HONDA
CRZ milik Rasfal berhenti di halaman rumah banglo
tiga tingkat milik mamanya. Citra yang tertidur di sebelah dipandang. Rasfal
tersenyum nipis sebelum meletakkan telapak tangannya di dahi Citra.
‘Alhamdulillah, dah tak panas…’ detik
hati Rasfal. Namun sepantas kilat dia mengalihkan tangan apabila kepala Citra
bergerak. Gadis itu membuka mata.
“Kita dekat mana ni?” soal Citra sambil
menggosok matanya.
“Kita dekat syurga…” gurau Rasfal.
“Hah, betul ke?” soal Citra dengan mata
yang membulat.
Rasfal menghamburkan ketawanya. Sikap
Citra yang lurus bendul menghiburkan hatinya.
“Kau ni kan memang dah mamai agaknya.
Itulah jangan tidur di siang hari. Dah, kita dah sampai rumah mama, jom kita
masuk…” ajak Rasfal sambil menolak pintu kereta.
Dia menarik nafas panjang. Rasa tenang
menyapa hatinya saat melihat kawasan rumah mamanya yang dipenuhi dengan
pokok-pokok hiasan yang menghijau. Kemudian, Rasfal berpaling ke sisi.
Sangkanya Citra sudah keluar dari perut kereta tetapi sangkaannya meleset.
Gadis itu masih lagi berada di dalam kereta. Rasfal mendengus geram lalu dia
melangkah menuju ke tempat duduk penumpang.
Pintu kereta direntap kasar. Lalu dia
menjengah ke dalam perut kereta.
“Citra, bangun. Sempat lagi kau tidur,
ya?” kejut Rasfal sambil menggoncangkan tubuh Citra.
Namun mata Citra masih lagi terpejam
rapat. Lalu, Rasfal mendekatkan wajahnya ke wajah Citra. Dia cuba menanggalkan
tali pinggang keledar yang membaluti tubuh Citra. Tetapi pada masa yang sama,
mata Citra terbuka luas. Dia terkejut apabila melihat wajah Rasfal yang begitu
dekat dengannya.
“Arghhhh!!!”
jerit Citra kuat. Spontan dia menolak tubuh Rasfal dengan kuat.
Rasfal turut menjerit. Kepalanya
terhantuk di bumbung kereta sebelum jatuh terduduk di atas lantai. Dia mengaduh
kesakitan sambil menggosok belakang badannya yang terasa sakit. Berkerut
dahinya memandang wajah Citra yang jelas kelihatan tercengang.
“Apa kau ni? Nak balas dendam pada aku
ke?” soal Rasfal sedikit marah lalu dia bangun dan mengibas-ngibas bajunya yang
kotor akibat terjatuh tadi.
“Maafkan saya, bos. Saya tak sengaja.
Saya terkejut tadi. Maafkan saya,” rayu Citra sambil mencantumkan kedua belah
tangannya tanda memohon maaf.
Rasfal mendengus. Apalah nasib aku dapat
isteri yang kelam kabut macam ni. Detik hatinya. Lalu tanpa menghiraukan Citra
dia berpaling untuk melangkah ke rumahnya namun pautan daripada tangan lembut
itu menyebabkan langkah Rasfal terhenti.
“Maafkan saya,” ucap suara itu penuh
lembut.
Percaya atau tidak hati Rasfal cair
melebur apabila mendengar gemersik suara itu memohon maaf. Bibirnya pantas
mengukir senyuman nipis namun senyumannya segera dimatikan sebaik saja Citra
berdiri di hadapannya.
“Dahlah, malas aku nak gaduh dengan kau.
Jom masuk!” ajak Rasfal lalu berjalan mendahului Citra sebelum langkahnya
terhenti di muka pintu.
“Kenapa bos tak masuk?” soal Citra
pelik. Dia turut berdiri di sebelah Rasfal menghadap pintu kayu yang terukir
cantik.
“Mulai hari ini sehingga majlis kita
selesai, aku tak nak kau panggil aku bos. Panggil aku dengan panggilan biasa.
Aku tak nak famili aku nampak kecanggungan dalam hubungan kita. Aku nak
semuanya perfect.” Ujar Rasfal sambil
menatap terus ke dalam anak mata Citra.
Citra hanya mengangguk tanda faham.
“Baik, bos. Saya faham…”
“Tengok tu bos lagi. Cuba biasakan diri
kau tu panggil aku macam biasa. Mulai sekarang aku pengarah kau dan rumah ini
adalah set lokasi kita yang terbaru. Kau kena ikut segala arahan aku barulah
kau dapat jadi pelakon yang terbaik,” ujar Rasfal.
Citra hanya menganggukkan kepala
walaupun satu benda pun dia tidak faham.
“Insya-Allah, awak. Saya akan cuba yang
sehabis baik,” balas Citra.
Rasfal hanya tersenyum. Lalu, tangannya
menjalar mencari jari-jemari milik Citra lalu digenggam lembut. Citra tersentak
lantas berpaling pada Rasfal.
