DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 20 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 7

KERETANYA meluncur laju ke destinasi yang ingin dituju. Sebentar tadi dia telah mendapatkan alamat kediaman Anita melalui Sarah. Bukan susah untuk jejak Anita. Ramai kawannya mengenali Anita kerana mereka bekerja di tempat yang sama.

 Apa yang Ghaz Khuzairi kesalkan kenapa Ryan Arshad yang memiliki Marlissa? Bukan dia nak mempertikaikan apa yang terjadi. Namun dia risau kalau Ryan Arshad yang kaki perempuan itu tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami yang baik buat Marlissa. Siapa yang tidak kenal dengan Ryan Arshad? Jejaka kacukan  Melayu-Inggeris yang kacak bermata hazel itu, punya iras Steven Gerrard pemain bola sepak pasukan Liverpool. Perangai kaki perempuannya sangat tersohor dalam kalangan rakan-rakannya. Ryan  Arshad yang dikenali sebagai Tiger Wood versi pilot pantang nampak pramugari yang jelita, bergetah dan gebu-gebas. Pasti akan dikebasnya!

Namun jauh di sudut hati, dia mendoakan moga Ryan Arshad berubah setelah menikahi Marlissa. Doanya moga lelakiitu mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang suami yang baik. Ryan Arshad bertuah kerana memiliki Marlissa yang pandai menjaga aruah diri walaupun kerjayanya terdedah dengan godaan keseronokan dunia.

Hatinya masih sakit dan terluka dengan apa yang sudah terjadi pada hubungan cintanya dengan Marlissa. Segala impian dan harapannya punah dan hancur berkecai sekelip mata saja. Dan hatinya bagaikan dirobek-robek apabila ternampak love bites yang bersepah di leher Marlissa tadi. Tidak sanggup dia membayangkan apa yang berlaku antara Marlissa dan Ryan Arshad ketika kedua-duanya khayal akibat perbuatan Anita yang berhati setan itu!

Tipulah kalau dia tidak tahu. Pasti Ryan Arshad seronok meratah tubuh gebu Marlissa yang dia  sendiri tidak pernah mengusiknya. Dan pastinya mereka berdua berseronok mengecapi nikmat dunia kesan dari pil tersebut dengan hasutan syaitan yang pastinya bertepuk tangan gembira kerana berjaya
menyesatkan dua anak Adam itu! Ya Tuhan, kenapa dia harus berhadapan dengan semua ini?

Ghaz Khuzairi memberhentikan keretanya di lorong kecemasan. Dia seperti tiada kekuatan untuk meneruskan pemanduannya. Badannya penat. Hati dan fikirannya bercelaru! Ghaz Khuzairi meletakkan kepalanya ke stereng kereta. Melayan hatinya yang kecewa. Lagu ‘Cinta Harus Memiliki’ yang didendangkan oleh Anuar Zain berkumandang di radio kereta. Hatinya luluh tatkala mendengar bait-bait lagu tersebut. Tidak semena-mena berjurai juga air matanya.

“Ya Allah, sakitnya!” Hatinya merintih pedih. Sakit mengenangkan cinta yang dipuja tidak mampu dimilikinya. Sakit apabila harapan yang dibina punah. Dan sakit apabila dia hanya mampu memuja bayangan dan memiliki kenangan silam saja.

Dan Ghaz Khuzairi terus teresak-esak mengingatkan tangisan Marlissa tadi. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia mendakap, cuba meredakan kesedihan Marlissa. Akan tetapi, dia tidak boleh mengikut perasaan. Marlissa isteri orang. Hak mutlak Ryan Arshad! Dia cuba tunjukkan yang dia kuat di hadapan Marlissa walaupun hakikatnya jantungnya seakan-akan dirobek. Dia tidak mahu Marlissa terus menyalahkan takdir Dia mahu Marlissa reda menerima suratan itu sebagaimana dia reda menerimanya walaupun hatinya sakit dan hancur berkecai.

