Satu persatu Syamsul menyusun tin susu
pekat manis di atas rak berdekatan dengan tempat
membancuh air. Dia perlu membantu serba sedikit manamana
kerja yang masih belum siap. Sebentar sahaja lagi
restoran akan dibuka. Apabila sudah dibuka nanti, pastinya
dia tidak boleh lagi duduk berehat. Pelanggan restoran yang
sering ramai membuatkan dia tidak menang tangan
dibuatnya. Walaupun penat, dia berasa bangga kerana ramai
pelanggan yang gemar dengan hasil tangannya.
Makanan panas masakannya menyebabkan
pelanggan tidak putus-putus mengunjungi restoran milik
Kak Ros. Tidak sia-sia dia belajar cara-cara untuk memasak
makanan panas daripada tukang masak restoran ini yang
terdahulu. Sekarang ini dia sudah mampu mendabik dada
kerana ramai pelanggan yang menggemari masakannya.
Walaupun dia tidak pernah berlagak sombong, namun rasa
bangga itu tetap ada dalam diri. Menyebabkan dia yakin yang
dia pasti boleh memulakan perniagaan sendiri. Yang
pentingnya sekarang, bagaimana dia mencari modal untuk
memulakan sebuah perniagaan.
Kak Ros juga menawarkan saham di kedai makan
ini untuk memastikan dia tidak akan berhenti kerja dan
meninggalkan restoran ini untuk bekerja di tempat lain.
Namun, dia masih lagi belum menerima tawaran itu. Terlalu
banyak yang perlu difikirkannya sebelum menerima tawaran
tersebut.
“Bang... Malam ni, Abang Daud datang kerja tak?”
tanya Imah yang sejak tadi sedang membersihkan sayursayuran
yang akan dimasak nanti.
Sebentar tadi dia telah membersihkan telur ayam.
Semua bahan masakan perlu dibersihkan dan disusun di
tempat yang bersesuaian supaya mudah apabila kerja-kerja
memasak akan dimulakan nanti.
“Entahlah Imah, abang tak tanya pula tadi.
Semalam dia kata nak datang. Kalau tak datang, macam
mana anak-anak dia nak makan esok kalau dia tak kerja hari
ni,” katanya kepada gadis yang sering mencari peluang untuk
berbual mesra dengannya.
Bekerja di restoran memang memenatkan.
Terutama yang memulakan perniagaan pada pukul lima
petang dan tamat pada jam dua pagi. Namun habuannya
cukup berbaloi. Bukannya sedikit untung yang diperolehi
Kak Ros. Kalau tidak, mana mungkin dia mampu membuka
satu lagi cawangan di Seksyen Dua Shah Alam. Di sana, dia
mengupah tukang masak yang pernah bekerja di restoran ini
dulu untuk menguruskannya.
Syamsul pula diminta untuk menjadi tukang masak
di restoran ini setelah setahun mempelajari teknik memasak
masakan panas daripada tukang masak terdahulu. Dia bernasib baik kerana sanggup belajar untuk memperbaiki
diri. Dulu, dia sama seperti Abang Daud. Sama-sama mula
bekerja di restoran ini sebagai pembantu restoran. Semua
kerja dilakukannya. Daripada kerja mengambil pesanan,
hinggalah membasuh pinggan dan memcuci kawasan
restoran.
Akibat daripada keadaannya yang tidak sempurna,
dia tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja yang lebih
berat. Kerja-kerja sebegitu sering diserahkan kepada Abang
Daud untuk melakukannya. Yang membezakan dia daripada
Abang Daud ialah sikapnya yang sering cuba untuk
memperbaiki diri. Dia sering memerhatikan cara-cara yang
digunakan oleh tukang masak yang bekerja di sini. Sering
peluang-peluang untuk belajar memasak juadah-juadah yang
dijual akan diambil jika salah seorang daripada tukang masak
restoran tidak dapat datang bekerja.
Akhirnya dia mampu untuk memasak makanan
yang ringkas. Dari situ, dia terus belajar dan belajar. Dan kini
akhirnya dia dipercayai Kak Ros untuk mengendalikan kerjakerja
memasak sepenuhnya di restoran ini. Peningkatan diri
yang sungguh menyenangkannya. Kalau dulu dia hanya
dibayar sebanyak RM500 sebagai pembantu restoran, kini
gajinya sudah dinaikkan sehingga ke angka RM3000, setara
dengan tukang masak yang terdahulu, malah Kak Ros kini
menawarkan 10 peratus saham di restorannya itu untuk
memastikan dia tidak akan meninggalkan pekerjaannya
untuk bekerja di tempat lain. Satu usaha untuk mengekalkan
dia supaya terus bekerja di restoran ini.
