BUNYI
kompang dipalu memenuhi segenap ruang hotel lima bintang yang dijadikan tempat
untuk majlis resepsi Ras Haqeemi dan Citra Nur Afilya. Ruang dewan itu hampir
dipenuhi dengan rakan-rakan media dan peminat-peminat yang dijemput khas oleh
Rasfal untuk menjadi saksi perkahwinannya dengan Citra. Bibir Rasfal terukir
dengan senyuman manis namun di hatinya terselit rasa yang bercampur baur.
Jika hari ini para wartawan berkumpul
untuk membuat liputan tentang majlis perkahwinannya, pasti dalam jangka masa
sebelas bulan akan datang, semua wartawan akan mengerumuninya untuk membuat
liputan tentang berita penceraiannya pula. Alangkah bagusnya jika apa yang
dirancang menjadi kenyataan. Tetapi adakah jalan hidupnya semudah itu? Soal
hati Rasfal.
“Cantiknya…” suara Atif kedengaran
mengejutkan Rasfal. Dia berpaling pada Atif yang berdiri di sisinya.
“Apa yang cantik?” soal Rasfal pelik.
“Tu…” Atif memuncungkan mulut
menunjukkan ke arah Citra yang lengkap berpakaian pengantin sedang berdiri
sambil memegang bunga. Di bibir gadis itu terukir senyuman manis.
Rasfal mendongak. Dia terpaku seketika
melihat Citra yang kelihatan sangat cantik dengan gaun pengantin labuh
tersarung di tubuh genitnya. Manakala, kepala gadis itu ditutupi dengan selendang
yang dililit kemas dan diletakkan mahkota yang diperbuat daripada berlian di
atas kepalanya. Seluruh pakaian dan penampilan Citra diuruskan sepenuhnya oleh
Datin Rohana dan Rasfal tahu Datin Rohana memang pakar dalam semua ini.
Dia tersenyum manis pada Citra yang
setia menunggunya. Kedengaran lagu-lagu pengantin baru dimainkan dan dinyanyikan
oleh penyanyi yang dijemput khas oleh Rasfal. Dia menghampiri Citra sambil
wajahnya tidak henti-henti disilaukan dengan lampu kamera yang galak merakamkan
detik manis antara dia dan Citra.
Rasfal menghulurkan tangannya pada Citra
yang kelihatan terkedu. Tidak lama kemudian, barulah Citra menyambut huluran
tangan Rasfal. Dia mengenggam tangan suaminya itu dengan kemas.
“Kenapa sejuk sangat tangan kau ni?”
bisik Rasfal rapat di telinga Citra.
“Saya takutlah. Ramai sangat yang
pandang saya macam nak telan je,” ucap Citra.
“Orang cantik memanglah ramai yang
pandang,” balas Rasfal bersahaja. Matanya difokuskan ke arah pelamin. Renungan
Citra di sebelah tidak diendahkan.
Citra terdiam seketika sebelum bibirnya
turut mengukir senyum. Dia mengikut jejak langkah Rasfal sehinggalah sampai di
atas pelamin yang cukup cantik. Atif dan Rania menjadi pengapit untuk Rasfal
dan Citra kali ini. Memang hati Citra cukup gundah-gulana apabila matanya
secara tiba-tiba bertembung pandang dengan anak mata Qammar.
Lama Citra berbalas renungan dengan
Qammar sebelum dia tersedar apabila tangannya digenggam oleh Rasfal.
“Kau pandang apa tu?” soal Rasfal dengan
suara yang perlahan. Cukuplah untuk dia dan Citra mendengar.
“Err…tak
ada apa-apa,” balas Citra lalu mengalihkan pandangan ke hadapan.
“Kau jangan nak buat perangai ya. Dalam
ni ada ramai wartawan. Aku tak nak ada sebarang masalah. Lepas ni kita ada sesi
temu ramah dengan wartawan. Aku nak kau jawab mengikut apa yang aku dah
terangkan, faham?” ujar Rasfal lagi seolah berbisik. Matanya dipandangkan ke
hadapan cuma mulutnya saja yang berkata-kata.
“Saya faham bos,”
“Bagus. Sekarang pandang depan dan
senyum.” Arah Rasfal.
Citra akur. Dia mengukir senyuman
walaupun hatinya cukup tidak keruan apabila melihat wajah Qammar yang keruh. Dia
tahu tunangnya itu kecewa. Dia tahu Qammar pasti bersedih tapi apakan daya ini
semuanya telah berlaku dan tidak boleh berpatah semula.