“Ya Allah, aku tahu Kau ada. Aku tahu Kau melihat kesedihanku ini. Aku tahu Kau mengujiku. Aku tahu Kau mendengar permintaanku. Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu kukuhkan dan kuatkanlah imanku supaya aku dapat melaluinya dengan penuh kesabaran... amin.” Hatinya merintih pedih.
Ketika ini dia sememangnya memerlukan Allah. Moga Allah memberi ketenangan hati dan menguatkan imannya.

Leka dia melayan perasaan, tiba-tiba azan maghrib berkumandang di radio keretanya. Dia meraup wajahnya perlahan.

“Ya Tuhan, dah maghrib rupanya.” Dia berjeda seketika. Beristighfar di dalam hati kerana terlalu leka melayan perasan sedih dan kecewanya. Enjin kereta dihidupkan. Dia mahu singgah di masjid berdekatan bagi menunaikan solat maghrib sebelum bersemuka dengan Anita. Setelah menyalakan lampu isyarat ke kanan, dia mula menekan minyak. Tiba-tiba terdengar bunyi hon yang bertalu-talu.

Dummmmm!!!!



GHAZ KHUZAIRI duduk bersantai di gazebo yang menghadap taman kecil milik mamanya. Air terjun buatan yang cantik dan bunga-bunga yang kembang mekar memberi sedikit ketenangan di jiwanya. Hampir lapan bulan dia mengambil cuti sakit akibat kemalangan itu. Tiga hari dia tidak sedarkan diri dan kaki kanannya cedera teruk kerana tertusuk besi. Akibatnya dia terpaksa dibedah bagi membuang besi tersebut. Dia terpaksa bergantung pada kerusi roda dan tongkat untuk bergerak.

Setelah menjalani rawatan susulan dan fisioterapi, akhirnya dia mampu berjalan seperti sediakala. Sokongan dan dorongan daripada kedua ibu bapanya yang tidak putus-putus harapan dan berusaha untuk memulihkannya, menjadikannya lebih bersemangat untuk sembuh. Dia sangat kagum dan terharu dengan perhatian serta sikap ambil berat kedua orang tuanya itu.

Ghaz Khuzairi masih ingat lagi ketika dia sedar daripada komanya. Dia hampir putus harapan untuk meneruskan hidupnya setelah mengetahui kaki kanannya cedera parah. Dia benar-benar rasa teruji dengan apa yang berlaku. Sudahlah mahligai cintanya hancur berkecai. Kini dia terpaksa berdepan
dengan ujian yang maha berat ini.

Mujur sokongan daripada keluarga menguatkan semangatnya untuk meneruskan hidup. Sahabat baiknya, Arief yang kebetulan bercuti sebulan ketika itu, selalu menemaninya di hospital. Memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya. Ketika di hospital, rakan-rakan sekerjanya turut menziarahinya termasuklah Ryan Arshad. Dia tercari-cari juga kelibat Marlissa. Namun dia hampa. Marlissa memang tidak datang menjenguknya. Dan dia akur, dia harus melupakan tentang Marlissa walaupun hatinya masih berbekas rasa kasih dan cinta.

Bukan mudah untuk melupakan cinta pertamanya itu walaupun dia cuba berbuat demikian. Terlalu banyak kenangan manisnya bersama Marlissa ketika mereka menyulam kasih dan cinta selama ini. Dan mustahil baginya untuk bertanya kepada Ryan Arshad mengapa Marlissa tidak datang  menjenguknya.

Ryan Arshad ada memaklumkannya mengenai Anita yang sudah memberi notis 24 jam kepada pihak pengurusan. Sehari selepas kejadian itu, Anita membawa diri ke Russia.

Sesungguhnya walau apa pun yang telah berlaku, dia percaya semuanya itu adalah qada dan qadar Allah. Demi Tuhan, dia tidak sedikit pun menyalahi takdir yang telah Allah tuliskan untuknya. Dan dia percaya pasti ada kemanisan dan hikmah di atas semua yang telah berlaku.

Dia bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan perjalanan hidupnya semula. Dan selagi dia masih bernafas, selagi itulah dia ada harapan, ruang dan peluang untuk membetulkan keadaan. Asalkan dia tidak berputus asa dengan kasih sayang dan rahmat Allah. Syukur, Ya Allah di atas ujian dan peluang ini. Alhamdulillah.