“Dia selalu tak datang kerja sekarang ni, kan?”
“Apa nak buat Imah, penyakit lelah dia tu
nampaknya menjadi-jadi sekarang ni. Kalau dah sakit,
macam mana nak kerja. Kesian juga abang tengok.”
“Abang Syam pun kenalah jaga diri tu. Jangan kuat
sangat kerja. Nanti sakit macam Abang Daud, susahlah pula
kan?” tegur Imah dengan jujur.
Gadis itu sering mengambil berat tentang dirinya.
Dia tahu Imah menyimpan hati kepadanya. Sering jika ada
waktu yang terluang gadis itu akan bertanyakan itu dan ini
tentang dirinya. Namun dia tidak mampu untuk melayan
perasaan gadis itu. Terlalu banyak yang perlu dilakukannya
untuk memajukan diri. Dia tidak boleh melayan perasaan itu
kerana ada agenda lain yang lebih utama untuk diselesaikan
dalam hidupnya, tambahan pula gadis berusia sembilan belas
tahun itu terlalu muda untuknya.
Ingatannya kembali pada peristiwa yang berlaku
beberapa minggu yang lalu. Terus wajah wanita muda yang
disebut namanya sebagai Mai itu menarik perhatiannya
kembali. Sejak hari itu, wajah itu bagaikan melekat dalam
hatinya. Sukar sekali untuk dilupakan. Dia mengira-ngira
sendiri usia wanita itu, masih muda, mungkin dalam
lingkungan akhir dua puluhan. Satu usia di mana kecantikan
seorang wanita sedang mula ranum. Antara akhir dua
puluhan hinggalah ke angka awal tiga puluhan. Kalau
diumpamakan sekuntum bunga, dalam usia sebegitu
kecantikan seseorang wanita diibaratkan bagaikan bunga
yang sedang mekar berkembang. Harum dan mewangi.
Ingatan Syamsul beralih pula kepada bekas suami
Mai. Seorang lelaki yang menghampiri kesempurnaan dan
punya segalanya. Ketampanan yang terserlah, kerja yang
bagus dan rumah tangga yang dulunya bahagia. Namun
dengan sekali lafaz, segala kebahagiaan itu hilang bagaikan
pakaian yang tiba-tiba terlucut dari tubuhnya. Hilang segalagalanya
hanya dalam sekelip mata.
Ketika Zamzuri menemuinya untuk menceritakan kisah dua insan ini, hatinya jadi marah kepada lelaki itu.
Sewenang-wenangnya dia menggunakan kuasanya sebagai
seorang lelaki. Tanpa sedikit pun memikirkan tentang hak
seorang isteri, dia menceraikan isterinya. Apabila dalam
keadaan marah, selalunya akal fikiran tidak lagi memainkan
peranan. Sering pada waktu itu syaitan yang berbisik di
telinga menjadi rujukan dalam melakukan sesuatu tindakan.
Sekarang, apabila sudah terlanjur, bukannya mudah untuk
membaiki kesilapan tersebut. Dan kini dia perlu membayar
harga yang cukup mahal untuk kembali kepada keadaan
seperti dulu. Cukup mahal.
“Abang, malam ni agaknya kita tak boleh buat
tomyam sampai habis waktu menjual ni,” kata-kata Imah
mengembalikan dia daripada lamunan.
“Eh, kenapa pula Imah?”
“Air lada yang kita biasa guna tu cuma tinggal dua
botol aje. Selalunya satu malam kita perlu tiga botol. Malam
minggu pula sampai lima botol.”
“Isy... Kan abang dah beritahu Kak Ros, minta dia
belikan dua hari lepas? Macam mana pula sampai dah nak
habis, tak beli-beli lagi ni?”
“Entahlah, bang... Kak Ros lupa agaknya.”
“Hem... Nanti abang beritahu dia semula,” katanya
sambil berkira-kira dalam hati.
Dia sememangnya perlu berbicara dengan Kak Ros.
Terlalu banyak yang perlu diberitahunya kepada Kak Ros
tentang keadaannya. Kak Ros perlu tahu apa yang akan
berlaku. Sebelum ini dia terfikir untuk menyembunyikan
semuanya. Namun, dirasakan perkara itu tidak sepatutnya
dilakukan. Selama ini Kak Ros terlalu baik kepadanya.
