DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 22 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 5

“Yana... macam mana ni... Akak takutlah.” Mai menyatakan resahnya kepada gadis yang dua tahun lebih muda daripadanya.

“Tak apa kak, nanti Irfan ada kat sana. Dia kata dia akan bersama akak jumpa lelaki tu,” pujuk Juliana, tunang Zamzuri.

“Abang Irfan la yang akak takutkan, Yana... bukan lelaki tu. Lepas jumpa kat pejabat agama dulu, ini kali pertama kami jumpa. Tak tau macam mana rasanya nak tatap muka dia tu,” keluh Mai lagi. Sungguh rasa debar dalam hatinya itu bukan kerana lelaki yang pertama kali bakal ditemuinya nanti, tetapi kerana Irfan.

“Emmm... Ingatkan takut nak jumpa bakal suami...” usik Liyana sambil ketawa kecil. Mai memasamkan mukanya. Dia mengeluh perlahan dengan apa yang telah dan akan  dihadapinya nanti.

“Itupun satu hal lagi,” keluhnya lagi. 

Ah... Siapa lelaki itu? Siapa yang sanggup menjadi cina buta dalam hubungan ini? Menurut Irfan lelaki itu seorang yang terdesak. Dia setuju mengahwini Mai selepas mengetahui bahawa Irfan sanggup memberikan sejumlah wang kepadanya. Irfan tidak menyatakan berapa jumlah yang akan dibayarnya untuk membolehkan dia kembali kepada Mai. Tetapi, Mai dapat rasakan bahawa jumlahnya tentu bukan sedikit.

Mampukah dia menghadapi kedua-duanya sekali gus? Pertama kali bertemu dengan bakal suami ditemani bekas suami. Pernahkah perkara sebegini dibuat orang? Sanggupkah dia berhadapan dengan mereka. Apa yang perlu dikatakannya kepada mereka? Bagaimana perlakuannya nanti?

“Dia okeylah, kak. Zam kata dia baik orangnya. Mereka sekampung. Dia kenal benar dengan lelaki tu. Dia kata, orangnya jujur. Sekarang ni dia perlukan duit untuk mulakan perniagaan. Dah lama dia cuba kumpul duit, tapi masih lagi tak mampu nak dapatkan jumlah yang Irfan
tawarkan tu. Sebab tu dia sanggup jadi cina buta ni.” 

“Yana tau ke berapa Abang Irfan bagi dia?”

“Tak...”

“Dia tak bagi tau Zam?”

“Tak pula...”

Kereta yang dipandu oleh Juliana berhenti di persimpangan lampu trafik. Peluang itu digunakan oleh Juliana untuk mengamati wanita muda di sebelahnya. Matanya menatap lembut ke wajah Mai. Simpatinya tergambar jelas di situ. Kasihan dirasakan kepada wanita
muda ini. Diceraikan suami dengan talak tiga dan kini, si suami pula jadi gila talak. Sanggup mengatur perkahwinan si isteri semata-mata supaya dia boleh kembali memiliki bekas isterinya ini. Ternyata Irfan amat mencintainya. Sepatutnya Zamzuri yang membawa Mai ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu. Tetapi tunangannya itu tidak dapat meninggalkan tempat kerjanya lebih awal seperti yang dirancangkan. Terpaksalah Juliana yang menghulurkan bantuan kerana Mai tidak mahu dijemput sendiri oleh Irfan. 

Dia tidak sanggup menghadapi lelaki itu bersendirian. Dia tahu hatinya pasti akan goyah jika dipujuk rayu oleh bekas suaminya itu.

“Yana... pernah jumpa dia ke?” tanya Mai dengan nada serba salah.

Dia ingin sekali mengetahui tentang lelaki itu. Sejak Irfan memberitahunya bahawa dia telah menemukan lelaki yang sanggup menjadi cina buta, hatinya tertanyatanya. Namun dia merasakan terlalu malu untuk bertanya kepada Irfan. Mungkin nanti Irfan akan menyangka dia amat teruja pula untuk berkahwin lain. 

Sudah empat bulan mereka berpisah. Sudah terlalu lama dia bersendirian sehinggakan dirasakan dia tidak lagi mampu untuk menahan rasa sepi ini sendirian. Dia ingin kembali kepada Irfan. Dia juga mahu Irfan kembali kepadanya. Walau apa cara sekalipun, dia tidak akan melepaskan peluang yang sedikit ini supaya mereka mampu kembali bersama.