“Jauhnya anak papa ni termenung. Apa yang difikirkan tu, Khuzairi?” sapa Datuk Ghazali yang sedari tadi memerhatinya anak lelaki kesayangan itu. Jauh benar termenung. Entah apa yang dikenangkannya. Namun jauh di sudut hati, Datuk Ghazali bersyukur kerana Ghaz Khuzairi semakin sihat dan kakinya pulih sediakala.

“Hesy… mana ada termenung, pa. Khuzairi tengah menikmati keindahan taman hasil idea mama ni. Papa tak pergi main golf ke pagi ni? Selalu pagi Ahad macam ni, itulah rutin papa.” Sanggah Ghaz Khuzairi sopan. Cuba menutup rasa malunya kerana ditangkap jauh termenung tadi. Tangannya mengaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Hari ni papa tak main golf sebab nak luangkan masa dengan anak papa ni. Dah lama kita tak borak panjang. Yelah papa selalu busy dengan hal business je, kan. Kaki Khuzairi tu dah betul-betul sihat? Kalau rasa tak okey lagi, Khuzairi extend jelah cuti sakit. Papa boleh tolong uruskan.” Cadang Datuk
Ghazali kepada anaknya.

“Alhamdulillah… kaki Khuzairi ni dah betul-betul okey, pa. Tapi ada lagi dua minggu cuti sakit. Lepas tu baru boleh start kerja balik. Khuzairi dah tak sabar nak masuk kerja semula ni, pa. Yelah, hampir lapan bulan terperuk kat rumah je.” Ujar Ghaz Khuzairi. Meyakinkan hati papanya.
Sesungguhnya dia benar-benar tidak sabar untuk memulakan tugasnya. Terasa rindu untuk menawan awan biru semula.

“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Suka papa dengar Khuzairi bersemangat nak bertugas semula. Yelah, kalau Khuzairi tak bersemangat tapi still jugak nak bawa kapal terbang tu, lain jadinya nanti. Sebab tugas sebagai juruterbang ni besar tanggungjawabnya. Seorang juruterbang  bertanggungjawab ke atas ratusan nyawa dalam satu penerbangan yang dikendalikannya. Kalau tersilap sikit, maut jadi taruhan.” Ujar Datuk Ghazali lembut. Sempat mengingatkan anak bujangnya
itu.

“Iya… Khuzairi tahu tu, pa. Lagipun Khuzairi benar-benar dah bersedia. Papa jangan risau, ye.” Balas Ghaz Khuzairi sambil tangannya menggenggam erat tangan papanya. Dia bersyukur kerana mempunyai seorang papa yang begitu prihatin dengannya. Begitu juga dengan mamanya yang sangat
mengambil berat akan dirinya.

“Hmm... Khuzairi, papa nak tanya sikit ni. Hmm... Marlissa ada contact Khuzairi tak?” soal Datuk Ghazali. Mereka sekeluarga sangat bersimpati di atas apa yang berlaku pada kesudahan hubungan Marlissa dan Ghaz Khuzairi. Walaupun mereka tidak pernah mengenali Marlissa, mereka yakin Marlissa tu seorang perempuan yang baik. Kesal bertamu di hatinya dengan sikap sesetengah  manusia yang sanggup memusnahkan kehidupan orang lain hanya disebabkan dendam dan kepentingan diri sendiri. Dia tahu hati anak terunanya itu sangat kecewa. Namun dia bersyukur kerana Ghaz Khuzairi tidak terlalu mengikut hati dan perasaan kecewanya itu. Malah anak lelaki tunggalnya itu seolah-olah reda dengan ujian tersebut.

“Hmm… Sejak kes tu, kami dah tak berhubung dah, pa. Khuzairi pun tak tahu apa khabar dia sekarang. Walau apa pun yang dah berlaku, Khuzairi sentiasa mendoakan semoga dia sentiasa bahagia, pa. Khuzairi ikhlas mendoakan kebahagiaan  dia dan suaminya.” Kata Ghaz Khuzairi ikhlas.

