iskandar memandangnya sambil tersengih seperti kerang yang teramat busuk.

“Abang Faiz ajak makan,” ujar Iskandar. Faiz tersengih sebaik Shafiqa merenungnya.
Serasanya inilah peluangnya untuk mendekati Shafiqa. Dia sudah tidak sabar hendak berkenalan dengan gadis itu dengan lebih rapat lagi. Shafiqa menjadi serba salah. Ditolak nanti, dikatakan sombong dan tak sudi. Hendak atau tidak terpaksa dia mengikut sahaja rancangan mereka. 

“Tapi Ika ada appointment dengan Tun,” kata Shafiqa mengingatkan Iskandar yang dia mempunyai temu janji dengan salah seorang klien mereka. 

“Appointment tu pukul berapa?” soal Iskandar memandang Shafiqa. 

“Pukul 3.30 petang,” jawab Shafiqa sambil memandang jam di pergelangan tangannya.

“Alah, orang tua tu mesti lambat. Paling cepat pun setengah jam selepas janji dia. Dia kata pukul 3.30, tapi datang pukul 4.00 lebih. Tengoklah karang,” kata Iskandar. 

Dia sudah arif sangat dengan lelaki berusia 60 tahun itu yang akan datang lewat daripada yang dijanjikan. Faiz ketawa mendengar kata-kata Iskandar. Memang dia sudah maklum sangat dengan sikap lelaki yang digelar Tun oleh mereka yang mengenali lelaki itu.

“Betul Faiz. Hari tu dia minta aku datang pukul 10.00 pagi, aku datanglah sebelum pukul 10.00. Pukul 11.00 pagi tak muncul lagi. 11.45 baru dia sampai. Itu pun kena tunggu setengah jam, nak tengok itu dan tengok inilah. Eee... sakit jiwa aku. Masa aku terbuang menunggu dia,” cerita Iskandar berupa sungutan.

“Biasalah tu, orang ternama,” balas Faiz.

“I nak join sekali boleh ke?” soal Raiyan yang sudah menghampiri mereka bertiga.

“Boleh sahaja. The more the merrier,” sambut Faiz dengan senang hati. Raiyan tersenyum kelat. Dia tahu tujuan Faiz yang sebenarnya. Dia juga punya tujuan. Tetapi bagaimana dia ingin bertanya kelak. Masakan hendak bertanya tentang Ashila di hadapan Iskandar. Nanti terkejut pulak lelaki itu, desisnya sendiri.

“I nak simpan benda-benda I ni. You berdua tunggu dekat reception, ya.” Faiz mula melangkah meninggalkan Iskandar dan Shafiqa yang sudah melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu. Di belakang mereka Raiyan yang nampak sedang memikirkan sesuatu.

“You berdua duduk dulu, I nak simpan semua ni.” Raiyan juga meminta diri untuk ke biliknya.

“Okey,” balas Iskandar.

 “Jom,” ajak Iskandar kepada

Shafiqa yang sedang terkial-kial hendak mengambil telefon bimbitnya dari dalam beg tangan. Iskandar mengambil gulungan kertas tadi dari tangan Shafiqa dan melangkah mendahului gadis itu.

“HELO.” Kasar sambutnya, sebaik melihat nama Ashila tertera di skrin telefon bimbitnya.

“Ika, aku dah sampai kat KLIA ni. Kau boleh ambik aku tak? Jay dah naik flight terus ke Singapura.” Suara Ashila kedengaran di sebelah sana seperti merengek. Astaghfirullah al’azim, minah ni! Dia ingat ini company bapak aku ke? Suka suka nak ikut kepala otak dia
yang tiga suku tu, gumam Shafiqa dengan rasa marah. Mahu sahaja dia memarahi Ashila. Namun cuba ditenangkan dirinya. Nanti apa pulak kata Iskandar.

“Naiklah tren atau teksi, kan banyak kat situ.” Keras suara Shafiqa tetapi perlahan. Dia terus
mengekori langkah Iskandar, tetapi berjarak dua ke tiga meter. Bimbang kalau-kalau Iskandar dapat menghidu perbualannya dan Ashila.

Iskandar memang tidak merestui hubungan adiknya dengan Jamal. Pernah sekali Jamal hampir-hampir ditumbuk oleh Iskandar semasa mereka bertembung dengan keduanya di The Curve, Damansara.

“Aku tak reti,” rengek Ashila. 

“Kepala otak kau tak reti. Pergi Koh Samui, reti pulak. Belajar sendiri. Aku ada appointment dengan tunang kau dan Encik Faiz ni,” jelas Shafiqa geram.

“Alah... Ika.” Sekali lagi Ashila merengek di sebelah sana.

“Naik teksilah!” tekan Shafiqa segera dia memutuskan talian itu apabila Iskandar menoleh.