“Pernah sekali, kak... tapi bukan jumpa berdepan. Cuma nampak dia dari jauh aje. Masa tu Zam pergi beritahu dia tentang perjumpaan ni. Yana duduk dalam kereta, Zam aje yang keluar.” 

“Orangnya macam mana ya, Yana?” Dia bertanya setelah agak lama dia berfikir sendirian.

“Entahlah ya, kak... Yana pun tak nampak sangat mukanya sebab masa tu dia berdiri kat depan pintu masuk flatnya. Gelap... Jadi... Yana tak nampak macam mana rupanya. Cuma...”  Juliana diam seketika. Perlukah dia bercerita  tentang lelaki itu? Atau mungkin dia sepatutnya membiarkan Mai melihat sendiri keadaan lelaki itu. Lagipun mereka kini dalam perjalanan untuk menemuinya. 

“Cuma apa, Yana?” tanya Mai apabila Juliana berdiam diri. 

Hatinya jadi tertanya-tanya melihatkan Juliana kelihatan seperti teragak-agak. Gadis itu menjadi serba salah dengan keadaan itu. Dia mengeluh perlahan. Ah... biarlah Mai melihat sendiri lelaki itu sebentar lagi. 

“Emmm... Kak Mai tengoklah nanti, ya. Em... Yana tak tahu nak cakap macam mana.” Mai merenung wajah Juliana dari tempat duduknya. Gadis yang sudah mula memandu meninggalkan persimpangan lampu isyarat itu cuba mengelak daripada berbalas pandang dengan Mai. Apa maksudnya? Mengapa dia berkata begitu tentang lelaki itu? Adakah ada sesuatu kekurangan pada lelaki yang akan dinikahinya itu nanti? Persoalan demi persoalan silih berganti melanda hatinya. Namun satu pun tidak disuarakannya. Untuk seketika waktu, dia lupa segala rasa resah dan gundah yang sejak beberapa hari ini bergayut di tangkai hatinya setelah dihubungi Irfan tentang pertemuan ini. Tanda tanya tentang lelaki yang akan mengambil tempat dalam lipatan kenangan hidupnya ini mula sedikit demi sedikit mengaburi ingatannya kepada Irfan.

Mai menarik nafas panjang. Buat kali pertama dalam tempoh empat bulan dia akan berhadapan dengan Irfan. Mampukah dia berbuat begitu? Suara Irfan yang mengucapkan lafaz talak tiga suatu ketika dulu kembali terngiang-ngiang di telinganya. Walaupun kenangan itu pernah membuatkan dia begitu marah dan berkecil hati dengan Irfan, dia tahu
dia perlu menghadapi saat ini. Tekad dalam hatinya yang dibina oleh Irfan untuk sama-sama kembali menyulam kasih bagaikan memberi kekuatan kepada dia untuk meneruskan langkah kakinya, menemui bekas suaminya itu. Dan buat pertama kalinya pula, dia akan menemui lelaki yang masih terlalu asing kepadanya. Terlalu asing sehinggakan nama lelaki itupun masih belum diketahuinya. 

Terlupa langsung untuk dia bertanyakan tentang nama lelaki itu kepada Irfan semasa dihubungi dua hari yang lalu. Segan rasanya untuk bertanyakan tentang lelaki itu daripada Irfan. Dari jauh dia dapat mengesan kelibat Irfan yang sedang duduk berhadapan dengan seorang lelaki di satu sudut di dalam restoran tersebut. Mereka kelihatan begitu asyik berbicara. Wajah Irfan cukup serius ketika itu. Lelaki itu membelakangi Mai ketika dia melangkah masuk melalui pintu masuk restoran. Makin berdebar rasa hatinya untuk menghadapi keadaan ini.

Langkahnya yang perlahan terhenti seketika apabila melihat pandangan mata Irfan tersorot ke wajahnya. Mata mereka bertemu, rindu mereka bersatu dan hati mereka berbicara. Ah, sungguh... Sungguh dia amat merindukan wajah itu. Segala rasa cinta tergambar di wajahnya. Segala rindu terpapar di matanya. Membuatkan dia berasa lemah untuk meneruskan langkahnya. Memang benar kata orang, selalunya selepas kehilangan sesuatu yang amat berharga barulah kepentingannya disedari dan kehadirannya dirindui. Pada saat itu barulah satu demi satu kebaikannya tergambar di hadapan mata. Hilang segala kebencian dalam hati. Timbul pula rasa ingin kembali memiliki.