Selesai saja majlis bersanding, Rasfal
dan Citra terpaksa berdepan dengan wartawan pula. Walaupun agak rimas namun Rasfal
gagahkan juga untuk menunjukkan wajah yang manis pada semua wartawan yang
hadir. Saat inilah dia harus gunakan kepakarannya dalam berlakon pada semua
yang hadir.
“Macam mana perkenalan kamu berdua?”
soal wartawan wanita apabila sesi soal jawab dimulakan.
Rasfal memandang Citra dengan senyuman
manis. Tangan Citra digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan.
“Perkenalan kami biasa-biasa je. Dia
bekerja di produksi saya dan sejak pertama kali saya tengok dia, hati rasa
tertarik untuk mengenali dia dengan lebih dekat kerana saya dapat rasakan yang
di seorang yang istimewa dan ternyata dia mendapat tempat istimewa di hati
saya,” jawab Rasfal tenang.
Citra menelan air liur. Jawapan Rasfal
terlalu dramatik. Bila masa aku dapat tempat istimewa di hati dia? Tak ada
tempat langsung aku dekat hati dia. Pandai betul kau menipu, bos. Detik hati
Citra.
“Apa ciri-ciri yang ada pada Citra
sehinggakan Ras Haqeemi sanggup menolak wanita lain untuk dijadikan teman
hidup?” wartawan lain menambah soalan.
Rasfal tersenyum lagi. Dia sudah dapat
menjangkakan soalan yang bakal diajukan jadi dia sudah menyediakan jawapan yang
dirasakan tepat.
“Dia seorang yang manis, sopan santun,
pandai hormat mama dan papa saya dan yang penting dia memiliki sifat-sifat
keibuan yang tiada pada wanita lain. Jadi dengan segala ciri-ciri yang ada pada
dia cukup untuk saya hidup dengan dia buat selama-lamanya,” balas Rasfal sambil
merenung wajah Citra.
Dengan pantas Citra menundukkan
pandangan. Dia segan apabila Rasfal melakukan sebegitu. Rasa berbahang wajahnya
apabila terdengar usikan daripada para wartawan.
“Citra pula bagaimana? Apa ciri-ciri
yang ada pada Ras Haqeemi yang menarik perhatian awak?” soal wartawan tadi pada
Citra.
Citra tersentak. Dia memandang Rasfal
buat seketika. Apa aku nak jawab? Tak ada langsung ciri-ciri pada Rasfal yang
memikat hati aku. Dahlah ego, sombong, kasar. Semuanya tak memenuhi citarasa
aku. Haih!
“Errr…bagi
saya Abang Ras seorang yang sangat penyayang. Penyabar dan paling penting dia
memang seorang lelaki yang suka ambil berat tentang saya,” bohong Citra.
Rasfal tersenyum lebar. Penyayang dan
penyabar? Nampak sangat Citra menipu. Detik hatinya namun dia hanya ketawa
dalam hati.
“Awak tahukan Ras ni pelakon lelaki yang
popular dalam Malaysia ni. Gosip-gosip tentang dia dengan perempuan memang
banyak. Jadi awak tak rasa ke nak mintak Ras tinggalkan dunia seni ni?” soal
wartawan lain.
Citra menggigit bibir. Lantak dialah nak
berlakon ke tak berlakon ke. Ada aku kisah? Jawab Citra cuma dalam hati.
“Saya tak halang untuk dia berlakon cuma
dia perlu jaga batas-batas dia sebagai suami orang. Saya tak pernah ada niat
pun nak mintak dia berhenti daripada menjadi anak seni,” balas Citra lancar.
“Beruntung Ras dapat isteri yang
memahami. Jadi macam mana pula dengan lokasi bulan madu? Tak nak kongsi dengan
peminat ke?” sampuk wartawan lain pula.
Rasfal dan Citra berpandangan. Mereka
terdiam seketika. Rasfal tersengih. Tidak langsung terlintas dalam fikirannya
tentang berbulan madu.
“Errr…pasal
tempat berbulan madu biarlah rahsia. Saya nak bagi surprise untuk isteri saya,” ujar Rasfal sambil mengelus lembut
bahu Citra.
Kedengaran para wartawan mengeluh hampa.
“Tunggu dulu. Bila masa yang sesuai
nanti saya akan umumkan.” Sambung Rasfal lagi.