“Siapa tu?” soal Iskandar. Pelik dia melihat Shafiqa bercakap di talian berbisik-bisik. “Boyfriend ya?” usik Iskandar dengan senyuman nakalnya.

“Ma... mana ada,” nafi Shafiqa sambil menyimpan telefon bimbit di dalam beg tangannya semula. Dimatikan talian itu terus agar Ashila tidak dapat menghubunginya lagi. Pandai pergi, pandailah kau balik, gumamnya lagi. 

“Hmm... eloklah. Abang memang dah rancang nak jadikan Ika isteri bongsu abang,” balas Iskandar selamba. Mamat ni dah sewel agaknya, dengus Shafiqa lalu melabuhkan punggungnya di salah sebuah sofa di tempat menunggu di belakang kaunter penyambut tamu di lobi Rayway Property.

“Abang Is ni kan, macam orang sewel tau. Kalau Kak Tini dengar, mesti dia kata Ika ni menggedik,” cebik Shafiqa dengan rasa marah. Sungguh, dia tidak suka dengan gurauan Iskandar yang keterlaluan itu.

“Hai, dia boleh pasang, masakan abang tak boleh pasang satu! Dapat Ika pun jadilah,” Iskandar ketawa di hujung kata-katanya. Dia sudah pun melabuhkan punggungnya tidak jauh daripada Sahfiqa lalu menyilangkan kakinya yang panjang. Shafiqa menjeling. Menyampah. Menyampah pun dia terpaksa juga bekerja di bawah tangan Iskandar. Bukan
dia tidak suka dengan Iskandar, tetapi gurauan lelaki itu kadang-kadang membuat dia meluat. 

“Nampaknya abang dengan Kak Tini, dua kali limalah, ya? Masing-masing nak tunjuk hebat,” perli Shafiqa. Pendek sungguh akal Iskandar ni, cemuhnya sendiri. Terjongket kening Iskandar. Tidak faham dengan maksud kata-kata Shafiqa. Dia bangun lalu duduk bersebelahan gadis itu. Shafiqa bergerak sedikit sebagai menjarakkan duduknya. Berkerut dahinya memandang Iskandar yang tersenyum seperti lelaki miang.

“Apa yang dua kali limanya?” 

“Sikap abang tulah. Lebih kurang macam Kak Tini,” jelas Shafiqa memandang Iskandar yang memandangnya. Iskandar senyap. Tubuhnya yang kekar disandarkan ke badan sofa agar duduknya berasa sedikit selesa dengan perbualannya yang sedikit menghangat. 

“Tak sangka dia boleh buat abang macam tu,” keluh Iskandar.

“Agaknya abang tak layan dia baik-baik kut?” Shafiqa cuba meneka. Iskandar tersenyum. 
“Mungkin jugak.” Pandangannya menerjah gambar yang tergantung pada dinding hadapan mereka. Shafiqa senyap. Rumah tangga Iskandar memang sudah bergolak lebih setahun yang lalu sebelum dia mula bekerja dengan Archkey Sdn Bhd lagi. Dia bertemu dengan Encik Zakey dan Iskandar semasa dia bekerja di Jehan Arkitek. Sebelum itu Ashila mendesaknya agar menerima tawaran Encik Zakey untuk bekerja di situ. Lama juga dia memikirkan tawaran itu.

Sekali lagi Iskandar memandang Shafiqa yang tidak memandangnya. “Apa yang patut abang buat?” 
 
“Jumpalah kaunselor. Di pejabat agamakan ramai kaunselor? Abang boleh minta nasihat daripada mereka.” Iskandar mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Pada pendapat Ika... elok kalau abang lepas kan Kak Tini, daripada biarkan dia bergelumang dengan dosa. Biar dia kahwin dengan lelaki itu. Ini abang biarkan dia begitu, dosanya abang yang tanggung,” nasihat Shafiqa. Sekali lagi Iskandar mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Ika nak jadi isteri bongsu abang?”

Sepontan Shafiqa menampar bahu Iskandar dengan fail di tangannya. Iskandar sudah ketawa-ketawa dengan reaksi Shafiqa yang sudah dapat dijangka.

“Boleh tak jangan cakap macam tu! Nanti masin mulut abang, tau tak!” hampir-hampir sahaja Shafiqa menjerit.

“Ika dah rasa ke mulut abang?” sekali lagi terjongket kening sebelah kiri Iskandar memandang tepat ke mata gadis itu. Merah padam wajah Sahfiqa. Hantu betul Iskandar ni! Gumamnya dengan rasa menghangat di dada. Dia bangun sebaik melihat Raiyan dan Faiz menghampiri mereka.

“Jom... I belanja.” Raiyan bersuara.

“Ini sudah bagus,” puji Iskandar sempat mengenyit matanya kepada Shafiqa. Shafiqa menjeling. Meluat! Menyampah!

No comments:

Post a Comment