Pada awal perkenalan lagi Kak Ros sudah Laila Hanni
61
membantu dia dengan memberikan pekerjaan ini. Walaupun
terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang ada pada
dirinya, Kak Ros sering memberi galakan dan peluang untuk
dia memajukan dirinya. Disebabkan itu, pada malam ini,
Syamsul tekad hendak menceritakan segalanya kepada Kak
Ros. Kak Ros perlu tahu tentang perkahwinannya yang bakal
dilangsungkan ini walaupun bukan kesemua rahsia di
sebaliknya akan diceritakannya.
Malam itu, seperti biasa, Kak Ros dan suaminya,
Abang Din tiba selepas selesai sembahyang isyak. Syamsul
pula baru sahaja pulang dari masjid. Cepat-cepat dia
memberitahu hasratnya untuk berbicara dengan wanita
berumur dalam lingkungan usia awal lima puluhan itu. Dia
tidak mahu nanti Kak Ros mengatakan bahawa dia
membelakangkan wanita itu dalam hal yang berkaitan
dengan dirinya.
“Kenapa ni... Syam?”
“Ada hal sikit nak cakap dengan Kak Ros ni.”
“Hal apa ni, Syam? Cakaplah...”
Matanya menjeling ke arah pelanggan-pelanggan
yang sedang menunggu giliran pesanan mereka sampai. Dan
kertas pesanan yang tergantung di depan mata juga tersusun
sedang menunggu giliran untuk disiapkan. Ada lima lagi
pesanan yang perlu dia siapkan.
“Emmm... Pelanggan masih ramai ni, kak. Nanti
dah kurang saya beritahu ya?”
“Okey, lepas ni ya. Jangan lupa ingatkan akak pula
nanti. Akak ni... kalau tak diingatkan mudah lupa.
Maklumlah... dah tua...”
Kak Ros memandang Syamsul dengan penuh tanda
tanya. Syamsul hanya menyambut kata-katanya itu dengan senyuman. Anak muda ini sememangnya punya sikap yang
agak susah sekali untuk meluahkan kata-kata. Setiap patah
perkataan yang keluar dari bibirnya bagaikan keramat
daripadanya. Hanya perkara yang penting sahaja yang
selalunya menjadi butir bicaranya. Selalunya dia cuma
menjadi pendengar sahaja. Namun pada malam ini, Kak Ros
merasakan ada sesuatu yang amat penting yang akan
diperkatakannya.
Kira-kira jam sebelas malam barulah pelanggan
mula berkurangan. Waktu itu, Syamsul merasakan amat
sesuai untuk dia menyampaikan berita pernikahannya kepada
Kak Ros. Perlahan dia menghampiri Kak Ros yang sedang
duduk di kaunter pembayaran. Abang Din, suami Kak Ros
sudah hilang entah ke mana. Mungkin sedang merehatkan
diri di ruang rehat yang terdapat di sebelah dalam restoran
tersebut.
“Ada apa hal ni Syam... Macam penting sangat
nampaknya.”
“Emmm... Saya...” Teragak-agak Syamsul
dibuatnya.
“Saya... Saya... Apa ni Syam? Saspenslah akak...
Jangan cakap Syam nak berhenti pula. Akak tak bagi...”
Meleret kata-kata Kak Ros seakan-akan memberi amaran.
“Tak, kak... Saya... Saya... sebenarnya nak...
kahwin.”
Terkejut Kak Ros mendengarkan kata-kata Syamsul
itu. Dia mengeluh perlahan penuh dengan perasaan lega.
Membulat matanya merenung anak muda di hadapannya itu.
Seketika kemudian dia tergelak kegembiraan.
“Masya-Allah Syam... Akak ingatkan apa tadi... Lega
rasanya...” Syamsul tersenyum hambar.
“Eee... Berita gembira ni. Bila? Siapa pengantin
perempuannya?” soalnya dengan wajah yang cukup teruja.
“Kak, janganlah kuat sangat. Segan saya kalau ada
yang dengar.”
“La... apa nak segannya? Benda baik, kenalah
diumumkan. Bila? Syam nak ambil cuti ke? Kena beritahu
awal-awal ni. Boleh akak cari pengganti Syam masa bercuti
nanti.”
“Emmm... Tak payah kak. Saya kahwin dengan
orang kat sini aje. Ingat nak nikah kat pejabat agama aje. Jadi
malamnya tak payah cuti.”