Irfan bangun dari duduknya. Pandangan mereka terus bersatu. Hanya Allah yang tahu betapa dia memerlukan bekas isterinya ini dalam hidupnya. Sehinggakan dia sanggup melakukan apa yang bakal dilakukan ini. Dia sanggup meminjamkan Mai untuk seketika waktu kepada lelaki di hadapannya ini. Dia sanggup lakukan itu semua. Yang pastinya dia tidak sanggup untuk terus kehilangan Mai. 

Untuk seketika mereka berbalas pandang. Pada saat itu tiada apa yang mampu mengganggu mereka. Hati mereka berbicara dalam diam. Pada jarak yang tidak lebih dari 50 meter, mereka menyulam rasa rindu. Akhirnya Irfan bergerak perlahan-lahan mendekati Mai. Dia meraih tangan Mai dan menggenggamnya erat. Membuatkan Mai lupa akan segalanya. Hanya ada rasa cinta di dalam dada. 

“Mai...”

Mai memejamkan matanya. Menyerap segala bait kata-kata yang singgah di telinganya. Biarpun hanya dengan sepatah kata, terasa damai dalam hatinya. Terbang melayang segala rasa benci yang membaluti hati sejak lafaz talak itu diucapkan dulu. Apabila dia kembali membuka matanya, Irfan masih lagi merenung wajahnya.

“Abang...”

Pada saat itu, Irfan terasa ingin sekali memeluk tubuh kecil di hadapannya. Kalaulah diikutkan hati, pasti tubuh kecil itu sudah berada di dalam dakapannya. Pasti bibirnya sudah hinggap di bibir mulus itu. Pasti dia sudah menyatakan kepada seluruh dunia bahawa Maizatul Hazirah ini ialah miliknya.

“Ehem...” Suara Juliana mengejutkan mereka yang hanyut seketika dalam buaian rasa. Cepat-cepat Mai cuba menarik tangannya daripada terus digenggam erat oleh Irfan.

Hubungan mereka yang sudah terlalu lama terjalin menyebabkan dia lupa bahawa kini mereka tidak lagi boleh bersentuhan. Lelaki ini sudah tidak lagi boleh bebas menyentuhnya. Namun genggaman Irfan jadi semakin erat. 

“Mari... Kita duduk kat sana,” ucap Irfan hanya untuk Mai.

“Abang... Lepaskan tangan Mai...” 

Namun permintaan Mai tidak diendahkan oleh Irfan. Makin erat tangan itu digenggamnya. Dia menarik Mai ke meja yang diduduki lelaki itu. Juliana menurut langkah mereka perlahan. Terasa bagaikan terasing dia ketika itu. Serba salah untuk duduk semeja dengan tiga insan itu. Namun dia tetap meletakkan punggung ke atas kerusi meja yang berdekatan. Kalau tidak kerana rayuan Mai supaya dia menemankannya, sudah tentu dia sudah pergi meninggalkan mereka. Lagipun Zamzuri sudah berjanji akan menyusuli mereka selepas tugasnya selesai nanti. 

Dengan dada penuh debar, Mai duduk bersebelahan dengan Irfan. Tangannya masih terus digenggam erat oleh lelaki itu. Dia sendiri sudah tidak ingat lagi dengan permintaannya supaya Irfan melepaskan tangannya sebentar tadi. Terasa terlerai semua rasa rindu yang terbuku dalam hati hanya dengan genggaman erat itu. Terasa seperti semuanya kembali seperti dahulu. Seperti semuanya betul, tiada yang haram antara mereka. Dia menguak rambutnya yang terjuntai di dahi. 

Tidak berani memandang kepada lelaki di hadapannya, dia mengalih pandangannya ke wajah Irfan. Tersenyum ke dalam mata itu. Dengan lembut sekali Irfan membalas senyuman itu. Bahagia menyelinap dalam hati apabila senyum itu berbalas. Terbang melayang segala rasa serba salah yang dirasakan waktu itu. Bertambah nekad dalam hatinya untuk menerima lelaki ini kembali.

“Mai... Abang kenalkan... ini Encik Syamsul Hasni bin Syamsuddin...” Mai menelan air liurnya sambil perlahan berpaling kepada lelaki di hadapannya. Dia menarik nafas panjang
sebaik sahaja pandangan mata mereka bertaut. Mata itu merenungnya tajam sekali. Bagaikan anak panah terus menusuk menikam ke jantungnya. Terasa bagaikan salju yang dingin menyelinap masuk ke dalam jantungnya, mengalir dalam darahnya dan menyeliputi seluruh tubuhnya. Dan bagaikan membeku kesejukan, tubuhnya tiba-tiba menggeletar. Entah mengapa dia berasa takut untuk terus menatap mata itu dan wajah itu. Lantas dia menundukkan pandangan.