“Baguslah kalau macam tu. Tak salah kita mendoakan kebahagiaan orang lain kerana mendoakan kebaikan untuk orang lain seolah-olah kita mendoakan diri kita sendiri, begitu juga sebaliknya. Khuzairi kena yakin… kalau Khuzairi tak dapat memiliki gadis sebaik Marlissa, Insya-Allah suatu hari nanti Allah akan mengurniakan pasangan yang lebih baik lagi. Khuzairi harus ingat, walau apa pun ujian dan dugaan yang menimpa diri Khuzairi, percayalah Allah sebenarnya telah merancang yang lebih baik untuk Khuzairi kerana Dia adalah sebaik-baik perancang.” Datuk Ghazali tidak putus-putus menitipkan kata-kata pesanan kepada anaknya.

“Thanks, pa sebab papa dan mama sentiasa bagi semangat pada Khuzairi dan sentiasa ada bersama  Khuzairi ketika susah. Baik budi papa dan mama takkan Khuzairi lupa sampai bila-bila.”

“Jangan cakap macam tu, Khuzairi. Sudah menjadi tanggungjawab papa dan mama. Khuzairi seorang je anak lelaki papa dan mama. Kami tak sanggup tengok Khuzairi terus melayan perasaan kecewa yang boleh memusnahkan masa depan Khuzairi. Sebab itulah kami sentiasa ada di sisi dan sentiasa bagi semangat serta dorongan pada Khuzairi. Kami mahukan yang terbaik untuk anak-anak kami.

Khuzairi anak yang baik. Tak pernah kecewakan papa dan mama. Cuma papa nak ingatkan, walau apa pun yang berlaku, kita kena berbalik pada qada dan qadar Allah. Sentiasa mengingati-Nya.  Hanya Dia yang mampu membantu kita dan sentiasa bersama kita ketika ditimpa musibah atau ujian-Nya.” Lembut Datuk Ghazali menitipkan pesanan serta nasihat sambil menepuk-nepuk bahu
anaknya itu tanda sokongannya.

Sesungguhnya dia sangat bersyukur kerana mempunyai seorang anak lelaki sebaik dan taat seperti Ghaz Khuzairi. Dia sentiasa mendoakan semoga anaknya akan menemui kebahagiaan selepas ini.





MARLISSA DUDUK berteleku di atas sejadah sambil mengusap-usap perlahan perutnya yang sarat. Kandungannya sudah mencecah sembilan bulan. Hanya menunggu masa untuk bersalin.


Dia baru sahaja selesai membaca surah Maryam setelah usai mengerjakan solat maghrib sebentar  tadi. Itulah rutinnya, membaca al-Quran terutamanya surah Maryam, Yusuf, dan Al-Luqman setelah dia disahkan mengandung kerana surah-surah tersebut elok dibaca dan diamalkan oleh ibu yang mengandung sepertinya.

Hatinya menjadi hiba tiba-tiba mengenangkan nasib dirinya. Sudah tiga bulan Ryan Arshad pergi. Namun hingga kini suaminya tidak juga balik. Teringat tiga bulan lepas  ketika Ryan mahu keluar bekerja dengan membawa beg pakaian yang agak besar. Selalunya kalau dia terbang ke mana-mana, dia akan membawa beg yang selalu dia gunakan. Bukan beg pakaian sebesar itu. Apabila Marlissa bertanya, katanya dia bertugas agak lama kali ini. Ryan Arshad siap  meninggalkan sejumlah wang yang agak banyak untuknya.

Namun, sampai kini si suami tidak balik-balik. Bukan dia tidak pernah cuba menghubungi Ryan Arshad. Tetapi dia hampa kerana nombor yang Ryan Arshad gunakan itu tidak dapat dihubungi sampailah sekarang. Pilu hatinya  mengenangkan dirinya tiada tempat untuk mengadu dan meminta bantuan. Ayahnya baru saja meninggal lima bulan lepas dan dia menjadi yatim piatu dan tiada tempat bergantung harap.