“Isy... Apa pula macam tu... Takkan tak ada majlis.
Takkan tak cuti. Takkan nak habiskan malam pertama Syam
dengan memasak kat sini. Isteri Syam mesti kecil hati. Syam
kahwin dengan siapa ni? Mak bapak dia tak marah ke kahwin
koboi macam tu?”
“Mak dengan ayah dia dah meninggal, Kak Ros,”
jelas Syamsul dengan teragak-agak. Kahwin koboi kata Kak
Ros, detiknya dalam hati.
“Yalah... Kalau dah meninggal pun, takkanlah
kahwin koboi aje. Perempuan tu takkan tak nak buat majlis.
Sekurang-kurangnya buat kenduri doa selamat ke... Kamu ni
Syam... jangan buat acuh tak acuh aje dengan orang
perempuan ni... kecil hati dia nanti karang.”
“Em... Dia kata dia tak kisah. Yang penting, nikah
aje, kak.”
“Kamu ni Syam... Jangan buat main-main soal
nikah kahwin ni. Benda besar ni tau. Sekurang-kurangnya
buat kenduri sikit supaya orang tahu yang Syam dengan dia dah menikah. Tidaklah nanti jadi bahan umpatan pula bila
tengok Syam dengan dia berkepit ke hulu ke hilir. Kita ni
hidup bermasyarakat. Bukannya hidup sorang-sorang...” kata
Kak Ros dengan nada yang agak marah.
Syamsul terdiam. Terasa agak jengkel pula hatinya.
Dia sememangnya telah menetapkan syarat untuk tidak
mengadakan kenduri bagi perkahwinan ini. Lagipun
bukannya mereka kahwin betul-betul. Untuk apa dia
membazirkan wang yang dikumpulnya sejak lama dulu hanya
untuk kenduri yang tidak mereka perlukan. Lagipun selepas
ini mereka akan bercerai. Bukankah itu permintaan daripada
bekas suami Mai? Jadi untuk apa dia menghabiskan duitnya
untuk kenduri-kendara bagi hubungan yang tidak akan
berkekalan begini.
“Hah... cerita pasal kenduri ni... Siapa pengantin
perempuannya? Jangan kau cakap Imah pula nanti. Budak tu
muda sangat lagi. Boleh ke dia jaga anak-anak kau tu nanti...”
“Tak kak, bukan Imah... antara saya dengan Imah,
tak ada apa-apalah, kak...”
“Habis tu... siapa?”
“Dia tinggal kat Seksyen Sepuluh. Akak tak kenal
dia kut...”
“Hem... Nanti akak kenallah ya... Kerja apa?”
“Em... Cikgu.”
“Amboi... Diam-diam ya kau ni, Syam... Dapat
cikgu...” kata Kak Ros dengan nada yang cukup teruja.
“Bila nak langsungkan ni?” tanya Kak Ros lagi.
“Em... Dua minggu lagi.”
“Hei... bukan masa cuti sekolah ke? Sempat ke ni,
Syam...”
“Sempat apa, kak?”
“Sempat ke nak buat persediaan... Isy... kamu ni,
buat-buat tak tahu pula.” Kak Ros diam seketika. Raut
wajahnya menunjukkan betapa gembiranya dia apabila
mendengarkan berita ini. Kemudian dia meletakkan
tangannya di tepi bibir dan berbisik.
“Anak dara ke... janda?”
“Em... Janda, kak.”
“Oh... Ada anak ke tidak?” tanya Kak Ros lagi.
"Tak ada, kak...”
“Berapa umurnya tu?”
Syamsul terkejut. Dia tidak tahu berapa sebenarnya
umur wanita tersebut.
“Dua puluh lapan, kak...” Dia meneka
sendiri.
“Huish... Janda muda ke? Mati suami ke...
bercerai...”
Syamsul mengetap bibir. Bagai polis pencen pula
Kak Ros ni... detik hatinya.
“Bercerai, kak...” Akhirnya dia menjawab. Malas
rasanya hendak melayan soalan-soalan lain yang pasti akan
timbul nanti.
“Hem... baguslah... Dah lama akak nak tengok kau
kahwin. Kesian akak tengok tak ada yang jaga makan pakai
kau tu,” kata Kak Ros lega.
Syamsul terdiam.
Ah... Bukan itu tujuan dia
berkahwin dengan wanita muda itu. Ada agenda lain yang
lebih penting sekarang ini. Semuanya gara-gara sikap bodoh
dan terburu-buru bekas suaminya. Dan sekarang, si isteri
yang terpaksa menanggung seksanya.