“Encik Syamsul... Ini Maizatul Hazirah binti Ariffin, isteri saya.” Entah mengapa kedengaran asing sekali suara itu di telinga Mai.

“Abang... dah tak ada orang lain ke?” tanya Mai dengan rasa gundah yang teramat sangat.

Entah mengapa, pertemuan yang singkat itu membuatkan dia terasa bagaikan enggan untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya. Entah mengapa renungannya yang sungguh dingin itu membuatkan dia berasa amat takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

“Mai, abang dah tak ada pilihan lain lagi. Dia aje yang sanggup. Abang... dah tak boleh tunggu lagi. Lagi lama... lagi parah hati ni rindukan Mai.” Keretanya diberhentikan di kawasan letak kereta Taman Tasik Shah Alam. Setelah pertemuan tadi, dia cepat-cepat  mengajak Mai ke sini. Kalau diikutkan hati ingin sekali dia membawa Mai pergi ke satu tempat yang lebih jauh lagi memandangkan kebetulan esok merupakan hari minggu. Ingin sekali rasanya dia membawa Mai jauh daripada suasana yang amat biasa bagi mereka. Tetapi Mai menolak dengan keras. Untuk saat ini persetujuan Mai untuk mengikutinya bersiar-siar di sini sudah cukup membahagiakannya. Ini kali pertama mereka kembali bersama selepas berpisah.

“Sanggup abang nak biarkan Mai kahwin dengan dia?”

“Kita tak ada pilihan lain lagi, Mai. Zam kenal dia, walaupun dia macam tu, kata Zam hati dia baik. Cuma, dia jadi macam tu sebab selama ni dia sedih dengan kematian isterinya. Zam kata dulu dia cukup ceria orangnya. Sejak isteri dia meninggal dan dia dipersalahkan, dia jadi menyendiri macam tu.”

“Mai takut, bang... tengok dia...” 

“It’s okay... Abang dah interview dia. Memang dia cakap dia akan ceraikan Mai lepas semuanya selesai.” 

“Tapi... dia tu macam... penagih dadah aje... Mukanya tak terurus, rambutnya panjang...” rungut Mai menyatakan rasa gundahnya. Irfan diam seketika. Melihatkan Irfan diam, Mai
meneruskan bicara.

“Dahlah tu... Kakinya tempang pula tu...”

 “Habis... Mai nak yang handsome ke? No way... I can’t bear to see you falling in love with him. Sebab tu la abang setuju dengan dia. Melihatkan rupa parasnya yang selekeh, kusut masai tu, abang jadi berani nak buat tawaran ni kepada dia.”

“Abang ni... tak mungkin Mai akan jatuh cinta kat dia. Cinta Mai untuk... abang aje...” katanya lembut. Irfan mengeluh lembut mendengar kata-kata Mai. 

Puas hatinya mendengarkan kata-kata itu. Sejak empat bulan lalu dia amat merindui bekas isterinya itu. Matanya langsung tidak melepaskan wajah yang dicintainya itu. Kini dia rasa cukup bahagia kerana setelah puas memujuk rayu, akhirnya Mai setuju dengan rancangannya. Tangan Mai yang langsung tidak mampu dilepaskannya dibawa ke bibir. Tidak sabar rasanya menanti saat mereka boleh kembali bersama semula. Namun, permintaan Syamsul Hasni dalam pertemuan tadi sungguh membuatkan dia resah.

“Kenapa dengan dia, bang?” tanya Mai sambil matanya memandang jauh ke dalam tasik di hadapan mereka. 

“Jom kita keluar...” kata Irfan sambil melangkah keluar dari perut kereta. Pertanyaan Mai diabaikan seketika.

Mereka berpimpin tangan menyusuri laluan pejalan kaki yang mengelilingi tasik buatan manusia yang mempunyai landskap yang cantik itu. Semuanya yang ada di tasik ini bagaikan mengembalikan nostalgia lama mereka. Terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam, ia merupakan tempat yang menjadi tumpuan penduduk sekitar Shah Alam pada waktu petang sebegini. Ada yang sedang bersama keluarga menghabiskan petang Sabtu mereka, ada juga yang sedang berjoging mengelilingi tasik yang terletak di kawasan seluas 43 hektar itu. 