Teringat ketika dia baru memulakan hidupnya dengan Ryan Arshad. Setelah dua bulan bernikah, dia disahkan mengandung lima minggu. Pada tujuh bulan pertama perkahwinan mereka, dia dan Ryan Arshad sangat bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain. Keprihatinan dan sikap bertanggungjawab Ryan Arshad ketika itu membuatkan hatinya semakin lama semakin boleh  menerima dan mencintai serta mengasihi suaminya itu. Malah dengan janji-janji yang ditaburkan Ryan Arshad untuk menjaganya sampai akhir hayat membuatkan dirinya begitu bertuah memiliki suami seperti Ryan Arshad.

Pada usia kehamilan trimester pertamanya, dia mengalami alahan yang teruk. Lantaran itu Ryan Arshad telah menyarankannya supaya dia berhenti kerja. Dia bersetuju dengan cadangan suaminya memandangkan amat mustahil dia dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Namun, kebahagiaan rumah tangga yang dikecapi bersama Ryan Arshad hanya bersifat sementara. Kepergian dan kehilangan Ryan Arshad daripada hidupnya selama tiga bulan ini benar-benar merobek hatinya. Hatinya patah seribu mengenangkan kandungan yang sarat ini. Luluh jiwanya mengenangkan nasib diri dan anaknya. Dia benar-benar tertekan dengan situasi yang dihadapinya saat ini.

“Abang, mana abang pergi? Sampai hati abang tinggalkan Mar dengan baby kita. Abang, baliklah bang! Mar dan baby sangat memerlukan abang. Mar dah betul-betul buntu ni, abang! Mar dah tak ada siapa-siapa lagi, bang. Abang, baliklah.” Marlissa merintih dengan tangisan yang berlagu pilu.
Teresak-esak dia melayan tangisnya di atas sejadah tersebut.

Tiba-tiba anak di dalam perutnya bergerak. Tanda anak itu seperti memahami kesedihan yang dialami oleh mommynya. Dia mengusap-usap perlahan perutnya. Cuba menenangkan anak di dalam kandungannya itu.

“Sayang, sampai hati daddy tinggalkan kita. Mommy rindukan daddy, sayang. Sayang maafkan mommy ye sebab mommy tak dapat cari daddy. Mommy dah buntu sayang. Tak tahu nak cari daddy kat mana. Maafkan mommy, sayang.” Lirih nada Marlissa. Hanya pada anaknya itu tempat dia meluahkan rasa hatinya. Semakin kuat esakan dan tangisan Marlissa tatkala anak di dalam perutnya itu semakin galak bergerak. Sesungguhnya dia buntu mengenangkan nasib anaknya itu. Sekiranya apa-apa yang berlaku ke atas dirinya, kepada siapa dia harus bergantung harap?

“Ya Allah… berikanlah aku kekuatan dan lindungilah kami berdua, Ya Allah.” Rintihnya pilu. Marlissa membuka telekung dan menukar pakaian serta mengenakan tudung. Dia ingin ke rumah Sarah untuk bertanyakan tentang Ryan Arshad. Barangkali sahabatnya itu tahu Ryan Arshad berada di mana.



“ASSALAMUALAIKUM... SARAH! Sarah!”

“Waalaikumussalam... Eh? Kau ke ni, Marlissa? Sikit lagi aku tak kenal kau tadi. Kau dan kandungan kau sihat, Mar?” Sarah sudah berada di hadapan Marlissa. Ceria dia bersuara. Gembira dengan kedatangan bekas teman serumah merangkap bekas rakan sekerjanya. Seketika tadi dia hampir-hampir tidak mengenali Marlissa yang ayu bertudung itu. Selang beberapa saat kemudian, dia terus memeluk sahabatnya itu.

“Alhamdulillah… Aku sihat macam inilah. Tunggu masa je nak bersalin. Hmm… Sarah, aku minta maaflah kalau kedatangan aku ni mengganggu kau. Aku datang ni cuma nak bertanyakan tentang Ryan. Kau ada nampak Ryan atau dengar cerita pasal Ryan tak, Sarah? Dia dah tiga bulan tak balik rumah. Aku ada cuba call handpone dia tapi tak dapat. Aku dah buntu ni, Sarah. Tak tahu mana nak cari dia.” Adu Marlissa sebak. Bergenang air matanya.