“Mak kat kampung dah tahu?”
“Dah kak, saya dah beritahu minggu lepas.”
“Apa kata anak kamu. Suka ke mereka nak dapat
mak baru?”
“Saya tak pasti, kak. Mak kata Wawa macam tak
suka, tapi Nabil seronok. Lepas mak beritahu dia, asyik tanya
mak bila umi baru dia nak datang.”
“Tentu seronok dia orang nak dapat umi baru. Pasal
Wawa tu, tak usah risau Syam, budak perempuan biasalah
macam tu. Bila dilayan elok esok, dialah yang paling sayang
kat mak tirinya itu nanti. Kau tengoklah...”
Syamsul terdiam.
Dia tahu, mungkin itu tidak akan
berlaku. Perkahwinannya dan perempuan itu tidak akan
kekal lama. Untuk apa dia memberi harapan untuk anak-anaknya?
Pasti anak-anaknya akan kecewa nanti apabila kasih
sudah mula terbina dan mereka akan berpisah kelak. Tidak,
dia tidak akan membiarkan anak-anaknya jatuh kasih kepada
perempuan itu.
Mujurlah anak-anaknya sekarang berada bersama
emaknya di kampung. Dia hanya perlu membawa perempuan
itu pulang sebentar ke kampung untuk diperkenalkan selepas
mereka bernikah nanti. Sekurang-kurangnya perkara itu
perlu dia lakukan. Menyembunyikan perkara sebegini
daripada pengetahuan emaknya, dia rasa tidak sanggup pula.
Pasti emaknya akan berkecil hati jika dia berbuat begitu.
Dia tidak boleh mengetepikan perasaan emaknya
yang sejak tiga tahun ini telah menjaga dan mendidik anakanaknya.
Mengambil alih sepenuhnya tugas yang terpaksa dia
tinggalkan demi mendapatkan rezeki untuk menyara mereka.
Tugas yang ditinggalkan oleh Madihah semenjak isteri yang
amat dicintainya itu meninggal dunia pada empat tahun yang
lalu.
“Habis, nanti nak cuti, kan? Berapa hari?
“Emmm... Saya cuma pergi nikah kat pejabat
agama paginya. Lepas tu, malamnya kerja. Tak perlukan
cuti.”
“Dia tak buat kenduri ke di pihak dia? Takkanlah
nikah aje.”
“Tak kak, katanya dia tak boleh minta cuti panjang.
Cuma ambil cuti dua hari aje.”
“Hei... kamu orang muda ni... buat main-main aje
benda macam ni. Tak elok macam tu, Syam. Sekurangkurangnya
buat sikit kenduri. Macam ni... Nanti Kak Ros
tanya Abang Din kalau dia setuju. Lepas nikah, kita buat
kenduri doa selamat sikit. Kat sini pun boleh. Ajaklah kawankawan
Syam dan kawan-kawan dia. Saudara-mara Syam pun
jangan dilupakan. Akak pun nak ajak jiran-jiran kat kawasan
ini.”
“Isy... Tak usahlah, kak. Menyusahkan akak aje.
Lagipun... saya tak ada duit nak buat kenduri.”
“Tak apa, kenduri tu biar akak yang sponsor. Akak
pun dah lama tak buat kenduri doa selamat. Kita buat sikitsikit
ajelah. Ajak jemaah masjid kat sini.”
“Tak payahlah kak...”
“Engkau jangan cakap banyak. Akak kan dah kata
akak nak sponsor. Jangan risau pasal belanja tu. Lepas tu kau
ambil cuti tiga hari. Jangan fikir sangat pasal restoran ni.
Kalau terpaksa, tutup aje kedai ni dua tiga hari. Akak pun dah
lama tak balik kampung. Nak juga jenguk-jenguk orang tua
kat kampung tu. Kau pula, kenalah bagi hak dia sebagai
seorang isteri. Bawa dia ke mana-mana, honeymoon...”
Syamsul terdiam.
Dia tidak menyangka Kak Ros akan memberikan cadangan sebegitu. Dia rasa malu. Jika
nanti tiba masanya dia perlu melepaskan wanita itu, pasti
Kak Ros akan berasa marah. Melihatkan kesungguhan Kak
Ros, tidak sanggup rasanya untuk dia memberitahu bahawa
dia cuma menjadi cina buta.
No comments:
Post a Comment