Para wartawan mengangguk. Kemesraan yang
ditunjukkan oleh kedua merpelai ini menyakinkan mereka malah walaupun tampak
masih ada malu-malu namun Rasfal dan Citra nampak begitu serasi bersama.
Citra hanya tersenyum mendengar
jawapan-jawapan yang diberikan oleh Rasfal terhadap soalan demi soalan yang
diajukan oleh wartawan. Lelaki itu kelihatan tenang seperti sudah dapat
menjangkakan soalan yang akan diajukan padanya. Namun, jauh dalam sudut hati
Citra dia terasa gementar saat Rasfal memeluk erat bahunya. Apatah lagi dia
bertembung pandang dengan Qammar selaku jurukamera untuk majlis ini.
‘Kenapa kita harus berjauhan sedangkan
sepatutnya kita yang harus bersama, abang? Mengapa ini yang terjadi dalam
hubungan kita?’ detik hati Citra sambil matanya membalas pandangan Qammar yang
sayu.
“Apa kata-kata terakhir Citra untuk
Ras?” soalan wartawan mengejutkan Citra daripada lamunan. Dia mengalih
pandangan pada wajah yang berada di hadapannya.
“Errr…”
Citra tergagap-gagap. Dia hanya mengikuti jejak Rasfal yang memalingkan
wajahnya dan merenung anak matanya dengan redup.
“Saya nak awak tahu betapa bertuahnya
saya mendapat seorang isteri seperti awak. Izinkan selamanya saya di hati awak.
Izinkan saya menjadi suami yang menjaga dan melindungi awak sehingga ke akhir
hayat awak,” ucap Rasfal penuh perasaan. Dia mengucup tangan Citra dengan
selamba.
Citra terpana. Bulat matanya memandang
wajah Rasfal. Mungkin mudah bagi Rasfal mengucapkan kata-kata yang seromantis
itu kerana lelaki itu sudah terbiasa dengan ayat-ayat di dalam drama sedangkan
dia bukanlah wanita yang mudah mengungkapkan kata-kata semanis itu.
“Saya tak dapat berjanji untuk menjadi
isteri yang baik tapi saya akan cuba untuk menjadi isteri yang solehah. Saya
perlukan awak untuk bimbing saya, menjadi pelindung saya buat selama-lamanya,”
spontan ayat itu keluar daripada mulut Citra. Dia berpandangan dengan Rasfal
yang sedang tersenyum manis. Ada debar di dadanya saat Rasfal menyentuh
pipinya.
“Terima kasih, sayang.” Ujar Rasfal.
Spontan satu ciuman lekat di dahi Citra.
Citra terkedu. Hatinya sedikit tersentuh
dengan perbuatan Rasfal namun matanya sempat menangkap kelibat Qammar yang
berlalu meninggalkan tempat itu. Sedih, memanglah itu yang dirasakan oleh Citra
saat ini tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang Qammar. Dia
hanya tunduk dan membiarkan jari-jemarinya digenggam oleh Rasfal.
USAI solat isyak, Citra duduk di birai
katil sambil merenung inai yang masih merah di jari. Inai ini membuktikan
bahawa dia telah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bergelar suami
tetapi sayangnya dia menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya.
Lelaki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Selama ini dia hanya
melihat Rasfal di dalam kaca televisyen tetapi ternyata sekarang lelaki itu
sudah menjadi suaminya walaupun hanya untuk sementara.
Citra menilik cincin berlian yang berada
di jari manisnya itu. Satu keluhan terbit daripada bibir mungilnya.
“Kalau ibu ada mesti ibu tak percaya
yang Citra dah berkahwin. Tapi Citra tak kahwin dengan Abang Qammar, ibu. Citra
kahwin dengan orang yang sepatutnya menolong ibu untuk operation ibu. Maafkan Citra sebab terpaksa bohong pada ibu dulu.
Citra rindu ibu. Citra perlukan ibu,” ucap Citra sendirian. Dia mula teresak.
Wajahnya ditutup dengan telapak tangan.
Masih terbayang di matanya wajah Puan
cempaka yang sayu. Wajah yang penuh dengan kasih sayang. Setiap kata-kata
nasihatnya sentiasa terpahat kukuh dalam ingatan Citra malah tidak pernah
sekali pun dia melupakan wajah ibunya itu.