“Ya Allah... kasihan kau, Mar. Sampai hati Ryan buat kau macam ni. Tapi 3 bulan lepas Ryan dah tak fly dengan MAS. Aku dengar dia dapat better offer daripada Emirates Airlines. Dia tak beritahu kau ke, Mar?”

“Ya Tuhan, Ryan resigned tiga bulan lepas? Kenapa tak beritahu aku yang dia tak kerja lagi dengan MAS? Sampai hati Ryan buat aku macam ni. Patutlah dia bawak beg besar masa keluar bertugas. Sampai hati dia tipu aku, Sarah.”

Marlissa sudah teresak-esak menangis mengenangkan sikap Ryan Arshad yang pentingkan diri sendiri dan mengetepikan haknya sebagai isteri. Dia terkilan. Seolah-olah dirinya sudah tidak penting lagi di mata lelaki itu. Hatinya sakit mengenangkan janji setia yang pernah Ryan Arshad taburkan kepadanya dulu.

“Sabar, Mar. Kau jangan macam ni. Nanti aku akan usahakan cari Ryan untuk kau. Nanti aku tanya pada kawan-kawan kita. Mana tahu diaorang tahu Ryan ada kat mana. Kau jangan sedih sangat macam ni, Mar. Nanti effect pada kandungan kau tu.” Pujuk Sarah yang sudah memeluk erat sahabatnya itu sambil mengusap-usap perlahan belakang Marlissa.

“Tak apalah, Sarah. Sudah nasib aku begini. Aku nak balik dululah, Sarah. Kalau kau ada berita pasal Ryan, jangan lupa beritahu pada aku ye.” Ujar Marlissa dengan sebak. Saat itu kakinya seperti lemah untuk meneruskan langkah. Hilang segala semangatnya.

“Ya Tuhan... demi anak yang aku kandungkan ini, Kau berikanlah semangat kepadaku...”

“Kau sure ke boleh drive ni, Mar? Aku boleh tolong hantar kau balik. Aku risau la dengan keselamatan kau dalam keadaan kau macam ni.” Cadang Sarah bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah, aku okey. Jangan risau. Lagipun aku dah biasa. Insya-Allah, semuanya okey. Aku gerak dululah. Thanks ya, Sarah.” Marlissa memandu keretanya ke arah yang dia tidak pasti ingin tujui. Fikirannya benar-benar buntu setelah mendengar tentang Ryan Arshad yang sudah berhenti dari
MAS. Ke manakah harus dia mencari suaminya itu?

Dia teresak-esak mengenangkan nasib malangnya. Hati pula terus diasak rasa pilu mengenangkan nasib anak dalam kandungannya itu. Lagu ‘Beribu Sesalan’ yang berkumandang di radio menambahkan lagi rasa sedih dan pilunya. Bait-bait lagu tersebut seakan-akan kena pada nasib dirinya itu.

 “Abang… sampai hati abang tinggalkan, Mar. Sampai hati abang tinggalkan baby kita. Abang baliklah, bang. Mar perlukan abang.” Rintih Marlissa dengan esak tangisnya. Anak yang menendang-nendang perutnya seakan-akan turut sedih dengan apa yang dihadapinya saat itu.

Marlissa mengambil keputusan untuk memandu ke rumah Ghaz Khuzairi. Hanya Ghaz Khuzairi yang dia rasakan dapat membantunya ketika ini.


GHAZ KHUZAIRI memandu pulang dari rumah orang tuanya. Balik kerja tadi dia terus ke rumah orang tuanya untuk makan malam bersama-sama. Sudah hampir dua bulan dia memulakan tugasannya setelah lama mengambil cuti sakit akibat kemalangan itu. Dia mengerling ke arah jam tangan Tag Heuer Aquaracer miliknya. Sudah pukul sebelas malam. Sampai sahaja di pintu masuk kondonya, dia terpandang seorang perempuan yang sarat mengandung berjalan perlahan menuju ke kawasan kondo tersebut. Dia memperlahankan keretanya, untuk memerhati buat seketika perempuan yang sarat mengandung itu.

“Kasihannya dia. Nak ke mana lewat malam begini?” bisik Ghaz Khuzairi sendiri.

