DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 21 January 2015

Dekat Padamu - Bab 5

SEBUAH gambar sebuah rumah tradisional Melayu. Shafiqa tersenyum lebar memerhatikan rumah impiannya. Bilakah dia dapat merealisasikan rumah idamannya? Memang dia bercadang hendak membina sebuah rumah Melayu tradisional di atas tanah orang tuanya suatu hari nanti.

Bilakah mimpi ini jadi kenyataan? Soalnya sendiri. Menghela nafasnya. Terbayang rumah usang arwah kedua orang tuanya. Selepas Shafiq ditangkap dan dimasukkan ke pusat pemulihan, dia langsung tidak menjenguk mahupun pulang ke kampung. Entah berapa lama dia tidak pulang ke kampung dia sendiri tidak pasti.

“Berangan.”

Shafiqa mengangkat mukanya dan tersenyum. Iskandar sudah menghampirinya. Awal pulak lelaki ni sampai? Matanya menjeling jam di sisi komputernya. Baru pukul 8.45 pagi, selalunya Iskandarlah orang yang paling lewat datang selain daripada Ashila yang adakalanya sudah lewat petang baru menjenguk pejabat.

“Apa ni?” soal Iskandar sambil mengambil salah satu daripada kad bod hitam yang berada di atas meja Shafiqa. Duduk di hadapan meja gadis itu sambil membelek lakaran yang menarik perhatiannya. 

Shafiqa membetulkan duduknya sambil menghidupkan komputernya. Dia menyeluk beg tangannya yang terletak di atas kabinet bersebelahan untuk mengambil thumb drive.

“Siapa punya rumah ni? Tradisional. Rumah Melayu.” Iskandar memandang Shafiqa.

“Rumah Ika. Macam mana, okey tak?” Shafiqa memandang Iskandar ingin tahu pandangan lelaki itu tentang rumah Melayu yang dilakarnya. Iskandar senyum. “Hmm... jarang orang sekarang mahu membina rumah macam ni. Kalau ada pun, hanya untuk membina resort,” ujar Iskandar memandang Shafiqa sejenak.

“Kayu mahal, bang,” balas Shafiqa. 

“Hai, ada yang bina sehingga dua ke tiga juta ringgit tu... Boleh pulak?” Balas Iskandar seperti tidak puas hati. Dia meletakkan semula kad bod itu di atas meja Shafiqa.

“Cita rasa masing-masing tak sama. Orang yang bercakap tu pun tinggal di rumah batu juga kan? Cakap tak serupa bikin,” cemuh Shafiqa sambil mencebik bibirnya. Iskandar tersengih.

“Dah breakfast? Jom teman abang minum teh tarik. Lama Ika tak breakfast dengan abang,” ajak Iskandar sambil bersandar memandang Shafiqa yang sedang mengemas mejanya.
Shafiqa kembali memandang Iskandar. Tentu ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Iskandar kepadanya. Dia cuba mengagak. Biasanya masalah rumah tangga lelaki itu dan Kartini. Alahai... lelaki, carilah orang lain kalau nak luahkan masalah kau! Omelnya sendiri. Bosan asyik mendengar masalah orang. 

Iskandar bingkas dari kerusi dan pantas mencapai tangan Shafiqa lalu menariknya supaya berdiri. Geram dia melihat Shafiqa yang buat tidak endah dengan pelawaannya sebentar tadi.

“Ika dah makan. Abang pergilah ajak Abang Muz tu, haa...” Shafiqa menunding jari ke arah Muzaffar yang kebetulan baru sahaja sampai dan sedang berjalan ke biliknya. Tetapi sempat memandang mereka sambil menggeleng kepala.

“Abang ada perkara nak cerita dengan Ika. Jomlah. Sekejap. Setengah jam aje, tak lebih. Kalau lebih potong gaji abang. Ika ambik sikit, ya?” pujuk Iskandar.

Amboi, senangnya lelaki ni bercakap! Dengus Shafiqa. “Eh, ini dah pukul berapa ni?! Dah 8.45 pagi tau. Office hour pukul 8.30 pagi,” ujar Shafiqa sengaja memberatkan badannya ketika tangannya ditarik oleh Iskandar.

“Apa hal pulak ni?” soal Mazni yang muncul tiba-tiba dari arah pintu. Berkerut dahinya melihat Iskandar menarik tangan Shafiqa dan gadis itu sedang berpaut di mejanya. Ada-ada sahaja mereka berdua ni. Is ni pun satu, macam budak-budak! Gumamnya sendiri.

“Ini, budak kecik ni.” Dia menunding jarinya ke arah Shafiqa. Tangan gadis itu sudah dilepaskan. “Orang ajak makan tak mahu. Is nak belanja dia pun, dia tak mahu,” jelas Iskandar memandang Mazni yang sudah tidak kelihatan di matanya kerana dihalang oleh dinding yang memisahkan tempat Shafiqa dan Mazni.

“Kalau dia tak mahu, Is belanja akak aje,” usik Mazni sambil ketawa kecil.