“Kalau dah kahwin nanti Citra kena
hormat pada suami Citra. Jangan tinggikan suara walaupun sedikit sebab suami
Citra jalan Citra untuk ke syurga. Ingat pesan ibu,” nasihat Puan cempaka
sambil menggosok lembut rambut Citra yang panjang melepasi bahu.
“Citra rindu ibu. Cepat betul ibu
tinggalkan Citra…” ucap Citra lagi dengan tangisan yang masih kedengaran.
Tetapi sebaik saja dia terdengar bunyi
pintu terkuak, dengan pantas Citra mengesat sisa air mata yang berguguran.
“Kenapa duduk sorang-sorang dalam bilik
ni? Dah makan belum?” soal Rasfal mendekati Citra yang duduk di birai katil.
Gadis itu sudah siap menukarkan pakaian namun Rasfal dapat mengesan mata Citra
merah. Menangiskah gadis itu?
Citra hanya menggelengkan kepala. Dia
menundukkan wajah. Bimbang Rasfal dapat mengesan yang dia sedang menangis.
“Kenapa tak makan lagi? Kau tu ada
gastrik. Nanti sakit susah pulak,” ucap Rasfal.
Tetapi dia pelik melihat Citra hanya
mendiamkan diri dan menundukkan wajahnya. Perlahan-lahan, Rasfal menarik dagu
Citra supaya gadis itu berpaling memandangnya.
“Kau menangis?” soal Rasfal pelik.
Citra menggelengkan kepala. Dia menolak
tangan Rasfal yang masih memegang dagunya.
“Jangan nak tipu aku. Kau menangis kan?
Kenapa?” soal Rasfal ingin tahu.
Satu keluhan terbit daripada bibir
Citra. Dia mengetap bibir menahan sebak yang menghimpit dada.
“Saya rindu ibu…” ucapnya perlahan.
Rasfal terdiam. Patutlah dia menangis,
rindu ibu rupa-rupanya. Bisik hati Rasfal lalu dia mengesot menghampiri Citra.
“Lepaskan ibu pergi daripada hati kau.
Insya-Allah kau akan tenang. Tak salah untuk kau mengenang ibu tapi jangan
terus-terusan meratap ibu macam ni. Nanti ibu akan terseksa dekat sana. Kau
anak yang baik kan? Tentu kau tak nak tengok ibu terus terseksa kan?” pujuk
Rasfal lembut. Dia memeluk bahu Citra.
Akhirnya air mata Citra tumpah juga. Dia
menangis teresak-esak mendengar kata-kata Rasfal. Lelaki itu tidak faham
perasaannya. Lelaki itu tidak pernah merasakan apa yang dirasakan saat ini.
Menanggung kerinduan pada orang yang tiada di hadapan mata begitu menyeksakan.
“Selepas arwah ayah saya meninggal ibu
yang besarkan saya. Saya melihat bagaimana jerih perih dia cuba membesarkan
saya dengan penglihatan yang terbatas. Macam-macam dia lakukan untuk berikan
kehidupan yang sempurna pada saya tapi saya…apa yang saya buat pada dia untuk
balas jasanya? Saya tipu dia. Saya anak yang tak berguna…” luah Citra sambil
menangis teresak-esak.
Rasfal mengetap bibir. Dia menarik Citra
ke dalam pelukan. Kepala gadis itu disandarkan ke dadanya manakala tangannya
mengelus lembut rambut Citra.
“Syyhhh…jangan
cakap macam tu. Aku yang jadi saksi melihat macam mana kau berusaha untuk
selamatkan ibu kau. Tapi takdir Allah kita tak boleh duga, Citra. Pasti ada
hikmah di sebalik semua ini,” nasihat Rasfal lembut.
“Saya tahu tapi saya bukanlah sekuat
mana. Hati saya rapuh. Saya tiada sesiapa melainkan ibu…”
“Tapi kau masih ada keluarga aku. Masih
ada mama, ada papa, ada Imran yang sayangkan kau,” pintas Rasfal.
“Tapi itu semua sementara. Awak dan
keluarga awak hanya sementara. Lepas kita berpisah tentu saya kehilangan
segala-galanya. Tentu semuanya akan berubah…” balas Citra membuatkan Rasfal
terdiam.