Tiba-tiba wanita mengandung tersebut menyentuh perutnya seolah-olah menahan sakit. Lantas Ghaz Khuzairi memberhentikan keretanya dan keluar memberi bantuan kepada wanita tersebut.

“Puan... Puan okey ke?” tanya Ghaz Khuzairi yang sudah mendekati wanita yang sedang tertunduk-tunduk sambil memegang perutnya itu.

“Encik… tolong hantar saya ke hospital, encik. Saya sakit nak bersalin ni.” Jawab wanita tersebut sambil mengaduh sakit seraya memandang ke arah lelaki yang bertanyakannya tadi.

Ghaz Khuzairi dan Marlissa saling tergamam apabila mereka berpandangan. Marlissa memeluk Ghaz Khuzairi dan teresak-esak dalam pelukan lelaki itu. Dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana Allah menghantar Ghaz Khuzairi untuknya ketika dia diserang sakit nak bersalin.

“Ghaz… tolong I Ghaz. I sakit nak bersalin ni. Tolong hantar I ke hospital. Ryan tak ada, Ghaz. Dia dah menghilangkan diri entah ke mana. Tolong I, Ghaz.” Rayu Marlissa dengan tangisan sendunya itu.

“Ya Allah… Mar! Kenapa boleh jadi macam ni? Kenapa you tak cari I selama ni, Mar?” soal Ghaz Khuzairi dengan sebak. Luluh hatinya melihat keadaan Marlissa begitu.

Melihat keadaan Marlissa yang lemah, Ghaz Khuzairi terus mencempung badan yang agak kurus itu masuk ke keretanya. Dia segera memandu ke arah hospital yang berdekatan. Air matanya gugur mendengarkan erangan menahan sakit dan tangisan Marlissa. Sampai hati Ryan Arshad buat Marlissa begini.

Ghaz Khuzairi masih menunggu Marlissa yang sedang menjalani pembedahan. Menurut Doktor Yusuffian, keadaan Marlissa sangat kritikal. Tekanan darahnya rendah dan keadaan kandungannya agak terjejas sehingga pembedahan terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan kedua-dua nyawa.

“Doktor, macam mana keadaan Puan Marlissa dan anaknya? Kedua-duanya okey ke doktor?”

“Encik Ghaz, kami minta maaf. Kami hanya dapat selamatkan baby. Harap Encik Ghaz bersabar dengan berita ni.” Balas Dr. Yusuffian sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Ghaz Khuzairi.

“Innalillahi wa innailaihiraji’un.” Ucap Ghaz Khuzairi terkejut dengan khabar tersebut. Badannya tersandar pada dinding. Menitis air matanya. Sebak.




BAYI PEREMPUAN yang comel itu direnung dengan deraian air mata. Ketika membawa Marlissa ke hospital semalam, Marlissa sempat menitipkan beberapa pesanan kepadanya. Jika berlaku apa-apa ke atasnya, dia merayu agar Ghaz Khuzairi menjaga anaknya itu.

Dia berharap agar Ghaz Khuzairi dapat mencurahkan kasih sayang dan memberi didikan dunia akhirat kepada anak itu. Dia juga sempat berpesan bahawa barang-barang keperluan bayi tersebut telah tersedia di dalam keretanya. Marlissa mahu Ghaz Khuzairi selalu memberitahu anaknya itu yang mommynya sangat sayang akan dia. Marlissa seolah-olah tahu dia akan pergi meninggalkan anaknya itu buat selama-lamanya.

Ghaz Khuzairi sangat hiba mengenangkan saat bayi itu memberi ciuman terakhir untuk mommynya sebelum jenazah Marlissa diuruskan untuk pengebumian. Tangisan si anak bergema apabila mencium wajah kaku mommynya seolah-olah menceritakan perasaannya dengan pemergian si ibu.

Ghaz Khuzairi merenung lama pintu rumah orang tuanya. Nafasnya dihela perlahan, seakan mencari kekuatan untuk masuk dan berhadapan dengan keluarganya. Sungguh! Dia bimbang reaksi keluarganya. Terutamanya reaksi kedua-dua orang tuanya apabila mendengar apa yang cuba dia sampaikan nanti.