“Haa, ajak Kak Maz, aje,” Shafiqa memberi cadangan sambil tersengih dan membetulkan duduknya. Terkumat-kamit mulut Iskandar memarahi Shafiqa. Entah apa-apa butir-butirnya pun tidak kedengaran. 

 “Is!” panggil Muzaffar.

Iskandar menyengetkan badannya sedikit kerana terlindung dek dinding tempat Shafiqa.

“Jom minum...” ajak Muzaffar dengan senyuman di bibir Iskandar tidak segera membalas. Memandang Shafiqa yang tidak memandangnya. Tiba-tiba dia menepuk meja gadis itu dengan kuat. Geram dia melihat mata Shafiqa yang terkelip-kelip memandangnya. Mujur di pejabat, desisnya sendiri.

“Ooo... mak kau buah jatuh dari langit!” Mazni yang duduk bersebelahan dinding Shafiqa
yang melatah kerana terkejut. Hisy... si Is ni! dengusnya sendiri. Geram pulak dia dengan lelaki itu. Pagi-pagi buta sudah mengejutkannya yang sedang bersemangat untuk membuat kerja. 

Iskandar ketawa mendengar latahan Mazni. Berkerut dahi Shafiqa memandang Iskandar, dia juga turut terkejut tetapi tidaklah sampai melatah seperti Mazni.

“Lunch nanti dengan abang,” keras suara Iskandar sebelum meninggalkan gadis itu. Shafiqa menjeling. Malas hendak melayan kerenah Iskandar. Tak apa, kejap lagi aku dan Abang Muz keluar untuk temu janji, detiknya dengan senyuman senang. Lantaklah kau Is, gumamnya sendiri.




“KAK IKA!” laung Salwani sebaik Iskandar dan Muzaffar beredar meninggalkan tempat Shafiqa sebentar tadi. Shafiqa memandang Salwani yang sudah pun berdiri di hadapannya. Tersenyum dia melihat wajah manis gadis yang baru berusia 21 tahun itu cantik bertudung ala-ala Hana Tajima. Itulah penyambut tetamu dan telefonis Archkey Sdn. Bhd.

“Kenapa?” Shafiqa masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia mencucuk thumb driver yang dikeluarkan dari beg tangannya tadi ke usb port di komputernya.

“Kak Ika tau tak, hari ni Kak Ashi datang pejabat atau tak?” soal Salwani lembut. Shafiqa terdiam.

“Kak Ika?”

“Tak.”

Memang Ashila tidak akan masuk ke pejabat sama ada pagi atau petang. Temannya itu sedang bercuti bersama teman lelakinya di Koh Samui, Thailand. Shafiqa meraup wajahnya beberapa kali.

“Kenapa?”

“Ada perempuan ni asyik cari Kak Ashi dari minggu lepas lagi. Wani tanyalah nama dan nombor telefon dia... tapi dia tak bagi.”

“Wani tak bagi nombor telefon kak Ashi pada dia?”

“Kak Ashi dah pesan, jangan bagi nombor dia pada sebarangan orang,” jelas Salwani tentang masalah yang sedang dihadapi. Pening kepalanya dengan kisah seminggu itu.
Shafiqa senyap. Rasa pelik pula dengan situasi perempuan yang diceritakan oleh Salwani sebentar tadi. 

“Dia panggil tu dari mana?” Shafiqa kembali memandang Salwani. Gadis itu menggeleng tanda tidak tahu.

“Kalau dia call lagi, Wani sambung dekat Kak Ika. Jangan beritahu yang Kak Ashi tak ada pula,” pesan Shafiqa.

Kasihan pula dia dengan Salwani yang terbeban dengan panggilan misteri daripada perempuan yang tidak bernama untuk Ashila.

“Okey. Terima kasih, Kak Ika,” ucap Salwani dengan senang hati. Pantas dia melangkah meninggalkan Shafiqa di situ menuju ke kaunter yang terletak di luar sana.

“Siapa perempuan tu, Ika?” suara Mazni terbit di sebalik partition yang memisahkan mereka.

“Entahlah kak,” keluh Shafiqa. Tidak mungkin teman-teman mereka. Kebanyakan daripada teman-teman seuniversitinya tahu nombor telefon dia dan Ashila.

“Kawan lama kut?” Mazni cuba berteka teki.

“Tak tahulah.” Malas dia hendak memikirkan perkara itu. Biarlah dulu, bisiknya sendiri.

“Ke mana Ashi, ya? Lama dia tak masuk pejabat.” Tiba-tiba Mazni memunculkan diri di sebalik dinding. Shafiqa memandang Mazni. Berkerut dahinya merenung wanita itu.

“Ika tak tahu kak!” tekan Shafiqa bengang. Dadanya kembali berasa panas kerana terpaksa berbohong.

“Mana tahu kan kalau-kalau Ika tahu. Ika kan kawan baik Ashi.”

“Tak semua dia nak bagi tau saya kak,” keluh Shafiqa. Mazni kembali duduk.

Pantas tangannya mencapai telefon bimbitnya namun jarinya terhenti di nama Ashila. Nafas berat dihela. Dilepaskan gajet tadi dari tangannya

No comments:

Post a Comment