Sungguh damai suasananya. Bersesuaian dengan nama-nama yang diberikan untuk ketiga-tiga bahagian tasik tersebut iaitu Tasik Damai di bahagian timur, Tasik Permai di bahagian barat dan Tasik Indah di bahagian tengahnya. Pemandangan landskap cukup indah di sekeliling tasik itu menambahkan lagi rasa bahagia yang mula bertapak kembali di kolam hati masing-masing.

“Cantikkan Mai, kawasan ni... Abang dah lupa betapa cantiknya kawasan ni. Ingat lagi tak, dulu kita selalu datang ke sini kalau kita tak sempat pergi bersiar-siar di tempat yang lebih jauh. Ingat lagi tak?” kata Irfan setelah mereka duduk berdampingan di atas rumput yang lembut di tepi tasik tersebut.

Tangannya memaut bahu Mai dan menarik bekas isterinya itu supaya duduk rapat dengan tubuhnya. Bau harum rambut Mai mengocak naluri lelakinya yang telah sekian lama tidak dilunasinya. Ah... Dia cukup rindu kepada Mai. Terfikir dalam hatinya, mungkinkah Mai sanggup melayannya semula seperti waktu mereka masih bergelar suami dan isteri dahulu? Mungkinkah Mai tidak akan menolak? Pastinya Mai juga amat merinduinya.

“Ingat, bang...”

“Abang rindu pada saat-saat itu. Mai rindu tak?” katanya penuh mengharap.

Mai merenung wajah Irfan. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh bekas suaminya itu. Dia sudah cukup mengenali lelaki ini sehingga setiap gerak tubuhnya sudah mampu difahaminya.

“Kalaupun kita rindu, kita dah tak boleh buat apa-apa lagi. Mai... dah tak halal lagi untuk abang, kan? Duduk macam ni pun... sepatutnya dah tak boleh...” bisik Mai ke telinga Irfan.

Irfan mengeluh perlahan. Dia tahu semua itu. Tapi, saat ini nalurinya begitu membuak-buak, terasa ingin sekali dia melepaskan rasa rindu dendamnya kepada Mai. 

“Emmm... Mai, malam ni... boleh tak abang balik rumah kita? Abang rindu sangat pada Mai.” Terkejut Mai mendengarkan rayuan Irfan. Cepat-cepat dia menjauhkan dirinya daripada terus didakap oleh Irfan. Sungguh dia tidak menyangka Irfan akan meminta yang itu. Tidak... Tidak mungkin dia akan membenarkan Irfan melakukan begitu. Memang dia tahu Irfan rindu kepadanya. Dia juga rindu, namun, dia tidak akan melakukan perkara terkutuk bersama bekas suaminya itu. 

“Abang dah gila ke? Mana boleh, bang... Kita dah tak boleh lagi macam tu. Mai dah tak halal lagi untuk abang... Takkanlah benda macam tu... abang tak tahu,” ucap Mai dengan nada kesal. 

“Abang tau Mai, tapi... abang tak boleh tahan hati ni. Rindu rasanya tak tertanggung lagi,” rayu Irfan. Lama Mai diam sambil memandang ke wajah lelaki kesayangannya itu.

“Sabar ya, bang... Tunggu sampai... semua ni selesai. Kita nikah balik. Lepas tu... Mai akan jadi milik abang selamanya,” ucap Mai memujuk hati Irfan.

“Lambat lagi Mai, sementara tu... apa abang nak buat untuk hilangkan rasa rindu ni?” Mai diam lagi. Dia juga tidak pasti jawapan apa yang boleh diberikan kepada Irfan.

Malam itu, selepas mereka menjamu selera di restoran terapung di tengah-tengah tasik yang menyajikan makanan laut yang begitu enak sekali, Irfan menghantar Mai pulang ke rumah yang pernah mereka kongsi bersama. Sekali lagi dia memujuk rayu supaya Mai membenarkan dia singgah dan bermalam di situ. Dan dengan keras sekali Mai menolak. 

Tidak... Dia tidak akan melakukan perkara yang terkutuk itu. Walau betapa kuat pun rindu mereka, dia akan pertahankan maruahnya sebagai seorang wanita. Dia tidak akan melakukan dosa besar itu. Tidak akan berbau syurga bagi mereka yang melakukan perkara terkutuk itu. Dia bukanlah seorang yang banyak ilmu agama, namun perkara yang satu itu tidak sekali-kali akan dilakukannya. Biar pun sekuat mana rindunya terhadap bekas suaminya itu meruntun jiwa mudanya.

No comments:

Post a Comment