Wajah Rania Arissa, nama yang sempat dititipkan oleh arwah Marlissa, direnung dengan hiba. Hatinya luluh mengenangkan nasib si comel pada usia begini. Pipi si comel itu dicium, cuba mendapatkan kekuatan untuk berhadapan dengan keluarganya.

Dia membuka pintu dan melangkah masuk. Kebetulan papa dan mamanya, Intan Shafinas dan Izzati Aisyah tengah bersantai menonton televisyen di ruang rehat. Mereka tergamam melihat Ghaz Khuzairi yang mengendong seorang bayi comel.

“Papa… maafkan Khuzairi, pa. Khuzairi banyak menyusahkan papa. Kali ni Khuzairi benar-benar perlukan bantuan papa.” Rayu Ghaz Khuzairi teresak-esak.

“Eh... kenapa ni, Khuzairi? Kenapa menangis ni? Anak siapa yang Khuzairi bawak ni?” soal Datuk Ghazali bertalu-talu. Berkerut dahinya. Hairan dengan tingkah anak bujangnya itu.

Rania Arissa yang didukung Ghaz Khuzairi itu tiba-tiba menangis. Terkejut barangkali apabila tidurnya terganggu. Datin Irmanina mencapai si comel dari dukungan Ghaz Khuzairi. Perasaannya menjadi sayu tatkala melihat anak kecil itu menangis. Hatinya dah jatuh sayang kali pertama memandang wajah anak comel yang memakai Oshkosh baby jumpsuit itu.

Ghaz Khuzairi menceritakan segalanya tentang Marlissa yang ditinggalkan suami dan nasib Rania Arissa yang kehilangan ibu setelah dia dilahirkan ke dunia ini.

“Papa, Khuzairi mohon sangat pada papa. Harap papa benarkan Khuzairi jaga Rania Arissa ni, pa. Khuzairi tak sanggup dan tak sampai hati nak hantar dia ke rumah anak yatim. Kasihan dia, pa.”

Teresak-esak Ghaz Khuzairi menuturkan permintaannya itu sambil memaut kaki papanya. Cuba memujuk lelaki yang mendiamkan diri itu. Dia sangat perlukan sokongan papa dan keluarganya untuk sama-sama membesarkan Rania Arissa.

“Khuzairi... dengar sini. Kenapa perlu nak merayu dan melutut begini? Papa tak cakap pun papa tak bagi Khuzairi jaga anak ni. Papa tak cakap pun yang papa tak setuju. Dengar sini Khuzairi. Papa juga tak sampai hati nak hantar anak ni ke rumah anak yatim. Kenapa kita perlu nak hantar dia ke sana sedangkan kita mampu dan bertanggungjawab untuk menjaganya? Besar pahala kalau kita jaga dan didik anak yatim ni. Dah, jangan menangis lagi. Kita sekeluarga akan jaga si comel ni.”

Kata-kata Datuk Ghazali itu seakan-akan meringankan bahu dan fikiran Ghaz Khuzairi yang berat memikul bebanan sebentar tadi. Dia sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan keluarganya.

“Siapa nama cucu mama yang comel ni, Khuzairi?” tanya Datin Irmanina sambil menepuk-nepuk lembut anak comel yang merengek-rengek itu.

“Rania Arissa, ma.” Jawab Ghaz Khuzairi sambil tersenyum gembira dengan penerimaan mamanya terhadap si comel itu.

“Eiii... seronoklah ada baby comel kat rumah ni. Untunglah mama dan papa dapat cucu express yang comel macam Mak Su Zati ni kan, Rania?” soal Izzati Aisyah pada Rania Arissa sambil tangannya memicit lembut pipi mulus si comel itu.

“Eh, Khuzairi… Mana botol susu Rania ni? Kak Long nak buatkan dia susu. Dah merengek-rengek dari tadi tu. Dia lapar susulah tu.” Lantas Ghaz Khuzairi bangun dan keluar menuju ke keretanya untuk mengambil keperluan Rania Arissa. Lapang dadanya hanya Allah saja yang tahu.

“Syukur, Ya Allah!” Bisik Ghaz Khuzairi

No comments:

Post a Comment