“Perlu ke awak pegang tangan saya sampai
macam ni sekali?” soal Citra pelik.
Rasfal memandang tangannya yang kemas
memegang tangan Citra. Dia tersenyum nipis.
“Kalau depan famili aku, bukan setakat
pegang tangan je tapi lebih daripada itu kena hadapi,” ucap Rasfal dengan
senyuman nakal terpamer di bibirnya yang merah.
Citra menggarukan kepalanya yang tidak
gatal. Dia ingin bertanya dengan lebih lanjut tetapi pintu rumah mewah itu
terkuak dari dalam menyebabkan niat Citra terbantut.
“ASSALAMUALAIKUM,
mama..” sapa Rasfal sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Datin
Rohana.
Datin Rohana tersenyum bahagia. Dia
menyambut salam Rasfal sebelum mengalih pandangan pada wajah Citra yang
kelihatan sedikit pucat.
“Citra apa khabar? Dah sihat?” soal
Datin Rohana ramah.
Citra tersenyum hambar. Wajah Datin
Rohana mengingatkannya pada arwah ibu yang sudah lebih seminggu meninggalkan
dirinya. Terasa rindu masih lagi kuat mencengkam dirinya. Citra berpura-pura
tersenyum sedangkan dalam hatinya menanggung rasa yang tidak terluah dengan
kata-kata.
“Alhamdulillah, mama. Citra sihat.” Ucap
Citra menahan rasa sebak yang tiba-tiba hadir saat melihat senyuman di bibir
Datin Rohana.
Spontan Datin Rohana menarik Citra ke
dalam pelukannya. Sungguh hatinya tersentuh melihat mata gadis itu yang
berkaca. Dia tahu Citra sedang menanggung rindu pada ibunya tetapi apakan daya
dia hanya mampu memandang sedangkan Citra yang menanggung bebanan perasaan itu.
“Citra jangan bersedih, mama selalu ada
untuk Citra. Anggaplah mama ni macam ibu Citra sendiri,” bisik Datin Rohana
rapat di telinga Citra.
Citra mengetap bibir. Dia cuba menahan
air matanya daripada gugur. Citra tak layak jadi anak mama. Citra hanya orang
asing yang akan pergi meninggalkan mama apabila tiba masanya nanti. Detik hati
Citra sebak.
“Citra tak ada sesiapa lagi, mama.
Izinkan Citra menumpang kasih mama,” balas Citra sambil mengeratkan pelukan di
tubuh Datin Rohana.
Datin Rohana menganggukkan kepala dengan
pantas. Dia mengelus belakang badan Citra dengan lembut.
“Selamanya mama izinkan, sayang.” Ucap
Datin Rohana lembut. Dia meleraikan pelukan kemudian air mata Citra yang
menitis diseka dengan hujung jari. Dia memegang wajah menantunya itu kemudian
dia tersenyum.
“Menantu mama ni cantik kalau tersenyum
jadi mama nak tengok Citra terus tersenyum,” sambung Datin Rohana sambil ketawa
kecil.
“Amboi, mama ni dah lebih. Anak sendiri
tak ada pula nak manja-manja macam tu. Ini yang Ras jealous ni,” sampuk Rasfal. Hatinya sedikit lega melihat penerimaan
Datin Rohana terhadap Citra. Kerjanya menjadi makin mudah.
Citra dan Datin Rohana berpandangan
kemudian mereka berdua ketawa kecil.
“Mama, ada orang cemburu pulak,”
Namun, bicara mereka terganggu apabila
tiba-tiba Imran muncul kemudian menarik tangan Citra. Citra tersentak dia
berpandangan dengan Datin Rohana dan Rasfal yang turut kelihatan terkejut.
“Sayang nak apa?” soal Citra lembut. Dia
melutut di hadapan Imran yang berumur lima tahun.
Imran tidak menjawab sebaliknya dia
terus menarik-narik tangan Citra supaya mengikutinya. Tidak dapat tidak
akhirnya Citra mengalah.
“Mama, Citra ikut Imran sekejap, ya.”
Ujar Citra sambil melangkah mengikuti jejak Imran yang mengheretnya ke ruang
tamu.
Datin Rohana dan Rasfal sedikit tergamam
dengan keadaan itu. Pertama kali dalam hidupnya dia melihat Imran mesra dengan
orang yang baru dikenali. Selama ini Imran hanya menghabiskan masanya dengan
melukis dan mewarna tanpa menghiraukan orang-orang sekeliling malah sejak Imran
dibawa ke rumahnya, belum pernah sekalipun Datin Rohana mendengar suara Imran.
“Kamu tengok tu Ras, Imran pun suka
dengan Citra. Selama ini mana pernah dia rapat dengan mana-mana orang termasuk
Rania tapi hari ni Citra dah pecahkan rekod itu. Maknanya Citra memang
betul-betul ada aura keibuan. Tak rugi kamu pilih dia, Ras,” puji Datin Rohana
sambil matanya terus tertancap pada Citra yang rancak berbual dengan Imran
walaupun Imran tidak berkata apa-apa.