“Pertama kali aku tengok kau, aku tahu
kau seorang yang kuat. Aku tahu kau mampu untuk menghadapi semua ni. Jangan
pernah mengalah dengan ujian yang Allah berikan pada kau, Citra. Ibu pergi
kerana sudah tiba saatnya dia bertemu dengan Pencipta kita dan kau harus
percaya Dia akan menjaga ibu kau lebih daripada kau menjaga ibu kerana Dia akan
menjaga hamba-Nya dengan penuh kasih-sayang,” ucap Rasfal bagi menyedarkan
Citra.
Citra terdiam. Kata-kata Rasfal ada
benarnya juga. Memang sifat manusia itu hanya sementara malah keluarga adalah
pinjaman Allah untuk kita. Apabila tiba masanya dia akan mengambil balik kerana
fitrah manusia itu tiada satu pun yang kekal kecuali Dia.
Lalu, Citra menyeka air matanya dengan
jari. Mata yang terpejam dibuka sedikit demi sedikit. Hatinya lega dapat
meluahkan apa yang terbuku di hati tetapi tiba-tiba dia tersedar akan sesuatu.
Bulat matanya apabila menyedari kepalanya bersandar di dada bidang Rasfal.
“Bos nak buat apa dengan saya?!”
terjerit kecil Citra sambil menolak tubuh Rasfal supaya menjauhi dirinya.
Rasfal tidak sempat bersedia. Hampir dia
terjatuh daripada katil tetapi nasib baik dia sempat berpaut pada tilam.
“Kau nak salahkan aku pulak? Kau yang
menangis sampai terpeluk aku. Sekarang aku yang nak dipersalahkan? Teruklah kau
ni…” bebel Rasfal tidak berpuas hati. Dia memandang wajah Citra dengan tajam.
Citra diam seketika. Dia cuba mengingat
kembali apa yang berlaku. Betul ke aku yang peluk dia? Soal hatinya. Lalu
kepalanya digelengkan.
“Bos tipu. Saya tak ingin tau nak peluk
bos tu,” balas Citra tidak mahu mengalah.
“Tak ingin pun tapi kau dah peluk aku.
Sekarang aku nak kau bayar ganti rugi,” ujar Rasfal sambil menghulurkan tapak
tangannya pada Citra.
Citra membesarkan matanya. Gila ke apa
mintak ganti rugi. Bukan aku apa-apakan dia pun. Bentak hati Citra.
“Ganti rugi apanya? Bukan saya cederakan
bos pun,” bantah Citra.
Rasfal menggelengkan kepala.
“Aku tak kira, kau kena ganti rugi juga
sebab dah peluk aku. Belum pernah ada orang berani peluk aku tau,” balas Rasfal
sekadar untuk mengusik Citra. Dalam hatinya tergelak sakan melihat wajah Citra
yang mula gelabah.
“Tak nak saya!” cebik Citra sambil
memeluk tubuhnya sendiri.
“Oh, kau nak melawan ya. Nampaknya aku
terpaksalah…”
“Terpaksa apa?”
“Terpaksa tuntut ganti rugi daripada
kau,”
“Bos nak tuntut macam mana?” soal Citra
dengan dahi yang berkerut.
Rasfal tersengih sambil
mengangkat-angkat keningnya. Wajah Citra ditenung lama sebelum kedua belah bahu
Citra dipegang lalu tubuh gadis itu ditolak ke tilam dengan pantas.
Citra terjerit kecil. Bulat matanya
memandang wajah Rasfal yang begitu dekat dengan wajahnya. Air liur yang ditelan
terasa pahit. Jantungnya yang berdebar menyukarkan Citra untuk bernafas.
“Apa bos ni? Lepaskan sayalah!” marah
Citra cuba menolak tubuh Rasfal yang menghimpit tubuh genitnya.
“Eh mana boleh lepaskan macam tu je. Kau
kena ganti rugi dulu. Kau tahu tak malam ni malam apa?” soal Rasfal sambil
tersenyum nakal. Dia mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Citra.
“Malam isnin,” balas Citra lurus.
Rasfal ketawa kecil. Tangan Citra yang
cuba menolak tubuhnya digenggam. Dia tersenyum penuh makna. Suka pula dia
melihat wajah Citra yang sudah merona merah.
“Inikan malam pertama kita…” ucap Rasfal
dengan sengihan melebar.
“Malam pertama??” Citra terkejut.
Dahinya sudah berpeluh. Janganlah Rasfal fikir perkara yang bukan-bukan.
Melihat senyuman nakal yang terukir di bibir Rasfal cukup menyeramkan Citra.
Dadanya berdebar-debar.
“Tapi dalam perjanjian, bos tak
dibenarkan sentuh saya,” bantah Citra dengan suara yang hampir tidak terkeluar.
“Itu dalam perjanjian, luar perjanjian
boleh kan?” usik Rasfal lagi sambil mengenyitkan mata.
Hampir pitam Citra dibuatnya. Dia
menggelengkan kepala lalu matanya dipejamkan apabila wajah Rasfal semakin
menghampiri. Citra takut. Takut untuk menghadapi kenyataan.
Rasfal menahan dirinya daripada ketawa.
Lucu pula melihat wajah Citra yang ketakutan. Dia merenung anggota wajah milik
Citra yang terhidang di hadapan mata. Daripada mata gadis itu yang tertutup
rapat, mata Rasfal beralih pada hidung Citra yang sederhana mancung sebelum
matanya tepat memandang bibir Citra yang merah merekah. Tiba-tiba saja jantung
Rasfal bergetar. Dia menelan air liur. Batinnya bagaikan terpancing dengan satu
perasaan yang aneh.
Lantas, Rasfal menggelengkan kepalanya
dengan laju. Dia tidak boleh biarkan perasaannya hanyut nanti dia juga yang
akan menderita. Lalu, Rasfal bangkit lalu duduk di birai katil. Dia meraup
wajahnya dengan tapak tangan mengusir keinginan hati yang entah dari mana
datangnya.
“Dah tak payah nak perasan sangat. Bukan
aku nak apa-apakan kau pun. Saja je nak gertak,” ujar Rasfal selamba.
Citra membuka mata. Dia memandang ke
sekeliling. Kelihatan Rasfal sudah duduk di birai katil. Dia menarik nafas lega. Lalu
membetulkan baju tidur yang dipakainya.
“Bos jangan main-main dengan perkara
macam ni boleh tak?”
“Kenapa kau takut ke?” soal Rasfal
selamba.
Citra terdiam.
“Jangan risau, aku hanya sentuh orang
yang aku cinta…” balas Rasfal selamba lalu dia mendaki katil sebelum merebahkan
tubuhnya di sebelah Citra yang sudah bingkas bangun.
“Kalau bos tidur atas tilam ni, saya nak
tidur dekat mana?” soal Citra.
“Tidur jelah sekali. Bukan aku nak
apa-apakan pun. Aku dah cakap tadikan, aku akan sentuh perempuan yang aku cinta
saja. Kau tu tak ada pun dalam senarai,” balas Rasfal sambil ketawa kecil.
Citra mencebik. Sakit hati mendengar
kata-kata Rasfal.
“Kalau bos ada niat nak sentuh saya,
saya tendang bos,” balas Citra nekad. Dia mula merangkak naik ke atas katil.
Rasfal tersenyum penuh makna. Kemudian
dia bangkit dan berpura-pura untuk menerkam Citra. Citra yang terkejut dan tidak bersedia akhirnya jatuh
daripada katil.
“Aduhhhh….” Citra menggosok punggungnya
yang terhentak di lantai. Nasib baik lantai itu dialas dengan permaidani tebal,
kalau tidak pasti patah pinggangnya.
Namun, Rasfal hanya ketawa lepas. Puas
hatinya dapat kenakan Citra. Dia kembali merebahkan kepalanya di atas bantal.
“Seronok betul dapat tengok nangka busuk
jatuh,” perli Rasfal sambil memejamkan mata.
Citra mengecil matanya memandang Rasfal.
Rasa ingin dicekiknya Rasfal saat ini. Dia mengangkat tangan seolah-olah ingin
mencekik Rasfal.
“Tak payahlah nak cekik aku bagai. Lebih
kau tidur sebelum aku nekad terkam kau. Kang tak pasal-pasal kau mengandung
anak aku pulak,” ujar Rasfal dengan matanya yang tertutup.
Citra menelan air liur. Lalu dia
merebahkan badannya di sebelah Rasfal. Dia menarik kain selimut sehingga
menutupi kepalanya. Bantal peluk diletakkan di tengah-tengah bagi mengelak
Rasfal memasuki sempadan. Takut juga jika Rasfal betul-betul mengotakan apa
yang dikatakan kerana lelaki itu memang pantang dicabar. Pantas saja Citra
memejamkan mata.
Rasfal membuka mata. Dia menjenguk wajah
Citra kemudian dia tersenyum kecil.
No comments:
Post a Comment