Rasfal hanya terdiam. Sungguh dalam
hatinya turut terpana melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Imran pada Citra
malah gadis itu tidak kekok melayani Imran. Walaupun tidak berceloteh namun
tingkah laku Imran cukup menunjukkan yang anak kecil itu senang dengan
kehadiran Citra dalam keluarga ini.
“Ras pun tak sangka, mama. Imran boleh
jadi sebaik itu dengan Citra,” balas Rasfal setelah agak lama mendiamkan diri.
“Itu maknanya Imran itu perlukan ibu.
Ras cakaplah pada mama di mana ibu dan ayah Imran sekarang? Tentu ibu dan ayah
Imran tengah mencari Imran sekarang ini.” Ucap Datin Rohana.
Rasfal tersentak. Ibu dan ayah Imran?
Serentak wajahnya berubah. Senyuman yang terukir di bibirnya tiba-tiba mati.
“Imran tak ada ayah. Ibu dia pun dah
meninggal dunia. Ras pernah cakap pada mama jangan tanya dari mana asalnya
Imran. Cukuplah kita sebagai keluarga dia!” ujar Rasfal tegas.
Datin Rohana terdiam. Dia rasa seperti
ada yang tidak kena. Masih segar dalam ingatan Datin Rohana saat Rasfal membawa
pulang seorang bayi lelaki yang masih kecil lalu diserahkan pada Datin Rohana
untuk dijaga. Bila ditanya dari mana asalnya bayi tersebut, Rasfal hanya
mendiamkan diri. Sehingga sekarang identiti sebenar Imran tidak diketahui.
Malah surat beranak Imran juga entah di mana letaknya.
“Tapi bila besar nanti, Imran perlu tahu
asal usul dia. Tentu dia ingin tahu siapa keluarga dia, Ras…” pujuk Datin
Rohana lembut.
Rasfal menggelengkan kepala. Tidak!
Tiada seseorang pun perlu tahu siapa Imran yang sebenarnya. Itu keputusannya
yang tidak akan pernah diubah. Titik!
“Ras rasa tak perlu, mama.” Jawab Rasfal
ringkas. Dia melemparkan pandangan pada Citra yang sedang bergelak ketawa
dengan Imran. Entah apa yang lucunya dia tidak tahu. Tapi sebaik saja dia
melihat senyuman mekar di bibir Citra, spontan bibirnya turut mengukir senyuman
nipis.
“Along nak balik tak lama lagi. Dia akan
balik ke sini sebelum majlis Ras. Dia kecewa sebab Ras tak maklumkan yang Ras
nak kahwin,” ucap Datin Rohana tiba-tiba.
Mati terus senyuman Rasfal apabila
perihal abangnya disebut. Dia menarik nafas panjang.
“Buat apa dia balik? Ras tak perlukan
dia dalam majlis ni. Sama ada dia ada atau tidak, sama je,” balas Rasfal
dingin.
“Kenapa Ras cakap macam ni? Along tu kan
abang Ras. Tak baik bermusuhan dengan abang sendiri.” Nasihat Datin Rohana
dengan lembut. Dia menyentuh bahu Rasfal.
“Ras tak ada abang macam dia!” tegas
Rasfal.
“Ras!” terjerit kecil Datin Rohana
dibuatnya. Dia sedikit terkejut dengan kata-kata Rasfal. Mata itu juga
menggambarkan yang dia memang cukup membenci abangnya itu.
Namun, Rasfal hanya mendengus. Lalu,
tanpa pamitan, dia berlalu ke tingkat atas meninggalkan Datin Rohana bersama
keluhan yang panjang.
“Kenapa dengan Abang Ras, mama?” soal
Citra menghampiri Datin Rohana yang kelihatan bermuram durja.
Datin Rohana mendongak. Dia tersenyum
hambar.
“Entahlah, Citra. Mama tak tahu kenapa
Ras tu marah sangat bila mama sebut pasa alongnya. Mama pun tak tahu apa
sengketa mereka berdua sampaikan along bawak diri ke luar negara. Ras pula
semakin benci pada alongnya tu,” ujar Datin Rohana. Dia mengeluh.
Citra terdiam sejenak. Kalau Datin
Rohana tidak tahu, dia apatah lagi. Kenal pun tak sampai sebulan, sukar untuk
dia meneka perangai Rasfal yang sebenarnya.
“Tak mengapalah, mama. Mungkin abang
masih belum bersedia untuk berkongsi apa yang dia tanggung. Biasalah,
kadang-kadang ada rahsia yang lebih baik kita simpan untuk diri sendiri
daripada berkongsi dengan orang lain.” Ujar Citra lembut. Dia memegang tangan
Datin Rohana.
Datin Rohana tersenyum. Dia
menganggukkan kepala.
“Citra cubalah pujuk Ras tu. Mungkin
dengan pujukan Citra hati dia sejuk semula,” ucap Datin Rohana.
Citra menelan air liur. Nak pujuk Ras?
Termakan dek pujukan ke mamat tu? Benaknya bertanya.
No comments:
Post a Comment